December 27, 2012

Masalah Penduduk Sungai Tangkas

Greenvilla, Sungai Tangkas, 09 Safar 1434 = 23 Disember 2012 (Ahad):


Sesebuah taman perumahan dibangunkan secara teratur - sempurna dari segi landskap, infrastruktur dan saliran. Lantaran itu tidak banyak dengan permasalahan. Berlainan dengan pembangunan yang berasaskan kampung tradisi yang dari awal tidak tersusun, bermasalah dari segi infra-struktur dan saliran. Agak sukar untuk disusun kembali untuk pembangunan. Keadaan ini boleh dilihat umpamanya pembangunan berasaskan Kampung Sungai Tangkas, Bangi. Lantaran Sungai Tangkas adalah Kampung Tradisi, maka banyak masalah timbul berdepan dengan pembangunan. Misalnya jalan sempit melalui bawah terowong keretapi, sering mengalami banjir bila hujan sedikit lebat, termasuk banjir lumpur bila ada pembangunan, kedudukan rumah tidak teratur seperti setinggan, tanah yang tidak bermilik dan bertindih milik, berlaku kesesakan kerana jalan sempit tidak dapat menampung kenderaan keluar masuk, lebih-lebih lagi waktu puncak. Terdapat projek perumahan terbengkalai dan perumahan terbiar yang menyakitkan mata dan hati, kawasan tidak terjaga seperti rumput tidak dipotong dan perparitan tidak terjaga, walaupun setengah kawasan sudah berada di bawah jagaan MPKj.


Dengan keadaan sedemikian aduan sering diterima berhubung dengan infrastruktur dan khidmat yang tidak memuaskan. Demikianlah sebelum malam ini Adun telah dihubungi secara lisan menyatakan ada perbincangan pada tarikh hari ini (malam) dan jika Adun dapat datang lebih memberi maknat kepada majlis pertemuan. Sememangnya Adun ingat dengan jemputan lisan, tetapi ragu-ragu kemungkinan tidak jadi. Sehingga jam 9.30 malam Adun tidak dihubungi dan berat jangkaan jadi atau tidak jadi, tetapi bila jam 9.40 Adun menerima maklum bahawa pertemuan bertempat di Greenvilla, memang jadi pada malam ini. Dengan segera Adun menukar pakaian dan bertolak ke Sungai Tangkas berseorangan dan tiba hampir jam 10.00 malam bertempat di Dewan Greenvilla.


Adun dapati Majlis agak serius dihadiri oleh ketua-ketua dari 5 buah Taman di Sungai Tangkas dan Ketua-Ketua Persatuan Induk. Antara yang hadir En. Hisham Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Taman-Taman di Sungai Tangkas, Tuan Haji Ridzuan Timbalan Pengerusi bagi Gabungan Persatuan, Ustaz Maher Setiausaha Gabungan Persatuan, En. Ruslimi Bendahari yang juga Pengerusi Penduduk Taman Tropika dan wakil-wakil dan penduduk.

Sebelum perbincangan mengenai permasalah yang dihadapi penduduk Sungai Tangkas, Adun berucap berterima kasih di atas jemputan, tetapi meminta maaf di atas kelewatan, kerana menjangkakan Majlis tidak jadi. Adun menyebut Sungai Tangkas memang pesat membangun dari sebuah Kg. Kecil, tetapi sekarang membesar dengan berbagai pembangunan termasud wujudnya Universiti Kuala Lumpur Malaysian-German insttute, Bangunan Essex KWSP dan berbagai taman sedang lahir. Walau bagaimana Adun mengaku dari segi pembersihan dan infra-strukter kurang memuaskan. Contohnya sampah dan pemotongan rumput dan perparitan, banjir dan perumahan setinggan, Perkara ini banyak terletak di bawah MPKj dan Pembangunan Luar Bandar . Walau macam mana Adun bergembira mendapat maklumat bahawa Persatuan Induk Persatuan-Persatuan Penduduk telah ditubuhkan, begitu juga ada persatuan-persatuan taman. Sebarang masalah insya Allah pada masa akan datang dapat dibincangkan melalui persatuan-persatuan. Masalah-masalah dapat diangkatkan melalui Mesyuarat MPKj dan juga melalui Mesyuarat Penyelarasan di Pejabat Daerah Hulu Langat. Perkara-perkara penting biasanya dibawa ke Persidangan Dewan Negeri.


Pertemuan pada malam ini lebih bersifat penglahiran masalah dan aduan yang minta diambil perhatian oleh Adun. Antaranya bertanyakan seperti masalah jalan yang rosak. Ksesakan lalulintas, infra-struktur, banjir, masalah lampu tak bernyala, bila fly-over mau dibina, masalah perumahan setinggan, rumah terbiar dan terbengkalai. Isu-isu semuanya besar-besar dan tidak dapat diambil tindakan segera. Perkara-perkara ini akan dibawa kepada pihak MPKj dan mensyuarat Penyelarasan Daerah, tetapi yang kecil-kecil boleh diambil tindakan segera seperti masalah kebersihan dan lampu jalan. Selepas perbincangan Adun meminta Persatuan Penduduk memberi kerjasama dengan Ketua Kampung yang sedang membuat persiapan untuk kehadiranY.A.B Dato` Menteri Besar akan membuat Lawatan Kerja ke Tapak Sekolah Rendah Agama Sungai Tangkas pada 6 Januari 2013 nanti. Begitu juga Adun meminta kerjasama Persatuan Penduduk dalam usaha untuk mendirikan masjid, Sekolah rendah kebangsaan dan Sekolah menengah di Sungai Tangkas.

Selepas pertemuan Adun melawat kawasan perumahan tropika, mendengar dan melihat tempat-tempat yang menjadi aduan. Adun mendapati setengah persoalan yang ditimbul boleh diselesai oleh persatuan penduduk. Misalnya masalah pembentungan yang boleh dipanggil pihak Indah Water dan monopoli ruang dan sekatan ruang oleh penduduk yang ketua Persatuan penduduk dapat memberi nasihat dan tindakan. Adapun hasrat mau membina bonggol boleh ditulis surat permohonan kepada pihak MPKj, terbaiknya melalui Ahli Majlis setempat Sdr. Adram Musa.

Selepas mendengar permasalahan dan menerima aduan jam 12.30 malam baru Adun dapat pulang dengan banyak masalah tidak mudah untuk diselesaikan – masalah warisan dan berterusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment