December 23, 2012

Melawat Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012

-->
Dataran Stadium Kajang, 08 Safar 1434 = 22 Disember 2012 (Sabtu):


Sebut saja `Sate` orang segera mengingatkan Kajang dengan Sate Kajangnya. Begitulah kuatnya sate sebagai identiti Kajang. Kalau datang ke Kajang, maka tidak sempena kunjungan tanpa makan `Sate Kajang`. Sate dijual di warung dan kedai-kedai makan di Kajang. Bahkan untuk kelarisan, di mana dijual sate, maka dikatakan `Sate Kajang`, walaupun di luar dari Kajang, bahkan di luar dari Selangor. Imej Sate Kajang digunakan untuk kelarisan ! Imej yang baik ini perlu dikekalkan, maka promosi harus diteruskan, bahkan dipertingkat bagi pengekalan imej `Sate Kajang`. Salah satu cara ialah dengan mengadakan karnival tahunan sate. Demikianlah pada tahun ini pihak MPKj mengadakan Karnival Sate yang dikenali dengan `Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012` bertempat di Dataran Stadium Kajang. Karnival ini sudah lama diwarwarkan antaranya melalui Mesyuarat MPKj, bahkan permohonan peruntukan antaranya kepada Adun. Karnival ini berlangsung dari 21 (Jumaat) hingga 23 Disember 2012 (Ahad).


Ungkapan `Karnival 1001 Rasa Sate Kajang 2012` memang menarik. Tergambar dalam fikiran, betapa banyaknya hidangan sate di karnival tersebut dan kita bayangkan bahawa, kita dengan ghairah dapat merasakan berbagai-bagai jenis sate yang dihidangkan dan memakannya secara percuma ? Atas keghairahan ingin menikmati 1001 Rasa Sate Kajang, maka pada tengahari ini, selepas menghadiri program-program, maka Adun bersama saudara Azizi ke Dataran Stadium Kajang, bagi menyaksi Karnival dan kalau dapat menikmati 1001 Rasa Sate Kajang. Setelah melalui kesukaran untuk parking, akhirnya kami ke dalam Dataran Stadium Kajang yang di keliling dataran dipenuhi hampir 100 khemah dan bahagian tengah sebuah khemah besar berpentas. Yang paling Adun intai di mana tempat pembakaran sate ? Tiada. Adun diiringi saudara Azizi membuat keputusan untuk menjelajah dari gerai ke gerai sehingga habis lengkap satu pusingan dan pulang. Karnival ini tiada waktu pembukaan khusus – jadual untuk dihadiri sepanjang.


Apa yang Adun saksikan karnival ini lebih kepada keterlibatan peniaga-peniaga menjual makanan dan minuman – gerai yang paling banyak, selain  dari gerai-gerai dari jabatan dan agensi yang mengambil bahagian seperti gerai Jabatan Kebudayaan Negeri, Persatuan Sejarah, Pemadam, Agensi Dadah, Jabatan Anti Rasuah dan berbagai-bagai lagi, manakala sebahagian lagi ialah khemah-khemah  jualan barang-barang seperti pakaian, motokar, buku, pakaian dan berbagai-bagai lagi. Manakala aktiviti selama tiga hari ini memanglah banyak seperti hari pertama – Selamat Datang sebagai pembukaan, promoso jualan, hiburan ghazal, makan sate percuma (8.00-8.30 petang), ceramah, nasyid, zikir dan nite ride (cycling). Manakala pada hari kedua (hari ini) antaranya senam robik dari 8.00 pagi hingga 10.00, kenduri bubur tradisi, pelancaran basikal APAC, penyampaian hadiah Festival Jalanan. Selepas zohor kemunculan Upin dan Ipin, makan sate percuma (4.00-4,30 petang) dan puncak ialah pelancaran 1001 Rasa Sate Kajang (9.30-10.00 petang) diikuti dengan tarian Melayu, India dan Cina, mini konsert 1001 Rasa Sate Kajang dan Pertunjukan Bunga Api.


Manakala pada hari ketiga pula ialah Senaman 1001 Langakah 1001 Rasa Sate Kajang, Senaman Robek bersama Selebreti, Promoso Gerai Jualan, Helicopter Joy, Persembahan Motor Cross, Persembahan Tarian Persatuan Cina, Pertandingan Karaoke, Wrestling Final, Makan Sate Percuma (4.00-4.30 petang), Persembahan Pemenang Karaoke, Cabutan Bertuah, Persembahan Artis dan Penyampaian Hadiah.


Pada masa Adun membuat pusingan lawatan kebetulan masa pembahagian bubur percuma. Adun diminta mengagihkan bubur kepada mereka yang melalui gerai berkenaan secara percuma. Bila maklumat diketahui Adun datang, Adun ditarik oleh saudara Muhammad Ali Pengarah Program dan Pegawai MPKj ke Acara Penyampaian hadiah kepada peserta-peserta yang mengambil bahagian dalam Festival Jalanan (basikal) pada sebelah paginya. Setelah membuat cabutan no bertuah dan penyampaian hadiah Adun teruskan lawatan ke berbagai-bagai gerai dan apabila tiba ke Gerai Jabatan Kebudayaan Negeri Selangor, Adun diminta menyampaikan hadiah kepada peserta-peserta pertandingan permainan taradisi seperti congkak, batu selimban, pertandingan Sepak Raga Berkain Pelikat dan sebagainya. Ramai pula yang minta bergambar bersama. Meneruskan lawatan Adun tiba ke Gerai Persatuan Sejarah Selangor. Adun membeli tiga buah buku iaitu Sejarah negeri selangor Dari Zaman Prasejarah Hingga Kemerdekaan, Tokoh Wanita Selangor dan Melayu Petani. Lawatan dapat diselesaikan sebelum waktu zohor.


Walau macam mana hasrat Adun mau merasai 1001 Rasa Sate Kajang tidak kesampaian. Masa hadir tidak berbetulan dengan masa makan Sate Kajang Percuma yang diadakan setiap hari, tapi hanya untuk setengah jam sahaja. Mungkin kalau mau makan banyak dan kenyang pergilah ke warung-warung sate di bawah-bawah khemah yang banyak itu. Apa yang Adun dapat maklumat mengenai sate bahawa pada petang ini diadakan demonstrasi bakar sate terpanjang untuk dicatat di dalam Record Book of Malaysia. Sate Kajang Terpanjang ialah pada 1998 sepanjang 5 meter dan pada petang ini akan dibakar Sate Terpanjang (2012) sepanjang 20 meter.


Nampaknya untuk Makan 1001 Rasa Sate Kajang 2012 lebih bersifat gimik. Kalau benar-benar mau makan pergilah ke warung-warung disediakan atau di kedai-kedai di Pekan Kajang. Makanlah sebanyak mana yang mau, tapi bayarlah sendiri !

Sekian.

No comments:

Post a Comment