BBB, 08 Rabiul Akhir 1435 = 08 Februari 2014 (Sabtu):
(Penulis adalah Mantan Adun Kajang 1999-2004).
Kajang kini menjadi tumpuan perhatian dan fokus berita oleh
kerana akan diadakan pilihanraya kecil (DUN 25 Kajang) yang akan berlangsung
pada 23 Mac 2014. PKR telah menamakan calonnya iaitu Dato` Seri Anwar Ibrahim
Ketua Umum PKR dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang juga Ahli Parlimen
Permatang Pauh, Penang . Kini orang ramai dalam penantian untuk mengetahui
siapakah bakal calon dari lawan utama dari BN yang dijangka dari MCA yang
Kajang merupakan Dun tradisi bagi MCA bertanding. Dijangka ada lagi calon-calon
akan bertanding mungkin atas nama bebas dan sebagainya.
DUN Kajang bukan bermakna seorang wakil rakyat yang dipilih
mewakili Kajang keseluruhannya. Sebenarnya ada kekeliruan mengenai konsep
Kajang sebagai `Kawasan Kajang`, Kajang sebagai `Majlis Perbandaran Kajang` dan
Kajang sebagai `Dun Kajang`.
Kajang adalah sebelumnya merupakan satu `Pekan` dan kemudian
dikenali sebagai `Bandar Kajang` di bawah Daerah Hulu Langat, termasuk kawasan
Ampang.
Sebelum 1984 segala urusan `Majlis Daerah/Perbandaran`
adalah terletak di bawah Daerah Hulu Langat yang dikenali sebagai `Majlis
Daerah Hulu Langat – MDHL`. Istilah ini adalah tepat dengan kedudukan geografi,
pekan/bandar dan lokaliti termasuk Ampang berada di bawah Hulu Langat. Kesemua
kawasan berkenaan berada di bawah MDHL. Sesudah berlaku pertambahan penduduk,
maka difikirkan perlu ditingkatkan Majlis Daerah Hulu Langat kepada Majlis
Perbandaran. Sepatutnya Majlis Perbandaran ini dinamakan dengan Majlis
Perbandaran Hulu Langat yang ada di bawahnya Kajang, Ampang, Semenyih,
Balakong, Bangi, Dusun Tua dan Cheras. Tiap-tiap kawasan ini berpotensi
meningkat maju dan menjadi kawasan perbandaran sendiri. Dua kawasan, iaitu
Kajang dan Ampang layak dan dipertingkatkan kepada Majlis Perbandaran yang
masih di bawah Daerah Hulu Langat. Seharusnya Kajang yang dikenali dengan
`Perbandaran Kajang` merangkumi kawasan Bandar Kajang sebagaimana Ampang
merangkumi Perbandaran Ampang. Namun Kajang mengambil fungsi `Perbandaran`
sebagai `Perbandaran Hulu Langat` yang melibatkan kawasan yang luas, iaitu
selain dari Ampang. Seharusnya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) setakat Bandar
Kajang dan yang lain dari Ampang seharusnya masih di bawah Majlis Daerah/Majlis
Perbandaran Hulu Langat. Sekarang disebut Majlis Perbandaran Kajang, sebenarnya
ianya tidak saja bermaksud Bandar Kajang, tetapi juga Semenyih, Balakong,
Bangi, Dusun Tua dan Cheras yang pada hakikatnya bukan merupakan perbandaran
Kajang. MPKj dengan kedudukannya adalah tidak tetap, lokaliti di dalamnya akan
berubah andainya misalnya Bangi meningkat menjadi Majlis Perbandaran Bangi,
demikianlah dengan bandar-bandar yang lain di dalam Daerah Hulu Langat.
Dalam keadaan sekarang bila berdepan dengan `Kajang`
haruslah diteliti dan membezakan antara Hulu Langat, Perbandaran Kajang, Bandar
Kajang dan Dun Kajang.
Hulu Langat sebagai Daerah merangkumi Ampang, Kajang, Bangi,
Semenyih, Balakong, Dusun Tua, Cheras, Sungai Long, Bandar Seri Putera dan Bandar
Bukit Mahkota.
Perbandaran Kajang merangkumi seluruh kawasan Daerah Hulu
Langat, kecuali Ampang. Manakala Bandar Kajang adalah merangkumi kawasan Bandar
Kajang, Sungai Chua, Taman Bukit Kajang, Bukit Mewah, Jalan Reko, Sungai
Kantan, Sungai Sekamat, Taman Delima, Taman Mesra, Kajang Utama dan Taman
Jasmin.
Menyebut tentang Dun Kajang bukan saja mengelirukan bahkan
melucukan (kepentingan politik), lantaran ada kawasan Kajang tidak dimasukkan di
dalam Dun Kajang dan ada kawasan di luar dari Dun Kajang dimasukkan ke dalam
Dun Kajang. Contoh kawasan Kajang yang tidak dimasukkan ke dalam Dun Kajang
ialah seperti Bukit Mewah, Taman Bukit Kajang, Kajang Baru, Taman Jasmin, Taman
Jeluk dan sebagainya. Manakala kawasan yang di luar Kajang dimasukkan ke dalam
Dun Kajang seperti Kampung Baru Semenyih (pilihanraya ke 10), Taman Teknologi
(ke 10) dan Sungai Long (ke 10).
Bagi pilihanraya ke 13 dan bagi pilihanraya yang akan
berlangsung pada 23 Mac 2014, kwasan-kawasan berikut adalah di bawah Dun
Kajang, iaitu:
Kajang, Bandar Kajang, Taman Kajang Baharu, Sungai Chua 1,
2, 3, 4 dan 5, Taman Kota Cheras, Batu 10 Cheras, Sungai Sekamat, Saujana
Impian, Taman Mesra, Sungai Kantan, Taman Delima dan Kantan Permai. Jumlah
pengundi bagi pilihanraya pada 23 Mac ini ialah seramai 39,278. Sebenarnya bagi
seluruh kawasan Kajang – termasuk yang tidak dimasukkan di bawah Dun Kajang,
maka Kajang sebagai sebuah kawasan layak menjadi sebuah kawasan Parlimen.
Sekian.
No comments:
Post a Comment