September 21, 2013

Bahagian Fiqh Dari Kifayah


BBB, 14 Zulhijjah 1434 = 20 September 2013 (Jumaat):

Di dalam al-Qur`an perintah mendirikan solat berada pada bahagian awal dari perintah ibadat yang lain. Contoh: Bermaksud:

Dan Dirikan oleh kamu akan solat dan keluarkan zakat dan rukuklah bersama orang yang rukuk (al-Baqarah: 43), Dan mereka itu mendirikan solat dan mengeluarkan zakat dan mereka taat kepada Allah dan Rasulnya (al-Taubah: 71), Dan Dia mewasiatku dengan solat dan berzakat selama kuhidup (Maryam: 31).

Maka dari segi pendekatan kitab-kitab fiqh memulakan pembicaraan dengan bidang solat.
Tetapi sebelum mendirikan solat, seseorang itu seharusnya suci dari hadath dan memerlukan alat bersuci dan alat bersuci paling utama ialah `air`. Contoh kitab Bughyat al-Tullab karangan Shaykh Daud bin Abdullah bin Idris al-Fatani memulakan kitabnya setebal dua jilid dengan Kitab al-Taharah (Daud bin Abdullah, Bugyat al-Tullab, al-Juz`u al-Awwal, Maktabat wa Matba`at Dar al-Ma`arif, Pulau Pinang, tt: 7). Demikianlah juga dengan Kitab Sabil al-Muhtadin yang juga dua jilid oleh Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari juga memulakan kandungan kitabnya dengan Kitab al-Taharah (Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Sabil al-Muhtadin,  Juz` Pertama,  Maktabat Nur al-Thaqafat al-Islamiyyat, Jakarta, tt.: 5).

Demikian Shaykh Abdul Malik bin Abdullah mulai masuk membicarakan (tanpa pemecahan bab) persoalan fiqh bermula dengan bidang taharah (Bidang taharah dan solat diberi fokus utama dengan huraian yang begitu detail. Pembicaraan ini memberi contoh yang juga detail bagi kedua bidang berkenaan, manakala bidang-bidang yang lain disebut secara ringkas)

``Dan lagi hendaklah kita ketahui akan segala hukum air``
Ketahui olehmu bahawasanya tiada sah mengambil air sembahyang dan mandi janabah dan mandi haid dan mandi nifas dan mandi wiladah dan membasuh segala najis itu melainkan dengan air mutlaq, ertinya air yang suci lagi menyucikan. Menurut pengarang adapun air terbahagi kepada empat, iaitu:

Pertama:  Air Mutlaq
Kedua:  Air Makruh
Ketiga:  Air Musta`mal
Keempat: Air Bernajis

Air Mutlaq tujuh: 1) Air Hujan 2) Air Embun  3) Air Beku  4) Air Laut 5) Air Sungai    6) Air  mata air  7) Air telaga
Air mutlak boleh berubah dengan bercampur misalnya dengan tepung, pada ketika itu tidak boleh lagi digunakan bagi penyucian yang fardu seperti mandi hadath besar, tapi ia suci boleh diminum atau dimasak nasi umpamanya.

Air Makruh, tiga 1) Air yang sangat hangat  2) Air yang sangat sejuk 3) Air yang terjemur pada negeri yang sangat hangat seperti negeri Makkah

Air Musta`mal, seperti air yang dipakai pada mengambil air sembahyang, maka air itu tiada sah dipakai untuk diambil air sembahyang dan penggunaan fardu yang lain.
Air Najis, iaitu yang kurang daripada dua kolah, maka jika dimasuki najis, sama ada berubah atau tidak, maka mutanajjis hukumnya. Dan najis ada tiga, iaitu Mughallazah (Berat) seperti anjing, Mukhaffafah (ringan) seperti kencing anak kecil lelaki yang belum makan lain dari susu ibu  dan Mutawassitah seperti tahi (Kaedah menyucikan dibicarakan).

Dari segi bersuci yang lain dibicarakan tentang qada` hajat yang dikategorikan kepada sunat. Adapun sunat apabila pergi qada` hajat – dengan mendahului kaki kiri tatkala masuk ke dalam jamban, dan mendahului kaki kanan apabila keluar daripadanya, jika qada hajat pada padang sekalipun, makruh qada` hajat pada air yang tenang atau sedikit lagi mengalir dan padang lubang-lubang tanah dan pada jalan segala manusia dan haram membawa masa qada` hajat sesuatu yang tersurat nama Allah atau nama Nabi atau nama malaikat dan qada hajat menghadap atau membelakangkan Qiblat, jika tiada berdinding. Bila qada` hajat hendaklah diistinja` dengan air atau batu atau sesuatu yang suci lagi keras lagi kasap.
Perkara yang wajib mandi itu lima perkara’
Pertama: Mati bagi orang Islam yang lain daripada mati syahid
Kedua: Haid   Ketiga: Nifas Keempat Wiladah dan kelima: Janabah
Setiap satu diberi penerangan dan huraian.

Bermula syarat mengambil air sembahyang (wudu`) itu tujuh perkara:
1) Islam  2) Mumayyiz   3)  Suci daripada haid  4) Suci daripada sesuatu yang menegahkan sampai air kepada segala anggota air sembahyang daripadanya
5) Mengetahui akan segala fardu 6) Jangan ia mengi`tiqadkan sesuatu daripada segala fardu itu sunnat atau sebaliknya 7) Dengan air yang suci lagi menyucikan.
Dan fardu mengambil air sembahyang iaitu 1) Niyyat 2) Membasuh muka 3) Membasuh dua tangan
4) Menyapus sedikit daripada kulit kepala 5) Membasuh dua kaki 6) tartib.

Turut dibicarakan tentang sunat-sunat mengambil air sembahyang dan yang membatalkan air sembahyang, haram bagi yang tiada ada air sembahyang, menyentuh mushaf dan bertawaf..

Juga dibicarakan syarat-syarat dahulu dari mengerjakan sembahyang. Dan dibicarakan rukun sembahyang yang 13 satu persatu, sunat di dalam sembahyang, perkara yang membatalkan sembahyang,  dan syarat sah sembahyang jamaah.
Turut diberi penjelasan berhubung dengan sembahyang Dua Hari Raya, sembahyang jenazah.

Berikut dari solat Jenazah dibicarakan tentang kewajipan berzakat:

Bahawa wajib dikeluarkan zakat terhadap binatang seperti unta, kerbau, lembu, kambing dan biri-biri apabila cukup syarat, wajib juga zakat pada hasil tanam-tanaman yang mengenyangkan seperti gandum, sair, padi, jagung dan kacang hijau. Juga dikenakan zakat pada emas dan perak. Turut dibicarakan tentang zakat fitrah

dan berpuasa.

Maka erti puasa itu menahani diri daripada segala perkara yang membatalkan puasa dengan rukun, syarat wajib dan sunat yang dibicarakan secara lengkap.

Berhubung dengan haji dilihat pengarang memberi tumpuan kepada semua aspek ibadat,
tetapi kurang berhubung dengan haji, kecuali disinggung sedikit bila membicarakan tentang Rukun Islam. mungkin pada zaman pengarang di akhir abad ke tujuh belas dan awal abad ke 18 masih kurang orang yang berkemampuan menunaikan haji, sebab itu persoalan haji  tidak diberi perhatian di dalam konteks pada masa itu.
Tentang Haji kata pengarang:

Naik haji kepada  Ka`batullah jika kuasa ia berjalan kepadanya, maka erti haji itu menyehaja pergi mengu(n)jung Ka`batullah.

Apa yang diberi perhatian oleh pengarang ialah tentang Qurban yang dapat diamalkan di tempat masing-masing.

Bermula Qurban itu, iaitu barang yang disembelih daripada unta dan lembu dan kerbau dan biri-biri dan kambing kerana mendekatkan diri kepada Allah Ta`ala. Menyembelih qurban itu sunnat Mu`akkad.  Contoh seekor lembu bagi 7 bahagian. Jika lembu, kerbau atau kambing, maka hendaklah umurnya dua tahun, masuk kepada tiga tahun yang tidak cacat. Selain dari Qurban turut dibicarakan tentang aqiqah dan diikuti dengan tentang makan minum yang halal dan haram.

Berhubung dengan soal ibadat yang menjadi amalan harian  dan berterusan diberi pembicaraan dengan agak detail bagi membantu kefahaman dan amalan masyarakat umat, khususnya pada zaman tradisi.

Kifayah dengan maksudya, sesuatu yang cukup bagi keperluan, maka kifayah mencukupi sebagai panduan aqidah dan syariat bagi masyarakat zaman tradisi yang pada abad ke 17 dan 18 masih kurang dari kitab-kitab panduan di dalam bahasa Melayu, kecuali karangan-karangan yang dihasilkan oleh ulama Aceh seperti Shaykh Nuruddin al-Raniri dan Syaikh Abdul Rauf Singkel, tetapi kitab-kitab penulisan mereka pada masa itu masih sukar didapati.

Sekian.

September 20, 2013

Kifayah: Panduan Aqidah Dan Syariah


BBB, 13 Zulkaedah 1434 = 19 September 2013 (Khamis):

Kitab Kifayah adalah kitab kedua terbesar yang dihasilkan oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah selepas Hikam Melayu. Tidak seperti Hikam Melayu dihasilkan di Makkah, tetapi Kifayah seperti kitab dan risalah-risalah yang lain daripada Hikam Melayu adalah dihasilkan di Terengganu. Tujuan kitab ini dihasilkan bagi menjadi panduan masyarakat di Terengganu dan tempat-tempat yang lain, khususnya dari segi akidah dan amalan syari`at (Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah (Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya,  Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976/77: 279.

Kitab yang mempunyai 120 halaman muka surat ini membicarakan tentang dua syahadah sebagai rukun Islam yang lima dan Rukun Iman yang enam. Kifayah disifatkan oleh pengarang sebagai mukhtasar. Kata pengarang:
 ``Adapun kemudian daripada itu, maka ini suatu Risalah yang tersimpan lagi memberi manfaat – Insya Allah Ta`ala pada menyatakan barang yang terkandung di dalamnya.` (Teks, hlm. 1-2)
Persoalan aqidah di bawah Syahadah sebagai Rukun Islam pertama dari lima rukun adalah dibicarakan terawal pada bahagian permulaan kitab. Dari segi pendekatannya, tidaklah mengambil pendekatan kitab-kitab aqidah biasa yang bermula dari rukun akal – wajib, mustahil dan harus (Ibrahim al-Laqani, Sharh Bagi Matan Jawharat al-Tauhid, Matbaah Ibn Hallabi, Patani, tt: 7).

Tetapi pengarang bertolak membicarakan terus tentang rukun syahadah dan oleh kerana Rukun Iman yang enam juga bermula dengan percaya kepada Allah dan rasul, maka rukun Islam yang pertama dan Rukun Iman yang pertama dan kedua disekalikan pada awal pembicaraan (Tentang Allah dan Rasul). Pendekatan ini seolah-olah mengambil pendekatan susunan dalam Hadith Rasulullah s.a.w.

Daripada Hanzalah bin Abi Sufyan daripada Ikrimah bin Khalid daripada Ibn `Umar bin al-Khattab radiya Allah `anhuma  berkata: Bersabda Rasulullah s.a.w. Dibina Islam di atas lima perkara, Syahadah bahawa tidak ada Tuhan melainkan Allah, dan bahawasanya Muhammad Rasulullah, dan mendirikan solat, dan mengeluarkan zakat, dan Hajj, dan Puasa Ramadhan …``
(Mustafa Muhammad `Imarah, Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani, al-Maktabah al-Tijariyyah al-Kubra, Misr, tt.: 12).
Atau Hadith: Daripada Abi Hurayrah r.a berkata: Adalah Nabi s.a.w keluar kepada orang ramai pada satu hari, maka datang kepadanya seorang lelaki, maka dia bertanya, Apa itu Iman ?  Dia bersabda, Iman itu engkau beriman dengan Allah, dan malaikatNya, dan bertemuNya, dan Rasulnya, dan engkau beriman  dengan kebangkitan,
Katanya, Apa itu Islam ? Sabdanya, Islam engkau menyembah Allah dan tidak mensyirik denganNya, engkau mendirikan solat, engkau menunaikan zakat yang difardukan dan engkau puasa bulan Ramadhan
Apa itu Ihsan ? Baginda bersabda, Engkau menyembah Allah seolah-olah engkau melihatNya, maka jika engkau tidak dapat melihatNya  - Subhanahu wa Ta`ala, sesungguhnya Dia melihat engkau … (Mustafa Muhammad Imarah, Jawahir al-Bukhari wa Sharh al-Qistillani, hlm. 26 -27).
Maka atas susunan Hadith-Hadith inilah menjadi pendekatan bagi pengarang menghuraikan persoalan aqidah dan syari`ah di dalam Kifayah. Pengarang membicarakan tentang Rukun Syahadah yang empat:

  1. Mengithbatkan Dhat Allah Ta`ala, iaitu kita ketahui dan mengi`tiqadkan bahawa Allah Ta`ala itu ada Ia selama-lamanya tanpa permulaan dan kesudahan, tiada memerlukan Ia kepada sesuatu. Dhatnya tiada dapat dibagaikan, tiada dapat diserupai, disamai atau dimenyertai oleh sesuatu. Maha Besar Dhatnya dan Maha Tinggi, ya`ni tiada dapat sampai segala-gala pengenal dan penglihat dan juga pendapat meskipun para Nabi dan wali kepada kunhi DhatNya yang mutlaq.

  1. Mengithbatkan sifat Allah Ta`ala, ya`ni hendaklah kita ketahui dan kita i`tiqadkan dengan i`tiqad yang putus (jazm), bahawa Allah Ta`ala itu mempunyai sifat-sifat (yang disebutnya ialah) hayat, ilmu, iradah, sama`, basar dan kalam.

  1. Mengithbatkan af `al Allah Ta`ala, yang dimaksudkan, hendaklah kita i`tiqad dengan i`tiqad yang putus bahawa Allah jua yang melakukan segala perbuatan.
      Mengithbatkan kebenaran Rasul, ya`ni perkara yang wajib mereka itu dan yang     
      tidak diperoleh daripada mereka itu (mustahil) – Mereka bersifat siddiq, tabligh,
      amanah, fatanah, demikianlah lawan-lawan bagi yang mustahilnya dan yang  
      harus. Kemudian langsung diceritakan sejarah mengenai Nabi Muhammad s.a.w.
     dari segi keturunannya, kebangkitannya dan perjalanan hidupnya.

Pecahan yang empat ini disimpulkan ke bawah dua kalimah syahadat dengan diikuti pembicaraan mengenai rukun iman secara satu persatunya. Iaitu percaya akan Allah dan akan segala malaikatnya dan akan segala kitabnya dan akan segala pesuruhnya dan akan hari yang kemudian dan akan untung baiknya dan jahatnya daripada Allah Ta`ala. Percaya kepada Allah adalah sebagaimana yang dibicarakan di dalam rukun syahadah (juga Rasul). Diikuti dengan percaya kepada malaikat sebagai hamba Allah yang latif daripada nur yang patuh kepada Allah. Bilangan mereka amat banyak. Yang pilihan daripada mereka empat, iaitu Jibri, Mikail, Israfil dan Izrail yang masing-masing mempunyai tugas khusus.

Percaya kepada kitab, bahawa Allah menurunkan beberapa kitab kepada Rasulnya.  Antaranya diturunkan kepada Nabi Adam, Sith, Idris, Ibrahim, Musa, Isa, Daud dan Nabi Muhammad. Adapun bilangan segala nabi ialah seketi dua laksa empat ribu. Yang pertama daripada mereka itu ialah Adam a.s. dan kesudahan daripada mereka itu Nabi Kita Muhammad s.a.w. Adapun Nabi yang menjadi pesuruh (rasul) tiga ratus tiga belas orang dan segala pesuruh yang keturunan kitab dualapan orang, iaitu Adam, Shith, Idris,, Ibrahim, Musa, Daud, Isa dan Muhammad s.a.w.
Dan Rasul yang mempunyai syariat itu enam orang, iaitu Adam, Nuh, Ibrahim, Musa, Isa dan Nabi Muhammad s.a.w.
Shahadan kasih kepada Nabi itu  setengah daripada syarat iman.

Selepas pembicaraan tentang percaya kepada kitab, kepada Rasul, dibicarakan tentang Hari Kemudian (Akhirat). Hendaklah kita percaya dan kita sungguhkan bahawasanya Hari Kiamat itu sebenarnya lagi akan datang dan di dalamnyalah huru hara yang amat besar, maka adalah makna Kiamat itu berdiri kerana berdiri sekalian makhluk itu di sana, maka adalah di dalamnya itu ditiup sangkakala dan dihidupkan sekalian makhluk semuhanya dan dikira-kira ia segala prbuatan mereka itu dan ditimbang segala amal mereka itu, maka barangsiapa berat amalnya yang baik maka dimasukkan dalam syurga dan barangsiapa berat amalnya yang jahat, maka dimasukkan ia ke dalam neraka. Maka dimasukkam segala mu`min ke dalam syurga kekal selama-lamanya dan dimasukkan segala kafir ke dalam neraka kekal selama-lamanya. Dan dimasukkan segala mu`min yang berdosa  kedalam neraka sekira-kira dosa mereka itu kemudian maka dikeluarkan mereka itu pula.

Hendaklah kita sungguhkan bahawasnya sekalian yang berlaku di dalam alam ini dan sekalian yang berganti-ganti dan berbagai-bagai dan bertukar-tukar semuhanya itu sudahlah diketahui Allah Ta`ala.dan disebut. Maka adalah untung baik dan jahat itu di dalam dua tempat. Pertama di dalam Ilmu Allah dan kedua di dalam Luh Mahfuz.
Hari Kiamat itu sebenarnya lagi akan datang.

Penulis membuat kesimpulan tentang keimanan:
``Dan lagi hendaklah kita ketahui bahawasanya iman dan Islam dan tauhid dan ma`rifat itu tiada dapat bercerai bersekaliannya itu, maka apabila tertinggallah salah suatu daripada itu, tiadalah sah ugama seseorang, maka apabila berhimpunlah keempatnya itu bernama ugama yang sebenarnya. Maka adalah yang beramal itu ma`rifat, kemudian maka tauhid, kemudian maka Islam, , maka erti ma`rifat mengetahui akan keadaan Allah Ta`ala itu dengan segala sifatnya dan menafikan barang yang tiada layak baginya.
Dan erti tauhid itu mengi`tiqadkan bahawasanya Allah Ta`ala itu esa Ia tiada ada sesuatu yang menyertai dia pada sifat keTuhanan.

(Diikuti bahagian syariat)

Sekian.

September 19, 2013

Risalah Kayfiyyat An-Niyyat Karangan Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah



BBB, 12 Zulkaedah 1434 = 18 September 2013(Rabu):

Persoalan Niyyat adalah penting baik di dalam ibadat dan juga perundangan.
Di dalam Islam kesempurnaan ibadat bergantung pada Niyyat, Ianya menjadi rukun dan syarat bagi sah dan sempurnanya sesuatu amalan. Kepentingan Niyyat disebut di dalam ayat-ayat al-Qur`an dan juga Hadith. Allah berfirman antaranya,

Bermaksud:

Pada hal, mereka tidak diperintahkan melainkan supaya menyembah Allah dengan mengikhlaskan ibadat kepadaNya, lagi tetap teguh di atas tauhid. (Al-Bayyinah: 5).

(Ikhlas atau tidak amalan bergantung kepada Niyyat)

Manakala Hadith tentang Niyyat pula:

Daripada Amir al-Mu`minin Abi Hafs `Umara Ibn al-Khattab r.a. berkata, aku mendengar Rasulullah s.a.w, bersabda:

``Sesungguhnya segala amalan itu bergantung kepada Niyyat.``
(Mustafa AbdulRahman, Matan al-Arba`in al-Nawawiyyah, Dewan Pustaka Fajar, Kg. Baru, Kuala Lumpur, 1988: 55).

Di dalam kitab fiqh, Niyyat adalah satu daripada rukun sembahyang. Di dalam kitab Matla` al-Badrayn Wa Majma` al-Bahrayn di dalam fasal mengenai rukun sembahyang kata pengarangnya:

``Bermula segala rukunnya tiga belas … Pertama Niyyat dan tempatnya hati, maka tiada wajib menuturkan Niyyat itu dengan lidah, tetapi sunnat jua supaya menolong lidah akan hati (maka jika) sembahyang itu fardu wajib padanya tiga perkara, iaitu qasad dan ta`arrud dan ta`ayyin.
(Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani, Matla`a al-Badrayn Wa Majma` al-Bahrayn, Nahdi Trading, Tempat ?, Tahun ?: 30).

Shaykh Muhammad Arshad al-Banjari pula mengatakan tentang Niyyat sebagai rukun sembahyang:
``Rukun yang pertama Niyyat, ertinya qasad memperbuat sembahyang dengan hati, maka tiada memadai ia mengata dengan lidah serta lalai hati dan tiada memberi mudarat mengata dengan lidah dengan menyalahi barang yang di dalam hati seperti diniyyatkannya di dalam hatinya memperbuat sembahyang zuhur, maka tergelincir lidahnya kepada menyebutkan yang lainnya seperti Asar.``
(Muhammad Arshad bin Abdullah al-Banjari, Maktabat Nur al-Thaqafiyyah, Jakarta, tahun ?: 192.

Di dalam undang-undang sivil biasa orang yang melakukan kesalahan yang dibuktikan dengan dan tanpa Niyyat akan menerima hukuman berbeza antara keduanya.

Memandang pentingnya persoalan Niyyat, Shayk Abdul Malik bin Abdullah turut mengarang sebuah risalah ringkas yang diberi judul `Kayfiyyat an-Niyyah` setebal 17 halaman.
(Shafie Abu Bakar, Institusi Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah (Satu Corak Pengajian Tradisi Di Terengganu) Dan Kitab-Kitab Padanya, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1976/77: 81-83).
Pada bahagian atas halaman pertama bagi risalah itu tercatat:

``Inilah setengah daripada karangan Datuk Pulau Manis seperti tersebut pada akhir kitab ini – Nafa`ana Allah bi `Ulumihi. Amin dan sememangnya pada akhir risalah tersebut tercatat, iaitu Abdul Malik bin Abdullah al-Jawi.

Selepas Puji kepada Allah dan salawat kepada Rasulullah, Risalah bertolak dari pendapat al-Imam al-Ghazali tentang Niyyat yang dipetik dari karangan Imam al-Ghazali yang berjudul Ihya` Ulum al-Din. Rujukan dibuat menepati apa yang dirujuk dalam Ihya` Ulum al-Din al-Ghazali.
(Abu Hamid Muhammad bin Muhammad al-Ghazali, Ihya` `Ulum al-Din, Jil. IV, Dar al-Fikr, Beirut, Lubnan, 1409/1989: 384-385).
Yang diberi terjemah oleh Shaykh Abdul Malik sebagaimana berikut:

Ertinya, ketahui olehmu bahawasanya Niyyat dan Iradat dan Qasad itu bersalahan lafaznya dan bersuatu makna ketiganya itu dan iaitu hal dan sifat bagi hati pada hal mengapit Niyyat itu dua pekerjaan.
Pertama: Ilmu dan Amal dan Ilmu itu mendahului dia dari kerana bahawasanya Ilmu itu asal Niyyat dan syaratnya dan Amal itu mengikut akan dia dari kerana bahawasanya amal itu buahnya dan cawangnya. Bermula demikian itu dari kerana tiap-tiap amal, yakni tiap-tiap gerak dan diam yang dengan ikhtiar itu tiada ia seperti, melainkan dengan tiga pekerjaan:
Pertama: Ilmu dan
Kedua: Qudrat dan
Ketiga: Iradat
Dari kerana bahawasanya tiada menghendaki manusia itu barang yang tiada diketahui akan dia, maka tidak dapat tiada, bahawa mengetahui ia akan dia dan tiada ia mengerjakan barang yang tiada dikehendakinya akan dia, maka tiada dapat tiada daripada menghendaki dia, yakni adalah tiap-tiap orang yang hendak berbuat sesuatu itu tiada dapat tiada ada padanya ilmu dan Iradat  dan Qudrat.`` Demikian dari petikan dari Ihya` Ulum al-Din; (Teks: hlm. 2 -3).

Adapun Niyyat dari segi lughah dan syara` (istilah) dipetik dari pendapat Shaykh Ibn Hajar dan Baydawi. Bermula Niyyat pada lughah itu, iaitu kehendak hati yang berhadap kepada berbuat sesuatu yang beroleh manfaat ia dengan dia atau berbuat sesuatu yang menolakkan mudarat daripadanya pada sekarang atau pada yang lagi akan datang.
Dan Niyyat pada syara` itu kehendak hati yang berhadap kepada berbuat bakti kepada Allah Ta`ala, pada halnya menuntut keredaan Allah Ta-ala.

Menurut pengarang, Niyyat pada syara` terbahagi kepada tiga bahagi
Pertama: Niyyat serta perbuatan, iaitu seperti Niyyat sembahyang dan Niyyat ambil air sembahyang dan lainnya daripada keduanya itu. Dan
Kedua: Niyyat dahulu daripada perbuatan, iaitu seperti Niyyat Puasa dan mengeluarkan zakat dan Niyyat mengeluarkan kaffarah kemudian daripada menyebelahkan keduanya itu, dan
Ketiga: Niyyat Mujarrad, yakni Niyyat yang tiada diperoleh sekali-kali perbuatan kemudiannya, maka adalah Niyyat mujarrad itu diberi pahala akan orang yang berniyyat itu dengan semata-mata berniyyat jua. Hujah diperkukuh dengan ayat Qur`an dan Hadith.

Seterusnya dibicarakan perbezaan antara  Niyyat, perkataan, amalan, bahawa: Iman itu ialah `Mengetahui dengan Hati dan Kata dengan Lidah dan Amal dengan segala anggota`. Ganjaran adalah bergantung pada keikhlasan hati. Sebaliknya barang siap bercampur (menyengutu amal) ikhlasnya  tiada diterima amalnya.

Penulis juga mengaitkan amal yang baik dan buruk yang amal buruk yang banyak boleh menghapuskan amal yang baik yang dibuktikan dengan firman Allah yang bermaksud:
Siapa yang mengamalkan sezarah kebaikan akan dilihat dan siapa yang mengamalkan sezarah kejahatan akan dilihat (Al-Zalzalah: 7-8).

Dengan Niyyat baik dan tidak baik membawa manusia kepada amalan baik dan tidak baik, maka didasarkan kepada amalan mereka, maka manusia itu dapat dikategorikan kepada empat:
Pertama:  Am Fasiq dan
Kedua:  Am Saleh dan
Ketiga:  Khas dan
Keempat: Khas al-Khawass
Adapun Am Fasiq itu, kelakuan mereka itu memukul orang dan memaki orang dan mengambil arta orang dan mengerjakan akan segala yang diharamkan Allah Ta`ala. Dan adapun Am Saleh itu kelakuan mereka itu mengerjakan barang yang difardukan Allah Ta`ala dan menjauh segala barang yang diharamkan Allah Ta`ala dan jika disakit orang akan mereka itu, maka membalas mereka itu akan dia seperti barang yang disakit mereka itu jua. Dan adapun Khas adalah kelakuan mereka itu mengerjakan segala barang yang difardukan Allah Ta`ala dan mengerjaklan segala sunnat semuhanya, jika disakit orang akan mereka itu tiada membalas akan dia dan memaafkan mereka itu akan kesalahan orang kepada mereka itu. Dan adapun Khas al-Khawass itu adalah kelakuan mereka itu mengerjakan akan sekalian yang difardukan Allah Ta`ala dan akan segala sunnat semuhanya dan menjauh akan segala barang yang dilarangkan Allah Ta`ala dan lagi tetaplah mereka itu pada segala barang yang disuruhkan Allah Ta`ala dan jika disakit orang akan mereka itu nescaya beroleh lazat mereka itu dengan dia dan memberi mereka itu suatu akan segala orang yang menyakit mereka itu dan jika tiada mereka itu mempunyai arta, maka minta doa mereka itu akan segala orang yang menyakiti mereka itu.

Dan adapun segala yang menuntut itu pula  pada pihak tuntut mereka itu lima jenis: maka

Yang Pertama itu adalah tuntut mereka itu dunia semata-mata, maka mereka itulah yang sangat kurang dan rendah pangkat mereka itu, dan
Kedua itu, adalah tuntut mereka itu akan dunia dan akhirat, maka adalah mereka itu tertinggi sedikit daripada orang yang dahulu itu, dan
Ketiga itu adalah tuntut mereka itu akan akhirat semata, maka adalah mereka itu tertinggi daripada segala mereka itu yang dahulu itu dan
Keempat: itu adalah tuntut mereka itu Allah Ta`ala jua semata-mata, maka adalah mereka itu terlebih sedikit daripada mereka yang tiga itu dan
Kelima itu tiada ada tuntut mereka itu sesuatu jua pun, maka adalah dua yang dahulu itu hal sgala kebanyakan orang, pada hal tafawut  kelakuan mereka itu dan pangkat mereka itu masing-masing. Dan yang ketiga itu hal segala orang saleh dan segala zahid dan yang kemudian itu hal segala wali dan segala Nabi dan Pesuruh pada hal tafawut kelakuan mereka itu dan pangkat mereka itu masing-masing dan lagi pula adalah segala manusia itu pada pihak kasih mereka itu akan dunia dan akhirat itu atas lima jenis, maka,
Jenis yang Pertama itu adalah mereka itu kasih akan dunia terlebih dari kasih akan akhirat, maka adalah tanda mereka itu mengerjakan mereka itu akan yang makruh kerana menghasilkan perkejaan  dunia seperti dita`khirkan mereka itu akan segala sembahyang yang fardu dan bersumpah mereka itu dengan dusta, tatkala mereka itu berniaga dan barang sebagainya daripada pekerjaan yang diharamkan Allah Ta`ala dan
Jenis yang kedua itu kasih mereka itu akan akhirat seperti kasih mereka itu akan dunia, maka adalah tanda mereka itu mengerjakakan mereka itu akan yang makruh kerana menghasilkan akan pekerjaan dunia seperti mengerjakan mereka itu akan sembahyang di dalam waktu karahiyah sembahyang dan mengerjakan mereka itu akan yang makruh di dalam berjual dan  membeli dan barang sebagainya daripada segala pekerjaan yang makruh dan tiada mereka itu mengerjakan segala yang diharamkan Allah Ta`ala, iaitulah hal kebanyakan segala orang yang saleh dan,
Jenis yang ketiga itu kasih mereka itu akan akhirat terlebih daripada kasih mereka itu akan dunia dan tanda mereka itu tiada mereka itu mengerjakan yang makruh kerana menghasilkan pekerjaan dunia seperti mengerjakan sembahyang pada awal waktu dan barang sebagainya daripada pekerjaan yang difardukan Allah Ta`ala yaitulah hal segala khas dan
Jenis yang keempat itu tiada kasih mereka itu akan dunia sekali-kali dan yaitulah hal segala Akhass al-Khawass daripada segala wali yang besar dan segala Nabi dan
Jenis yang kelima itu kasih mereka itu akan dunia semata-mata  dan tiada kasih akan akhirat, tatkala , yaitulah hal segala kafir Wallahu a`lam.

Sayugia Kita kerjakan akan pekerjaan  yang menjadikan sekalian  perbuatan kita kerana Allah Ta`ala:

Maka hendaklah tatkala kita berbuat akan perbuatan yang fardu itu kita ingatkan bahawa Allah Ta`ala  menyuruhkan ia akan perbuatan ini pada halnya fardu, maka kukerjakanlah akan dia kerana aku mengikut suruhnya jua dan tatkala kita hendak menjauhkan segala yang diharamkan Allah Ta`ala itu kita ingatkan bahawa Allah Ta`ala menegahkan ia akan perbuatan ini, maka kujauhilah  akan dia kerana aku mengikut tegahnya jua dan tatkala hendak kita berbuat akan perbuatan yang mubah itu kita ingatkan bahawa Allah Ta`ala  mengharuskan ia  akan perbuatan ini, maka kukerjakanlah akan dia dan jikalau tiada diharuskannya akan dia nescaya tiada kukerjakan akan dia.

Pada akhir Risalah Shaykh Abdul Malik menyebut bahawa selain dari petikan-petikan yang dibuat, menurutnya apa yang dibentangkan antaranya diambil sebagai rujukan dari kitab berjudul A`malu al Fikri Wa`1-Rawiyyat karangan Shaykh Ibrahim al-Kurdi Guru Shaykh Abdul Malik dan daripada Kitab Miftah al`Ula karangan Shaykh Ahmad Ibn `Ata`I llah.

Sekian.

September 18, 2013

Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah Mengarang Kitab-Kitab Panduan - Kitab Naql


BBB, 11 Zulkaedah 1434 = 17 September 2013 (Selasa):

Shaykh Abdul Malik bin Abdullah memilih Kampung Pulau Manis sebagai tempat kediaman tetapnya yang menjadikan beliau dengan kealimannya lebih dikenali dengan panggilan `Tuk Pulau Manis`. Di Pulau Manis beliau mendirikan Pondok Pengajian yang berasaskan Masjid yang didirikan bagi keperluan pengajaran dan pelajar-pelajar datang mendiami keliling masjid menjadikannya sebagai Pengajian Pondok.

Shaykh Abdul Malik Bin Abdullah tidak saja mengajar di Kampung Pulau Manis, tetapi juga memberi khidmat pengajaran kepada pelajar-pelajar di tempat lain seperti di Kuala Terengganu dengan mengunjungi tempat-tempat pengajaran, biasanya berasaskan masjid atau surau. Beliau juga membantu pihak pentadbiran di dalam mengeluarkan hukum hakam berasaskan Islam. Pengajaran beliau melibatkan berbagai-bagai bidang ilmu pengetahuan, terutama usuluddin, fiqh dan tasawuf. Kitab yang paling terkenal yang digunakan di dalam pengajarannya ialah Kitab Hikam Melayu (HM). Tetapi kitab ini agak tinggi pembicaraan dan hanya sesuai bagi mereka yang mempunyai asas yang kukuh dari segi ilmu keagamaan, khususnya tasawuf.

Dalam konteks zaman Shaykh Abdul Malik, iaitu akhir abad ke 17 dan awal abad ke 18, penduduk relatifnya masih sedikit. Bagi sesetengah kampung agak sukar untuk mendapatkan jumlah 40 orang lelaki bagi mendirikan solat Jumaat menurut Mazhab Shafie. Bagi mengatasai masalah agar kampung-kampung tidak meninggalkan solat Jumaat, Shaykh Abdul Malik bin Abdullah mengarang kitab panduan bagi mendirikan solat Jumaat. Kitab ini diberi judul:

Kitab Adabu`l- Mu`dhini fi`l-`Amali`l- Muhsini

Bererti: Kitab Adab Yang Mengizinkan Pada Amalan Yang Sopan

Kitab Jawi ini lebih dikenali dengan nama ringkasnya, iaitu Kitab Naql kerana kandungannya merupakan Naql (ambilan, salinan) dari berbagai pendapat.

Pada bahagian atas, kanan bagi halaman permulaan bagi kitab ini tercatat:

`Naql Ini Daripada Shaykh Kami Datuk Pulau Manis Ibn Abdillah Jawi Afa Allah `anhu.

Pada permulaan kitab ini selepas basmalah dan salawat ke atas Nabi dicatatkan:

``Telah berkata Shaykh Jalaluddin as-Sayuti yang di dalam kitab karangannya yang bernama  `Dau`u as-Syam`ah`:

Bilangan yang sah dengan dia sembahyang Jumaat atas empat belas qawl: bermula dari 2, 3, 4, 7, 9, 12, 13, 20, 30, 40, 40 + Imam, 50, 80, Banyak (Tiada hingga banyaknya).
Tiap satu diberi hujah dan pendapat-pendapat yang menyokongnya. Tetapi pengarang (Shaykh Abdul Malik) berpendapat:

``Adapun bagi Qawl Jadid bagi Imam Shafie itu tiada sah sembahyang Juma`at itu melainkan dengan empat puluh laki-laki yang sempurna. Maka dikehendak dengan sempurna itu laki-laki merdeheka lagi aqil baligh, lagi tetap mereka itu di dalam dusun atau negeri itu pada ketika sejuk dan pada ketika panas. Maka adalah persandaran qawl ini daripada diriwayatkan orang daripada Abdullah anak `Utbah adalah ia berkata:

Kullu qaryatin fiha arba`un rajulan fa `alayhim al-Jumu`ah

Ertinya tiap-tiap dusun yang ada di dalamnya itu empat puluh laki-laki, maka wajiblah atas mereka itu sembahyang Juma`at.

(Shafie Abu Bakar, Shaykh Abdul Malik Ibn Abdillah (Tuk Pulau Manis) `Ulama` Sezaman Dengan Shaykh `Abdul Rauf Singkel Dalam Konteks Pengislaman Terengganu, Institut Bahasa, Kesusasteraan Dan Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia, 1973/74:hlm. 5 lampiran).

Tetapi di dalam konteks zaman tradisi untuk memenuhi jumlah 40 jamaah bagi solat Juma`at agak sukar, maka digunakan Qawl Qadim bagi Imam Shafie yang membolehkan solat Jumaat kurang daripada 40 orang tapi sunat mengerjakan solat Zohor selepas solat Jumaat. Pendapat ini dipindahkan daripada Shaykh Ahmad al-Qushashi (Guru Shaykh Abdul Ruf Singkel di Madinah) daripada kitabnya yang berjudul: Munyatu Ahli al-Wara` fi `Adadi Man Yasihhu bihim  al-Juma`ut … Ertinya:
Apabila berhimpunlah empat orang laki-laki daripada segala orang yang sempurna di dalam suatu dusun, maka dirikanlah sembahyang Juma`at pada Qawl Qadim dan sembahyangkan zohor kemudian pula kerana menilik kepada ketiadaan tahqiq syarat wajib sembahyang Jumaat pada Qawl Jadid, maka tiada ada  pekerjaan yang demikian itu beranjakkan ibadat itu sia-sia, tetapi adalah demikian itu daripada memeliharakan yang disuruhkan syara` dan tiap-tiap yang samar yang dahulu itulah lepas hutang yang diwajibkan Allah Ta`ala mengerjakan dia. Wllahu a`lam. Maka adanya mengulang sembahyang Zohor kemudian daripada Jumaat yang kurang daripada empat puluh itu sunat kerana memeliharakan antara dua qawl bagi Imam Shafie pada Qawl Jadid itu sah sembahyang itu dengan empat puluh orang yang sempurna (Petikan dari Kitab Fatawa Karangan Shaykh Jalaluddin as-Sayuti). (Shafie Abu Bakar, 1973/74: 6 lampiran).

Pengarang Shaykh Abdul Malik bin Abdullah menegaskan:

``Dan yang mengharuskan  membawa sembahyang Zohor kemudian daripada Jumaat yang kurang daripada empat puluh itu  kata Shaykh Ahmad al-Qushashi di dalam kitab Munyati Ahli al-Wara` telah muwafakat di dalam kitab yang besar-besar karangan Imam Nawawi di dalam kitab Tuhfat al-Muhtaj, dan di dalam Nihayah dan Fathu al-Mujib dan Fathu al-Qarib Sharah Abu Shuja` dan Minhaj al-Qawim dan Mahalli dan segala kitab bahasa Jawi yang karangkan oleh Shaykh Nuruddin dan Shaykh Abdul Rauf di Negeri Aceh dan kitab Bahjatu al Mahafil dan kitab Muhadhdhab dan Kitab al-Ghurawiyyah karangan Shaykh kami Ibrahim bin Hassan Kurdi nama baytun – Makkah Madinah dan muwafakatlah segala ulama yang besar-besar seperti Imam al-Ghazali dan Imam ar-Rafi`I dan Imam An-Nawawi daripada segala ulama yang mengikut mereka itu akan Imam Shafie pada Qawl Jadid, tiada mereka itu mengharuskan sembahyang Jumaat dengan kurang daripada empat puluh orang laki-laki yang sempurna mereka itu, iaitu laki-laki aqil baligh mereka itu lagi merdeheka lagi tetap mereka itu dalam suatu negeri atau dalam satu dusun. Maka apabila tiada diperoleh segala syarat yang telah tersebut itu, tiadalah mengharuskan  sembahyang Jumaat. Demikianlah tersebut di dalam segala kitab mereka itu, pada hal mengikut mereka itu akan Shafie pada Qawl Jadid.`` (Shafie Abu Bakar, 1973/74: 6-7 lampiran).

Dalam membicarakan hujah-hujah dan syarat-syarat kita menemui maklumat tentang tokoh-tokoh ulama pada akhir abad ke 17 dan awal abad ke 18. Bila membicarakan tentang taqlid, kalau mau menurut mazhab Hanafi atau Maliki, maka hendaklah  diketahui akan syarat-syaratnya, jika tidak tahu hukum dan syarat-syarat maka tiada sah sembahyang , kerana jatuh ia akan syak. Menurut Shaykh Abdul Malik pendapat ini sepakat antara:

``Maka jika sembahyang syak itu tiadalah sah sembahyang itu. Maka telah muwafakatlah Datuk Syed Abdullah dan segala syed yang lain dan Faqih Abdul Qadir di Palembang dan Faqih Abdul Rahman di Batavi dan Faqih Abdul Samad di Kedah dan Haji Ibrahim dan Tuk Haji Muhammad di Sebatan (Siantan ?) dan fikrun hamba akan mengatakan tiada sah taqlidkan hanya mengetahui segala syarat yang ditaqlidkan hanya ada suatu qawl yang mengatakan taqlid kepada Mazhab Abu Hanifah yang kurang daripada empat puluh. Maka segala Datuk semuhanya itu mengatakan tiada sah, kerana sebab sembahyang itu jatuh ia kepada syak, maka bersalahan di negeri Keling dan Arab itu bercampur mazhab tiap-tiap tempat, maka sahlah yang demikian itu kerana menghasilkan mazhab Jumaatnya, maka negeri Melayu ini semuanya mazhab Shafie.`` (Shafie Abu Bakar, 1973/74: 14 lampiran.

Pengarang juga menyebutkan bahawa pendapat yang dikarang di dalam Naqal ini dipersetujui oleh sahabat-sahabat Haji Abdul Malik yang tinggal serumah semasa belajar di Makkah-Madinah dan juga disebutkan kehadiran beberapa ulama di Terengganu. Kata pengarang:

``Maka tatkala datang Haji Muhammad Salleh ke negeri Jawi ditanyakan Naql ini kepadanya, maka katanya perkataan ini sahih suatu pun tiada diubahkan, lagi pula Raja Khatib beroleh satu Naql daripada Imam Fatawa diperoleh daripada Syed Muhammad Angkawi pada menyatakan hukum sembahyang Jumaat itu muwafakat jua dengan Haji Abdul Malik dan Haji Abdul Rauf dan Haji Muhammad Salleh dan segala haji-haji yang duduk di rumah Tuan Haji Abdul Rauf semuhanya mengatakan bahawa ia biasa melihat dan biasa mengerjakan sembahyang Jumaat mengikut Qawl Qadim, lagi pula tatkala Raja Khatib pergi ke negeri Terengganu pada masa membawa fira` a-ng-k-n Raja Terengganu itu, maka ia membawa ini Naql yang diperoleh daripada Imam Fatawa pergi ditunjukkan kepada segala Datuk-Datuk di negeri Terengganu, maka segala Datuk-Datuk semuhanya mengatakan bahawa perkataan Naqal ini sahih suatu pun tiada diubahkannya akan salah suatu daripada dua qawl itu, hanya dikatanya jika kehendaknya persukaran mendirikan Qawl Jadid hendak dikerjakan sembahyang Jumaat mengikut Qawl Qadim jua. (Shafie Abu Bakar, 1973/74:16-17 lampiran).

Masalah yang ditimbulkan, terutama pendapat Qawl Qadim dan Qawl Jadid oleh kerana pada zaman tradisi sukar mendapat 40 lelaki sempurna bagi mendirikan Jumaat, sedang kalau tidak didirikan Jumaat menghilangkan syiar Islam. Petikan berikut mencerminkan keadan yang dihadapi:

``Dan termazkur di dalam kitab yang dinaqalkan oleh Nam Ban daripada Lebai Abdul Mannan itu katanya, maka adalah sembahyang Jumaat dengan memakai Qawl Jadid itu sangat picik lagi sukar diperoleh di dalam suatu dusun itu laki-laki yang kamil empat puluh bilangan mereka itu, maka tatkala itu tiadalah diperoleh berdirikan sembahyang Jumaat, maka menjadi rubuhlah agama Islam. Maka adapun sekarang ada suatu jalan yang lain pula apabila tuan-tuan sekalian hendaklah mendirikan sembahyang Jumaat dengan kurang daripada empat puluh dan Qawl Qadim itu sahlah Jumaat itu.``
(Shafie Abu Bakar, 1973/74: 18 lampiran.

Shaykh Abdul Malik bin Abdullah (Tuk Pulau Manis) menyusun risalah Naqal mengenai bilangan mendirikan solat Jumaat semata-mata bagi tujuan mengatasi masalah bilangan mendirikan Jumaat. Dengan keperluan 40 orang lelaki sempurna menurut Qawl Jadid Imam Shafie (Pendapat baharu Imam Shafie selepas beliau berpindah ke Mesir) maka pada zaman tradisi sukar untuk mendapat jumlah tersebut bagi mendirikan solat Jumaat, maka untuk mengelak dari `rubuh`nya agama Islam boleh digunakan Qawl Qadim (sebelum berpindah ke Mesir) dengan jumlah kurang daripada 40 hingga kepada empat orang, tetapi sunat diiringi dengan solat Zuhur. Sebahagian daripada yang ditulis menurut Shaykh Abdul Malik adalah dipetik dari karangan gurunya Shaykh Ibrahim bin Hasan al-Kurdi daripada tulisannya ``Al-Jawab bi al-Ghurawiyyah li al-Masalah al-Jawi, maka kata Shaykh Abdul Malik:

``Maka adalah Faqir yang hina ini, iaitu Haji Abdul Malik dan menjawikan jua sekali-kali tiada ia membuat kata-kata. Maka barangsiapa mungkir akan perkataan ini maka adalah ia mungkir akan segala pendita yang tersebut di dalam Naql ini dan jangan sekali-kali siapa menyangkal bahawa Faqir ini berbuat kata-kata dengan sendirinya, kerana ia orang Jawi. Tamat.
(Shafie Abu Bakar, 1973/74: 23 lampiran.

Sekian.

September 17, 2013

Perbincangan Antara Raja Mandalika, Menteri Dan Imam - Isytihar Islam Dengan Tulisan Jawi Pada Batu Bersurat Dirakam



Berikutan dari majlis ilmu di istana
Raja Mandalika bertitah,
``Memanda Menteri, bagaimana persiapan
Dengan himpunan isytihar Islam
Berhadapan Kuala Tara
Kg. Buluh, Kuala Berang ?``
Memanda Menteri menjunjung Duli,
``Menurut mesyuarat diputuskan
Jumaat 4 Rajab 702H. akan datang
Semua rakyat diminta turun meraikan.``
Raja Mandalika menambah titah,
``Oleh kerana ini peristiwa sejarah
Perlu diabadi dengan tulisan Jawi
Tulisan berasal dari sini, bagaimana Imam ?
Imam Menjunjung Duli mengiakan
Memuji dengan bernas cadangan.
Sembah Memanda Menteri
Untuk lebih kekal tahan patik cadang
Pahat maklumat pada Batu Bersurat
Adapun tentang batu kita kerah
Pegawai-pegawai istana ke Jeram Tumpat
Memilih batu paling sesuai untuk diangkat.

Raja Mandalika menambah titah
``Memanda Menteri Tuan Imam
Siapa akan menyurat, siapa memahat ?``
Sembah Menteri, ``Patik bincang dengan juru surat``
``Juga patut panggil ustaz juru khat``, kata imam
Adapun tukang pahat, kata Menteri
Kita panggil seorang dua juru bina istana
Yang memang mahir mengukir-memahat
Menurut kehendak apa yang disurat.

Pada hari Jumaat 4 haribulan Rajab
Tahun Sartan dari 702H. Junjungan
Rakyat Kuala Berang berbagai lapisan
Datang berhimpun di pinggir Sungai Tersat
Ada yang datang dari hilir
Ada pula dari arah hulu
Penuh sesak pengkalan dengan perahu
Yang berkedudukan dibawa berusung
Yang tepak ditandu
Yang kecak melangkah berentak
Yang lemah bertongkat
Teramai berjalan kaki
Penuh sesak di hadapan lindungan
Mendengar titah akan disampaikan.

Tiba saat dan waktu
Dari bawah lindungan bermulalah
Tuanku Mandalika menyampaikan titah
Dengan nama Allah dan salawat kepada Rasulullah
Dengan ini Beta mengisytiharkan
Pada Jumaat 4 haribulan Rajab di Tahun Sartan
702 sesudah Hijrah Rasul s.a.w
Di  Benuaku ini penentu agama Islam
Beriman dengan keesaan Tuhan
Hukum hakam hendaklah menurut syariat
Bagi yang berhutang melunaskan hutang
Bagi yang mencuri dikenakan hukuman
Bagi yang berzina dihukum menurut keadaan
Jika merdeka bujang dipalu seratus rotan
Jika merdeka isteri atau suami ditanam
Dihambelang dengan batu hingga mati
Pemberi keterangan palsu ada hukum tertentu
Untuk panduan perisytiharan ini dirakam
Pada Batu Bersurat menjadi rujukan
Saksi sejarah sepanjang zaman
Rakyat yang menerima Islam
Pulang dengan penuh azam
Amal Islam dalam kehidupan.

Berminggu Menteri, Imam, ustaz, pemahat
Dengan teliti merakam perisytiharan
Pada Batu Bersurat dan menegakkan
Berdepan dengan Sungai Tersesat
Berkuala Sungai Berang dan Terengganu
Bahawa di sini sebuah sejarah terakam
Penerimaan agama Islam
Di sini bermula tradisi keilmuan
Tulisan Jawi warisan Islam.

Shafie Abu Bakar,
Bandar Baru Bangi,
10 Zulkaedah 1434
16 September 2013.

September 16, 2013

Shaykh Abdul Malik Pulang Ke Terengganu Menyebarkan Keilmuan


BBB, 09 Zulkaedah 1434 = 15 September 2013 (Ahad):

Setelah berada di Makkah-Madinah lebih dari satu dekad kerana menuntut ilmu dan menyebarkannya sejak di Makkah dengan mengarang kitab Hikam Melayu, maka Shaykh Abdul Malik bin Abdullah pulang ke Hulu Terengganu. Menurut cerita lisan, ia pulang bersama dengan seorang anak perempuan. Tidaklah dipastikan anak perempuannya ini hasil dari perkahwinannya semasa di Makkah atau kemungkinan beliau singgah di Aceh tempat beliau singgah sebelum ke Makkah dahulu dan berkahwin.

Shaykh Abdul Malik pulang ke Kampung halaman asalnya, iaitu Kampung Pauh, tidak jauh dari Kuala Berang Hulu Terengganu. Kepulangannya menyemarakkan Kampung Pauh dengan pengajaran. Kitab-kitab bertulis tangan yang dibawa pulang sama ada di dalam bahasa Melayu atau di dalam bahasa Arab digunakan di dalam pengajaran terutama yang berhubung dengan bidang akidah, fiqh dan tasawuf. Dengan demikian pusat pengajian yang diasaskan oleh moyangnya dahulu berkembang maju dan didatangi pelajar tempatan dan luar. Beliau menjadi tokoh yang berpengaruh pada masa itu, bahkan berperanan di dalam mengangkat pemerintah. Negeri Terengganu pada masa itu masih belum mempunyai Sultan dan terletak di bawah pengaruh Johor dan juga Siam (Patani). Tun Zainal Abidin bin Bendahara Tun Habib Abdul Majid dihantar ke Terengganu dengan persetujuan Kerajaan Johor di bawah pemerintahan Sultan Abdul Jalil (IV) yang menggantikan Sultan Mahmud II Mangkat Dijulang, juga dengan persetujuan pemerintah Siam (Patani) Nang Cayang.

Menurut catatan Haji Buyung Adil ``Apabila sampai ke Terengganu, Tun Zainal Abidin dan rombongannya itu telah disambut oleh seorang orang besar (berasal dari negeri Johor) yang menjaga Kuala Terengganu bernama Tuk Raja Kilat, serta lain-lain orang besar di Terengganu. Setelah itu orang besar-besar itu pun mengangkat Tun Zainal Abidin jadi Raja di Terengganu di sebuah kampung di tepi sungai Terengganu bernama Tanjung Baharu (letaknya lebih kurang lima batu ke hulu sebelah kiri mudik Kuala Berang).
(Haji Buyong Adil, Sejarah Terengganu, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1974: 14).

Kampung Tanjung Baharu adalah berdekatan dengan Kampung Pauh di Hulu Terengganu. Adalah diceritakan bahawa Shaykh Abdul Malik bin Abdullah memainkan peranan yang penting di dalam upacara melantik Tun Zainal Abidin menjadi Sultan Terengganu  ini. Di dalam maklumat dan cerita dari turunan dan rakyat setempat termasuk oleh Haji Buyong Adil di dalam buku Sejarah Terengganu ini menyebut bahawa Tun Zainal Abidin selepas dilantik telah beristerikan anak Datuk Pulau Manis (Datuk Abdul Malik bin Abdullah). (Haji Buyong Adil, Sejarah Terengganu, 1974: 15). Anak Shaykh Abdul Malik bin Abdullah yang diperisterikan oleh Tun Zainal Abidin ini adalah anak perempuan Shaykh Abdul Malik yang pulang bersamanya selepas pulang dari Makkah.

Dari peristiwa di atas menunjukkan bahawa kedudukan Kuala Berang sejak menerima Islam akhir abad ke 13 terus berpengaruh menjadi pusat politik dan pemerintahan dan juga menjadi pusat pengajian keagamaan dan perluasan penulisan yang menggunakan huruf Jawi.

Namun pada permulaan abad ke 17 berlaku perubahan politik. British yang mulai tiba ke Terengganu mencari pengaruh, di samping berusaha menjalankan perdagangan di negeri Terengganu. Ini memerlukan pentadbiran yang kukuh bagi mendepani pengaruh dari luar. Lantaran itu Tun Zainal Abidin yang dilantik di Hulu Terengganu merasa perlu bergerak ke Kuala Terengganu. Perpindahan ini diikut sama oleh Shaykh Abdul Malik bin Abdullah. Tun Zainal memilih tempat dalam kawasan Bukit Keledang dengan membangunkan sebuah kota kayu di atas bukit berkenaan dan kota ini dikenali dengan `Kota Lama`, manakala orang-orang Patani yang datang bersama Tun Zainal Abdin ditempatkan di Kuala Terengganu disebuah kawasan yang kemudian dikenali sebagai `Kampung Petani`.
Adapun Shaykh Abdul Malik memilih perkampungan di tepi Sungai Terengganu dikenali dengan `Pulau Manis`. Dengan nama kampung ini, kemudiannya beliau dikenali sebagai `Tuk Pulau Manis`. Shaykh Abdul Malik dapat berulang dari kampung Pulau Manis ke Kuala Terengganu melalui jalan sungai bagi menjalankan urusan baik yang berhubung dengan pengajaran atau pentadbiran. Tempat ini tidak begitu jauh dari Kuala Terengganu (10km.), lagi pula melalui jalan sungai ini mudah bagi beliau untuk sekali sekala pulang ke kampung asal di Hulu Terengganu. Fakta yang mengukuhkan mengapa Shaykh Abdul Malik memilih Pulau Manis, kerana antaranya beliau berkahwin dengan anak pembesar tempatan di situ pada masa itu, iaitu anak Tuk Raja Kilat (Wakil Pemerintah Johor) di Kuala Terengganu. Pembesar digelar `Tuk Raja Kilat`, kerana beliau begitu cepat berulang alik dari Kuala Terengganu ke Johor. Anak Tuk Raja Kilat yang dikahwini Shaykh Abdul Malik ini namanya `Puteri Mahpuri`. Adalah dilegendakan dalam cerita lisan,

``Kononnya pada masa muda Shaykh Abdul Malik bersama bapa saudaranya yang bernama Ismail berulang alik membawa dagangan dari Hulu Terengganu ke Kuala Terengganu dan tempat-tempat yang lain, kononnya pada satu kali Abdul Malik terpandang Puteri Mahpuri yang mandi di Pengkalan Kampung Pulau Manis. Pemuda Abdul Malik meminta keluarganya meminang Puteri Mahpuri, tapi tidak disetujui oleh bapa Puteri Mahpura (Tuk Raja Kilat). Oleh kerana kecewa, Abdul Malik bertekad ke Makkah belajar di sana sehingga menjadi seorang alim dan pulang ke Hulu Terengganu. Sebagai orang alim beliau akhirnya diterima menjadi menantu Tuk Raja Kilat dan berkahwin dengan Puteri Mahpuri yang setia menunggu kepulangannya dari Makkah. Peranan penting Shaykh Abdul Malik di `Pulau Manis` ialah membuka Pusat Pengajian dan menghasilkan karangan-karangan bagi dijadikan bahan pengajaran. Kemakmuran Terengganu menjadikan Pondok Pengajian yang dibukanya bertambah maju.

Sementara itu Kuala Terengganu berkembang sebagai pusat pemerintahan dan perniagaan, bahkan diintai untuk bertapak padanya oleh kuasa luar. Adalah dilaporkan:
Bahawa pada tahun 1719 dan 1720  Kapten Alexandar Hamilton telah dua kali singgah di Kuala Terengganu. Dalam laporannya ia mengatakan:
``Dalam Bandar kepala Negeri Terengganu itu ada lebih kurang seribu buah rumah, dan rumah-rumah ini tidaklah terletak di lorong-lorong yang tertentu, melainkan berkelompok-kelompok bersepah-sepah di sana sini; tiap-tiap kelompok adalah  sebanyak sepuluh atau dua puluh buah rumah. Hasil keluaran dari negeri itu ialah lada hitam dan emas. Ada sebahagian tempat dalam Bandar itu didiami oleh orang-orang Cina dan ``Mereka menjalankan perdagangan dengan baik di situ dan mendatangkan ke Kuala Terengganu tiga atau empat buah tongkang tiap-tiap tahun; di samping itu mereka menjalankan juga perdagangan dengan negeri Siam (Thai), Kemboja, Tongking dan Sambas.`` (Haji Buyong Adil, Sejarah Terengganu, 1974: 18). Kedatangan Hamilton pada peringkat permulaan bertujuan mau menjualkan barang dagangan yang dibawa dan membeli barang dagangan dari Kuala Terengganu untuk didagangkan di tempat-tempat yang lain.

Selepas dari Terengganu mempunyai Sultan, iaitu Sultan Zainal Abidin I, maka pusat pentadbiran semakin kukuh dan tidak lagi berada di bawah naungan Johor atau Siam dan kegiatan keilmuan makin berkembang.

Sekian.

September 15, 2013

Khidmat Masyarakat Pengakap Sekolah Menengah Jalan 2 BBB

-->
BBB, 08 Zulkaedah 1434 =  14 September 2013 (Sabtu):

Seramai 24 orang pengakap Sekolah Menengah Jalan 2 Bandar Baru Bangi (BBB) membersihkan kawasan 1/3 Seksyen Satu BBB pagi ini mulai jam 10.00 hingga jam 12.00 tengahari sebagai khidmat masyarakat mereka terhadap penduduk di kawasan berkenaan. Program di bawah pengawasan Guru Pengawas, Cikgu Musa bin Muhammad. Pasukan diketuai Pelajar Hafiz bin Johari dengan penolongnya Pelajar Ahmad bin Shaza.


Sebenarnya pada Khamis 12 September malam, pihak AJK Surau al-Umm yang kebetulan bermesyuarat pada malam itu untuk program Qurban Hariraya Idul Adhha anjuran Surau al-Umm diberitahu oleh Puan Hajah Aminah AJK surau, bahawa pihak Sekolah Menengah Jalan Dua menghubunginya, bercadang mengadakan Khidmat Masyarakat membersih surau sebagai salah satu kegiatan acara tahunan pengakap. Pihak AJK berbincang cadangan itu sebagai agenda tambahan. Pihak AJK berpendapat, oleh kerana Surau al-Umm sudah mempunyai pekerja membersih secara mingguan, maka surau tidak perlu kepada pembersihan. Walau bagaimana pihak AJK tidak menolak cadangan murni oleh pihak Sekolah, tetapi mencadangkan agar fokus pembersihan ialah terhadap kawasan 1/3 keseluruhan. Pada masa itu juga Puan Hajjah Aminah menghubungi pihak Sekolah (Pengetua Datin Hajah Paridah bt. Ahmad) dan cadangan disetujui agar khidmat masyarakat diadakan pada hari ini dengan tempat berkumpulnya ialah di Pejabat Mantan Adun Bangi yang juga selaku Pengerusi Surau al-Umm. Walaupun tidak ada syarat yang dirundingkan, pihak AJK Surau bersetuju untuk mengadakan makan pagi dan minuman disediakan disepanjang khidmat masyarakat diadakan.


Sebelum jam 10.00 pagi hari ini pelajar-pelajar sudah tiba di Pejabat Mantan Adun Bangi, Mantan Adun bersama saudara Azizi yang juga telah tiba menyambut pelajar-pelajar berpakaian kemas beruniform pengakap itu. Mereka melapurkan diri dan memperkenalkan Ketua mereka Pelajar Hafiz bin Johari dan Penolong Pelajar Ahmad Shaza. Sebahagian daripada mereka membawa alat membersih. Pihak AJK selain dari menyediakan makanan dan minuman, turut menyediakan beg-beg plastic untuk diisi sampah. Program pertama sebelum kerja bermula selepas bersalaman, Mantan Adun selaku Pengerusi Surau al-Umm mempersilakan pelajar makan pagi terlebih dahulu. Kemudian pembahagian beg plastic kepada setiap peserta. Diikuti berikutnya ucapan ringkas oleh Ketua Pasukan Pelajar Hafiz Johari. Selepas salam beliau mengucap terima kasih di atas penerimaan pihak surau dan menyampaikan salam dari Pengetua Sekolah. Menurutnya Program Khidmat Masyarakat adalah merupakan program tahunan Sekolah. Program ini sepatutnya berlangsung pada bulan Julai yang lepas, tetapi oleh kerana pada masa itu berlaku jerubu yang teruk – termasuk di kawasan BBB, maka program ditangguhkan kepada hari ini. Menurut Pelajar Hafiz, pada hari ini ada dua pasukan dari Sekolah yang menjalankan Program Khidmat Masyarakat. Program membersih sampah kawasan 1/3 ini disertai seramai 24 orang dan satu program lagi ialah membersih Surau al-Ehsan disertai oleh 15 orang pelajar. Saudara Hafiz mengucap terima kasih di atas kemurahan hati pihak AJK Surau al-Umm menyediakan makan pagi dan minuman dan menyediakan karung-karung plastic.


Mantan Adun Bangi yang juga Pengerusi Surau di dalam ucapan ringkasnya memuji program yang diadakan oleh pihak Sekolah yang sebenarnya dapat mencapai beberapa objektif, iaitu memenuhi program tahunan pengakap, membersih kawasan, memupuk hubungan kemasyarakatan antara pihak Sekolah dengan penduduk setempat dan memenuhi tuntutan kejiranan yang perlu baik lantaran Sekolah dengan kawasan 1/3 paling dekat, sama dekat dengan kawasan 1/7 dan Seksyen Dua. Menurut Mantan Adun Bangi, hubungan baik seperti ini perlu diteruskan, bukan saja khidmat masyarakat oleh pihak pengakap, tetapi kerjasama dan hubungan yang lain yang bersesuaian. Pada akhir ucapan secara bergurau Mantan Adun berkata, ``Kegiatan memungut sampah pagi ini akan dimoniter, saudara Azizi akan memerhati, sebab itu jangan ada yang tuang atau curi tulang !`` Tambah Mantan Adun, ``Sebenarnya saudara Azizi adalah juru gambar yang akan merakamkan kegiatan pelajar-pelajar sebagai rekod dan kegiatan.``


Berikut dari itu Pelajar Hafiz membahagikan pelajar-pelajar kepada empat kumpulan yang ditugaskan membersih dan memungut sampah pada 4 zon

1)      Zon pasar hingga Dataran Usahawan
2)      Zon kedai
3)      Zon surau
4)      Zon teres dua tingkat

Mereka bergerak secara teratur ke bahagian zon masing-masing. Saudara Azizi mengikuti mereka sekejap bagi mengambil gambar kegiatan mereka. Kemudian kembali ke pejabat selepas membeli ice untuk dibancuh dengan cordial untuk diminum semasa dan selepas mereka bekerja. Kuih-kuih tambahan turut dibeli.


Sesudah lebih kurang dua jam mereka pulang dengan beg-beg plastic masing-masing yang penuh dengan sampah yang diminta longgokkan di tepi pejabat agar diangkat oleh lori pemungut sampah.


Selepas rehat dan minum, program melaporkan kegiatan diadakan. Mereka sekali lagi berbaris dihadapan pejabat dan mengangkat tabik hormat dengan dibalas Mantan Adun dengan balasan tabit hormat. Saudara Ahmad Shaza, memaklumkan, mereka telah pergi membersih dan memungut sampah, hasilnya 24 beg sampah dapat dipungut sebagaimana dilonggok di tepi pejabat. Mereka memohon diri dan mengangkat tabik.


Mantan Adun membalas tabik dan bersalam dengan mereka seorang demi seorang sambil mengucap terima kasih dan mengharapkan bertemu dalam program yang lain pada masa akan datang.

Sementara itu di Surau al-Umm, terdapat sekumpulan pelajar dari Sekolah Agama Menengah Ma`had Hamidiah, Kajang (di bawah DUN Bangi) berjumlah serama 15 orang telah datang ke surau al-Umm sejak petang Jumaat 13 September lepas hingga hari Ahad  15 September. Mereka datang berjamaah, bertazkirah dan qiyamullail. Kita bergembira melihat anak-anak Sekolah menengah terdidik merapat diri dengan masyarakat, lebih-lebih lagi kepada Allah. Kita berharap generasi sedemikian akan mewarnai masyarakat pada masa akan datang.

Sekian.