April 13, 2009

Kabinet Baru Najib: Satu Komentar

Pendahuluan

Perdana Menteri Malaysia yang baru - Datuk Seri Najib Tun Razak telah dilantik (3 April 2009), pasukan kabinet juga dilantik berikutnya pada 9 April dengan 28 menteri penuh dan 40 timbalan menteri. Inilah kabinet pada jangkaan Najib, terdiri daripada pahlawan dan srikandi yang diharap mampu bertempur di medan politik serta dapat menawan kembali wilayah-wilayah yang kalah, walau dengan apa cara sekalipun, termasuk secara rampasan sebagaimana dilakukan Najib sendiri sebagai panglima di Perak Darul Ridhwan. Tetapi mampukah mereka menghadapi gelombang tentera rakyat yang sebahagian besar tidak lagi memihak kepadanya dan terus mara menawan kubu satu demi satu – dari Pangkalan Pauh ke Kuala Terengganu dan baru-baru ini menawan dua bukit iaitu Bukit Gantang dan Bukit Selambau. Sedang dalam masa yang sama negara menghadapi kegawatan ekonomi diakibatkan oleh kegawatan global yang menuntut penyelesaian secara bijaksana dan negara juga menghadapi krisis moral, rasuah dan krisis keyakinan yang parah yang penyelesaiannya tidak begitu mudah. Apakah pemilihan dibuat begitu hebat hingga menimbulkan kejutan, menyerlahkan kebijaksanaan dan keterampilan kepada lawan ? Jawapannya setakat ini adalah tidak, sebaliknya muncul pertanyaan-pertanyaan dan argument-argument.

Isu Khairy

Tidak terlantiknya Khairy Jamaluddin ke dalam pasukan kabinet Najib menimbulkan pertanyaan. Sebagai seorang yang dipilih dan diberi mandat menjawat Ketua Pemuda UMNO, tidakkah janggal dan menimbulkan rasa tidak puashati di kalangan pemuda ? Semasa Hishamuddin menjadi ketua beliau diberi tugas penting sebagai Menteri Pelajaran Malaysia. Kini Khairy tidak diberi tugas apa-apa di dalam kerajaan, Sedangkan lawannya yang kalah, iaitu Datuk Mukhriz Mahathir dilantik menjadi Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri. Ketua Puteri UMNO yang menang, iaitu Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin dilantik sebagai Timbalan Menteri Kesihatan. Mengapa Khairy tidak diberi tugas dalam kabinet. Ada apa permainan di belakang ? Adakah kerana Mukhriz anak Mahathir dilantik ? Lebih dari itu apakah atas permintaan Mahathir yang kembali kepada UMNO selepas kenaikan Najib menjadi Perdana Menteri ? Sah nampaknya Mahathir berperanan sebagai mentor dan mempengaruhi perlantikan secara `remote control`. Peranannya bukan setakat membuka ruang terhadap anaknya, bahkan lebih luas dari itu. Dari sudut yang lain ternafinya Khairy dari sebarang perlantikan yang merupakan menantu Tun Abdullah Ahmad Badawi yang berjanji tidak akan campurtangan di dalam pemerintahan Najib dapat dilihat sebagai usaha untuk menjauhkan pengaruh Abdullah dari pasukan kabinet Najib di bawah pengaruh Mahathir. Khairy yang disabitkan dengan politik wang, tapi masih dimaafkan dan masih dibolehkan bertanding, boleh dijadikan alasan tidak dilantik di dalam kabinet. Ini diharap dapat menutup tuduhan liar mengkesampingkan Khairy dari lantikan. Tetapi mengkesampingkan Khairy bererti merendahkan maruah dan wibawa pemuda. Isu ini secara api di dalam sekam bakal mencetus rasa tidak puashati dari Khairy dan pengikut-pengikutnya yang boleh memecahbelahkan pemuda dan melemahkan UMNO itu sendiri.

Hal Ehwal Agama

Perlantikan Mejer Jeneral (B) Datuk Jamil Khir Baharom ke Jabatan Perdana Menteri sebagai Menteri Hal Ehwal Agama Islam menimbulkan pertanyaan. Beliau tidak dikenali di dalam politik, tetapi lebih dikenali sebagai pendakwah dan penceramah yang petah. Kita tidak mengetahui prestasi beliau di dalam bidang pentadbiran. Mungkin beliau dikesan Najib semasa beliau menjadi Menteri Pertahanan. Seorang yang petah bercakap tidak semestinya berkemampuan mentadbir secara cekap. Apakah pentadbiran agama mau ditadbir secara ala tentera ? Sebenarnya mereka yang berkemampuan di dalam bidang agama Islam adalah ramai dan boleh saja dipilih. Dari kalangan ahli akademik dari beberapa universiti di negara ini. Masalahnya seorang ahli akademik tulen di dalam bidang Islam yang benar-benar memahami Islam dan berjuang menegakkan Islam tidak rela menggadai prinsip semata-mata kerana kedudukan dalam politik. Dalam kata lain ramai mereka yang berkelayakan, tetapi menjadi sukar, kerana yang berkelayakan tidak rela menjadi sebagai burung kakak tua yang disuruh contoh mematuhi satu pandangan seperti Islam Hadhari, melarang orang Islam berjinak-jinak dengan Islam seperti yang berlaku kepada seorang Exco Kerajaan Negeri Perak YB Nga Kor Ming. Apa lagi jika berperanan semata-mata melengkapkan upacara dan membaca doa.

Harapan Dari Pertukaran

Satu yang sedikit melegakan dari perlantikan ialah apabila kita mendapati Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein Onn tidak lagi dikekalkan sebagai Menteri Pelajaran Malaysia, sebaliknya jawatan ini diamanahkan kepada Tan Sri Muhyiddin Yassin yang juga Timbalan Perdana Menteri. Menyebut Hishamuddin mengingatkan kita kepada pertualangan Pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Inggeris. Tidak ada menteri yang sekeras pendirian dan sukar menerima cadangan berhubung dengan polisi Bahasa Inggeris bagi matapelajaran-matapelajaran disebutkan, biarpun berbagai kongres, seminar dan forum diadakan dengan bertalu-talu resolusi dihantar mendesak supaya dikembalikan pengajaran Matematik dan Sains di dalam Bahasa Melayu. Desakan juga datang dari berbagai NGO, persatuan-persatuan penulis, persatuan-persatuan ibu bapa di sekolah-sekolah kebangsaan, Cina dan India, ahli-ahli politik pembangkang dan kerajaan mendesak dikembalikan pengajaran di dalam bahasa ibunda. Biarpun prestasi pencapaian pelajar di dalam matapelajaran berkenaan merosot dan terpaksa diturunkan peratusan markah Hishamuddin tetap berkeras tidak mahu merubah dasar. Hingga akhir tempoh beliau menjadi Menteri Pelajaran pendiriannya tidak berubah. Janji beliau untuk membentangkan laporan mengkaji balik pengajian Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris tidak ditunaikan hingga ke akhir tempoh beliau di Kementerian Pelajaran. Demikianlah keras pendiriannya. Ada siapakah di belakangnya yang berkubu mempertahankan ? Kini kubu itu terpaksa ditinggalkan !

Kita benar-benar mengharapkan, dengan pengambilan alih Kementerian Pelajaran oleh Tan Sri Muhyiddin Timbalan Perdana Menteri beliau dapat menyelesaikan masalah pengajaran Sains dan Matematik di dalam Bahasa Inggeris. Iaitu dengan mengembalikan martabat dan maruah Bahasa Melayu yang berkemampuan menjadi bahasa ilmu di dalam berbagai-bagai bidang. Di dalam masa yang sama memperbaiki pendekatan pengajaran Bahasa Inggeris sehingga pelajar dapat menguasai bahasa tersebut sebagai bahasa kedua.

Andainya isu ini tidak juga diselesaikan ia akan terus menggugat kewibaan pemerintah. Lebih dari itu kita mengharapkan di bawah kepimpinan Muhyiddin dasar pendidikan negara dapat dimantapkan, kualiti pendidikan negara ini makin meningkat dan negara menjadi hub pelajaran bukan saja bagi pelajar di negara ini, tetapi juga bagi pelajar-pelajar dari luar negara.

Antara Kewajaran Dan Tidak

Perlantikan walaupun merupakan hak istimewa Perdana Menteri. Ada yang tidak menang di dalam pemilihan mesyuarat agung UMNO dilantik. Contohnya Datuk Sei Dr Rais Yatim, walaupun kalah di dalam pertandingan bagi menduduki kerusi Naib Presiden, beliau dikatakan seorang yang berkempen secara jujur dan tidak melibatkan diri dengan politik wang, apa juga kementerian yang diserahkan kepadanya dikendalikan secara profesional dan dedikasi contohnya Kementerian Luar dan Kementerian Kebudayaan dan Warisan. Dengan kemampuan intelektual dan kelulusan yang ada padanya beliau terus dilantik – kini di Kementerian Penerangan, Komunikasi, Kesenian dan Kebudayaan. Walau pun ini dapat diterima, tetapi yang tidak diterima rakyat dan ditolak di dalam pilihanraya turut dilantik menjawat jawatan. Contoh Tan Sri Koh Tsu Khoon dilantik Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr. Awang Adek dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan dan Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang dilantik sebagai Menteri Hal Ehwal Wanita, Keluarga dan Masyarakat. Mereka dilantik atas kedudukan mereka dalam pimpinan parti, kecuali Awang Adek dan bukan atas kecemerlangan kerja. Barang kali tidak banyak pembaharuan dan kemajuan yang dapat diberi. Mungkin harapan tinggi ialah dari tenaga-tenaga baru yang baru dilantik, tetapi belum diketahui prestasi mereka. Pendek kata kabinet yang baru dilantik, kabinet yang dipersoalkan, dilemahkan oleh mereka yang ditolak rakyat, campurtangan tokoh yang tidak disenangi rakyat, masih dibayangi parti yang berimej rasuah dan masalah moral, pencetus krisis politik setempat yang tak terselesai, masih tercari-cari slogan selain `Malaysia Satu’ yang tidaklah sangat menarik, seterusnya masih tidak dapat menampilkan kesegaran dan kekuatan baru yang jitu.

Menuntut Kewaspadaan

Walaupun pimpinan Perdana Menteri yang baru dan kabinet yang dilantik tidaklah sehebat diharapkan, pihak Pakatan Rakyat perlu berwaspada. Mereka berazam bangkit dalam tempoh yang mereka katakan dua tahun. Dengan kekuatan dan kelemahan mereka pasti berusaha membawa perubahan memperbaiki dalaman mereka dan memikat sokongan rakyat. PR tidak boleh dilalaikan oleh sokongan rakyat terutama dari kalangan orang Cina dan India. Pendekatan dalaman perlu diperbaiki. Belum ada formula politik dirumuskan yang diterima semua parti sebagai asas perjuangan. Rasa tidak puashati dalaman perlu dihindarkan dan jangan ada usaha mendominasi antara satu sama lain. Bagi PAS di samping berusaha menambahkan sokongan dari kaum bukan Melayu, mereka tidak mampu untuk menerima kekurangan sokongan dari orang Melayu (Islam), kerana inilah asas kekuatan. Kedua-dua pihak perlu menjana pemikiran, memperbaiki pendekatan dan perkhidmatan bagi menawan hati dan sokongan rakyat.
Sekian. Terima kasih.

Dr. Shafie Abu Bakar,
17 Rabiul Akhir 1430
13 April 2009.

2 comments:

  1. assalamualaikum dr,
    saya sering terfikir dalam pembentukan kepimpinan serta kemaslahatan politik dalam hubungkaitnya dengan congakan teori yang dr sendiri pernah kemukakan lewat pengkajian Sastera Islam di Malaysia, iaitu Takmilah.

    Mengambil asasnya "Takmilah", menghasilkan yang terbaik dari gabungan sumber yang baik, atau ayat asal yang dr kemukakan iaitu menyempurnakan yang dengannya menjadi lebih sempurna.

    Rasanya tak salah teori tersebut jika dilenturkan kedalam pembentukan gaya politik yang insyallah akan dilihat lebih sempurna dan sudah tentu dapat dihayati dengan penuh keinsafan.

    dan sebenarnya amat luas capaian ruanglingkup teori tersebut yang boleh diperbincangkan.
    atau,
    Barangkali saya salah memberi tafsir sedemikian terhadap teori Takmilah untuk pemerhatian saya di landas politik. maafkan saya.

    ReplyDelete