February 21, 2014

Cemburu Terhadap Kejayaan Arkeologis Di Perak Dan Pahang - Bagaimana Di Selangor ? Ada Potensi Maju Dalam Bidang Arkeologi Jika Ada Kemahuan !

-->
BBB, 20 Rabiul Akhir 1435 = 20 Februari 2014 (Khamis):

Mutakhir kita  mendapat maklumat bahawa ditemui di Pahang gigi dinosaur yang merupakan bukti pertemuan pertama wujudnya dinosaur di Malaysia. Pertemuan adalah pada bulan Ogos 2013 lepas. Ia adalah jenis spesis Spinosaurid bermaksud jenis dinosaur memakan ikan. Fosil yang dikenali sebagai sample UM10575 berukuran 35 milimiter panjang dan 10 milimiter lebar yang ditemui dalam mendepan batu sejak zaman  Mesozoik yang dijangka berusia antara 145 hingga 75 juta tahun lalu. Penemuan ini melonjakkan negeri Pahang sebagai tapak dinosaur terawal ditemui yang memecahkan pendapat selama ini dinosaur tidak hidup di Negara ini. Lokasi sebenar di Pahang tidak diumumkan untuk menjaga dari segi keselamatan lokasi yang menjadi tempat bertolak bagi kajian lebih lanjut. Sudah tentu penemuan ini dan penyelidikan akan datang mempopularkan Pahang secara khusus dan Malaysia secara am merupakan kawasan pernah hidupnya dinosaur.


Malaysia makin popular dari segi sejarah dan arkeologi. Penemuan di Pahang adalah menambahkayakan Malaysia sebagai tapak arkeologi purba, lantaran sebelum dari itu penemuan yang disifatkan sebagai bersejarah dan menakjubkan dengan penemuan rangka manusia purba  di Lembah Lenggong yang dikenali dengan nama `Perak Man`. Tokoh Penyelidik berwibawa berhubung dengan penemuan `Perak Man` ini ialah Profesor Datuk Dr. Zuraina Majid (kini Pesuruhjaya Jabatan Warisan Malaysia) dan juga Prof. Dr. Mokhtar Saidin Profesor dari Universiti Sains Malaysia. Dengan penemuan ini Lembah Lenggong diiktiraf oleh UNESCO Bangsa Bersatu sebagai salah satu Tapak Warisan Dunia. Ianya Tapak Warisan kelima yang diiktiraf UNESCO di Malaysia, selepas Penang, Melaka, Gunung Kinabalu dan Gunung Niah. Dengan penemuan ini memecah rekod yang selama ini dijangka asal usul manusia adalah dari Utara Afrika – Sekitar Habashah. Ianya membuktikan bahawa Malaysia juga adalah merupakan tapak bagi penyebaran manusia purba yang bergerak di Asia Tenggara dan merebak ke Asia dan tempat-tempat yang lain.


Bagaimana dengan Selangor ? Pahang dan Perak adalah dua buah negeri terbesar yang menghimpit Selangor, Pahang dari sebelah Timur dan Perak dari sebelah utara. Dari segi geografi kedudukan dua buah negeri – Pahang dan Perak tidaklah berbeza dari Selangor, bermaksud apa yang ada dan berlaku di Pahang dan Perak mungkin ada dan berlaku di Selangor. Jika di Pahang dan Perak ada kelompok gajah-gajah yang masih belum pupus, maka gajah seperti berkenaan wujud juga di Selangor. Oleh kerana negeri Selangor berdekatan dengan Pahang dan Perak, maka dinosaur yang hidup pada zaman purba ada atau bergerak di Selangor dan Perak, begitu juga manusia purba peringkat awal yang hidup di Perak tidak mustahil bergerak atau sudah tersebar di Selangor dan Pahang dan sekitar tempat-tempat lain.



Selangor dalam kata lain mempunyai potensi dari segi arkeologi. Tempat-tempat seperti di perlembangan sungai yang banyak di Selangor seperti Sungai Kelang, Kuala Selangor dan Sungai Langat sebagai tempat kegiatan manusia purba peringkat awal mungkin mempunyai khazanah simpanan arkeologi yang berharga, begitu juga perbukitan batu kapur dan kaki Banjaran Titiwangsa yang berdekatan dengan Pahang itu kemungkinan merupakan antara tempat kediaman manusia purba. Tapak-tapak yang mempunyai kandungan bijih yang menjadi bahan kegunaan manusia zaman Neolitik memang banyak terdapat di Selangor sebagaimana penemuan alatan kegunaan manusia pada zaman itu di Jenderam, Selangor.


Apa yang perlu pihak Muzium Negeri dan Warisan memberi tumpuan terhadap arkeologi dan membuat kajian dilokasi-lokasi yang berpotensi. Semasa Penulis diberi amanah menjadi Pengerusi Muzium Negeri Selangor (2012-2013) memang Penulis memberi tumpuan utama terhadap bidang arkeologi. Kajian telah dibuat di Bukit Jugra dan menemui artifek-artifek, walaupun agak baharu, tetapi sebagai pemulaan adalah berjaya. Sememangnya untuk melakukan kerja-kerja arkeologi perlu kepada pakar-pakar dalam bidang berkenaan. Kejayaan penemuan gigi dinosaur di Pahang tidak dilakukan oleh pakar tempatn sahaja, tetapi dengan kerjasama kerajaan negeri Pahang dengan Penyelidik dari  Jabatan Geologi, Fakulti Sains, Universiti Malaya bersama dengan Institut-institut Pengajian Tinggi Jepun, iaitu Universiti Waseda dan Universiti Kumamoto Jepun.
Pada masa Penulis menjadi Pengerusi Muzium Selangor juga Perjanjian kerjasama telah dibuat dengan pihak Jabatan Sejarah Universiti Malaya untuk meluaskan usaha carigali di Selangor, tetapi usaha permulaan ini telah terhenti. Sepatutnya kajian di dalam bidang arkeologi diperluas dan diperbesarkan dengan berbagai pihak, terutama dengan universiti-universiti di Negara ini, juga dengan universiti-universiti dan pusat-pusat kajian arkeologi terkenal di luar Negara. Selangor sebagai negeri maju ada potensi maju di dalam bidang arkeologi. Yang perlu adalah kemahuan dan tindakan.

Sekian.

1 comment:

  1. Salam Dr. Shafie, saya cuma nak tambah satu informasi sahaja. Lembah Lenggong diwartakan sebagai tapak UNESCO bukan disebabkan oleh penemuan Perak Man, tapi sebab penemuan alatan batu berusia 1.83 juta tahun (mengikut makmal di Tokyo yg buat dating sample tu) di Bukit Bunuh (dalam area Lenggong). Penemuan tu begitu significant sampai banyak research associations dari barat tawarkan nak ambil alih research done by USM. The astonishing find could impact world history altogether, that's why Lenggong diwartakan tapak UNESCO. Baca ni >>> http://www.academia.edu/1938641/Related_paper_Pleistocene_refugia_and_out_of_Malaysia_hypothesis_by_Prof._Dr._Mohd_Mokhtar_USM_2012

    ReplyDelete