February 5, 2014

Zulkifli Muhammad Cetusan Semangat Menyubur Bakat

-->
BBB, 04 Rabiul Akhir 1435 = 02 Februari 2014 (Selasa):

Tokoh dibicarakan dikira dari Kolej Islam Kelang, tetapi bukan sebagai pelajar, sebaliknya Zulkifli Muhammad sebagai tenaga pengajar dan pentadbir di Kolej itu. Zulkifli Muhammad berkarya jauh lebih awal dari sebelum berkhimat di Kolej Islam, iaitu sejak pertengahan 1940an. Bakat dan kemahirannya menulis, khususnya berpuisi terbawa ke zaman beliau berkhidmat di Kolej Islam, bahkan selepasnya. Zulkifli Muhammad dilahirkan pada 22 Mac 1927 di Kampung Kota Lama Kiri, Kuala Kangsar, Perak dan meninggal pada 6 Mei, 1964. Mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu, Madrasah Aziziah, Parit dan Madrasah Idrisiah, Bukit Candan, Kuala Kangsar. Beliau melanjutkan pelajaran di Universiti al-Azhar dan American University Qahirah, Mesir. Sepulangnya dari Mesir berkhidmat sebagai tenaga pengajar di Kolej Islam, Kelang dan bertanding di dalam pilihanraya dan menjadi Ahli Parlimen bagi kawasan Bachok, Kelantan (1959-1964). (Ahmad Kamal Abdullah & Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933 – 1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 520). Zulkifli Muhammad adalah tokoh pendidik, intelek, penulis, penyair dan pemidato terkenal.


Penglibatan awal Zulkifli di dalam bidang politik sejak berusia 19 tahun (1946). Bila British yang menjajah Malaya menukar Malaya kepada Malayan Union, penentangan berlaku terhadap Malayan Union. Di Perak ditubuhkan Perikatan Melayu Perak dengan cabang belianya dikenali dengan Perikatan Belia Melayu Perak yang Zulkifli adalah menjadi Pengerusi Hal Ehwal Politik bagi Cabang Belia ini. Apabila Umno ditubuhkan di Kuala Kangsar pada tahun 1946 Zulkifli mendaftar sebagai ahli.

Bagi menambahkan ilmu pengetahuannya Zulkifli menyambung pengaajiannya di Mesir (1947-1952). Semasa di Mesir beliau bergiat di dalam Persatuan Pelajar Melayu. Sekembalinya ke tanahair pada akhir 1952 Zulkifli bergiat dalam Pemuda Umno, cawangan Kuala Kangsar. Pada tahun 1954 beliau menerima tawaran berkhidmat di Kolej Islam, Kelang sebagai Setiausaha dan juga tenaga pengajar. Jiwa politiknya tidak pernah padam dan pada tahun April 1955 Zulkifli terlibat menganjurkan Kongres Pemuda Melayu Malaya, di Kuala Lumpur. Semasa di Kolej Islam beliau berjinak di dalam Pas (menjadi ahli April 1955) dan pada bulan April 1955 itu juga beliau bertanding dalam pilihanraya bagi Kerusi Selangor Tengah, tetapi kalah kepada calon Perikatan. Beliau kekal berkhidmat dengan Kolej Islam. Visinya berhubung dengan Kolej Islam, bahawa beliau sebagai Setiausaha Kolej Islam mau meningkatkan Kolej Islam kepada taraf sebuah Universiti Islam selari dengan cita-cita politiknya mau menjadikan Negara ini sebagai Negara Islam, lantaran itu kegiatan politik Islamnya diteruskan. Pada bulan Disember 1956 di dalam Kongres Pas Ke 7 beliau telah dipilih sebagai Timbalan Yang Di Pertua Agung Pas. Pada pilihanraya Umum 1959 Pas bertanding di 58 kawasan Parlimen yang mana Zulkifli turut bertanding di kawasan Parlimen Bachok, Kelantan. Beliau memenangi kawasan Parlimen tersebut bersama 13 kerusi Parlimen Pas yang lain. Antara tokoh-tokoh lain yang memenangi kerusi Parlimen ialah Dr. Burhanuddin Hilmi (Besut), Khadijah Sidek (Dungun),  Dato` Mohd Asri (Pasir Putih), Haji Othman Abdullah (Tanah Merah) dan Haji Hassan Adli (Kuala Terengganu Utara). Pas juga menguasai negeri Terengganu dan Kelantan. Bintang Zulkifli menyerlah di dalam bidang politik.

(Kamaruddin Jaffar (Penyusun), Zulkifli Muhammad: Pemikiran Dan Perjuangan, Ikdas Sdn. Bhd., Kuala Lumpur: 2001: I-II).

Zulkifli bergiat di dalam persuratan Melayu – bahasa dan sasteranya sejak pertengahan 1940an semasa beliau berusia 19 tahun lagi. Politik baginya adalah pencetus semangat berjuang bagi kepentingan agama, bangsa dan Negara yang membawanya berjuang menuntut kemerdekaan Negara. Semangat perjuangan ini membenih dan menyuburkan bakatnya di dalam bidang penulisan. Beliau mengungkapkan Semangat dan Cintanya  pada tanahair dan beliau ingin agar pemuda pemudi tidak leka dan khayal, sebaliknya bangkit bagi membela tanahair – selari dengan kesedaran yang ada pada Zulkifli. Ini dapat difahami dari antara puisi terawalnya berjudul:


Alangkah Indahnya

Alangkah permainya tanah pusaka
Tumbuh menghijau di gunung di padang
Lautan bersinar kilau-kemilau.

Batang Hari nan bersih laksana mestika
Ladang dan sawah sayup dipandang
Suria memancar berkilau-kilau ….

Langitnya biru bertambah permai
Awannya nipis cuaca cerah
Sederhana hawanya ….

Tiupan udara lemah longlai
Mengingatkan peristiwa yang sudah ….
Alangkah permainya ….

Tetapi … wahai ….
Leka rupanya putera dan puteri
Menyahut lambaian bonda
Yang hampir hancur ….

Leka khayal sebilang hari
Hinggakan bonda tergoda ….
Lebur … dicebur ….

Semboyan berdering-dering ….
Memanggil putera-puteri ke medan
Membela kehormatan bonda mulia.

Tampillah lekas bertempik nyaring
Biarlah melayang jiwa di badan
Kepada bonda cinta setia ….

Majlis, 26 Ogos 1946.

(Abdul Latiff Abu Bakar, Puisi-Puisi Kebangsaan 1913-1957, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1987: 449).

Gaya pengucapan puisi Zulkifli adalah sebagaimana penyair-penyair selepas perang ke zaman kemerdekaan, walaupun kandungan menyeru ke arah kasih cinta dan membela Negara, tetapi masih bernada romantis. Gaya sedemikian diungkapkan oleh penyair seperti Ahmady Asmara, Abu Samah, Asmara Jaya, Harun Aminurrashid yang seangkatan dengannya, khususnya pada tahun 1946. Walau apa pun dengan umurnya yang masih muda, Zulkifli dapat menunjukkan kemampuannya berpuisi sebaris dengan penyair-penyair dewasa pada masa itu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment