December 15, 2012

Mencari Punca Banjir Perumahan PKNS Sungai Ramal Luar

Sg. Ramal Luar, Kajang, 26 Muharram 1434 = 10 Disember 2012 (Isnin):


Aduan dari Ketua Kampung Sungai Ramal Dalam, Tuan Haji Yusof bin Abdul Kadir kepada Adun bahawa katanya, ``Y.B. Saya dah malu mata, setiap kali hujan turun agak lebat, perumahan PKNS, bahagian bawah, sering banjir. Saya dah tak tau nak cakap bagaimana hendak menyelesaikannya. Kalau Y.B. dapat turun lihat dan cari cara menyelesaikannya!``


Atas rasa simpati aduan yang dibuat Ketua Kampung sebelah pagi itu, segera Adun memberi respon bahawa Adun bersedia turun pada hari ini juga. Tapi Tok Ketua Kampung, meminta sedikit masa untuk menghubungi Pegawai MPKj untuk turun sama. Waktu untuk turun setelah berunding dengan Adun, ialah jam 3.00 petang hari ini. Setengah jam kemudian Adun mendapat jawapan dari Ketua Kampung, bahawa Pegawai MPKj dapat turun bersama.


Sebelum jam 3.00 petang Adun bertolak dengan sdr. Shahrum Pegawai di Pejabat Adun dan tiba di dekat perumahan PKNS dan didapati Tuan Haji Yusof telah tiba dan berada di tepi jalan berhampiran tembok flyover yang menyekat air dan melencong turun mengikut jalan berhadapan perumahan PKNS dan turun ke sungai berdekatan. Dari situ kami naik dengan kenderaan ke Jalan Industri bersebelahan dengan bukit Sungai Chua. Tok Ketua Kampong menunjukkan kepada Adun `Air Terjun Kecil` yang mengalir dari Bukit Sungai Chua yang agak jernih, air ini bertemu dengan air dalam saluran parit dari bahagian atas di kawasan industri. Menurut Tok Ketua Kg., ``Dari sinilah punca air yang turun dengan banyaknya bila hujan lebat mengalir ke bawah melanggar tembok dan lencong ke jalan dan seterusnya ke sungai (Sungai Ramal). Bila air banyak terjadi banjir di jalan depan perumahan PKNS. Banjir boleh berlaku sehingga sedalam paras lutut masuk ke rumah-rumah di tepian jalan berkenaan.

Semasa sedang menyaksikan ``Punca Banjir ?`` ini, Tuan Haji Yusof Bachik Ahli MPKj bagi kawasan di sini tiba. Tok Ketua Kg. tidak beritahu Adun yang beliau menjemput En. Yusof Bachik yang baru pulang dari Haji itu. Kami berpendapat bahawa saliran air terjun kecil itu hanya sebahagian dari sumber air hujan yang turun. Sebenarnya Jalan Industri bertanah tinggi (sebagai bukit) itu sendiri menjadi laluan air turun ke bawah. Ini ditambah lagi air dari kawasan Sungai Chua lebih atas dari jalan industri, ditambah lagi larian air dari jalan naik ke Sekolah Leftenan Adnan dan jika hujan air turun melalui jalan sebagai sungai bersatu di bawah ketiga-tiga punca air menyebabkan aliran air berhimpun dan banjir sebelum air dapat masuk ke Sungai dan terjadi banjir. Lebih teruk banjir jika Sungai Ramal penuh dengan air – tak dapat menampung aliran air, dan menolak ke luar dan banjir terjadi lebih teruk sebagaimana terjadi bila hujan lebat.


Dalam masa perbincangan ini dua pegawai dari MPKj baru tiba, iaitu En Hanbal dan Encik Shahril. Kami ramai-ramai mengulangi menyebut punca banjir yang kami telah kami bincang sebelum ini. Kemudian berkenderaan turun beramai-ramai ke jalan tepi tembok yang menjadi saliran air bagi kesemua punca air dari kawasan tanah tinggi ke bawah yang bagai sungai mengalir melalui jalan menuju sungai di bawah.

Tok Ketua Kampong mencadangkan agar diketuk benteng yang sengaja di buat menghalang air ke saluran air tepi lebuhraya, supaya air yang turun dapat masuk ke saluran air berkenaan yang menurutnya boleh mengurangkan lempahan air yang boleh membanjiri perumahan PKNS. Manakal En. Hanbal bersama En. Shahril mencadangkan untuk membuat saluran air di bawah jalan ke saluran air di tepi tembok highway Sungai Ramal. Air ini mengalir ke Sungai di bawah. Inilah keputusan yang diambil yang akan dibawa oleh En. Hanbal dan Shahril ke MPKj.

Adun berpendapat cadangan berkenaan mungkin boleh atasi banjir dalam keadaan hujan lebat kadar biasa, tetapi saliran tepi tembok sebagai penghadang mau dipecah dan saluran bawah tanah cadangan dari pihak MPKj ini hanya dapat mengurang dan melambatkan sedikit dari berlaku banjir, tetapi jika berlaku hiujan lebat dan sungai tidak dapat menampung serbuan air dan melempah, maka sebagaimana kerap berlaku air melempah dan banjir bukan saja ke rumah PKNS, tetapi juga bagi Kampong Paya berdekatan yang baiasa banjir.

Antara usaha yang patut deilakukan berterusan ialah pembesaran parit-parit yang menjadi saliran air, pembesaran sungai dan pendalaman Sungai Ramal Luar dan Sungai Ramal Dalam dan pembersihan dan pendalaman Sungai Langat yang mengalir kepadanya semua punca air hujan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment