January 5, 2013

Penyerahan Tong Sampah Kepada Penghuni Rumah Pangsa Bukit Mewah Dan Beg Sekolah Kepada Anak-Anak Mereka

-->
Bukirt Mewah, Kajang, 11 Safar 1434 = 25 Disember 2012 (Selasa):


Pada hari ini pada minggu lepas diadakan Majlis Penyerahan Tong Sampah kepada penghuni Rumah Pangsa Bukit Mewah. Turut juga diserahkan pada hari ini beg-beg Sekolah kepada anak-anak yang menghuni di rumah pangsa berkenaan.
Hadir pada pagi Hari Krismas ini ialah Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar, Y.B.Puan Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang, saudara Adram Musa Ahli MPKj Zon 22, Encik Azam dari COB dan Puan Siti Rosmawar Pengarah Unit Pesuruhjaya Bangunan, Haji Mohd Yusof Ketua cawangan, ibu bapa dan anak-anak diraikan.


Dalam ucapannya Puan Rosmawar menyatakan bahawa tong sampah yang diagihkan kepada penduduk di berbagai tempat adalah berjumlah 340 tong sampah yang harga keseluruhannya ialah RM300,000. Untuk rumah pangsa Bukit Mewah diperuntukkan sebanyak 23 buah tong sampah. Beliau berharap penduduk menjaga tong sampah berkenaan agar tidak segera rosak, tetapi jika rosak, maka tidak akan diganti. Menurutnya bagi mempastikan penjagaan terhadap Tong Sampah ini, maka pihak Majlis berhak dan mungkin datang sekali sekali bagi membuat spot check terhadap penggunaan tong sampah.


Menurut Puan Rosmawar, tujuan pihak Pesuruhjaya Bangunan mengagihkan tong-tong sampah agar penduduk tidak membuang sampah merata-rata, sebaliknya membuang secara teratur di dalam tong-tong sampah yang disediakan. Selain daripada itu keseragamaan dari penggunaan tong sampah memudahkan pihak pekerja mengangkat sampah secara sistematik. Dengan pembuangan sampah secara teratur dapat mengawal kekotoran dan juga menjaga kesihatan.


Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang dalam ucapannya memaklumkan kepada penduduk tentang sifat prihatin kerajaan Negeri Selangor bukan saja menyediakan tong sampah dan pembahagian beg Sekolah kepada murid-murid pada hari ini, tetapi kerajaan Negeri Selangor telah menurunkan 25% Cukai Pintu bagi rumah kos rendah. Selain itu Kerajaan Negeri Melaui Exco Perumahan menawarkan penduduk rumah pangsa skim penceriaan. Maksudnya mana-mana rumah pangsa yang telah lusuh, boleh dimohon untuk dicat melalui PBT, tetapi dengan syarat bahawa pihak penduduk melalui JMB atau persatuan menanggung 20% dari kos perbelanjaan.


Adun Bangi Dr. Shafie Abu Bakar dalam ucapannya mengucap tahniah kepada penduduk di rumah pangsa, Bukit Mewah yang dipilih oleh pihak Pesuruhjaya Bangunan bagi mendapat skim bantuan tong sampah. Adun Bangi memuji penduduk yang bermuafakat dan tidak ketara dari segi masalah, sebagaimana setengah tempat menghadapi masalah air, bukan kerana tidak ada air, tetapi kerosakan pam, tetapi tidak dibaiki kerana masalah pentadbiran. Beliau menyebut pada hari ini juga pihak Pejabat Adun memilih anak-anak di perumahan ini bagi menyampaikan beg Sekolah. Jumlah yang diperuntukkan di sini adalah sebanyak 90 buah beg. Beliau berharap ianya akan menceriakan anak-anak yang akan mulai bersekolah.


Penyampaian tong sampah dilakukan oleh Adun Bangi bersama Y.B. Teo Nie Ching dan juga saudara Adram Musa diikuti dengan pengagihan beg-beg Sekolah kepada anak-anak.


Kemudian mereka bergambar beramai-ramai. Jamuan juga disediakan.

Sekian.

No comments: