March 21, 2020

JUMA`AT YANG SEPI


JUMA`AT  YANG SEPI

Adalah tidak pasti
Bila terakhir  tidak  kutunaikan solat Juma`at
Tetapi hari ini adalah realiti
Negara, bahkan dunia diselubungi
Ancaman  coronavirus – 19.
Juma`at  hari ini Juma`at yang sepi
Jika kebiasaan tengahari seperti ini
Laman masjid penuh kenderaan
Tapi hari ini  dua pintu pagar masuk keluar
Ditutup elak kemasukan
Tiada sebarang bacaan kedengaran
Yang  ada  hanya
 petugas dibenarkan
Imam, bilal, siak dan pengawal keselamatan.

Masuk ke dalam ruang
Tiada hamparan tambahan di ruang legar
Tiada air-cond dipasang  di ruang utama
Kecuali dua kipas utama berpusingan
Masjid kehilangan jama`ah
Tiada bising anak-anak sekolah.

Bila azan dikumandangkan
Mimbar sepi tiada khatib  ke atas
Tongkat tersandar di tepian
Tiada khutbah disampaikan
Imam ke depan bila diiqamatkan
Dengan beberapa makmum di belakang
Mereka bersolat  zohor  gantian.

Beriringan solat do`a dipanjatkan
Dengan nama Allah yang tidak memberi mudarat
Sesuatu  dengan namaNya di langit dan di bumi
Engkau Maha Kaya kami maha papa
Lindungilah kami daripada bala, wabak,
Kenaikan harga, kejahatan dan kemungkaran
Kembalilah keamanan dan kesejahteraan
Ujian dan pengajaranMu cukup menginsafkan
Engkaulah Maha Berkuasa
Tumpuan kepatuhan.

(Fikrah Bangi: 512).
BBB: 25 Rejab 1441H. = 20 Mac 2020M. (Juma`at).

No comments:

Post a Comment