BBB, 03 Rabiul Akhir 1435 = 03 Februari 2014 (Selasa):
Pengundi Kajang disifatkan sebagai pengundi bijak dan
berwawasan. Dalam sejarah pilihanraya memperlihatkan pengundi kawasan Kajang
boleh berubah bergantung pada isu dan kepentingan penduduk kawasan berkenaan.
Penduduk kawasan Kajang dihuni oleh ramai kalangan intelektual yang berkhidmat
di banyak universiti di sekitar Kajang dan di berbagai institusi, swasta dan
kerajaan. Pendapat dan pandangan mereka mempengaruhi orang banyak dan penduduk
setempat. Orang Cina sendiri terkenal peka dengan pengundian menurut
kepentingan. Lantaran itu cara pemilihan sering berubah mengikut keadaan dan
kepentingan. Sebab itu sejarah pemilihan wakil rakyat mereka berubah dan
bertukar misalnya dari DAP kepada BN, Pas, BN dan PKR.
Bagi menghadapai pilihanraya kecil Kajang yang akan
berlangsung calon-calon yang akan bertanding akan menghadapi `penghakiman`
teliti dari pengundi-pengundi Kajang berdasarkan track rekod yang lalu, situasi
terkini dan harapan (janji) masa depan. Kerusi Dun Kajang (2008-2013) sebelum
ini memang dipegang oleh PKR, tetapi wakil rakyat pada masa itu tidak
diteruskan ! Adakah kelemahan ketara padanya (Lee Kim Sin) ? Manakala wakil rakyat yang
baru dipilih (Lee Chin Cheh) dikatakan belum sempat menyampaikan khidmat.
Dapatkah digembar-gemburkan nanti tentang perkhidmatan cemerlang yang telah
dapat diberikan kepada penduduk Kajang ?
Maksud `Jelas Dan Berkeyakinan` melibatkan banyak pihak
mulai dari pihak pimpinan kepada mereka yang hendak menyampaikan penjelasan dan
kepada khalayak pengundi. Bayangkan jika kader-kader yang hendak menyampaikan
maklumat tidak memahami bahkan meyakini dengan apa yang hendak disampaikan,
maka bagaimana mereka dapat menyampaikan maklumat dan penerangan secara jelas
dan meyakinkan ?
Setakat ini – sekurang-kurangnya pada Penulis, ada
perkara-perkara yang kabur. Pada tanggapan Penulis, mungkin silap, semacam
tidak ada rundingan dan rujukan terlebih dahulu pada peringkat tertinggi
pemimpin-pemimpin PR, terutama dari Pas sehingga tidak kelihatan kesatuan
pendapat dan pendirian bersama. Pada peringkat negeri Selangor pula kelihatan
seperti tidak diajak berunding sehingga keluar pendapat yang tidak selari di
antara pimpinan pada peringkat negeri sehingga terasa mereka bagai dipinggir
dan dikesampingkan. Pada hal suara, hak dan kekuatan sepatutnya adalah
seimbang.
Pada peringkat negeri, sekurang-kurangnya pada Penulis,
semacam menerima maklumat yang kecamuk. Misalnya mengenai kedudukan Menteri
Besar Selangor dikatakan tidak berubah, walaupun selepas kemenangan Dato` Seri
Anwar di DUN Kajang, Dato` Seri Anwar dikatakan akan dilantik menjadi exco di
Dewan Negeri Selangor, manakala maklumat lain menyatakan kepimpinan akan
diambilalih oleh Dato` Seri Anwar, namun menurut kenyataan awal Dato` Seri
Anwar, bahawa beliau menafikan mau ambil alih kerusi Menteri Besar Selangor.
Kita dikelirukan dengan ada yang berpendapat bahawa
kemasukan Dato` Seri Anwar adalah bagi mengawal kuasa dan pengaruh pihak
tertentu. Seharusnya perkara seperti ini tidak sepatutnya ditimbul. Ianya
melibatkan soal parti dan parti boleh selesaikan.
Kejelasan perlu diberi kepada kader-kader untuk disalurkan
kepada orang ramai dari kewajaran perletakan jawatan Lee Chin Cheh bagi
memperkukuhkan parti, kepada kedudukan Menteri Besar yang kita kira sudah
mantap, significantnya Kajang bagi
hasrat menawan Putrajaya.
Kita amat bimbang sebelum strategi pembangunan dapat
dilaksanakan bagi (2013-2018),
Masa akan lebih banyak dihabiskan di dalam menghadapi krisis
kepimpinan dan pentadbiran, lantaran itu wawasan pembangunan yang dijalankan
pada sesi (2003-2008) terganggu dan menggugat Pakatan Rakyat.
Kita berpendapat sebaik-baiknya kembali kepada status quo
yang sedia ada yang sudah mantap. Kerajaan PR jangan mengikut jejak kerajaan BN
yang sudah berapa siri Menteri Besarnya tidak dapat melengkapkan penggal
pemerintahan dan terpaksa berundur sebelum tamat tempoh penggal pemerintahan,
kerana menghadapi krisis. Kita sebenarnya tidak mempunyai krisis, tetapi
sengaja mencipta krisis. Kita berharap tempoh pemerintahan akan berterusan.
Pembaikan boleh dilakukan dari luar dan dalam tanpa berlaku pengunduran.
Permasalahan – antaranya sengaja diadakan perlu dihuraikan dengan
jelas dan terang agar pengundi bagi pilihanraya kecil Kajang tidak keliru dan memberi sokongan
dengan penuh berkeyakinan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment