February 26, 2014

Jalan Menuju Kajang Berlainan Sebab Dan Tujuan

-->
BBB, 25 Rabiul Akhir 1435 = 25 Februari 2014 (Selasa):

Sekarang pihak PKR-PR sedang sebok membuat perancangan memudahkan laluan `Jalan Ke Putrajaya` dari Kajang, sedangkan pihak BN-MCA berusaha menyekat dari kemaraan ke Kajang. Ironinya bagi menyiapkan laluan atau menyekatnya, kedua-duanya hendaklah menyediakan plan `Jalan Ke Kajang` yang dapat diterima oleh pengundi dan rakyat di Kajang. Kajang adalah taruhan bagi PKR-PR yang ianya adalah dalam kekuasaan PKR-PR. Kemenangan bagi PKR-PR bererti kembali kepada pangkuan ibunda dan keluarga yang akan dijaga dengan kasih sayang di dalam kediaman yang mewah dan kecukupan, sedangkan `Taruhan BN-MCA kepada Kajang`,  jika BN-MCA menang, maka bersedialah Kajang akan menjadi `Anak Tiri` yang kehilangan bapa, tersisih dan kehilangan kasih sayang.


Bercakap tentang `Jalan Menuju Kajang` ini Penulis adalah peneroka awal dari Barisan Alternatif (kini PR) yang dengan susah payah dan kekurangan melangkah kaki ke bidang politik ke Kajang. Sebelum 1999 Penulis adalah orang akademik dan tidak memberi perhatian pada politik, walaupun banyak mengikuti dan memberi kursus bertema politik dan terlibat dengan gerakan pelajar bersifat Islamik. Keterlibatan Penulis dalam politik tanahair adalah bersama gelombang kemarahan rakyat terhadap kezaliman yang dilakukan terhadap Dato` Seri Anwar yang pernah menjadi Timbalan Perdana Menteri pada masa Dr. Mahathir menjadi Perdana Menteri Malaysia. Beliau dipecat, dipukul dan diseret ke dalam penjara. Majoriti rakyat mengutuk dan tidak menyenangi episode politik yang hodoh ini. Kemarahan dan kebencian rakyat meluap-luap hingga Shahnon Ahmad mengarang Novel  Satira SHIT. Kata Shahnon:

``Umumnya ada dua jenis satira. Satu apa yang dipanggil Satira Horatia iaitu sebuah satira yang dipersembahkan secara lunak, lembut bersopan dan kelucuan simpatik yang ringan. Satu lagi ialah Satira Juvenalia iaitu sebuah satira yang keras, pahit, pongah dan berang, tajam dan fokusnya ialah untuk mencemuh keadaan yang huduh yang dilakukan oleh manusia atau institusi yang korap dan kurang ajar. SHIT adalah termasuk dalam jenis Satira Juvenalia.`` (SHIT, 1999: i-ii).


Marahnya Shahnon bukan setakat menulis Novel Satira SHIT, tapi masuk bertanding peringkat Parlimen di Kedah 1999 dan menang. Penulis turut marah terhadap ketidakadilan, jika selama ini tidak terlibat dengan politik, maka penulis turut hadir pada hari perasmian Parti Keadilan Nasional yang dirasmikan oleh Datin Seri Dr. Wan Azizah pada 4 April 1999 bertempat di Hotel Renaissance, Kuala Lumpur yang dihadiri begitu ramai orang hingga melempah ruah keluar (Dato` Seri Anwar pada masa itu dalam penjara). Penulis turut mendaftar kehadiran. Mulai daripada sini Penulis berjinak-jinak dengan politik. Bukan Penulis saja mulai cenderung kepada politik, tetapi kawan-kawan sesurau Al-Umm juga turut cenderung kepada politik seperti saudara Hussein Yunus, Sulaiman Sajilan, Banhawi Muhammad, Ya`kob Mohd Nor dan lain-lain. Dalam masa Penulis berkira-kira untuk memohon menyambung kontrek pensyarah di UKM selama dua tahun lagi (mulai 28.5.1999), kawan-kawan sesurau meminta supaya sama menubuhkan cawangan Pas di Kawasan 1/3 (Al-Umm), maka pada malam 15 Mei 1999 bersamaan 29 Muharram 1420 diadakan mesyuarat penubuhan di rumah seorang sahabat sesurau – Rumah saudara Sulaiman Sajilan. Penulis dilantik Ketua protem komiti dan Isteri Penulis sebagai Ketua Muslimat dan kawan-kawan sesurau menjadi AJK. Mesyuarat Perasmian dan pelancaran Cawangan Al-Umm (1/3)  diadakan di rumah Penulis pada malam Jumaat 06 Safar  1420 bersamaan 21 Mei 1999 dirasmikan oleh Dr. Rusli Che Mat YDP Pas Hulu Langat yang hadir bersama dengan Dr. Hamirdin Ithnin Setiausaha Perhubungan. Dalam mesyuarat Perasmian ini  Penulis  dilantik menjadi Ketua Cawangan, Timbalan Tuan Haji Yaakob Mat Nor, Setiausaha Tuan Haji Banhawi Muhammad dan Bendahari Tuan Haji Hussein Yunus dan 12 Ahli Jawatankuasa dilantik. Hadir ke mesyuarat seramai 35 orang.


Akibat Marah terhadap ketidakadilan yang membawa kepada penubuhan cawangan Pas ini merupakan – Merintis jalan awal ke Kajang.

Selepas perlantikan tersebut Penulis mulai terlibat dengan Pas dengan lebih rapat. Misalnya sering ke kegiatan-kegiatan Pas di Markas al-Thaqafah, Sungai Merab, ke Markas al-Mawaddah, Seksyen 2, Bandar Baru Bangi, ke MTD Sementa peringkat negeri dan Markaz Pas Pusat di Melewar. Penulis juga sering dijemput bersama ke cawangan-cawangan Pas di serata Hulu Langat. Turut menghadiri ceramah-ceramah pemimpin yang datang ke kawasan seperti ceramah oleh Tuan Guru Haji Abdul Hadi Timbalan Presiden di Teras Jernang pada malam  Sabtu 10 Julai 1999, bahkan turut sama dijemput berucap. Hadiri ceramah Tuan Guru Dato` Nik Aziz Murshidul Am Pas di Bandar Tun Razak pada malam Ahad 11 Julai 1999 – pergi bersama-sama AJK Pas Al-Umm, Ke Kuala Pajam mengikuti ceramah saudara Mohd. Sabu pada 12 Julai 1999 bersama kawan secawangan dan turut berucap. Menghadiri Perhimpunan Graduan & Professional Pas di Markaz Tarbiah di Melewar pada Ahad 18 Julai 1999 yang dirasmikan oleh Presiden Dato` Fadzil Nor dan Ijtima` Ulama` di Taman Melewar pada Sabtu 2 Oktober 1999.


Akibat marah kerana kezaliman terhadap Dato` Seri Anwar Penulis terlibat dengan politik lebih jauh, tetapi sehingga pembubaran parlimen (Dr. Mahathir & Dato` Abdullah Badawi mengadap Yang Dipertuan Agung pada 10 November 1999 membubarkan parlimen) Penulis semata.mata bergiat dalam Pas dan tidak diberi bayangan untuk menjadi calon di samping Penulis terus sebok meneruskan kegiatan penulis sebagai ahli akademik, menjadi Ahli Lembaga Muzium Negeri Terengganu, Mengetuai selaku Ketua Kurikulum dan Pemeriksa Kertas Sastera Melayu Tradisional dan Moden di Majlis Peperiksaan Malaysia (STPM) dan Panel Hadiah Sastera Malaysia sejak 1987 hingga 1999.

Dari Strategi yang diatur oleh Presiden Parti Dato` Fadzil Nor idea bernas beliau mencetuskan konsep kerjasama dalam Barisan Alternatif bersama Dap & Keadilan Nasional, maka Pas secara agresif bertanding pada peringkat parlimen dan negeri dengan jumlah kerusi yang banyak. Di Selangor Pas bertanding di 22 kerusi Dewan Negeri daripada jumlah 48 kerusi dan 5 parlimen. Pada Isnin 15 November 1999 jam 12.45 tengahari Penulis dibawa oleh Tuan Haji Yunin Bendahari Pas Kawasan Hulu Langat bersama Cikgu Fadhil ke Melewar bermesyuarat. Di sini baru Penulis dimaklumkan menjadi calon Dun Negeri, iaitu di Beranang & Cikgu Fadhil di Dusun Tua. Beranang kawasan yang Penulis tidak biasa, tetapi tidak menolak, namun selepas menyiapkan keperluan untuk bertanding dan pergi meninjau Markas Beranang di Semenyih, maka pada 18 November 1999 Penulis dengan Ustaz Yaakob Mat Nor diminta ke Markas Melewar, Penulis dimaklumkan Dun yang Penulis diminta bertanding ditukar ke Kajang dan pada hari itu juga diberi wathiqah oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor Ustaz Hassan Shukri dan pada sebelah malamnya sekali lagi ke Markas di Melewar ke Majlis Pengumuman nama-nama calon Pas secara rasmi.


Penulis masuk calon bertolak dari awal `Marah` bertujuan bagi menentang `Kezaliman` dan mendukung cita-cita Pas meluaskan Perjuangan Islam dengan membuka ruang ke Selangor dan Penulis bergerak  `Jalan Ke Kajang` dengan ingatan dalam fikiran Pas tidak pernah bertapak di DUN Selangor dan selama ini mana-mana yang bertanding di atas tiket Pas, jika tidak hilang wang deposit boleh dianggap bertuah ! Namun berazam untuk berjuang.

Bayangkan dari 18 November hingga hari mengundi 29 November, Penulis bersama jentera parti Pas Hulu Langat hanya mempunyai 10 hari sahaja untuk mengenali kawasan Kajang dan berkempen yang sebahagian kawasan tidak begitu Penulis biasa. Al-Hamdulillah dengan kerjasama semua pihak dan sokongan rakyat dan pengundi Kajang Pas memenangi Dun Kajang walaupun dengan majoriti tipis, iaitu 37 undi ! bersama dengan 3 lagi kerusi Pas menang di Selangor, iaitu Sungai Burung (Dato` Dr. Hassan Ali), Gombak Setia (Dato` Ismail Kamus) dan Air Tawar (Ustaz Salehen Muhyi), manakala Keadilan Nasional di Hulu Kelang (Sdr. Azmin Ali) dan Dap di Sungai Pinang (Teng Chan Khin).  Pas juga menguasai negeri Kelantan dan Terengganu dan mendapat kerusi Parlimen dan DUN lebih banyak di negeri-negeri. Atas kebijaksanaan Dato` Fadzil Nor Pas paling banyak menguasai kerusi berbanding dengan Dap dan Keadilan. Ini tidak lain dari kerana Pas mempunyai jentera parti tersusun dan mendapat kepercayaan rakyat.
Misi Pas ke Selangor mula terbuka pada pilihanraya ke 10 pada 29 November 1999 dan turut terbuka Jalan ke Kajang, satu kawasan multirasial yang selama ini belum pernah dimasuki dan dimenangi Pas.


Bagaimana dengan misi dari Kajang ke Putrajaya ? Perlu berstrategi dan jentera yang mantap. Paling penting perlu mendapat sokongan pengundi – Insya Allah.

Sekian.

No comments:

Post a Comment