September 9, 2015

Lanjutan Pendekatan Tafsir Fi Zilal Al-Qur`an


BBB,  24 Zulkaedah 1436 = 08 September 2015 (Selasa):



Pendekatan dominan di dalam mentafsirkan kandungan ayat-ayat Al-Qur`an ialah berdasarkan surah kepada satu surah menurut susunan yang ada di dalam Al-Qur`an. Demikianlah juga pendekatan bagi Fi Zilal Al-Qur`an. Namun sebagaimana kebanyakan tafsir memberi penerangan terlebih dahulu bagi sesebuah surah seperti kandungan persoalan, sebab nuzul dan sebagainya, maka tidak kesemuanya sedemikian bagi surah-surah di dalam tafsir Fi Zilal Al-Qur`an, misalnya bagi Surah Al-Fatihah tiada muqaddimah bagi surah ini. Keterangan sama ada diturunkan di Makkah (Makkiyyah) atau diturunkan di Madinah (Madaniyyah) dan demikian dengan jumlah ayat adalah terdapat pada bahagian atas bagi surah tersebut. Tetapi bagi Surah Al-Baqarah pula dan seterusnya bagi surah-surah panjang terdapat muqaddimah bagi surah berkenaan. Sebagai contoh bagi Surah Al-Baqarah selepas maklumat yang ianya diturunkan di Madinah dengan sejumlah 286 ayat terdapat muqaddimah yang  memakan ruang sebanyak 9 halaman Sebagaimana berikut:
Nama Surat                       Muqaddimah
Al-Fatihah                          Tiada
Al-Baqarah                         9 halaman
Ali `Imran                          12 halaman
Al-Nisa`                             18 hlaman
Al-Ma`dah                         9 halaman
Namun terdapat pula surah-surah yang tidak diberi penerangan sebagai muqaddimah pada bahagian permulaan seperti Surah Al-Furqan, Al-Shu`ara`, Al-Naml, Al-Qasas, Al-`Ankabut, Al-Rum, Luqman, Al-Sajdah, Al-Ahzab dan seterusnya kepada Juz` `Amma dan surah-surah pendek di dalamnya tidak diberi penerangan pada bahagian permulaan. Penerangan bagi surah-surah yang tidak diberi penerangan pada bahagian awal diberi selepas surah dan bermulanya tafsiran terhadap surah-surah berkenaan.
Pendekatan yang diambil di dalam Fi Zilal Al-Qur`an, bahawa bagi setengah tafsiran seperti tafsir oleh Abdullah Yusuf Ali mengambil kira dari segi surah, tetapi tidak memberi perhatian kedudukan juz`. Tetapi bagi tafsir Fi Zilal Al-Qur`an, kedudukan surah di dalam juz`, bukan saja diberitahu, tetapi diberi pecahan. Bagi penyambungan surah dalam jilid lain, diberi maklumat, bahkan penerangan. Dapat dibuat kesimpulan. Pada bahagian awal surah-surah yang panjang bagi Al-Qur`an diberi muqaddimah dan latar yang agak panjang, tetapi bagi kebanyakan surah, terutama sebahagian selepas dari surah-surah panjang tidak pula diberi muqaddimah dan latar (mulai Surah Al-Furqan).
Pentingnya ada muqaddimah bagi surah-surah, terutama bagi surah-surah panjang, membantu pembaca dan mereka yang membuat rujukan dapat segera mendapat maklumat mengenai sesuatu surah baik Makkiyyah atau Madaniyyah, jumlah ayat, persoalan-persoalan kandungan, sebab nuzul dan peristiwa-peristiwan yang terkandung di dalamnya, jika tidak pembaca terpaksa membaca tafsiran secara langsung.
Ada setengah tafsir membawa ayat-ayat yang mau ditafsirkan secara tafsiran satu ayat  demi satu ayat seperti Tafsir Al-Wajiz oleh Wahbah al-Zuhaily atau memberi keterangan secara catatan kaki – antaranya selepas terjemahan seperti yang dilakukan oleh Abdullah Yusuf Ali dan oleh Shaykh Abdullah bin Muhammad Basmih dengan tafsir masing-masing.
Tafsir Fi Zilal Al-Qur`an Syed Qutb mengambil pendekatan dengan mungumpul jumlah ayat-ayat bersamaan atau berhampiran persoalan kepada satu kelompok yang hendak ditafsirkan. Bagi surah pendek seperti surah Al-Fatihah dan surah-surah pendek di dalam Juz` `Amma diperturunkan secara lengkap bagi satu surah dan ditafsirkan secara keseluruhan
Bahkan bagi seluruh surah-surah didalam juz` 27, 28 dan 29 semuanya diperturunkan surah-surah secara lengkap kemudian baru ditafsirkan bagi surah berkenaan.
Bagi surah-surah panjang contoh seperti Surah al-Baqarah dipecahkan kepada 21 pecahan sebagaimana yang dibuat oleh Yusuf Ali dalam tafsirnya, tetapi Syed Qutb tidak memberi pecahan bernomber, sebaliknya pembaca membaca sendiri dari pecahan tentang kandungan yang diasingkan. Misalnya bagi Surah Al-Baqarah yang dipecah kepada 21 pecahan dapat dikategorikan:
1.       Bahagian aqidah               Ayat   1 – 29
2.       Adam sebagai Khalifah               30 -39
3.       Bani Isra`il                                     40 - 74
4.       Sikap Yahudi                                  75 - 103
5.       Yahudi mau orang Islam ikut mereka 104 – 123
6.       Nabi Ibrahim bina Ka`bah          124 – 141
7.       Yahudi persenda mengikut mereka mengadap ke Baitil Maqdis 142 – 151
8.       Rasulullah mengharap pertukaran Kiblat ke Ka`bah  152 – 157
9.       Safa dan Marwah –               158 – 177
10.    Qisas dan puasa                           178 – 188
11.    Keizinanan berperang – Haji      189 – 203
12.   Masuk Islam secara menyeluruh 204 -214
13.   Nafkah, sadaqah, larangan arak  215 – 220
14.   Perkahwinan dan Kekeluargaan  221 – 242
15.   Cerita Talut & Jalut                         243 -252
16.   Rasul-Rasul  (Ju` Tilka al-Rusul)    253 – 257
17.   Munajat Nabi Ibrahim                   258 – 260
18.   Manafakah dan sedekah              261 – 274
19.   Soal riba                                           275 – 281
20.   Hutang piutang                               282 – 284.
21.   Penyerahan dan munajat             285 – 286.
(Tajuk selepas nombor, menurut perkara utama di dalam ayat-ayat).
Bagi setiap pecahan diberi huraian panjang lebar oleh Syed Qutb.
Misalnya dibicarakan sebahagian dari permulaan pecahan satu  dari surah Al-Baqarah mengenai akidah. Antaranya:
·         Surah terbesar ini bersifat dakwah di Madinah
·         Menampilkan keindahan kalimat dan bahasa dengan ayat panjang dan pendek-ringkas mencerminkan kemukjizatan Al-Qur`an – Kalimah Alif. Lam. Mim.
·         Risalah Rasulullah s.a.w. membawa agama tauhid
·         Tempelak terhadap Yahudi dan munafik yang menentang Islam
·         Al-Qur`am membawa hidayah dan jalan kepada taqwa
Dan seterusnya sebagai huraian bagi ayat (1 – 29).

Sekian.

No comments:

Post a Comment