February 2, 2014

Penyair/Penulis Lain Dari Generasi Kolej Islam


BBB, 01 Rabiul Akhir 1435 = 01 Februari 2014 (Sabtu):

Penyair/Penulis lain ialah Adi Rumi dan Sabda S.. Nama sebenar bagi Adi Rumi ialah Haji Abdul Aziz bin Juned dilahirkan pada 22 Disember 1941 di Kampung Setia Pahlawan, Brunei. Mendapat pendidikan awal di tempat kelahirannya, kemudian menyambung pengajian di Kolej Islam, Kelang dan seterusnya melanjutkan pengajian ke Universiti Al-Azhar Mesir sehingga mendapat ijazah dalam Jurusan Perundangan Islam (1969). Bidang penulisannya ialah puisi. Tulisannya tersiar di dalam Akhbar Utusan Zaman, Berita Minggu, Mastika, Berita Borneo dan lain-lain.

(Ahmad Kamal Abdullah & Mohd. Hanafi Ibrahim, Mengenangmu – Puisi-Puisi Melayu  Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 489).

Membaca puisi Adi Rumi berjudul Hari Esok yang Besar dan Dua Malam di dalam `Mengenangmu` (hlm. 84 & 85) menimbulkan dua persoalan di dalam diri penulis, iaitu dari nilai keislaman dan juga gaya pengucapan Adi Rumi.
Dipetik sebahagian dari:

Hari Esok Yang Besar

Kekasih jangan kau ertikan hidup ini untuk kau saja
Siapa pun berhak digolong dalam gelombang zaman
Jiwa buas jika berlenggang mengaras awan dan cakerawala
Bukanlah itu cahaya, kekasih …….
Kusentak tanganku daripadanya  menghulur rahmat …
Sebelum sempat ditawan pengawal neraka.

Percayalah, bahawa aku tak berharap kemenangan untukku seorang
Tapi betapakah bisa kau hanyutkan diri dalam arus darah
Sedang kandilmu juga telah merah, ya, merah
Sejak kau kenal pada dirimu, dan juga aku si fakir lata
Setangkai bunga nan lisut di tangan ibunda.


Dua Malam

(1)

Malam ini pertama jiwa berpijak
Kuburanmu aku sampai bunga dan mimpi
Sekali tak pernah tau disiram air mata
Rahang maut nan gelap dada neraka
Tembus terajang hidup ini hingga menyerah
Kemudian biarkan persembah untuk dunia
Seorang kekasih yang jaga dalam pangkuan
Tasik indah wilayahku istana damai.
(Mengenangmu, 1989: 84-85).

Pertama sekali berhubung dengan persoalan kedua puisi di atas agak biasa yang nampaknya berhubung dengan lelaki-perempuan, pokoknya bukan membawa tema keislaman. Ada tendensi bersifat sajak kabur yang memang Adi Rumi berada dalam zaman `Sajak Kabur` yang Adi Rumi terpengaruh dengannya.

Penulis cuba mencari beberapa puisinya yang lain. Antaranya kedapatan beberapa buah puisinya diterbitkan di dalam Dewan Masyarakat 1964.

Kemerdekaan

Dari daging kepada daging
Darah ini darah sejagat
Mengapa enggan kepadanya ?

Rezki dari Tuhanmu
Bahagia, bukan bagai beras dicatu.

Tapi usah dengan niat melahap
(roh begitu kukuh pengeras tulang)
Kerana kau sendiri tak kan utoh bagai pemilik !

Lihat di sini: Aku dan anak-anakku
Tidakkah mereka satu kerat dari dagingmu !

Kolej Islam Malaya, Disember 1963  -   Adi Rumi.
(Dewan Masyarakat, Februari, 1964: 49).

Dari sajak ini memperlihatkan ciri kabur dan kelam puisi Adi Rumi. Walau bagaimana terdapat juga puisi yang tidak sukar seperti gambaran dalam puisi `Nyanyian Pagi Anak Kalimantan`  (Dewan Masyarakat, April, 1964: 30) dan Perjalanan Tanpa Hati (Dewan Masyarakat, Julai 1964: 42). Agak banyak diberi ruang bagi puisi Adi Rumi di dalam Dewan Masyarakat bagi tahun 1964 sahaja.
Sebagai kesimpulan bahawa Adi Rumi adalah antara mereka yang terpengaruh dengan angkatan Puisi Kabur, walaupun tidak dapat dikategorikan bahawa beliau sebagai penyajak kabur.

Selain dari Adi Rumi seorang lagi Penyair Kolej Islam ialah saudara Sabda S. Nama sebenarnya ialah Sujaidi Dasuki. Beliau dilahirkan pada 21 Mac 1949 di Pontian, Johor. Mendapat pendidikan di Kolej Islam Kelang dan Kolej Islam Petaling Jaya hingga lulus STP. Beliau menulis cerpen, sajak dan rencana. Beliau menghasilkan Kumpulan Cerpen Pengajaran (1982) dan Enviro 2001 (1980). Memenangi hadiah sagu hati peraduan cerpen berunsur Islam anjuran Jabatan Perdana Menteri (1981) dan pada tahun 1982 menerima hadiah kedua Peraduan Mengarang Cerpen Esso-Gapena.

Dari segi puisi sebagai penyair Kolej Islam, Sabda S, mengungkapkan puisi-puisi berunsur Islam seperti Aidilfitri:

….

Dari menara jiwaku
Ke rambutku ke kukuku
Meresapmadukan ruhul kudus
Dengan nafas takwa yang tak terputus.

Dewan Sastera, November 1971.
(Mengenangmu, 1989: 423).

Demikianlah dengan puisinya yang berjudul Malam dan Maut (Mengenangmu, 1989: 424-426).

Walau bagaimana dilihat dari segi mutu perpuisian agak kurang bermutu, sebab itu nama Sabda S. kurang menonjol sebagai seorang penyair Kolej Islam dan begitu juga tidak menonjol sebagai penyair Malaysia.

Di samping nama-nama yang telah kita bicarakan, ramai lagi penulis-penulis Kolej Islam terutama yang menulis esei dan bidang-bidang ilmiah – antaranya termasuklah saudara Yahya M.S. (Pelajar Kolej Islam dari Brunei) yang turut menulis puisi dan bidang-bidang keilmuan. Penulis keilmuan juga ialah Yusof Nor (ada dua Yusof Nor dari Kolej Islam – seorang dari Besut, Terengganu dan seorang lagi dari Kelantan) dan beberapa yang lain.

Sekian.

No comments:

Post a Comment