BBB, 11 Safar 1434 = 25 Disember 2012 (Selasa):
Jarang bagi satu hari Adun Bangi hadir bersama Ahli Parlimen
Serdang secara berturut-turut hingga 4 program dari pagi hingga tengahari. Tapi
begitulah hari ini. Semuanya berjalan lancar, kecuali program kemasyarakatan di
Pangsapuri Seksyen 3 BBB. Program ini dianjurkan Rukun Tetangga (KRT) kawasan
tersebut. Berdasarkan hubungan baik yang telah terjalin, tanpa mengira fahaman
politik Adun pernah hadir dan memberi peruntukan bagi kegiatan gotong royong
dan pernah mempertimbangkan untuk membina bilik bagi KRT di bawah satu bangunan
di rumah pangsa berkenaan, tetapi tidak dibenar oleh Persatuan Penduduk. Kini
KRT ini memohon pula daripada Adun peruntukan untuk membeli kaven. Itu pun
dalam pertimbangan.
Hari ini Adun menerima jemputan bagi program Keselamatan dan
Kesihatan. Turut menerima jemputan Y.B. Teo Nie Ching Ahli Parlimen Serdang.
Kami hadir ke jemputan jam 10.00 pagi. Timbul pertanyaan dalam hati program
yang agak besar dengan khemah besar dan alat permainan bagai karnival begitu
canggih dan tentu sewanya mahal, cuma dihadiri lebih kurang 20 orang sahaja ?
Mungkin ada yang tak kena antara KRT dengan Persatuan Penduduk.
Aturan yang disusun amat tidak menyenangkan kami dan tidak
menurut protocol. Ucapan pertama oleh Puan Ummi Kalthum Pegawai Perpaduan di
Daerah Hulu Langat, tidak menjadi masalah, tetapi meletakkan Dato` Yap Pian Hon
selepas Ahli Parlimen Serdang dan Adun Bangi berucap amat tidak kena pada
tempat. Atas kapasiti apa Yap Pian Hon diberi tempat atas pentas dan diberi
berucap selepas Ahli Parlimen dan Adun sebagai Tuan Rumah ?
Kami datang dengan baik dan mau berbaik dengan semua pihak
termasuk Puan Zaidah selaku Pengerusi dan En. Mohd. Haikal sebagai Pengarah.
Bahkan bila Y.B.Teo Nie Ching berucap beliau meluluskan peruntukan bagi Program
Kemasyarakatan pada hari itu sebanyak RM1,000 yang katanya peruntukan dari
kerajaan Negeri Selangor dan apabila Adun berucap Adun menambahkan peruntukan
yang juga dari Kerajaan Negeri Selangor sebanyak RM500/= lagi dan pada masa itu
juga Adun sampaikan cek. Malangnya selepas kami berucap Dato` Yap Pian Hon
dijemput berucap yang sengaja diatur sedemikian rupa untuk mnyerang kami.
Beliau menyerang kononnya Kerajaan Negeri Selangor tidak
tunai janji mau turunkan 25% cukai pintu rumah kos rendah. Beliau berdusta
kepada yang hadir, kerana kerajaan negeri memang telah menurunkan cukai
tersebut. Beliau juga menyerang kononnya sampah sarat tidak diangkat, pada hal
kami berdua sebelumnya memuji kawasan perumahan
rumah pangsa Seksyen 3 begitu bersih dan tiada sampah sarat. Beliau juga
menyerang kononnya ramai yang tidak mendapat air percuma, pada hal semua sudah
dapat dan mana-mana yang tidak menukar kepada meter berasingan diberi potongan
melalui system kopon. Kami menjangka Dato` Yap Pian Hon akan mengumumkan
pemberian kewangan lebih dari jumlah yang kami umumkan. Tapi rupanya tidak satu
sen pun diumum untuk diberi kepada program yang berjalan. Beliau hanya menyebut
BRIM 2 yang akan diagih kepada rakyat yang merupakan rasuah pilihanraya secara
terang-terangan. Sesudah Dato` Yap berucap dan kembali ke tempat duduk
bersebelahan Adun, Adun berkata, ``Tidak adil you menyerang kami, tidak betul
dari segi protocol, kami tiada peluang menjawab. Jawab Dato` Pian ``Saya tidak
tahu !``
Perasmian majlis diberi kepada Inspektor Zainuddin dari
Balai Polis Bandar Baru Bangi juga tidak betul. Nyatalah penyusunan majlis
sengaja hendak memerangkap kami. Kita kira amat tidak wajar. Sayang majlis yang
kita percaya memakan peruntukan yang banyak – termasuk memanggil pasukan silat
membuat demonstrasi begitu bersungguh-sungguh tapi dirosakkan oleh majlis yang
begitu bercelaru dan tidak mengikut aturan. Serangan politik tidak patut
dilakukan dalam majlis yang sepatutnya bersifat muhibbah dan mesra. Yang
menjadi tandatanya mengapa tidak ramai penduduk yang datang ?
Sekian.
No comments:
Post a Comment