April 29, 2009

Politik Malaysia Ke Mana Arahnya ?


Dr Muhammad Nur Manuty
- PKR mahu memperkasakan partinya dengan tasawur Islam
- Perbezaan idealogi dalam Pakatan Rakyat mematangkan perjuangan
- Era Mahathirisme telah mula membayangi pentadbiran kerajaan. Perkara ini diperjelaskan lagi apabila mahkamah dilihat tidak lagi bebas dan polis dipergunakan dengan sewenang-wenangnya.
- Menteri Penerangan yang baru, Datuk Seri Rais Yatim cuba untuk mencorakkan kembali media agar ia mampu membentuk kembali sokongan rakyat kepada Barisan Nasional setelah ia gagal dilakukan oleh Datuk Ahmad Shabery Cheek, Menteri Penerangan sebelum ini.
- Media internet menjadi ancaman kepada kerajaan BN

Prof Madya Ghazali Mayudin
- Politik baru dari kesedaran rakyat yang mahukan perubahan
- Pertukaran PM biasanya meningkatkan kepercayaan rakyat pada pemerintah. Namun ini tidak berlaku semasa perlantikan DS Najib sebagai PM ke-6
- Pilihanraya di Malaysia ‘free but not fair’
- Pakatan Rakyat jangan merasa selesa dengan kelebihan yang mereka miliki sekarang. Rakyat akan bertanya apa yang mereka perolehi setelah satu penggal memerintah. Jawapan terhadap perkara tersebut hendaklah disediakan daripada sekarang.
- Formula MOP menunjangi penguasaan 50 tahun BN. M = Manipulasi, O= Organisasi dan P= Prestasi.

YB Dr Dzulkifley Ahmad
- Firaun menakut-nakutkan rakyat untuk terus berkuasa. Nabi Musa a.s diutuskan dengan maklumat untuk membebaskan rakyat.
- Rakyat ada keberanian bila mereka ada maklumat.
- PRU13 idealogi tidak penting; delivery bagi setiap apa yang dijanjikan menguasai pemilihan rakyat.
- Perjuangan ideologi bagi setiap parti haruslah berada di dalam centrice position agar kesatuan di antara kesemua Pakatan Rakyat dapat diteruskan dan membentuk gelombang perubahan di kalangan rakyat
- Istilah-istilah kesejagatan dan nilai yang terdapat di dalam Al-Quran seperti ’memakmurkan muka bumi’, ’keadilan islam’, good governance dan banyak lagi sebagai ganti terus kepada perkara-perkara hukum yang telah diberikan gambaran tidak baik oleh UMNO.
- Slogan PAS for ALL diterima baik oleh non-Muslim, tidak mustahil satu hari nanti slogan Islam for All turut diterima oleh non-Muslim.
- Gerakan Islam harus bersifat fatanah serta menguasai ilmu Siyasah Syarieyyah.

Soalan-soalan peserta banyak berkait tentang keyakinan terhadap kekukuhan Pakatan Rakyat, pengurusan Pakatan Rakyat, peranan golongan kelas menengah Melayu dan sokongan non-Muslim terhadap PAS.
Moderator, Sdr Fadhlur Rahimi pula merumuskan di hujung forum betapa politik baru sekarang sangat berkait dengan politik nilai serta peranan yang sangat besar yang dimainkan oleh civil society di dalam menentukan parti mana yang bakal memegang tampuk pemerintahan.

SEMINAR WAJAH KEPENGARANGAN MUSLIMAH NUSANTARA 2009

Anjuran : Persatuan Kesusasteraan Bandingan Malaysia (PKBM), Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB)

Dengan Kerjasama : Institut Terjemahan Negara Malaysia (ITNM), Jabatan Warisan Negara, Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan, Masjid Abdul Rahman bin Auf dan esastera.com (31Mac, 1 – 2 April 2009)

Tempat : Di Dewan Bahasa dan Pustaka


Ucapan Dasar:

Bismil-Lahi`r-Rahmani`r-Rahim

Tajuk: Prinsip, Fitrah dan Tarbiyah: Melakar Wajah Muslimah

SULTAN SELANGOR KE AMERIKA JALANI PEMBEDAHAN

Baginda akan menjalani pembedahan injap jantung pada 2 Mei ini di Pusat Perubatan Universiti Stanford, San Francisco. Masjid dan surau di Selangor diminta mengadakan bacaan Yasin dan doa selamat serta menunaikan solat hajat selepas solat Jumaat. Semoga Allah memberikan kesejahteraan yang berkekalan kepada baginda dari kami di DUN Bangi.

Analisis Politik Semasa

Politik Malaysia Ke Mana Arahnya ?

(Ucapan Dasar yang disampaikan dalam Forum di atas di PKNS pada 26 April 2009)

Pendahuluan

Membicara ke mana arahnya politik Malaysia memerlukan penelitian terhadap situasi politik semasa. Penelitian seharusnya melibatkan corak dan kecenderungan parti-parti politik semasa, pimpinan dan pihak-pihak berkaitan dengan politik, baik dari kalangan pemerintah atau lawannya. Darinya dapat ditelah ke mana arahnya. Situasi politik sekarang dapat dikatakan adalah `Hangat dan Mencabar`.


Kursus Remaja SPIES Negeri Selangor 2009

Kursus Remaja SPIES Negeri Selangor 2009

Tarikh : 9-10 Mei 2009 (Sabtu & Ahad)

Tempat : Nur Bukit Unggul Eco Resort, Dengkil Sepang

Sasaran : Remaja DUN Bangi dan Dun Kajang

HARI PERTAMA

8.00 am : Ketibaan peserta & pendaftaran

8.45 am : Perasmian oleh Exco / Pemantau & Sarapan Pagi

9.00 am : LDK 1 : Mass (Pemecah Bendung / Ice Breaking )

10.30 am : Minum Pagi / Terapi Dhuha

11.00 am : Langkah Interaktif 1 : 'Meraih Potensi Diri'

1.00 pm : Rehat / Makan Tengahari / Solat Zohor

2.00 pm : LDK 2

4.30 pm : Minum Petang / Solat Asar

5.00 pm : Cerdas Minda & Fizikal

6.00 pm : Makan Malam & Persiapan Diri

7.00 pm : Solat Maghrib / bacaan Yasin / Solat Isyak

9.00 pm : Langkah Interaktif 2 : 'Meraih Potensi Diri 2'

11.00 pm : Minum malam & Terapi Pengurusan Qalbu Remaja SPIES

12.00 pm : Rehat Diri dan Mental

HARI KEDUA

5.00 am : Terapi Diri Sepertiga Malam (Qiamullail)

7.00 am : Cergas Minda & Fizikal

8.00 am : Sarapan Pagi / Persiapan Diri

8.30 am : LDK 3 : 'Remaja & Pengurusan Masa'

11.00 am : Minum pagi & Terapi Dhuha

11.15 am : Langkah Interaktif 3 : 'Membangun Visi Kehidupan PSE Remaja SPIES'

12.45 pm : Makan tengahari, rehat & Solat Zohor

2.00 pm : Kongsi pengalaman anda !

Edaran borang PASCA dan penilaian program

4.00 pm : Majlis Perasmian Penutup & penyampaian sijil

Minum Petang dan bersurai

SYARAT-SYARAT

* Remaja berumur 13-17 tahun

* Berpakaian menutup aurat (bagi yang beragama Islam)

Berpakaian kemas dan sopan (bagi yang bukan Islam)

* Keperluan khusus seperti pakaian sepanjang program, pakaian sukan & solat, alatan kemasan diri.

* Untuk maklumat lanjut hubungi ;

Sakinah 03-8925 0891

* Peserta diminta berkumpul di Pejabat DUN Bangi sebelum jam 7.30 am, 9 Mei (Sabtu)

April 28, 2009

JANGAN BAZIR MASA MELAYAN KARENAH UMNO




FORUM KHAS PEMIKIRAN BANGI
Tajuk: Analisa Politik Semasa : Politik Malaysia Ke Mana Arahnya.
Bertempat di Dewan Seri Cempaka, Kompleks PKNS Bangi. Forum ini dianjurkan bersama oleh Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Jaringan Siswazah Malaysia (JASA) dan Mini Kabinet ADUN Bangi. Ahli panel yang hadir ialah Dr. Muhd Nur Manuty (Felo Kanan Akademik KUIS), Prof. Madya Dr. Ghazali Mahyuddin (Jabatan Pengajian Sejarah, Politik dan Starategi, UKM) dan YB Dr. Zulkefly Ahmad (Ahli Parlimen Kuala Selangor dari PAS. Wakil dari UMNO yang diundang tidak dapat menghadirkan diri.
ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar sewaktu merasmikan forum tersebut menyatakan bahawa,” Kita menghabiskan masa merungkai permaalahan yang ditimbulkan oleh UMNO sehingga penjelasan kepada konsep kerajaan berkebajikan semakin kurang dititik beratkan. Kerajaan Pakatan Rakyat perlu menonjolkan kemampuan sebenar memenangi hati rakyat dengan melakukan pentadbiran secara ‘good governence’. Satu dasar harus dibentuk secara bersama dan bersepadu oleh pucuk pimpinan Pakatan Rakyat bagi kesepakatan dalam pentadbiran kerajaan di negeri-negeri bawah pemerintahan Pakatan Rakyat.”

Mengulas mengenai sokongan non-muslim kepada PAS beliau turut menambah,”Kita amat-amat menghargai sokongan dan pengharapan kaum Cina dan India yang dulunya prejudis terhadap perjuangan PAS. Dalam waktu yang sama kita harus memberikan penerangan menentang provokasi media perdana yang mendustakan PAS meminggirkan orang Melayu. Kita menghadapi sedikit masalah dikawasan kampung dimana masyarakatnya kurang celik politik berbanding kawasan bandar yang berpemikiran lebih terbuka. Gerak kerja yang kita lakukan menampakkan perubahan yang positif.”

April 27, 2009

PRK DI PENANTI ‘ADA MASUK’


Hari penamaan calon = 23 Mei 2009 (Sabtu)

Hari pengundian = 30 Mei 2009 (Ahad)

Langkah-langkah menjimatkan perbelanjaan PRK

  1. Jangan gunakan jentera kerajaan seperti KEMAS dan kementerian lain untuk membantu kempen.
  2. Tidak perlu kem sementara polis
  3. Pengumuman projek ‘mee segera’ diharamkan.
  4. Tidak perlu hantar pengundi hantu
  5. Tidak perlu menyogok pengundi dengan wang tunai dan basikal
  6. Akhir sekali dan yang paling berkesan UMNO tak perlu bertanding dan berkempen

Ini akan menjadikan PRK Penanti sebagai PRK yang paling murah dalam sejarah. DS Najib harus membuktikan pada rakyat bahawa PRK Penanti tidak perlu diadakan kerana membazirkan duit rakyat. Adakah beliau sebenarnya prihatin?

Yang meloyakan ialah ahli UMNO di Penanti tetap inginkan PRK kerana ‘ada masuk’ dan menjadikan mereka ini 'super-prihatin'

SUKAN BOLASEPAK DAN BOLAJARING PASTI SERDANG 2009






Sebanyak 16 buah PASTI di kawasan Serdang telah mengambil bahagian dalam kejohanan tahunan ini. Kejohanan berlangsung di padang bersebelahan Taman Rekreasi Tasik Cempaka, Bandar Baru Bangi. Apa yang menarik ialah komitmen ibu bapa terhadap kejohanan ini. Mereka telah menjadi jurulatih tidak rasmi dan memberi sokongan padu kepada pemain terutama pada perlawanan bolajaring.

Mutu perlawanan bolasepak semakin meningkat . Semua pasukan dilihat telah membuat persiapan latihan sebelum kejohanan. Dalam keghairahan pemain mengawal bola tidak ada insiden menjaring gol digawang sendiri berbanding kejohanan sebelum ini. Walau bagaimana pun masih kedapatan pemain merebut bola dengan rakan sepasukan sendiri. Semua ini adalah corak bermain semulajadi dan menjadi satu bentuk hiburan kepada ibu bapa. Melupakan sebentar beban kerja mereka dan menumpukan perhatian memerhatikan karenah anak-anak mereka.

PASTI Ar- Raudah dari Seksyen 5 berjaya menjadi johan bagi perlawanan bolsepak dan bagi perlawanan bolajaring pula dimenangi oleh PASTI Al-Ehsan .Kejohanan dirasmikan oleh Ketua Pemuda PAS Serdang,Sdr. Adram Musa

SUMBANGAN KOMPUTER KEPADA SAR PEKAN BANGI


“Pendidikan Islam terutama fardhu ain yang diterap kepada pelajar diawal kehidupan adalah benteng yang memagari masa depan yang lebih mencabar. Ibu bapa harus memainkan peranan lebih pro-aktif bekerja sama dengan guru dan pelajar membimbing mereka terutama dalam kita berdepan dengan masalah keruntohan sosial.” Demikian ditegaskan oleh YB ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar sewaktu merasmikan Mesyuarat Agung SAR Pekan Bangi. Pada majlis yang sama beliau turut menyumbangkan seunit komputer kepada sekolah tersebut.

SALAT

( Subuh di Masjid Nabawi )

Di tengah saff jamaah
tenggelam diri dalam salat
pujian dan penyerahan
khusyuk dan mesra
menggetar jiwa
merdu suara imam itu
menyentuh rasa
kudusnya menghiriskan
hangat kelopak berguguran
lazatnya mendengar tilawah
biar berlamaan

Tuhan
inikah kurnia
manisnya ibadat
bagaimana pula
bila denganMu berdekat

Tuhan
limpahkan madu mesra itu
ke dalam piala hati
biar kumenghirupnya seumurku
tanpa berbelah bahagi




Shafie bin Abu Bakar
MADINAH
08.11.1414
19.04.1994

April 26, 2009

KITA JUARA KITA JUGA NAIB JUARA


Penantian sejak 2005 Selangor sekali lagi berada didepan dengan menjuarai Piala FA melalui tendagan penalti. Tamat masa permainan kedua pasukan seri dengan jaringan 1-1. Gol Selangor dijaringkan oleh Mohd Amri Yahyah (minit ke-101) dan gol Kelantan oleh Mohd Nor Farhan Muhammad (minit ke-93).

Di atas kertas ramai meramalkan Kelantan mempunyai harapan lebih cerah terutama dengan harapan mencipta sejarah kemenangan pertama dan dengan kehadiran Indera Putera serta Khalid Jamlus yang begitu serasi. Nasib tidak menyebelahi mereka bermula dengan kegagalan Indera Putera menjaringkan penalti.

Berita gembira buat semua pemain dan pegawai Selangor. Mereka bakal menerima RM 15,000.00 setiap seorang sebagaimana dijanjikan oleh Dato' MB Selangor, Tan Sri Khalid Ibrahim dalam satu sidang media semalam.

Apa pun keputusan permainan kita sebenarnya adalah juara dan naib juara pertandingan, kerana kedua pasukan tersebut datangnya dari negeri Pakatan Rakyat.

April 24, 2009

BERKAT SABAR

PRU 2004 kita dilarang memasang bendera dan poster dikawasan ini kerana ketua kampong /UMNO kata tiada orang PAS di sini.

PRU 2008 karat UMNO dah kurang sikit. Setelah berbincang mereka benarkan kita gantung bendera dan poster di sini.

Kini Alhamdulillah kita berjaya menubuhkan cawangan PAS di sini. Petugas PRU 2004 dan 2008 tentunya menarik nafas lega dan penuh kesyukuran. Tahniah kepada mereka yang sabar.

SELANGOR Vs. KELATAN



Tiket berharga RM 15,

Stadium Bukit Jalil,

25hb April 2009....


Hubungi En. Ahmad Mazizi Basir (019-245 4030) @ email: ahmadmazizibasir@rocketmail.com

GHUPENYE INI DIA ONE MALAYSIA


Semasa PRK P059 Bukit Gantang tempoh hari isu ketuanan Melayu diniagakan. Malang sekali isu ini berjaya memperdayakan segelintir pengundi terutama mereka yang masih lagi terjajah akal fikiran mereka. Naiknya DS Najib ketahta sebagai PM6 memperlihatkan perjuangan ketuanan Melayu hanyalah untuk ‘survival’ politik UMNO sahaja. MECD yang dulu dianggap benteng Melayu telah dilenyapkan. Kini kuota 30 peratus Melayu diperkhidmatan awam juga dileburkan.

Maka pengundi UMNO di Bukit Gantang tempoh hari yang tersilau dengan kilauan kaca mungkin baru menyedari.

“Ghupenye ini dia One Malaysia.”
Kepada mereka yang tersilau, kembalilah kepada ketuanan Islam dan ketuanan rakyat

April 22, 2009

FORUM KHAS PEMIKIRAN BANGI

Masjid Salahudin, Shah Alam

(Hari Perasmian Masjid Negeri)

Ialah penyeri ibu negeri
Mercu tanda kudus
Memancarkan syiar umat
Di tanah berkat
Dengan ilmu dan ibadat

Menyempurnakan luhurnya seni bina
Terhimpun di sini
Pinjaman segala keindahan
Tegak bukit digulung ke tepian
Dan di tapaknya
Terhampar ruang meninggi terbentang
Di tepian dipinjamkan unsur
Sungai tasik dan kolam
Berhembus dingin menyegarkan
Lalu indahnya berseri
Ditatang taman menghiasi
Segalanya mengkagumkan
Tiap satu sempurna menyempurnakan
Empat menara tertingginya
Menjolok kepingan biru langit
Tertampal di kubah indah
Terbesar megah
Bintang-bintang darinya
Dibawa ke dalam bergantungan
Tiang-tiang tegak kelilingan
Telapak tangan mendoakan
Dindingan dihiasi geometrik ragam seni
Berserikan ayat-ayat suci
Dan ruang bertingkatan
Adalah keredaan yang sentiasa menunggu
Hamba menumpahkan kesetiaan

Lalu dari sini
Tiap bergemanya tilawah al-Quran
Dan berulangnya azan
Terdambalah rindu hamba
Sujud setia pada Tuhan
Dalam damai kelilingan


Shafie Abu BAkar
Shah Alam
22 Rejab 1408
11 Mac 1988

April 21, 2009

VAN UMNO SELUDUP DADAH


2 orang AJK Pemuda UMNO dan 2 orang ahli biasa ditangkap oleh Polis Thailand di Betong kerana mengedar dadah Estacy. Sumber berita dari Ibnu Hasyim.

Kempen Belia Benci Dadah yang mengeluarkan perbelanjaan jutaan ringgit menjadi persoalan keberkesanannya. Apa yang dikesalkan ialah majoriti mereka yang terlibat ialah dari kaum Melayu. Mungkin kes ini adalah kes terpencil namun penggunaan van UMNO bagi mengaburi pihak berkuasa adalah keterlaluan.

Disarankan kepada polis kalau jumpa apa-apa sahaja yang berlogo 'keris bersilang' sila siasat.

April 20, 2009

PING PONG AMATUR MELAYU


Tarikh kejohahanan dua hari tersebut terpaksa ditutup awal kerana menerima sambutan yang diluar dugaan. Peserta datang dari Cheras, Putrajaya, Sepang dan Serdang. Seramai 100 orang perserta bertandingan untuk acara perseorangan dan 48 buah pasukan untuk acara beregu

Acara Beregu:
Johan : Kumpulan ATMA (UKM)
- Faizal Sabli & Mohd Suhaimi Umar
Naib Johan : Kumpulan PJH-2 (Putrajaya)
- Norhisyam Razali & Azroul Shahrin

Acara Perseorangan:
Johan : Mohd Faizal
Naib Johan : Mohd Rashid Abd Chik

Hadiah disampaikan oleh YB Dr. Shafie Abu Bakar yang bergegas kembali selesai menghadiri Mesyuarat Agung PAS Serdang.
(Tkasih mazlanabdulmalik utk foto)

JALAN BAWAH TEROWONG KE KAJANG UTAMA DIBAIKI



Jalan pintas ke Kajang Utama melalui bawah terowong KTM yang rosak teruk mula dibaiki dan dijangka siap dalam tempoh terdekat. Demikian dijelaskan oleh Ustd Shafie Ngah, Ahli Majlis MPKj selepas bermesyuarat dengan jawatankuasa penduduk Kajang Utama. Beliau menerangkan jalan yang dibaiki hanya akan membenarkan kenderan kecil untuk masuk sahaja melalui Jalan Reko kerana jalan tersebut begitu sempit untuk laluan dua hala. Bagaimana pun kenderaan motor bebas digunakan untuk kedua hala. Jalan pintas tersebut memudahkan penduduk Kajang Utama tanpa perlu membuat pusingan-U melalui Lebuhraya SILK. Aduan juga diterima berkenaan kegagalan kontraktor menurap jalan dengan sempurna sehingga menyebabkan kesulitan kepada penduduk di Seri Mewah.

AL-HIDAYAH: RUMAH ANAK YATIM, IBU TUNGGAL DAN FAKIR MISKIN



Majlis Pelancaran Penubuhan Al-Hidayah : Rumah untuk anak yatim, ibu tunggal dan fakir miskin sempena lawatan ke tapak Masjid Jamek Pekan Sungai Buloh

PAS SERDANG KEKALKAN PRESIDEN DAN TIMBALAN PAS PUSAT


Bandar Seri Putra-19 Mac 2009.
Dr. Shafie Abu Bakar kekal sebagai Yang Dipertua PAS Serdang. Beliau yang juga ADUN Bangi bersama timbalannya Mohd Shafie Ngah menang tanpa bertanding dalam mesyuarat agung PAS Serdang kali ke-25. Mesyuarat dirasmikan oleh YB Dato' Paduka Husam Musa. Mesyuarat juga bersetuju melalui satu pengundian untuk mengekalkan Presiden dan Timbalan Presiden. Sementara 3 orang Naib Presiden dicadangkan untuk peringkat pusat terdiri dari YB. Dato' Paduka Husam Musa, YB Salahuddin Ayub dan Hj. Mohd Sabu.

April 16, 2009

ONE MALAYSIA = PAS FOR ALL


“Konsep ‘one malaysia’ adalah satu ‘rebranding’ konsep lama yang sudah wujud dalam falsafah perpaduan di negara ini”.

Demikian dijelaskan oleh Pengerusi Institut Modeniti dan Tamadun Melayu (Cesmacs), Dr Muhammad Nur Manuty dalam wawancara oleh Harakahadaily.

Tenyata DS Najib mengakui bahawa perjuangan berasaskan fahaman perkauman yang sempit tidak lagi relevan masa kini. Beliau barangkali mula bersetuju dengan perjuangan PAS yang membawa suara “PAS For All “.Penerimaan kaum Cina dan India terhadap perjuangan PAS mencetuskan idea “One Malaysia”.

April 13, 2009

Kabinet Baru Najib: Satu Komentar

Pendahuluan

Perdana Menteri Malaysia yang baru - Datuk Seri Najib Tun Razak telah dilantik (3 April 2009), pasukan kabinet juga dilantik berikutnya pada 9 April dengan 28 menteri penuh dan 40 timbalan menteri. Inilah kabinet pada jangkaan Najib, terdiri daripada pahlawan dan srikandi yang diharap mampu bertempur di medan politik serta dapat menawan kembali wilayah-wilayah yang kalah, walau dengan apa cara sekalipun, termasuk secara rampasan sebagaimana dilakukan Najib sendiri sebagai panglima di Perak Darul Ridhwan. Tetapi mampukah mereka menghadapi gelombang tentera rakyat yang sebahagian besar tidak lagi memihak kepadanya dan terus mara menawan kubu satu demi satu – dari Pangkalan Pauh ke Kuala Terengganu dan baru-baru ini menawan dua bukit iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Sedang dalam masa yang sama negara menghadapi kegawatan ekonomi diakibatkan oleh kegawatan global yang menuntut penyelesaian secara bijaksana dan negara juga menghadapi krisis moral, rasuah dan krisis keyakinan yang parah yang penyelesaiannya tidak begitu mudah. Apakah pemilihan dibuat begitu hebat hingga menimbulkan kejutan, menyerlahkan kebijaksanaan dan keterampilan kepada lawan ? Jawapannya setakat ini adalah tidak, sebaliknya muncul pertanyaan-pertanyaan dan argument-argument.

Isu Khairy

Tidak terlantiknya Khairy Jamaluddin ke dalam pasukan kabinet Najib menimbulkan pertanyaan. Sebagai seorang yang dipilih dan diberi mandat menjawat Ketua Pemuda UMNO, tidakkah janggal dan menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pemuda ? Semasa Hishamuddin menjadi ketua beliau diberi tugas penting sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Kini Khairy tidak diberi tugas apa-apa di dalam kerajaan, Sedangkan lawannya yang kalah, iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Ketua Puteri UMNO yang menang, iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Mengapa Khairy tidak diberi tugas dalam kabinet. Ada apa permainan di belakang ? Adakah kerana Mukhriz anak Mahathir dilantik ? Lebih dari itu apakah atas permintaan Mahathir yang kembali kepada UMNO selepas kenaikan Najib menjadi Perdana Menteri ? Sah nampaknya Mahathir berperanan sebagai mentor dan mempengaruhi perlantikan secara `remote control`. Peranannya bukan setakat membuka ruang terhadap anaknya, bahkan lebih luas dari itu. Dari sudut yang lain ternafinya Khairy dari sebarang perlantikan yang merupakan menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji tidak akan campurtangan di dalam pemerintahan Najib dapat dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan pengaruh Abdullah dari pasukan kabinet Najib di bawah pengaruh Mahathir. Khairy yang disabitkan dengan politik wang, tapi masih dimaafkan dan masih dibolehkan bertanding, boleh dijadikan alasan tidak dilantik di dalam kabinet. Ini diharap dapat menutup tuduhan liar mengkesampingkan Khairy dari lantikan. Tetapi mengkesampingkan Khairy bererti merendahkan maruah dan wibawa pemuda. Isu ini secara api di dalam sekam bakal mencetus rasa tidak puashati dari Khairy dan pengikut-pengikutnya yang boleh memecahbelahkan pemuda dan melemahkan UMNO itu sendiri.

Hal Ehwal Agama

Perlantikan Mejer Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ke Jabatan Perdana Menteri sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam menimbulkan pertanyaan. Beliau tidak dikenali di dalam politik, tetapi lebih dikenali sebagai pendakwah dan penceramah yang petah. Kita tidak mengetahui prestasi beliau di dalam bidang pentadbiran. Mungkin beliau dikesan Najib semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan. Seorang yang petah bercakap tidak semestinya berkemampuan mentadbir secara cekap. Apakah pentadbiran agama mau ditadbir secara ala tentera ? Sebenarnya mereka yang berkemampuan di dalam bidang agama Islam adalah ramai dan boleh saja dipilih. Dari kalangan ahli akademik dari beberapa universiti di negara ini. Masalahnya seorang ahli akademik tulen di dalam bidang Islam yang benar-benar memahami Islam dan berjuang menegakkan Islam tidak rela menggadai prinsip semata-mata kerana kedudukan dalam politik. Dalam kata lain ramai mereka yang berkelayakan, tetapi menjadi sukar, kerana yang berkelayakan tidak rela menjadi sebagai burung kakak tua yang disuruh contoh mematuhi satu pandangan seperti Islam Hadhari, melarang orang Islam berjinak-jinak dengan Islam seperti yang berlaku kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Perak YB Nga Kor Ming. Apa lagi jika berperanan semata-mata melengkapkan upacara dan membaca doa.

Harapan Dari Pertukaran

Satu yang sedikit melegakan dari perlantikan ialah apabila kita mendapati Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn tidak lagi dikekalkan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia, sebaliknya jawatan ini diamanahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri. Menyebut Hishamuddin mengingatkan kita kepada pertualangan Pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris. Tidak ada menteri yang sekeras pendirian dan sukar menerima cadangan berhubung dengan polisi Bahasa Inggeris bagi matapelajaran-matapelajaran disebutkan, biarpun berbagai kongres, seminar dan forum diadakan dengan bertalu-talu resolusi dihantar mendesak supaya dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu. Desakan juga datang dari berbagai NGO, persatuan-persatuan penulis, persatuan-persatuan ibu bapa di sekolah-sekolah kebangsaan, Cina dan India, ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan mendesak dikembalikan pengajaran di dalam bahasa ibunda. Biarpun prestasi pencapaian pelajar di dalam matapelajaran berkenaan merosot dan terpaksa diturunkan peratusan markah Hishamuddin tetap berkeras tidak mahu merubah dasar. Hingga akhir tempoh beliau menjadi Menteri Pelajaran pendiriannya tidak berubah. Janji beliau untuk membentangkan laporan mengkaji balik pengajian Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak ditunaikan hingga ke akhir tempoh beliau di Kementerian Pelajaran. Demikianlah keras pendiriannya. Ada siapakah di belakangnya yang berkubu mempertahankan ? Kini kubu itu terpaksa ditinggalkan !

Kita benar-benar mengharapkan, dengan pengambilan alih Kementerian Pelajaran oleh Tan Sri Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri beliau dapat menyelesaikan masalah pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Iaitu dengan mengembalikan martabat dan maruah Bahasa Melayu yang berkemampuan menjadi bahasa ilmu di dalam berbagai-bagai bidang. Di dalam masa yang sama memperbaiki pendekatan pengajaran Bahasa Inggeris sehingga pelajar dapat menguasai bahasa tersebut sebagai bahasa kedua.

Andainya isu ini tidak juga diselesaikan ia akan terus menggugat kewibaan pemerintah. Lebih dari itu kita mengharapkan di bawah kepimpinan Muhyiddin dasar pendidikan negara dapat dimantapkan, kualiti pendidikan negara ini makin meningkat dan negara menjadi hub pelajaran bukan saja bagi pelajar di negara ini, tetapi juga bagi pelajar-pelajar dari luar negara.

Antara Kewajaran Dan Tidak

Perlantikan walaupun merupakan hak istimewa Perdana Menteri. Ada yang tidak menang di dalam pemilihan mesyuarat agung UMNO dilantik. Contohnya Datuk Sei Dr Rais Yatim, walaupun kalah di dalam pertandingan bagi menduduki kerusi Naib Presiden, beliau dikatakan seorang yang berkempen secara jujur dan tidak melibatkan diri dengan politik wang, apa juga kementerian yang diserahkan kepadanya dikendalikan secara profesional dan dedikasi contohnya Kementerian Luar dan Kementerian Kebudayaan dan Warisan. Dengan kemampuan intelektual dan kelulusan yang ada padanya beliau terus dilantik – kini di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. Walau pun ini dapat diterima, tetapi yang tidak diterima rakyat dan ditolak di dalam pilihanraya turut dilantik menjawat jawatan. Contoh Tan Sri Koh Tsu Khoon dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Awang Adek dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mereka dilantik atas kedudukan mereka dalam pimpinan parti, kecuali Awang Adek dan bukan atas kecemerlangan kerja. Barang kali tidak banyak pembaharuan dan kemajuan yang dapat diberi. Mungkin harapan tinggi ialah dari tenaga-tenaga baru yang baru dilantik, tetapi belum diketahui prestasi mereka. Pendek kata kabinet yang baru dilantik, kabinet yang dipersoalkan, dilemahkan oleh mereka yang ditolak rakyat, campurtangan tokoh yang tidak disenangi rakyat, masih dibayangi parti yang berimej rasuah dan masalah moral, pencetus krisis politik setempat yang tak terselesai, masih tercari-cari slogan selain `Malaysia Satu’ yang tidaklah sangat menarik, seterusnya masih tidak dapat menampilkan kesegaran dan kekuatan baru yang jitu.

Menuntut Kewaspadaan

Walaupun pimpinan Perdana Menteri yang baru dan kabinet yang dilantik tidaklah sehebat diharapkan, pihak Pakatan Rakyat perlu berwaspada. Mereka berazam bangkit dalam tempoh yang mereka katakan dua tahun. Dengan kekuatan dan kelemahan mereka pasti berusaha membawa perubahan memperbaiki dalaman mereka dan memikat sokongan rakyat. PR tidak boleh dilalaikan oleh sokongan rakyat terutama dari kalangan orang Cina dan India. Pendekatan dalaman perlu diperbaiki. Belum ada formula politik dirumuskan yang diterima semua parti sebagai asas perjuangan. Rasa tidak puashati dalaman perlu dihindarkan dan jangan ada usaha mendominasi antara satu sama lain. Bagi PAS di samping berusaha menambahkan sokongan dari kaum bukan Melayu, mereka tidak mampu untuk menerima kekurangan sokongan dari orang Melayu (Islam), kerana inilah asas kekuatan. Kedua-dua pihak perlu menjana pemikiran, memperbaiki pendekatan dan perkhidmatan bagi menawan hati dan sokongan rakyat.
Sekian. Terima kasih.

Dr. Shafie Abu Bakar,
17 Rabiul Akhir 1430
13 April 2009.

SG RAMAL DALAM DIBERSIHKAN






Diantara 3 siri program “BERSIH’ yang diadakan ternyata program di Sg. Ramal mendapat sambutan yang paling hangat. Lebih dari 500 orang penduduk dari Kg. Sg. Ramal Dalam, Kg. Sg. Ramal Luar, Taman Ramal Dalam dan Desa Surada telah bersama bergotong royong membersihkan kawasan. Pertandingan mewarna yang diadakan pula terpaksa dipecahkan kepada 3 kategori kerana penyertaan terlalu ramai iaitu lebih dari 200 penyertaan.

Di kaunter pemeriksaan kesihatan orang ramai terpaksa beratur panjang untuk mendapatkan perkhidmatan. 3 orang sukarelawan doktor yang memberi khidmat nasihat turut menjadi tumpuan. Agensi Dadah Kebangsaan (ADK) dan Jabatan Kesihatan (Unit Vektor) telah memberikan kerjasama membuat pameran. Respon dari penduduk cukup baik. Ternyata kawasan yang terkenal sebagai ’kubu UMNO’ kini mula berubah. Semoga program mesra rakyat seumpama ini mampu mengubah pandangan rakyat untuk terus menyokong Pakatan Rakyat.

DIALOG ANTARA PEMIMPIN DAN RAKYAT




Sempena program mesra rakyat yang diadakan di Sg. Ramal Dalam satu majlis dialog turut diadakan. Majlis ini dihadiri oleh JKKK Kg. Sg. Ramal Dalam, JKKK Kg. Sg. Ramal Luar, Nazir serta AJK Masjid Al-Falah dan AJK surau dari taman perumahan berdekatan. Antara persoalan yang dikemukan ialah masalah keselamatan melibatkan pendatang tanpa izin, cukai pintu MPKj, banjir, longkang, pendidikan dan status tanah.

Majlis ini turut dihadiri oleh dua orang ahli majlis MPKj iaitu En. Yusof Bachek dan Ust. Shafie ngah. Selepas majlis tersebut ADUN Bangi, Dr. Shafie Abu Bakar berpeluang menziarahi penduduk yang uzur termasuk seorang bekas imam masjid

TERAJU BARU PEMUDA PAS SERDANG



Bermula Mac 2009, Sdr. Mohd Adram Musa mengambil alih kepimpinan Pemuda PAS Serdang selepas penyandang sebelum ini Sdr. Mazwan Johar tidak bertanding kerana melebihi umur yang ditetapkan. Sdr. Adram Musa yang juga merupakan Exco Pemuda PAS Selangor adalah lepasan UKM berasal dari Terengganu. Seorang usahawan yang disegani dan terlibat dengan pelbagai perniagaan.

Mesyuarat Agung Pemuda PAS Serdang kali ke 22 dirasmikan oleh Dr. Ahmad Shamsuri Mokhtar, Setiausaha Politik Presiden PAS. Sepekara yang menarik ialah beliau merupakan rakan seperjuangan Sdr. Adram Musa semasa menuntut di UKM dulu.Mesyuarat yang diadakan di Dewan Cempaka, Kompleks PKNS Bangi turut menjemput wakil sayap pemuda dari PKR iaitu Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan DAPSY dari DAP

April 12, 2009

MERCEDES LAMA PLAT JOHOR NO 9999 SABOTAJ FORUM

Terkini dari Sg. Ramal Dalam. Ada pihak cuba mengagalkan program forum perdana di Sg. Ramal Dalam. Dua buah kenderaan, sebuah pajero dan sebuah mercedes lama didaftar di Johor no. 9999 dilihat menurunkan backdrop Forum Perdana dan melarikan diri. Forum tersebut bagaimana pun berjalan seperti yang dirancang cuma tanpa backdrop. Kejadian cuba mensabotaj program forum perdana ini amat dikesali. Ada pihak tertentu yang merasakan mereka tergugat bila kehadiran pengunjung pada Program Mesra Rakyat pagi tadi amat memberansangkan. Satu laporan polis akan dibuat.

2 OKU PELAJAR CEMERLANG





2 pelajar OKU dari SMK Jalan Reko dan SMK Jalan Bukit adalah antara 100 orang pelajar cemerlang yang dipilih untuk menerima anugerah kecemerlangan.

MENU YB DI HUJUNG MINGGU





Hujung minggu merupakan hari yang pendek untuk Dr. Shafie, ADUN Bangi.


8.30 pagi – Merasmikan Mesyuarat PIBG Sek. Ar-Rahmaniah, Sg. Ramal

9.30 pagi - Melawat Pak Saad di Sg. Ramal uzur selepas accident

10.00 pagi – Merasmikan Kejohanan Badminton Anjuran Kelab Remaja Al-Islah

11.00 pagi – Menziarahi satu keluarga di West Country yang kematian ibu

11.30 pagi – Kembali ke pejabat membuat persiapan untuk mesyuarat di Shah Alam

12.30 tgh – Melawat pesakit leukemia dari Tmn. Melor di Hospital Serdang

3.00 ptg – Menyampaikan anugerah kecemerlangan pelajar SPM/STP dan STAM

4.00 ptg – Mesyuarat di Shah Alam


Nafas kami di Portfolio Media terasa pendek bila mengikut program YB dan sesekali ada juga hajat nak tanya YB , tak penat ke?


Besok hari Ahad lebih kurang sama ’menu’ nya dan hujung minggu seterusnya...

April 9, 2009

Keputusan Pilihanraya Menggugat Kepimpinan BN, Menuntut Pembersihan

Kesimpulan yang dapat dibuat dari keputusan pilihanraya tiga serangkai, biarpun BN dapat mempertahankan kerusi DUN di Batang Ai di Sarawak (BN - Malcom 3,907) Berbanding dengan Keadilan (Jawah, 2,053), tetapi dengan kekalahan BN (Ismail 19,071) dan pertambahan undi PAS di kerusi Parlimen Bukit Gantang (Nizar 21,860), Perak dan kerusi DUN di Bukit Selambau. Kedah BN (Ganesan 10, 229) dan Keadilan (Manikumar 12,632) juga dengan pertambahan undi berbanding dengan pilihanraya sebelumnya (Mac 2008) membuka ruang kepada interpretasi, jangkaan dan kemungkinan.

Pertunjuk yang paling utama ialah mengisyaratkan kepimpinan Najib yang baru dilantik menjadi Perdana Menteri sejak 3 April 2009 itu tidak diterima baik oleh rakyat bahkan dipertikaikan. Najib yang cuba menanam budi diawal perlantikannya dengan melepaskan 13 tahanan ISA, janji mengkaji semula Akta Keselamatan Dalam Negeri dan menarik balik larangan Harakah dan Suara Keadilan tidak berjaya menimbulkan kejutan dan tidak dianggap significant. Melepaskan tahanan sempena permulaan menjadi Perdana Menteri dianggap sebagai perkara biasa, tentunya diucapkan terima kasih, sempena permulaan pemerintahan yang biasa dilakukan oleh pemimpin-pemimpin lain, manakala janji untuk mengkaji ISA, mungkin tidak banyak perubahan akan dilakukan, lantaran ISA dijangka tidak akan dihapuskan, bahkan diteruskan, kerana ianya merupakan senjata yang ampuh yang pada peringkat akhir dipergunakan bagi menyekat sebarang tentangan terhadap pemerintah. Manakala tindakan menarik balik larangan penerbitan terhadap Harakah berkuatkuasa serrta merta dianggap suatu gimik polotik, bahkan melucukan, larangan yang baru dilaksanakan seminggu dari tiga bulan larangan yang pada asalnya bagi kepentingan politik Menteri Dalam Negeri dikira sebagai kurniaan sempena perlantikan Perdana Menteri. Tindakan melarang penerbitan ini menjadikan rakyat lebih simpati terhadap PAS dan Keadilan dan menambahkan undi simpati kepada Pakatan Rakyat bagi pilihanraya kecil terutama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Rakyat Mahu Pembersihan

Rakyat lebih berminat dan mengharap tuntutan `membersih diri` seorang Perdana Menteri dari sebarang tanggapan salah. Ini lebih penting bagi wibawa seorang Perdana Menteri yang bukan saja berdepan dengan rakyat, tetapi dunia global. Seorang Perdana Menteri naik dan dilantik atas kapasitinya mengetuai sebuah kabinet pemerintahan! Bukan atas diri perseorangan. Sudah bukan rahsia lagi gejala rasuah berlaku di kalangan tokoh-tokoh politik dan pengikut UMNO-BN. Pihak Jawatankuasa Disiplin Parti telah menjatuhkan hukuman terhadap mereka yang terlibat. Antara mereka kehilangan peluang kedudukan pada peringkat tinggi di dalam parti. Rakyat bukanlah mereka yang bodoh dan tidak boleh diperbodohkan. Mereka melihat ada double standard dari segi rasuah. Nampaknya rasuah di dalam parti, `tidak dianggap rasuah' di luar parti. Mereka dihukum dalam parti, tetapi tidak dianggap sebagai kesalahan awam yang patut diambil tindakan sama ada di dalam parti atau di luar parti. Pada hal rasuah tetap rasuah sama ada di dalam atau di luar parti. Ada pula yang disifatkan sebagai separuh rasuah dan separuh tidak rasuah dan dianggap sebagai tidak rasuah dan dimaafkan. Dari segi amalan seorang Menteri dilucutkan jawatan kerana rasuah politik, tetapi pada lain kali yang terlibat dengan rasuah politik dikekalkan menjadi Ketua Menteri. Begitu tidak konsisten dengan perundangan. Dalam hal ini rakyat memandang rasuah menyelubungi UMNO-BN dan watak-watak di dalamnya hingga membawa kepada tokoh-tokoh di dalam kabinet. Walaupun pada hakikatnya tidak semua sedemikian. Di dalam kempen pilihanraya di Bukit Gantang isu ini digunakan, bahkan isu dianggap larangan turut digunakan. Dalam kempen pilihanraya pihak UMNO-BN terdiam dari memberi respond dan jawapan !
Rakyat melihat persoalan besar seperti rasuah ini perlu dibersihkan dan ditunjukkan bersih kepada rakyat, agar mereka yakin dengan pemerintahan. Isu ini antara perkara yang tidak dapat diberi jawapan dan tidak meyakinkan rakyat menyebabkan mereka menolak BN di Bukit Gantang dan Bukit Selambau.

Rampasan Kuasa

Kemenangan Pakatan Rakyat di Bukit Gantang dan Bukit Selambau dengan majoriti bertambah, ditafsirkan sebagai manifestasi ketidaksenangan rakyat terhadap peristiwa rampasan kuasa dilakukan oleh BN pada 4 Februari 2009 secara tidak demokratik. Ini mengundang simpati rakyat terhadap Datuk Seri Nizar. Usaha beliau terutama bersama Speaker Sivakumar, walaupun dihalang, bahkan dilarang dari mengadakan sidang Dewan Undangan Negeri hingga terpaksa bersidang di bawah pokok itu mengundang kepada tindakan undang-undang dan siri-siri berkaitan yang masih berjalan dan belum berkeputusan. Tindakan-tindakan yang diambil terhadap Datuk Seri Nizar dan usahanya mempertahankan kedudukan dari satu segi dilihat adalah sebagai proses mematangkan kepimpinan dan perwatakan Datuk Seri Nizar. Ternyata beliau adalah seorang pemimpin yang berkualiti dan berkarisma. Ini adalah antara faktor beliau menjadi pilihan rakyat pada pilihanraya kecil Parlimen Bukit Gantang. Kita percaya dengan ujian yang dilalui dan kemantapannya, beliau akan menjadi pemimpin Pakatan yang berwibawa dan cemerlang pada masa akan datang

Suara Pembelaan

Bagi pilihanraya terutama di Bukit Gantang dan Bukit Selambau baik secara langsung, maupun secara tidak langsung, khususnya dengan tindakan yang diambil terhadap Kerajaan Pakatan Rakyat di negeri Perak, khususnya terhadap Menteri Besarnya Datuk Seri Nizar dilihat sebagai watak yang ditindas dan pembela, dan S.Manikumar dari PKR di Bukit Selambau dilihat berada pada pihak pembela orang-orang India teraniaya. Contoh kes penamgkapan dan kematian orang India dalam hubungan dengan pihak berkuasa. Dengan keberadaan pada pihak membela yang teraniaya kerana dirampas kuasa secara tidak demokratik, membela mereka yang teraniaya menjadikan calon-calon Pakatan Rakyat pada pihak tertindas. Mereka menyuarakan pembelaan dan keadilan. Jadi mereka berada pada tapak yang kukuh dari segi perjuangan. Kontras dengan kedudukan ini pihak BN dilihat sebagai tidak adil, merampas kuasa di samping perasuah. Ada label-label yang dikenakan terhadap Pakatan Rakyat, iaitu Penderhaka Terhadap Sultan, terutama bagi menarik sokongan dari orang-orang Melayu, namun soal menderhaka ini dapat dibuktikan lebih banyak (13 episod) dilakukan oleh pemimpin-pemimpin dari UMNO-BN. Ini termasuk usaha Dr Mahathir pada November 1983 selaku Perdana Menteri pada masa menjalankan kempen menarik kuasa-kuasa Raja-Raja Melayu. Sebab itu dapat dilihat usaha Dr Mahathir kembali campur tangan di dalam politik selepas berundurnya Tun Abdullah Badawi dan turunnya Dr. Mahathir berkempen di Bukit Gantang tidak dapat menambahkan sokongan rakyat terhadap BN, tetapi mengurangkan sokongan, kerana rakyat tidak lupa kepada peranan beliau – terutama menarik kuasa Raja-Raja Melayu. Sebab itu sekiranya ada usaha Najib untuk membawa kembali Dr Mahathir berperanan dalam politik, sama ada secara langsung atau bersifat proksi, hendaklah difikir semasak-masaknya, adakah ia menguntungkan UMNO-BN atau sebaliknya.

Prospek Masa Depan

Selepas pilihanraya ke 12 Mac 2008, prospek masa depan Pakatan Rakyat semakin cerah. Lima buah negeri telah dapat ditawan. Beberapa pilihanraya kecil penting selepas pilihanraya Mac 2008, memperlihatkan Pakatan Rakyat terus mendapat sokongan dan kemenangan dari pilihanraya peringkat Parlimen di Permatang Pauh, membawa ke Kuala Terengganu dan terbaru di Bukit Gantang. Rampasan kuasa di negeri Perak yang di rancang oleh Najib benar-benar membuatkan pimpinan BN berada di dalam dilema. Pada peringkat awal, mereka termasuk Najib, Zahid dan Zambry merasa megah terhadap kejayaan mereka menguasai Perak secara haram dan tidak demokratik. Tetapi bukan saja pemimpin di dalam BN dianggap bijaksana, tetapi pihak Pakatan Rakyat tidak kurang dari tokoh dan pakar-pakar yang menyanggah kedudukan kerajaan haram di negeri Perak. Keadaan pemerintahan di negeri Perak di bawah BN bukan saja lumpuh, tetapi di dalam dilema. Dengan sokongan rakyat terhadap Pakatan Rakyat yang makin bertambah dan kekalahan mereka di dalam pilihanraya di Bukit Gantang, mereka amat gentar dengan desakan agar berdepan pilihanraya bagi kerusi-kerusi DUN di negeri Perak. Pilihanraya bagi keseluruhan DUN di negeri Perak patut diadakan bagi mengatasi kemelut politik di negeri Perak dan mandapat mandat bersih dan baru dari rakyat. Sebenarnya kita menjangkakan, jika UMNO-BN tidak dapat membersihkan diri, rasuah masih terus bermaharajalela dan cabinet baru yang tidak mantap, maka harapan Pakatan Rakyat untuk memerintah pada peringkat Negara dan negeri adalah cerah. Syaratnya Pakatan Rakyat dan pemimpin-pemimpinnya hendaklah berpegang teguh dengan nilai-nilai murni, terus membela rakyat, mementingkan keadilan, berkebajikan, tidak bias terhadap satu kaum dan menekan kaum yang lain. Insya Allah rakyat akan memberi dan terus meningkatkan sokongan kepada Pakatan Rakyat.

Sekian. Terima kasih.

Dr. Shafie Abu Bakar

Bangi,

13 Rabiul Akhir 1430
09 April 2009.

FORUM PERDANA DI KUBU UMNO