February 4, 2014

Mendepani Pengundi Kajang Perlu Jelas Dan Berkeyakinan


BBB, 03 Rabiul Akhir 1435 = 03 Februari 2014 (Selasa):

Pengundi Kajang disifatkan sebagai pengundi bijak dan berwawasan. Dalam sejarah pilihanraya memperlihatkan pengundi kawasan Kajang boleh berubah bergantung pada isu dan kepentingan penduduk kawasan berkenaan. Penduduk kawasan Kajang dihuni oleh ramai kalangan intelektual yang berkhidmat di banyak universiti di sekitar Kajang dan di berbagai institusi, swasta dan kerajaan. Pendapat dan pandangan mereka mempengaruhi orang banyak dan penduduk setempat. Orang Cina sendiri terkenal peka dengan pengundian menurut kepentingan. Lantaran itu cara pemilihan sering berubah mengikut keadaan dan kepentingan. Sebab itu sejarah pemilihan wakil rakyat mereka berubah dan bertukar misalnya dari DAP kepada BN, Pas, BN dan PKR.

Bagi menghadapai pilihanraya kecil Kajang yang akan berlangsung calon-calon yang akan bertanding akan menghadapi `penghakiman` teliti dari pengundi-pengundi Kajang berdasarkan track rekod yang lalu, situasi terkini dan harapan (janji) masa depan. Kerusi Dun Kajang (2008-2013) sebelum ini memang dipegang oleh PKR, tetapi wakil rakyat pada masa itu tidak diteruskan ! Adakah kelemahan ketara padanya  (Lee Kim Sin) ? Manakala wakil rakyat yang baru dipilih (Lee Chin Cheh) dikatakan belum sempat menyampaikan khidmat. Dapatkah digembar-gemburkan nanti tentang perkhidmatan cemerlang yang telah dapat diberikan kepada penduduk Kajang ?

Maksud `Jelas Dan Berkeyakinan` melibatkan banyak pihak mulai dari pihak pimpinan kepada mereka yang hendak menyampaikan penjelasan dan kepada khalayak pengundi. Bayangkan jika kader-kader yang hendak menyampaikan maklumat tidak memahami bahkan meyakini dengan apa yang hendak disampaikan, maka bagaimana mereka dapat menyampaikan maklumat dan penerangan secara jelas dan meyakinkan ?
Setakat ini – sekurang-kurangnya pada Penulis, ada perkara-perkara yang kabur. Pada tanggapan Penulis, mungkin silap, semacam tidak ada rundingan dan rujukan terlebih dahulu pada peringkat tertinggi pemimpin-pemimpin PR, terutama dari Pas sehingga tidak kelihatan kesatuan pendapat dan pendirian bersama. Pada peringkat negeri Selangor pula kelihatan seperti tidak diajak berunding sehingga keluar pendapat yang tidak selari di antara pimpinan pada peringkat negeri sehingga terasa mereka bagai dipinggir dan dikesampingkan. Pada hal suara, hak dan kekuatan sepatutnya adalah seimbang.

Pada peringkat negeri, sekurang-kurangnya pada Penulis, semacam menerima maklumat yang kecamuk. Misalnya mengenai kedudukan Menteri Besar Selangor dikatakan tidak berubah, walaupun selepas kemenangan Dato` Seri Anwar di DUN Kajang, Dato` Seri Anwar dikatakan akan dilantik menjadi exco di Dewan Negeri Selangor, manakala maklumat lain menyatakan kepimpinan akan diambilalih oleh Dato` Seri Anwar, namun menurut kenyataan awal Dato` Seri Anwar, bahawa beliau menafikan mau ambil alih kerusi Menteri Besar Selangor.

Kita dikelirukan dengan ada yang berpendapat bahawa kemasukan Dato` Seri Anwar adalah bagi mengawal kuasa dan pengaruh pihak tertentu. Seharusnya perkara seperti ini tidak sepatutnya ditimbul. Ianya melibatkan soal parti dan parti boleh selesaikan.

Kejelasan perlu diberi kepada kader-kader untuk disalurkan kepada orang ramai dari kewajaran perletakan jawatan Lee Chin Cheh bagi memperkukuhkan parti, kepada kedudukan Menteri Besar yang kita kira sudah mantap, significantnya Kajang  bagi hasrat menawan Putrajaya.

Kita amat bimbang sebelum strategi pembangunan dapat dilaksanakan bagi (2013-2018),
Masa akan lebih banyak dihabiskan di dalam menghadapi krisis kepimpinan dan pentadbiran, lantaran itu wawasan pembangunan yang dijalankan pada sesi (2003-2008) terganggu dan menggugat Pakatan Rakyat.

Kita berpendapat sebaik-baiknya kembali kepada status quo yang sedia ada yang sudah mantap. Kerajaan PR jangan mengikut jejak kerajaan BN yang sudah berapa siri Menteri Besarnya tidak dapat melengkapkan penggal pemerintahan dan terpaksa berundur sebelum tamat tempoh penggal pemerintahan, kerana menghadapi krisis. Kita sebenarnya tidak mempunyai krisis, tetapi sengaja mencipta krisis. Kita berharap tempoh pemerintahan akan berterusan. Pembaikan boleh dilakukan dari luar dan dalam tanpa berlaku pengunduran.

Permasalahan – antaranya sengaja diadakan perlu dihuraikan dengan jelas dan terang agar pengundi bagi pilihanraya  kecil Kajang tidak keliru dan memberi sokongan dengan penuh berkeyakinan.

Sekian.

February 3, 2014

Jangan Cemari Imej Datuk Lee Chong Wei Dengan Kotoran Politik !


BBB, 02 Rabiul Akhir 1435 = 02 Februari 2014 (Ahad):

Sukan adalah bidang yang dapat menyatukan rakyat Negara ini tanpa membezakan antara faham politik, kaum dan latar belakang. Datuk Lee Chong Wei adalah `Jaguh Badminton No. 1 Dunia` yang dibanggakan oleh semua rakyat Negara ini tanpa membezakan faham politik, kaum dan latar belakang. Kebanggaan terhadap pencapaian dan ketokohan Datuk Lee Chong Wei menjadi salah satu faktor menyatupadukan rakyat Negara ini.

Dalam kehangatan politik di Dun Kajang dan usaha mencari calon bertanding melawan Datuk Seri Anwar Ibrahim dari PKR di bawah PR, ada suara dari pihak BN mencadangkan agar Datuk Lee Chong Wei dicalonkan bagi pihak BN menentang Datuk Seri Anwar Ibrahim. Cadangan ini boleh disifatkan sebagai `kurang teliti` dan boleh mengundang berbagai-bagai implikasi yang tidak diingini terhadap Datuk Lee Chong Wei.

Andainya Datuk Lee Chong Wei menerima cadangan dan apa lagi menjadi kenyataan sebagai calon bagi BN, maka rakyat dari semua kaum dan lapisan rakyat akan berpecah. Kalangan pendukung BN akan menyanjung dan menyokong Datuk Lee Chong Wei dan sebelah pihak lagi yang menentang BN mulai hilang penghormatan dan pengagungan terhadap Datuk Lee Chong Wei. Dengan ini kesatuan hati rakyat menyanjungi Datul Lee Chong Wei mulai berpecah dan reputasi Datul Lee Chong Wei mulai menurun di mata rakyat.

Tidak dapat dinafikan bahawa berpolitik ialah cara dan saluran mendapat kekuasaan, baik secara betul (sukar untuk menggunakan istilah jujur), maupun sebaliknya dengan berbagai cara yang kadang-kadang digunakan istilah `menghalalkan cara bagi mendapat kuasa`. Bila Datuk Lee Chong Wei termasuk di dalam kancah politik, dia akan terpalit sama dengan mainan kotoran politik yang menghakiskan penghormatan masyarakat terhadapnya. Lagi pula bila sudah berada di atas pentas politik, soal diri dan kelemahan peribadi, bahkan keluarga akan dintai dan dikeberkan oleh musuh kepada rakyat bagi menjatuhkan imej Datuk Lee Chong Wei sebagai calon yang mungkin mengaibkan diri dan keluarga dan menjatuhkan kredebiliti diri di tengah masyarakat.

Orang politik sanggup menggunakan kesempatan yang ada, bahkan bersifat lahap dan angkuh. Apa yang dilihat pada diri Datuk Lee Chong Wei ialah asset kemasyhurannya, bukan kemampuan politik untuk dijadikan umpan politik supaya pengundi Kajang menyokong BN. Andaikan Datuk Lee Chong Wei menang, maaf, maka dijangkakan kemampuan dan sumbangan yang dapat diberi oleh Datul Lee Chong Wei dalam politik tidak lebih dari Adun-Adun biasa yang sudah ada di dalam Dewan Negeri Selangor. Lebih malang jika prestasi tidak memberangsangkan, maka imejnya akan tenggelam.
Sebagai amaran ! adalah satu bala dan mala petaka bagi Datuk Lee Chong Wei andainya beliau kalah di dalam pilihanraya kecil Kajang – adalah satu kemungkinan, maka reputasi beliau akan merudum, bahkan akan runtuh menghilangkan penghormatan dan sanjungan  yang diberi oleh rakyat Malaysia selama ini.

Pada hakikatnya kedudukan Datuk Lee Chong Wei sebagai Jaguh Badminton Dunia adalah lebih tinggi dari kedudukan seorang wakil rakyat, kita berharap Datuk Lee Chong Wei tidak akan tertarik dengan gula-gula beracun dan memperjudikan nasibnya di dalam kancah politik yang banyak liku-liku yang lebih banyak memerangkap dan menjatuhkan dan tiada jalan lurus bagi mencapai kejayaan.

Walaupun Datuk Lee Chong Wei pernah menyuarakan hasrat untuk bersara pada akhir tahun ini, pada hakikatnya beliau masih mempunyai banyak masa dan peluang bagi melonjakkan prestasinya di dalam sukan badminton baik pada peringkat nasional, regional, maupun international. Kita perlu memberi semangat dan sokongan untuk beliau mencapai lebih banyak kejayaan. Pada peringkat ini adalah tidak wajar beliau diganggu fikirannya dengan tawaran-tawaran tidak releven dan di luar dari kepakarannya (Pendapat ini mungkin sesuai dengan permintaan Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin yang meminta agar jangan diganggu Datuk Lee Chong Wee dengan tawaran politik yang mau menjadikannya calon bagi pilihanraya kecil di Kajang). Mujur setakat ini Datuk Lee Chong Wei tidak memberi respond terhadap tawaran.

Andainya penghormatan tertinggi mahu diberikan kepada Datuk Lee Chong Wei, bukannya menjadi calon Dewan Negeri, tetapi ialah misalnya dengan mendirikan `Akademi Badminton Negara` dengan menjadikan beliau Penasihat Agung yang tunjuk ajar dan latihan darinya dapat memberi manfaat bagi peningkatan prestasi badminton di Negara ini. Penghormatan juga dapat diberi dengan mendirikan `Muzium Sukan Negara` yang Datuk Lee Chong Wei ditokohkan dan nasihat daripadanya dapat dimanfaatkan.

Sekian.

February 2, 2014

Penyair/Penulis Lain Dari Generasi Kolej Islam


BBB, 01 Rabiul Akhir 1435 = 01 Februari 2014 (Sabtu):

Penyair/Penulis lain ialah Adi Rumi dan Sabda S.. Nama sebenar bagi Adi Rumi ialah Haji Abdul Aziz bin Juned dilahirkan pada 22 Disember 1941 di Kampung Setia Pahlawan, Brunei. Mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya, kemudian menyambung pengajian di Kolej Islam, Kelang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir sehingga mendapat ijazah dalam Jurusan Perundangan Islam (1969). Bidang penulisannya ialah puisi. Tulisannya tersiar di dalam Akhbar Utusan Zaman, Berita Minggu, Mastika, Berita Borneo dan lain-lain.

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd. Hanafi Ibrahim, Mengenangmu – Puisi-Puisi Melayu  Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 489).

Membaca puisi Adi Rumi berjudul Hari Esok yang Besar dan Dua Malam di dalam `Mengenangmu` (hlm. 84 & 85) menimbulkan dua persoalan di dalam diri penulis, iaitu dari nilai keislaman dan juga gaya pengucapan Adi Rumi.
Dipetik sebahagian dari:

Hari Esok Yang Besar

Kekasih jangan kau ertikan hidup ini untuk kau saja
Siapa pun berhak digolong dalam gelombang zaman
Jiwa buas jika berlenggang mengaras awan dan cakerawala
Bukanlah itu cahaya, kekasih …….
Kusentak tanganku daripadanya  menghulur rahmat …
Sebelum sempat ditawan pengawal neraka.

Percayalah, bahawa aku tak berharap kemenangan untukku seorang
Tapi betapakah bisa kau hanyutkan diri dalam arus darah
Sedang kandilmu juga telah merah, ya, merah
Sejak kau kenal pada dirimu, dan juga aku si fakir lata
Setangkai bunga nan lisut di tangan ibunda.


Dua Malam

(1)

Malam ini pertama jiwa berpijak
Kuburanmu aku sampai bunga dan mimpi
Sekali tak pernah tau disiram air mata
Rahang maut nan gelap dada neraka
Tembus terajang hidup ini hingga menyerah
Kemudian biarkan persembah untuk dunia
Seorang kekasih yang jaga dalam pangkuan
Tasik indah wilayahku istana damai.
(Mengenangmu, 1989: 84-85).

Pertama sekali berhubung dengan persoalan kedua puisi di atas agak biasa yang nampaknya berhubung dengan lelaki-perempuan, pokoknya bukan membawa tema keislaman. Ada tendensi bersifat sajak kabur yang memang Adi Rumi berada dalam zaman `Sajak Kabur` yang Adi Rumi terpengaruh dengannya.

Penulis cuba mencari beberapa puisinya yang lain. Antaranya kedapatan beberapa buah puisinya diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat 1964.

Kemerdekaan

Dari daging kepada daging
Darah ini darah sejagat
Mengapa enggan kepadanya ?

Rezki dari Tuhanmu
Bahagia, bukan bagai beras dicatu.

Tapi usah dengan niat melahap
(roh begitu kukuh pengeras tulang)
Kerana kau sendiri tak kan utoh bagai pemilik !

Lihat di sini: Aku dan anak-anakku
Tidakkah mereka satu kerat dari dagingmu !

Kolej Islam Malaya, Disember 1963  -   Adi Rumi.
(Dewan Masyarakat, Februari, 1964: 49).

Dari sajak ini memperlihatkan ciri kabur dan kelam puisi Adi Rumi. Walau bagaimana terdapat juga puisi yang tidak sukar seperti gambaran dalam puisi `Nyanyian Pagi Anak Kalimantan`  (Dewan Masyarakat, April, 1964: 30) dan Perjalanan Tanpa Hati (Dewan Masyarakat, Julai 1964: 42). Agak banyak diberi ruang bagi puisi Adi Rumi di dalam Dewan Masyarakat bagi tahun 1964 sahaja.
Sebagai kesimpulan bahawa Adi Rumi adalah antara mereka yang terpengaruh dengan angkatan Puisi Kabur, walaupun tidak dapat dikategorikan bahawa beliau sebagai penyajak kabur.

Selain dari Adi Rumi seorang lagi Penyair Kolej Islam ialah saudara Sabda S. Nama sebenarnya ialah Sujaidi Dasuki. Beliau dilahirkan pada 21 Mac 1949 di Pontian, Johor. Mendapat pendidikan di Kolej Islam Kelang dan Kolej Islam Petaling Jaya hingga lulus STP. Beliau menulis cerpen, sajak dan rencana. Beliau menghasilkan Kumpulan Cerpen Pengajaran (1982) dan Enviro 2001 (1980). Memenangi hadiah sagu hati peraduan cerpen berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri (1981) dan pada tahun 1982 menerima hadiah kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso-Gapena.

Dari segi puisi sebagai penyair Kolej Islam, Sabda S, mengungkapkan puisi-puisi berunsur Islam seperti Aidilfitri:

….

Dari menara jiwaku
Ke rambutku ke kukuku
Meresapmadukan ruhul kudus
Dengan nafas takwa yang tak terputus.

Dewan Sastera, November 1971.
(Mengenangmu, 1989: 423).

Demikianlah dengan puisinya yang berjudul Malam dan Maut (Mengenangmu, 1989: 424-426).

Walau bagaimana dilihat dari segi mutu perpuisian agak kurang bermutu, sebab itu nama Sabda S. kurang menonjol sebagai seorang penyair Kolej Islam dan begitu juga tidak menonjol sebagai penyair Malaysia.

Di samping nama-nama yang telah kita bicarakan, ramai lagi penulis-penulis Kolej Islam terutama yang menulis esei dan bidang-bidang ilmiah – antaranya termasuklah saudara Yahya M.S. (Pelajar Kolej Islam dari Brunei) yang turut menulis puisi dan bidang-bidang keilmuan. Penulis keilmuan juga ialah Yusof Nor (ada dua Yusof Nor dari Kolej Islam – seorang dari Besut, Terengganu dan seorang lagi dari Kelantan) dan beberapa yang lain.

Sekian.

February 1, 2014

Logic & Rhetoric Bahasa Politik


BBB, 28 Rabiul Awwal 1435 = 30 Januari 2014 (Jumaat):

Bila berlaku pilihanraya antara yang menarik, bahkan menyeronokkan ialah menghadiri ceramah-ceramah pilihanraya. Tiap parti yang bertanding akan menampilkan penceramah-penceramah terkenal mereka untuk menarik kehadiran khalayak, khususnya pengundi-pengundi mendengar penerangan dan hujah-hujah mereka yang dijangka menarik khalayak pendengar yang diharap memberi sokongan terhadap parti dan calon yang bertanding. Bagi tiap parti mempunyai jaguh-jaguh pidato yang dapat menarik khalayak – Contoh Tuan Haji Mat Sabu, Mahfoz Omar dan Salahuddin Ayub dari Pas, Dato` Seri Anwar dan saudara Azmin dari PR dan yang lain-lain. Khalayak selain dari ingin mendengar hujah yang konkrit mereka juga mau mendengar aspek-aspek lucu yang menjadi bahan gurauan dan sindiran dalam ucapan masing-masing.

Selain daripada mendengar ucapan dan ceramah pilihanraya dalam musim pilihanraya ini juga pimpinan kadang-kadang mencabar dan meminta respond dari lawan terhadap cabaran yang kadang-kadang mencerminkan kecerdasan dan kebijaksanaan pihak yang mencabar dan dicabar. Penggunaan bahasa yang mencabar dan yang dicabar kadang-kadang bersifat logic dan rhetoric yang menarik dari segi bahasa yang mencerminkan kecerdasan cara menjawab secara tepat dan kadang-kadang melucukan. Aspek sedemikian melibatkan ilmu Bahasa (Linguistic & Balaghah` yang membicarakan aspek penggunaan bahasa secara tepat, mendalam, indah atau bercabang !). Cara pengungkapan bukan dibuat-buat, tetapi spontan dan kena dengan jawapan.

Baru gelanggang pilihanraya kecil dibuka, walaupun belum diumumkan tarikh pilihanraya. Ada calon diumumkan dari awal seperti Dato` Seri Anwar Ibrahim bakal calon bagi kerusi yang telah dikosongkan di Kajang itu. Dalam meneka-neka siapa calon utama sebagai lawan kepada Dato` Seri Anwar, saudara Azmin Ali selaku Timbalan Presiden PKR dalam satu majlis mencabar Dato` Seri Najib Tun Razak selaku Presiden Umno dan BN agar bertanding di Dun Kajang, sesuai masing-masing bertaraf Ketua bagi parti masing-masing. Cabaran saudara Azmin ini adalah logic dilihat dari segi taraf dan kedudukan kedua tokoh. Cabaran dianggap bijak dan sesuai.
Tentulah cabaran ini wajar berjawab. Kita sudah tahu dengan cabaran ini tidak mungkin Dato` Seri Najib mau bertanding, tetapi yang kita mau tahu dan melihat cara dan kebijaksanaan Dato` Seri Najib menjawab.

Dalam satu majlis – termasuk di hadapan wartawan-wartawan Dato` Seri Najib ditanya tentang cabaran saudara Azmin. Beliau menjawab bahawa, beliau tidak mau dan tidak sepatutnya diseret ke dalam masalah peribadi dan rumah tangga lawan !  Jawapan Dato` Seri Najib ini dilihat dari segi rhetoric, logic dan bahasa tepat dan sepadan dengan cabaran, bahkan mematikan cabaran lawan. Di dalamnya kedapatan unsur sinis dan tajam. Kedua pihak menampilkan logic cabaran dan logic jawapan yang menandakan kedua-duanya cerdas fikiran dan spontan dari segi jawapan.

Isu yang sama dibangkitkan oleh saudara Tee Keat Bekas Presiden MCA dan Mantan Ahli Parlimen Pandan, ekoran dari Liow Tiong Lai Presiden MCA sekarang dan Ahli Parlimen Bentong mendakwa Dun Kajang adalah kawasan tradisi ditandingi calon MCA dan MCA mau bertanding bagi kerusi itu pada pilihanraya kecil nanti. Dalam konteks ini Tee Keat mengacah, ``Mengapa tidak  Tiong Lai saja bertanding ?`` - Atas kapasiti ketua lawan ketua. Acahan ini nampak bersahaja, tetapi juga bersifat sinis. Tiong Lai tidak menjawab secara langsung, tetapi dia turun pada kenyataan, katanya, di dalam satu kenyataan ``MCA akan mengemukakan senarai pendek beberapa nama yang mampu memberi kemenangan bagi MCA !`` Jawapannya mengandungi unsur positif, konfiden, berstrategi dan berpsikologi ! Walaupun orang tahu kemungkinan MCA menang belum pasti !

Daripada berbagai gaya cabaran dan jawapan kita dapat kategorikan ungkapan-ungkapan bahawa bahasa saudara Azmin bersifat `cabaran`, bahasa jawapan Dato` Seri Najib bersifat `spontan, sinis dan tajam`, bahasa saudara Tee Kiat bersifat `acah-acah dan sindir`, Tiong Lai bersifat positif dan praktis. Dapat ditambah lagi berhubung dengan pilihanraya kecil ini, Tun Mahathir bersifat `cadangan` bila beliau mencadang agar MCA diberi peluang bertanding, kerana ianya merupakan kawasan tradisi MCA, Pemuda Pas negeri Selangor yang mau memboikot bersifat pilihanraya bersifat `ancaman`,  Khairy Jamaluddin yang mau Pemuda Umno bertanding bersifat `tawaran`, manakala pihak tertentu dalam Umno mau `calon Melayu` bertanding sebagai `menyimpang` dari tradisi.

Sesungguhnya gelanggang pilihanraya kecil baru dibuka secara tidak rasmi. Aspek bahasa, logic dan rhetoric dari pemimpin politik, khususnya berkait dengan pilihanraya kecil Kajang merupakan bidang menarik untuk dikaji oleh tokoh bahasa, sastera, politik dan psikologi.

Sekian.

January 31, 2014

Tiada Pilihan Melainkan Bersatu Untuk Kemenangan


BBB, 28 Rabiul Awwal 1435 = 30 Januari 2014 (Khamis):

Kekosongan kerusi Dewan Negeri Kajang Selangor dan pemilihan Dato` Seri Anwar bertanding bagi kerusi berkenaan mengundang kepelbagaian pendapat. Golongan muda di dalam Pas bagai terkejut dan memgeluarkan pendapat mengkritik perletakan jawatan dan pencalonan Dato` Seri Anwar dengan agak keras. Pemuda Pas Selangor ancam mau boikot pilihanraya, Ketua Penerangan Dewan Ulama` Pas yang juga Ahli Parlimen Kuala Nerus Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali mengecam perletakan jawatan di Dun Kajang dan usaha untuk mengambilalih jawatan Menteri Besar Selangor sebagai menentang kepimpinan tertinggi Pas, kerana pemilihan Tan Sri Khalid atas persetujuan Presiden Pas Tuan Guru Dato` Seri Abdul Hadi Awang, manakala Y.B. Nasruddin AJK Pusat yang juga Ahli Parlimen Temerloh menganggap perletakan jawatan tanpa bersebab sebagai khianat dan berdosa.

Pendapat-pendapat yang diluahkan oleh golongan muda Pas ini sebagai kejutan spontan yang memerlukan penjernihan. Pemimpin tertinggi Pas seperti saudara Mat Sabu selaku Timbalan Presiden Pas dan saudara Salahuddin Ayob Naib Presiden Pas dari awal menyatakan pendirian akan turun padang berkempen bagi memenangi calon Dato` Seri Anwar Ibrahim. Pendirian yang bersifat rasional sebagai menyatakan kesepakatan di PR. Sebenarnya tiada pilihan bagi menghadapi pilihanraya kecil Kajang bagi mencapai kemenangan melainakan `Bersatu`. Perkara yang sama berlaku, tatkala pada peringkat permulaan apabila Lee Chin Cheh dipilih menjadi calon bagi Dun Kajang (N 25) pada pilihanraya ke 13 lepas berlaku pemboikotan terhadap beliau, oleh kerana beliau dianggap bukan orang tempatan. Usaha segera dilakukan bagi memulihkan keadaan dan kepercayaan. Pihak yang menarik diri dan menurunkan sepanduk-sepanduk sebagai protes dapat dipujuk dan kembali bersatu menjalankan kempen bagi memenangi Lee Chin Cheh.

Gema awal protes dan penentangan di dalam Pas di atas, harap tidak terus mempengaruhi kalangan pendokong muda tempatan sehingga mengambil sikap sebagaimana yang berlaku pada pilihan raya ke 13 di Kajang yang lepas. Isyarat dari pemimpin tertinggi Pas di atas sudah cukup sebagai peringatan dan pihak yang bercanggah pendapat segera membetulkan diri selari dengan sikap dan pendirian yang diambil oleh pimpinan tertinggi dan parti. Sebarang perselisihan tidak lain dari kerugian bagi parti dan PR. Dalam masa yang singkat kita dapati pihak musuh dan media yang berpihak kepada mereka telah menjadikan isu yang mencerminkan perselisihan sebagai senjata mereka dan mengipasnya agar menjadi lebih hangat yang hasilnya menguntungkan mereka.

Walau bagaimana simpton permulaan yang terjadi kepada Lee Chin Cheh dan terjadi terhadap penerimaan Dato` Seri Anwar dengan cara yang lebih besar – maksud penolakan awal terhadap Lee Chin Cheh bersifat tempatan, tetapi terhadap Dato` Seri Anwar bersifat Negara. Usaha penjernihan terhadap isu-isu yang timbul dan dimainkan hendaklah diberi penjelasan seperti mengapa sebuah kerusi yang dimenangi dilepaskan dengan begitu mudah dan terpaksa struggle untuk memenangi kembali. Apa kaitan kerusi Kajang untuk memperbaiki perpecahan yang berlaku di dalam PKR ? Sejauhmanakah gugatan terhadap kerusi Menteri Besar Selangor tanpa mengganggu terhadap kerusi Kajang yang telah mantap ? Apakah implikasinya jika Menteri Besar dikekalkan dan kerusi Kajang tidak diganggu ? Sejauhmanakan relevennya Kajang dengan Putrajaya ? Untuk menguasai Putrajaya tidak semestinya menguasai Kajang dan tidak semestinya dekat dari segi fizikal. Menguasai Kajang, tetapi tidak menguasai majoriti tidak memberi erti apa-apa, bahkah kalah di Kajang, tetapi menguasai majoriti di Parlimen boleh menguasai Federal !

Perhatian harus diberi kepada sensitiviti rakyat Kajang yang mungkin antara mereka merasa rakyat Kajang menjadi bahan experiment dan tidak menghargai amanah yang diberi oleh mereka. Penarikan sokongan dari mereka boleh menggugat kemenangan. Pengundi Kajang yang terdiri dari 50% Melayu, 42% Cina dan 8% India boleh berubah dengan faktor-faktor terbaru, misalnya diakibatkan oleh undi protes yang undi Melayu terbahagi dua boleh mengurangkan sokongan dan undi solid Cina boleh berkurang dengan beralih kepada MCA yang di bawah kepimpinan baru yang makin mantap. Bagi memelihara maruah usaha perlu digandakan bagi mendapat sokongan rakyat tidak kurang dari majoriti yang didapati oleh Lee Chin Cheh, iaitu 6,824.
Ini tidak akan dapat dicapai tanpa bersatu tenaga dan kuat kerja.

Sekian.

January 30, 2014

Fokus Isu Berpindah: Cabaran Tidak Mudah Diselesaikan


BBB 27 Rabiul Awwal 1435 = 29 Januari 2014(Rabu):

Pengumuman bahawa Dato` Seri Anwar akan bertanding di dalam pilihanraya kecil Dun Kajang mengubah fokus isu selama ini terhadap Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Y.B. Azmin Ali berubah dan berpindah kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim, bahkan Tan Sri Khalid dilihat terserlah kejujurannya, manakala saudara Azmin bukanlah sebagaimana disifatkan berhasrat untuk menduduki kerusi Menteri Besar sehingga menimbulkan sangkaan kemungkinan pemecatan beliau dari Ahli Lembaga PKNS sengaja dilakukan pihak tertentu bagi memecahbelahkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.

Isu juga berpindah kepada Lee Chin Cheh yang meletak jawatan dari DUN Kajang sebagai fokus minor dan Dato` Seri Anwar sebagai fokus major. Di dalam hal ini kita melihat ketidaksekataan berlaku bukan dari musuh politik PR, tetapi di dalam Pakatan Rakyat sendiri. Bersih mengeluarkan pendapat melalui Dato` Ambiga yang dianggap penyokong kuat PR mau penjelasan yang rasional mengenai perletakan jawatann Lee Chin Cheh dan menganggapnya sebagai politik kotor yang mengkhianati amanah diberi rakyat dan bercanggah dengan amalan demokrasi sebenarnya. Dapatlah difahamkan konsep `bersih` bukan saja bersih dalam pilihanraya yang selama ini dituntut oleh PR, tetapi juga bersih  bermakna dari segi amanah yang diberi, jika kita tidak menjaga amanah yang diberi, maka kita juga boleh digolong sebagai tidak bersih. Kalau begitu sejauhmanakah kita mempraktikkan konsep bersih yang kita perjuangkan – jadi ada percanggahan.

Berlainan dengan DAP yang memberi sokongan padu terhadap isu yang berlaku di Selangor ini, Pas agak lantang di dalam membuat kenyataan. Walaupun saudara Salahuddin Ayub Naib Presiden Pas Pusat menyatakan akan memberi sokongan dan akan turun padang berkempen membantu calon PKR yang akan bertanding di Kajang, tetapi Y.B. Ustaz Nasruddin Ahli Jawatankuasa Pas Pusat selaku Ahli Parlimen Temerloh membuat kecaman keras, bahawa adalah berdosa meletak jawatan dan mensia-siakan amanah yang diberi rakyat. Ertinya ianya sebagai pertanda ketidakadanya penyelarasan dari segi pendapat.

Pas negeri Selangor juga kelihatan laju dan terburu-buru di dalam membuat kenyataan yang mungkin tidak dirujuk kepada peringkat Pusat dengan Setiausaha membuat kenyataan akan mengemukakan calon Menteri Besar, andainya berlaku perubahan dari Menteri Besar sekarang, bahkan menamakan Pesuruhjaya Pas Selangor sebagai calon bagi Menteri Besar. Pas negeri Selangor mempunyai kewajaran untuk menuntut kerusi Menteri Besar Selangor, memandangkan Pas mempunyai suara yang lebih kuat dari PKR dan Dap di Dewan Negeri Selangor, tetapi dengan pengumuman segera mungkin membuat hubungan di dalam PR di Selangor terjejas. Oleh kerana masa masih banyak seeloknya isu Menteri Besar dirujuk kepada peringkat Pusat dahulu. Dengan demikian dapat dijaga dari segi hubungan di dalam PR, bahkan dapat mengelak peringkat Pusat dari terjebak dalam situasi yang tidak menyenangkan. Isu Menteri Besar tidak mudah diselesaikan bahkan lebih rumit kerana ianya melibatkan pihak Istana.

Namun dari satu segi tindakan yang diambil Pas Negeri Selangor tidak boleh dipersalahkan, kerana pihak PKR yang menjadi rakan di dalam pemerintahan tidak dirunding dan tidak dimaklumkan dengan tindakan dan perkembangan yang berlaku di Dun Kajang. Dalam kata lain penghormatan dan sensitiviti rakan di dalam satu PR yang memerintah tidak diambil kira, lantus mencetuskan reaksi balas dari pihak PAS negeri. Keadaan lebih jauh dari itu, sikap PKR dalam hubungan pengosongan kerusi dan pengumuman bertanding oleh pemimpin tertinggi mengundang pendirian keras dari Pemuda Pas Selangor, bahawa Pemuda Pas Selangor mungkin mengarah jenteranya memboikot dari memberi sokongan kepada calon yang akan bertanding. Namun pernyataan keras ini diperbaiki oleh Timbalan Presiden saudara Mat Sabu yang menyatakan bahawa Pas akan bekerja sama dan akan turun berkempen di Kajang.

Walau apa pun pertandingan pilihanraya kecil di DUN Kajang akan berlaku. Isu awal telah tenggelam dan berubah terfokus kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim yang diumumkan bakal bertanding bagi Dun Kajang. Bagi PR kerusi ini mesti dimenangi, tapi banyak perkara telah terburai kepada pihak musuh. Kita bertanya mengosongkan kerusi Dun Kajang adakah bagi menyelesaikan masalah atau lebih banyak mengundangkan masalah ?
Masalah membaiki kesepakatan di dalam PR, masalah menghadapi tuduhan musuh politik PR yang kita seolah-olah membekalkan kepada mereka senjata-senjata dan masalah untuk memulihkan keyakinan rakyat pemilih yang mereka menganggap kita tidak menghormati pemilihan yang dibuat sebelum ini. Ini semua adalah cabaran-cabaran yang perlu diselesaikan untuk mengelak dari mala petaka yang boleh memusnahkan.

Sekian.

January 29, 2014

Politik Selangor Menghangat: Usaha Menyelamatkan Keadaan ?


Bangi, 26 Rabiul Awwal 1435 = 28 Januari 2014 (Selasa):

Isu pemecatan YB Azmin Ali Adun Bukit Antarabangsa dari Ahli Lembaga PKNS yang merupakan Timbalan Presiden PKR meletup sejak awal tahun menjadi pemula bagi kemelut politik di Selangor. Ancaman serius kepada kestabilan politik Selangor akibat dari pergolakan dalam di dalam PKR ialah desakan secara majoriti dari PKR Selangor agar Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim berundur dari kepimpinan negeri Selangor. Isu-isu yang selama ini terbuku dan terpendam lantas dibangkitkan. Contoh isu kenaikan gaji ahli Exco dan Adun yang dianggap di luar kewajaran dan isu memiliknegerikan air yang tidak kesampaian.

Keretakan dalam PKR tidak boleh dibiarkan, ia akan menggugat kestabilan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor jika berlaku misalnya, usul tidak percaya terhadap Menteri Besar di dalam Mesyuarat Dewan Negeri Selangor (tidak semestinya disetujui oleh ahli-ahli lain dari PKR). Kehilangan kepercayaan dan kekecohan politik merupakan kesempatan bagi musuh politik –BN menangguk di air keruh bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, jika pun tidak dalam masa terdekat, maka ianya sebagai peluang menguji ketahanan Kerajaan Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.

Semalam (Isnin 27 Januari) tercetus berita mengejutkan YB Lee Chin Cheh meletakkan jawatan dari kerusi Ahli Dewan Negeri Kajang – dikatakan tanpa alasan ! Dalam kemelut politik yang menghangat kini, walaupun dikatakan tanpa alasan tidak susah bagi pemerhati politik membuat tafsiran. Bahawa pengunduran sengaja diatur bahkan beliau dikatakan `membawa mulut` yang mengatakan Tan Sri Khalid akan berundur, walaupun beliau menafikan. Tuduhan dijangka untuk mewajarkan beliau meletakkan jawatan ? Berita hari ini Tan Sri Khalid mengumumkan bahawa Dato` Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Dewan Negeri Kajang bagi mengisikan kekosongan.

Pertandingan merupakan serampang banyak mata. Ia bagi membendung perpecahan yang berlaku di dalam PKR negeri Selangor yang jika tindakan tidak diambil makin melemahkan parti itu. Ianya dapat dilihat sebagai usaha memperkukuhkan PKR di negeri Selangor, satu satunya negeri yang diberi kepercayaan kepada PKR mengepalai kepimpinan negeri. Jika pemulihan tidak dilakukan mungkin kerusi PKR makin merosot dan jika berlaku demikian maka mungkin parti itu tidak diberi kepercayaan memimpin negeri Selangor lagi. Kemasukan Dato` Seri Anwar Ibrahim adalah juga bertujuan bagi mengukuhkan kedudukan Tan Sri Dato` Seri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor ? Pemerhati melihat, jika setakat memperkukuhkan kedudukan Menteri Besar dan membendung perpecahan boleh dilakukan tanpa perlu bertanding di Dewan Negeri Kajang dan tidak perlu berlakunya perletakan jawatan.

Lantaran itu ada yang melihat Dato` Seri Anwar Ibrahim bertanding bagi mengambil alih kerusi Menteri Besar Selangor ! Dikatakan Tan Sri Khalid sedia berundur jika yang mengambil alih Dato` Seri Anwar dan bukannya saudara Azmin Ali. Pengambilan kerusi Menteri Besar dilihat bukan setakat membendung perpecahan di dalam PKR, tetapi lebih besar daripada itu, iaitu memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menjadi model pemerintahan yang boleh menambahkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.

Begitu percaturan politik dilihat, tetapi perancangan tidak semestinya dapat diterjemahkan secara tepat. Tindakan yang diambil mestilah dilihat oleh rakyat, khususnya pengundi di Kajang sebagai penting dan wajar. Jangan sampai dilihat rakyat sebagai mempunyai agenda peribadi dan membazirkan kewangan Negara.
Perkiraan juga perlu diambil dari segi kecenderungan pengundi Kajang yang boleh berubah oleh isu-isu semasa dan kepimpinan. Perlu diingat pengundi Kajang boleh berubah dari segi pemilihan yang pernah diberi mandate kepada BN (MCA), DAP, PAS dan PKR. Berdasarkan kepada majoriti yang didapati PKR dalam pilihan raya ke 13 lepas dengan majoriti lebih 6,000, maka kemungkinan besar PKR dapat mempertahankan kerusi tersebut, tapi perlu diingat MCA yang biasanya darinya dijadikan calon di Kajang berada di dalam mood dan kepimpinan baru, maka perlulah dilihat MCA mau membina repotasinya di bawah kepimpinan yang baru. Pilihanraya kecil di Kajang dilihat salah satu yang dapat memprojekkan imej MCA.

Apa yang dilihat pergolakan yang berlaku di dalam PKR ini nampaknya cuba diselesaikan oleh PKR. Perlu diingat dari segi kesannya ianya melibatkan Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor. Apa yang dilihat pihak lain dalam PKR seolah-olah tidak dilibatkan, suara dan pendapat dalam Pakatan Rakyat perlu dilibatkan, bahkan keputusan-keputusan yang dibuat wajar diperlihatkan secara bersama, kerana implikasi pergolakan melibatkan semua.

Namun perletakan jawatan di Dewan Negeri Kajang telah berlaku, kemenangan Pakatan Rakyat di Kajang amat perlu bagi memperkukuhkan PKR dan Pakatan Rakyat di Selangor, andainya kebalikan, maka upset akan berlaku. Banyak desakan dan perubahan juga akan berlaku.

Sekian.