February 18, 2014

Dimanakah Ruang Parking Adun Kajang ?

-->
17 Rabiul Akhir 1435 = 17 Februari 2014 (Isnin):


Dengan pembukaan Kaunter Terbuka Adun Kajang bererti banyak aduan dan masalah yang diterima Adun dan terpaksa menyelesaikannya. Sebagai Wakil Rakyat Pembangkang pada masa itu tidak ada peruntukan dan tidak ada kemudahan yang diterima Adun, segala urusan ditanggung Adun dan AJK Bertindak dan juga dari parti.
Bagi menyelesaikan aduan yang banyak berhubung dengan jabatan-jabatan, maka keraplah Adun Kajang pada masa itu turun naik pejabat menyampaikan aduan dan berbincang untuk penyelesaian. Antara pejabat yang paling banyak Adun membuat urusan ialah MPKj dan Pejabat Daerah, kerana aduan-aduan banyak berhubung dengan kedua-dua pejabat berkenaan di samping pejabat-pejabat yang lain. Yang Penulis selaku Adun tersentuh, bahawa di kedua-dua pejabat berkenaan disediakan tempat parking khas bagi Adun-Adun dan Ahli-Ahli Parlimen Kerajaan BN Hulu Langat, tetapi tidak disediakan tempat parking kepada Adun pembangkang, termasuklah penulis sebagai Adun Kajang dari Pas. Penulis terpaksa mencari tempat parking sebagaimana orang biasa dan terpaksa berbaris menurut giliran bagi menyampaikan aduan dan juga membincangkan penyelesaian. Sebagai orang terdidik di dalam bidang sastera dan seni, Penulis tersentuh dengan situasi yang dihadapi. Di bawah adalah sebuah rakaman puisi dari pengalaman yang Penulis lalui:

Dimanakah Ruang Parking Adun Kajang ?


Setiap kali berkunjung ke MPKj
Juga ke Pejabat Daerah Hulu Langat
Menyelesaikan urusan
Tersentuh hatiku menyayat
Betapa fasik dan mungkarnya
Pegawai di kedua-dua jabatan
Membezakan Adun Pembangkang
Dari Adun kerajaan segi kemudahan
Sedang mereka sama dipilih rakyat
Dalam kawasan Hulu Langat.

Lihatlah ruang parking Adun-Adun
Dan juga Ahli Parlimen
Bergaris dan berpapan kenyataan
Di ruang berhampiran bangunan
Adun Dusun Tua, Balakong dan Beranang
Juga Parlimen Hulu Langat
Di mana ruang Adun Kajang ?

Inilah diskriminasi
Mencanggah demokrasi
Petak ruang yang dirampas segi hakikat
Mereka menghina rakyat
Yang memberi mandate
Betapa tidak bermaruahnya tindakan
Wakil Rakyat menang diketepikan
Yang kalah diangkatkan
Menganggotai MPKj dan Majlis Daerah
Hakikatnya Adun Kajanglah
Paling Utama mewakili Kajang
Pada MPKj dan Majlis Daerah
Kedua-duanya berada di Dun Kajang
Merekalah perompak demokrasi
Menzalimi keadilan
Menganaktirikan Adun Kajang
Menafikan peruntukan.

Betapapun Adun Kajang
Menghadapi tekanan
Dalam kesempitan wang
Demi mandate rakyat
Adun Kajang tetap berkhidmat
Membuka Kaunter Aduan
Melawat lokasi bencana
Banjir, tanah runtuh dan kebakaran
Menyelesaikan pertikaian
Kunjungan ke jabatan-jabatan
Berterusan menghantar aduan
Meskipun terpaksa mencari parking biasa
Berkeliling di mana ada kekosongan
Biar kehadiran seperti rakyat biasa
Tanpa sebarang keistimewaan
Berbaris di ruang kaunter
Atau duduk di bangku
Menunggu giliran
Kadang-kadang menagih ehsan dari kerani
Menurunkan cop tanda penerimaan
Demikian ketara Wakil Rakyat Pembangkang
Dari segi layanan.

Di mana ruang parking Adun Kajang ?
Tak kesah
Biarkan ! Biarkan ! Biarkan !
Dengan amalan diskriminasi berterusan
Rakyat memerhati pencabulan demokrasi
Lantas membuat pengadilan.

Adun Kajang,
2 Ramadhan 1423
7 November 2002.

No comments:

Post a Comment