February 11, 2014

Mau Jadi Wakil Rakyat Perlu Dikenali Rakyat Setempat. Optimis Di Kajang

-->
BBB, 10 Rabiul Akhir 1435 = 10 Februari 2014 (Isnin):

 (Penulis Mantan Adun Kajang 1999-2004 & Adun Bangi 2008-2013)

Semestinya jika mau jadi Wakil Rakyat perlu dikenali oleh rakyat setempat, di samping keperluan-keperluan yang lain sebagaimana disyaratkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Maksud `dikenali` di sini bukan setakat terkenal, tetapi mempunyai kelayakan, wibawa, ketokohan, misi dan visi yang menarik pengundi memberi sokongan kepadanya. Untuk menjadi Wakil Rakyat tidak boleh dilakukan secara perseorangan atau sekelompok kecil, kerana ia melibatkan kerja yang banyak yang memerlukan tenaga dan kewangan bagi menggerakkan kerja kempen bagi memperkenalkan calon bagi menarik sokongan.
Menjadi Wakil Rakyat berkait dengan kerja pentadbiran, pemerintahan dan perkhidmatan pada peringkat Dun yang dimenangi, peringkat daerah, peringkat negeri (Dewan Undangan Negeri), bahkan pada peringkat Persekutuan, jika ia jadi ahli Parlimen. Sebab itu untuk menjadi Wakil Rakyat seharusnya melalui organisasi yang dikenali dengan `parti`. Parti adalah sebuah organisasi berhiraki pentadbiran yang ada pemimpin tertinggi dan AJK pada peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun. Pihak parti akan memilih sesiapa yang layak bertanding di dalam pilihanraya pada peringkat Parlimen dan DUN. Dengan organisasi sedemikian dan juga kerjasama antara organisasi (parti) memungkinkan seseorang Wakil Rakyat yang menang dipilih sebagai pentadbir/pemerintah pada peringkat Negara, negeri, kawasan atau sebagai wakil rakyat biasa.


Dalam hal ini sukar bagi orang perseorangan tanpa organisasi untuk bertanding menjadi Wakil Rakyat tanpa organisasi bagi menggerakkan jentera kempen dan pentadbiran. Dalam hal ini ada advantagenya bagi seseorang calon tempatan yang mau menjadi Wakil Rakyat setempat yang ada tokoh dan kebolehan, kerana ianya sudah dikenali. Walaupun begitu setakat dikenali rakyat tempatan tanpa organisasi yang bertanding katakan atas nama `Bebas` tidak mudah mendapat mendapat sokongan dari pengundi dan pada kebiasaannya akan kalah – Kecuali kes-kes tertentu seperti Cikgu Jabar di Batu Laut, Kuala Langat yang bertahan beberapa penggal kerana popularitynya di kalangan masyarakat setempat.


Merujuk kepada PRK Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac 2014, calon PKR dari PR Dato` Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh politik terkenal yang sudah dikenali pada peringkat internasional, nasional, negeri dan setempat. Dengan kedudukannya memasalahkan pihak lawan terutama dari pihak BN, dijangka dari MCA untuk menampilkan calon yang kalau boleh lebih wibawa dari Dato` Seri Anwar Ibrahim. Kita berpendapat amatlah sukar bagi BN-MCA untuk mencari status calon yang mengatasi wibawa atau sekurang-kurangnya setara dengan Dato` Seri Anwar Ibrahim. Kata-kata dari pimpinan MCA Dato` Liow Tiong Lai Presiden MCA bahawa MCA akan mengenengahkan calon tempatan – 3 nama untuk dipilih bertanding bagi pihak BN lebih bersifat psikologi untuk meyakinkan diri dan orang ramai, khususnya pengundi. Faktor calon tempatan, memang ada kelebihan, tetapi kelebihan sebagai calon tempatan tidak bermakna apa-apa jika aspek ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan tidak menonjol. Namun kita menunggu calon yang akan dikemukakan. Kesukaran juga dihadapi oleh mana-mana organisasi atau individu yang mau turut bertanding, jika ada mungkin boleh disifatkan sebagai `kacau daun` dan mengambil kesempatan mencari popularity `semasa` dan tidak akan ke mana-mana.


Bila pilihanraya, termasuk di Kajang jentera pilihanraya parti dan pakatan bersama mestilah bergerak, walaupun calon sudah dikenali. Calon yang lebih awal diumum ada masalah juga, kerana selain dari kebaikan banyak masa dan peluang bagi musuh politik memperkatakan tentang kelemahan calon baik tentang diri dan peribadi calon, hubungannya dengan pentadbiran, krisis yang ada hubungan dengannya, kenyataan-kenyataan yang bercanggah dikeluarkannya dan sebagai yang menjadi senjata bagi musuh menyerangnya. Sebaliknya calon baru yang diperkenalkan ada advantagenya, kerana banyak kelemahannya tidak dan belum diketahui di mana kebaikan dan kebolehannya ditonjolkan. Walau bagaimana kelemahan bagi calon baru ditonjolkan, ialah ketiadaan kesempatan baginya untuk menjelajah dan menziarah untuk memperkenalkan diri, walaupun ada mekanisme parti memperkenalkan diri, tapi tak sama yang sudah dikenali dan yang telah popular di tengah masyarakat.

Kempen bagi Dato` Seri Anwar calon di Kajang, sebagai Ketua Umum PKR sudah tentu jentera pilihanraya dari peringkat Negara, negeri dan tempatan akan turun berkempen baginya. Sebenarnya PKR sudah mempunyai jentera yang cukup untuk berkempen baginya. Namun sebagai melahirkan solidarity di dalam PR jentera-jentera dari berbagai parti di dalam PR akan turun sebagaimana dijanjikan, bahkan telah dilantik. Satu kelebihan bagi Dato` Seri Anwar, di dalam kawasan Dun Kajang yang dia bertanding ada empat tokoh individu mantan dan Wakil-Wakil Rakyat semasa terkenal yang boleh menggerakkan sokongan padu rakyat, iaitu Mantan Adun Kajang Cikgu Lee Kim Sin. Sebagai Mantan Adun Kajang terbaru dan Bekas Adun PKR dia boleh menggerakkan penyokong bekerja untuk memastikan kemenangan bagi Dato` Seri Anwar.  Tokoh kedua ialah Y.B. Dr. Che` Rusli Che` Mat Ahli Parlimen Hulu Langat yang Kajang adalah Dun di bawah Hulu Langat. Dia boleh menggunakan jentera dan pengaruhnya bagi mendapat sokongan dan tenaga bekerja. Tokoh ketiga ialah Y.B.Tuan Haji Razali Hassan Adun Dusun Tua yang tinggal di kawasan Dun Kajang – Batu 10. Dia juga adalah YDP Pas Hulu Langat boleh menggerakkan jentera dan penyokong-penyokongnya membantu memenangkan Dato` Seri Anwar. Tokoh keempat ialah Y.B. Khairuddin bin Haji Othman Adun Paya Jaras yang kediaman asalnya di Sungai Kantan di bawah Dun Kajang dapat sama menggunakan pengaruhnya, apalagi beliau adalah Setiausaha Pas Negeri Selangor.


Dilihat kepada jentera-jentera parti dari dalam PKR, di dalam PR, dari tokoh-tokoh berpengaruh tempatan, dari kawasan, negeri dan Negara amat besar. Ini sudah tentulah menggerunkan lawan. Bertdasrkan perkiraan di atas dengan isu-isu yang banyak dapat ditonjolkan kepada pengundi-pengundi, kita amat optimis bahawa PKR secara khusus dan PR secara umum dapat mempertahan, bahkan meningkatkan sokongan pengundi di Dun Kajang. Insya Allah.
Sekian.

No comments:

Post a Comment