February 10, 2014

Sokongan Antara Kaum Penting Bagi Memenangi Pilihanraya: Contoh PRK Kajang - 29 November 1999

-->
BBB, 09 Rabiul Akhir 1435 = 09 Februari 2014 (Sabtu):

(Oleh: Mantan Adun Kajang 1999-2004)

Sokongan berbagai kaum amatlah penting dalam pilihanraya, khususnya bagi kebanyakan Dun Selangor yang bersifat multirasial, lebih-lebih lagi bagi Dun Kajang yang jumlah pengundinya berimbang antara kaum. Kalau kita melihat kepada keputusan pilihanraya 1995 dalam mana pada masa itu tiada sebarang pakatan antara parti-parti selain dari BN, maka BN yang terdiri dari komponen kaum-kaum menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang berjumlah 48 kerusi dalam mana BN menguasai 45 kerusi dan Dap yang mendapat sokongan kaum Cina memenangi 3 kerusi, sedangkan Pas, Semangat 46 dan Bebas yang mengharapkan sokongan kaum Melayu (Pas dan S46) tidak mendapat sebarang kerusi. Pada peringkat parlimen bagi negeri Selangor semua kerusi (17) dikuasai oleh BN.


Perubahan sokongan mulai berlaku pada pilihanraya ke 10 (29 Nov.) pada tahun 1999. Perubahan sokongan yang mengatasi persoalan kaum disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu:
Isu Dato` Seri Anwar Ibrahim yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dipukul dan dipenjara, menarik simpati dari semua kaum menyokong parti lawan bagi BN. Rakyat juga tidak menyenangi terhadap pimpinan tertinggi Negara yang menyebabkan berlakunya penganiayaan terhadap Dato` Seri Anwar yang telah memerintah begitu lama. Sentimen dari isu Dato` Seri Anwar menyatukan parti-parti pembangkang dan pemimpin-pemimpin yang terdiri dari Dato` Fadzil Nor Presiden Pas, Datin Seri Wan Azizah Presiden Keadilan, Lim Kit Siang Pemimpin dari Dap dan Prof. Dr. Syed Husin Ali dari Parti Rakyat bersatu di dalam satu wadah yang dikenali pada masa itu `Barisan Alternatif. Meskipun BN masih menguasai pemerintahan di negeri Selangor, benteng perkauman mulai pecah dan sokongan diberi oleh berbagai kaum terhadap parti `Barisan Alternatif`. BN masih menguasai semua kerusi parlimen di Selangor, iaitu 17 kerusi, manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri berjumlah 48 buah dikuasai oleh BN sebanyak 42 kerusi, Pas menguasai 4 kerusi (Kajang, Air Tawar, Gombak Setia dan Sungai Burung)
Dap menguasai Sungai Pinang dan Keadilan Menguasai Hulu Kelang.
Jelas Barisan Alternatif mendapat ruang kemenangan oleh kerana adanya isu besar yang berkait dengan Dato` Seri Anwar, adanya kesepakatan pembangkang dalam kesatuan yang dikenali dengan Barisan Alternatif dan adanya gerakerja yang diselaraskan.

Kajang Dun Pertama yang mendapat sokongan dari berbagai kaum. Perlu diingat Dun Kajang pada masa itu lebih luas dari Dun Kajang sekarang, selain dari kawasan Dun Kajang kini termasuk di bawah Dun Kajang juga seluruh kawasan Bangi sekarang dengan tambahan lagi ialah Sungai Long, Taman Rakan, Suntax, sebahagian dari Sungai Jeluk, Taman Teknologi dan Kampung Baharu Semenyih. Dun Kajang pada masa itu sekaliganda luasnya dari Dun Kajang sekarang. Namun jumlah pengundi pada masa itu masih belum ramai iaitu seramai 29,360 orang. Sokongan utama tentulah dari pimpinan Pas di Hulu Langat pada masa itu Dr. Che` Rusli Che` Mat yang merupakan YDP Pas Hulu Langat dan Timbalannya Dr. Hamirdin Ithnin (Beliau memangku YDP apabila Dr. Che` Rusli bertanding di Perlis), Dewan Pemuda, Muslimat, ketua-ketua cawangan MTD dan jentera pilihanraya. Pada masa itu kaum-kaum lain daripada Melayu turut membantu berkempen. Di Kajang dipimpin oleh Cikgu Lee Kim Sin yang mengetuai badan NGO bersama kumpulannya sering bersama Penulis selaku calon Pas di Kajang pada tahun 1999. Antara yang membantu dari kalangan orang Cina di Kajang seperti En. Ah sen, En. Chee, En.Chew Kwan Bee, En. Foo (Dap). Ketua yang membantu di Pasar Kajang ialah En. Low dan kawan-kawan di pasar. Dari Semenyih En. Gan Boon Chong, Jong Poh, En. Lai, En Liaw Kon Loong, En. Tan (Serdang). Di Semenyih ada sekumpulan veteran diketuai En. Lee dengan lebih kurang sepuluh penyokong sering membantu kempen di Kg. Baru Semenyih dan Penulis sering melawat Pejabat Dap yang agak uzur dan membuat kegiatan di sini.


Dari kalangan orang India kita mendapat sokongan daripada seperti En. Arutchelvan (PSM), Cik Kohila (JERIT) dan kawan-kawan, M.Sivam, Balasubramaniam, En. Dhama, Bharathi Thasan, En. Mega, En Kumar, En. Hari Krishnan, Poobalan dan Sollamuthu dan lain-lain.


Sokongan terutama dari AJK Parti serta penyokong-penyokong dan sokongan antara kaum dan ketua-ketua pemimpin setempat memberi kemenangan dan pertama kali memecah rekod seorang calon Pas bertanding di kawasan majoriti berimbang antara kaum memenangi kerusi Dun Selangor - Kajang, walaupun dengan majorit undi yang agak kecil (37) undi.

Peratusan pengundi:

Melayu  54.21
China     33.67
India      12.02
Lain           .10

Keputusan pengundian adalah sebagaimana berikut:

Jumlah pengundi     29,360
Keluar mengundi     21,807  = 75.6%

Undi Dr. Shafie Abu Bakar (Pas)           10,922
Undi Choong Tow Chong (MCA-BN)   10,885

Majoriti                                                          37


Kemenangan yang dicapai oleh Pas di Selangor, khususnya di Kajang ialah kerana adanya sokongan dan kerjasama antara parti dalam barisan Alternatif, sokongan dari pengundi yang berbagai kaum dan ada isu besar yang mampu menarik sokongan rakyat.


Apakah faktor-faktor sokongan seperti di atas wujud di dalam Pilihanraya Kecil Kajang pada 23 Mac 2014 nanti ?  Kerjasama di dalam PR memang wujud, tapi perlu diperkukuh. Adapun isu-isu adalah banyak antaranya seperti kenaikan harga barang, keamanan yang hilang dan pendapatan yang makin berkurang – Apakah ianya dapat menarik sokongan dan menambah jumlah pengundi kepada PR ?

Sekian.

No comments:

Post a Comment