December 16, 2012

Y.B. Iskandar Serah Surat Tawaran Rumah Mampu Milik Kepada Yang Berjaya Di Bangi

BBB, 01 Safar 1434 = 15 Disember 2012 (Sabtu):


Sebagaimana maklum Rumah Mampu Milik terawal adalah dibina di BBB. Projek mula dibangunkan pada tahun 2011 di atas sebidang tanah lebih dari 2 ekar bertempat di Seksyen 3, BBB. Bangunan terdiri dari 124 unit rumah. Setiap unit berkeluasan antara 700 hingga 800 kaki persegi yang terdiri dari 2 & tiga bilik yang mempunyai 2 bilik air. Harga setiap unit adalah antara RM60,000 hingga RM120,000 bergantung pada keluasan dan lokasi.


Hari ini diadakan Majlis Penyerahan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik PKNS, BBB. Penyerahan dilakukan oleh Y.B. Iskandar Abdul Samad Exco Perumahan, Pengurusan Bangunan dan Setinggan bertempat di Pekarangan PKNS, Bangi. Hadir sama ialah Y.B. Dr. Shafie Abu Bakar Adun Bangi, Puan Hajah Norida bt. Mohd Yusof Penolong Pengurus Besar PKNS, Tuan Haji Lokman bin Abdul Kadir Kontroler PKNS Bangi dan Penerima-Penerima tawaran rumah.


Dalam ucapan perasmiannya Y. B. Iskandar menyatakan, ``Ini adalah projek pertama Rumah Mampu Milik di Selangor.`` Beliau mengucap tahniah kepada mereka yang ditawarkan perumahan yang dipilih melalui undi yang dijalankan pada hari ini juga.


Menurut Y.B.Iskandar, ``Lebih dari 3.000 pemohon bagi Rumah Mampu Milik berkenaan. Pada hari ini pemilihan dilakukan bagi 112 orang yang terpilih. Menurut Y.B. Iskandar, ``Kualiti bangunan Rumah Mampu Milik ini lebih baik dari rumah murah yang biasanya selepas 10 tahun banyak masalah dan nilainya menurun .`` Sebaliknya Rumah Mampu Milik di sini adalah berkualiti. Antara syarat bagi pemohon adalah tidak memiliki rumah, berpendapatan antara RM2,500 hingga RM5,000 suami isteri, tanggungan (contoh anak-anak) dan faktor umur. Pemohon boleh membuat pinjaman di mana wakil-wakil bank turut hadir. Bank-bank berkenaan ialah Malayan Banking, CIMB dan Muamalat. Pembeli-pembeli tidak dibenarkan menjual rumah sebelum 5 tahun. Menurut Y.B. Iskandar, ``Beberapa tempat lagi turut dibina Rumah Mampu Milik seperti di Sungai Long, Bukit Botak, Pj, Sabak Bernam dan Antar-Gapi. Dijangka sebanyak 15,000 unit rumah akan disiapkan sehingga tahun 2020. Pihak Kerajaan menurut Y.B.Iskandar, menggalakkan mana-mana Syarikat Perumahan Swasta yang berminat untuk mendirikan Rumah Mampu Milik.

Sebelum daripada itu, Puan Hajah Norida bt. Mohad Yusof selaku Timbalan Pengurus Besar PKNS dalam ucapan alu-aluannya menyatakan bahawa, Rumah Mampu Milik adalah mesra pengguna terdapat 4 unit untuk OKU dan Warga Emas. Bangunan mempunyai kemudahan lift, terdapat surau, dewan komuniti, pusat tuisyen, tadika, bilik bacaan dan ruang rekreasi. Setiap unit rumah mempunyai balkoni.


Selepas ucapan-ucapan, Y.B. Iskandar dijemput menyampaikan Surat Tawaran Rumah Mampu Milik kepada peserta-peserta terpilih, iaitu seramai 12 orang. Sedang yang lain diminta pergi selepas penyampaian ke Dewan Bawah PKNS menjalani sesi Cabutan Pemilihan bagi mereka yang belum selesai. Dari kalangan OKU yang menerima Surat Tawaran pada hari ini ialah En. Razali bin Adnan (38) yang lahir di Serdang. Beliau pernah bekerja dengan Alam Flora, tetapi terpaksa berhenti selepas accident yang dialami 12 tahun dulu. Pernah beli rumah, tetapi terpaksa mnjualnya bagi membiayai perubatan. Kini beliau berniaga dengan dibantu isterinya. Mereka mempunyai dua anak. Menurut En. Razali dan isterinya, ``Dengan mendapat tawaran rumah, kami merasa syukur dan gembira.`` Menurut En. Raza;li lagi, `` Dengan mendapat tawaran kami akan bekerja lebih kuat lagi bagi melunaskan pembayaran rumah dan tanggungan 2 orang anak.`` Seorang lagi OKU yang mendapat tawaran rumah ialah Puan Magiswari Arumugum ibu tunggal.

Selesai menerima Surat Tawaran, mereka semua sebagai Penerima Terawal bergambar dengan Y.B.Iskandar.

Sekian.

No comments:

Post a Comment