February 7, 2014

Dinamika Membina Diri Dan Peribadi Zulkifli - Bersifat Kreatif Dan Berjiwa Besar

-->
BBB, 06 Rabiul Akhir 1435 = 06 Februari 2014 (Khamis):

Zulkifli dilahir ( 22 Mac 1927) dan dibesarkan dalam suasana masyarakat setempat yang mempunyai kesedaran dan mementingkan pelajaran. Kediaman keluarganya (Kota Lama Kiri) tidak jauh – kira-kira lima km. dari Bandar Kuala Kangsar. Di sekitarnya ada pusat pengajian ulung pada masa itu, iaitu Kolej Melayu, Kuala Kangsar. Terdapat pengajian agama seperti Madrasah Aziziah, Parit dan Idrisiah, Bukit Candan, Kuala Kangsar.  Perak terkenal dengan pusat pendidikan seperti Maktab Perguruan Sultan Idris yang melatih guru-guru, menghasilkan bahan-bahan penerbitan dan meniupkan semangat kesedaran, terutama di kalangan guru-guru. Pada masa yang sama Perak juga melahirkan pejuang-pejuang dan Ilmuan-ilmuan seperti Shaykh Tahir Jalaluddin, Muhammad Idris al-Marbawi, Ustaz Abu Bakir al-Baqir Mudir bagi Madrasah Al-Ihya` al-Sharif, Gunung Semanggul, Tuan Haji Abdullah Fahim yang pernah menjadi Mudir di Madrasah Idrisiah, Ahmad Boestamam dari Behrang yang menjadi pemimpin politik dan pengarang.


Zulkifli dari keluarga besar (10 adik beradik) yang agak senang dan mementingkan pelajaran. Ayahnya En. Muhammad bin Haji Arshad Kerani Besar Hospital (Kuala Kangsar dan Parit). Seorang abangnya En. Zabidi terdidik di Medical College Singapura. Zulkifli terdidik dalam bidang agama dalam masa dan suasana hangat selepas perang dan kesedaran politik ke arah menuntut kemerdekaan. Zulkifli belajar di Sekolah Melayu  Parit, Madrasah Aziziah (di Parit) dan yang terpenting di Madrasah Idrisiah, Bukit Candan, Kuala Kangsar. Antara gurunya ialah Tuan Haji Zakaria bin Mat Johar (di Madrasah Aziziah) yang pernah berjawatan Kadhi Kerajaan negeri Perak, Tuan Haji Abdullah Fahim (Mudir Madrasah Idrisiah), Tuan Haji Ismail Hamzah (Simpang Tiga) yang pernah menjadi mufti kerajaan negeri Perak. Zulkifli juga pernah mengambil peperiksaan bagi memasuki kuliah peringkat tinggi di Madrasah al-Ihya` al-Sharif di Gunung Semanggol yang mudirnya ialah Ustaz Abu Bakar al-Baqir, beliau lulus dan layak, tetapi terpaksa ditangguh kerana kekurangan pelajar yang berkelayakan.

Zulkifli adalah pelajar cemerlang  menguasai bahasa Melayu dengan baik, berkemampuan menguasai bahasa Arab, turut belajar bahasa Inggeris dan petah berpidato. Satu yang membentuk kecekalan hati, semangat berlumba dan melahirkan kemampuannya, ialah kecacatan yang dialaminya sejak kecil, iaitu ketika usianya dua bulan dia mengalami sakit lumpuh (polio) yang menyebabkan tangan dan kakinya lemah. Dengan kelemahan yang dialaminya tidak melemahkan semangatnya, bahkan dia berusaha memperbaiki diri dengan pelajaran dan melibatkan diri di dalam kegiatan yang bersifat politik. Zulkifli adalah pemuda berjiwa besar, dia banyak membaca buku-buku dan karya-karya kreatif baik di dalam bahasa Arab, Melayu, Indonesia dan juga bahasa Inggeris

Dari minat membaca menumbuhkan dalam jiwa beliau hasrat menjadi pengarang dan penyair yang ternyata beliau memang berbakat. Zulkifli mengukir nama dalam bidang penulisan dan karya kreatif sejak umurnya belasan tahun dan dia telah menghantar tulisan-tulisannya ke berbagai penerbitan dan mendapat tempat. Puisi terawalnya terbit sejak 1946. Menurut Mukhtar Petah seorang wartawan dan kenalan baik Zulkifli di dalam buku karangannya berjudul:
Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan:
``Sebagaimana yang rakan-rakannya ketahui dalam tahun inilah (1947) namanya (Zulkifli Muhammad) mulai muncul dalam akhbar-akhbar dan majalah-majalah tanahair, di antaranya Majalah Mastika, Majalah Qalam, Majalah Hiburan, Akhbar Majlis yang terbit di Kuala Lumpur, Akhbar Mingguan Utusan Zaman, Majalah Medan Masyarakat yang diterbitkan di Pulau Pinang dan lain-lain lagi.
(Mukhtar Petah, Zulkifli Muhammad Dalam Kenangan, Pustaka Aman Press, Kota Baharu, Kelantan, 1966: 32-33).

Dalam seumur muda ini juga Zulkifli melibatkan diri dalam politik tanahair yang sedang hangat pada masa itu. Telah dimaklumkan apabila Umno membuka cawangannya di Kuala Kangsar (1946), beliau mendaftar diri menjadi ahli. Beliau tidak setakat menjadi ahli, tetapi turut bergiat sama di dalam kegiatan politik menurut Mukhtar Petah:

``Dalam masa itu juga di samping namanya mulai dikenali dalam lapangan kesusasteraan dia juga menyertai Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu – UMNO – yang pada masa itu UMNO diketuai oleh Dato` Onn bin Ja`afar.``  Tambah Mukhtar Petah:

``Pada masa Umno dan pemimpin-pemimpin kebangsaan menentang Perjanjian Mac Mickel, maka seluruh rakyat bangun menentang tipu helah Penjajah Inggeris. Satu rapat umum yang dihadiri oleh Dato` Onn, Tuan Haji Abdul Wahhab bin Abdul Aziz (Dato` Panglima Bukit Gantang) diadakan di Padang Kuala Kangsar. Turut hadir memberi ucapan yang berapi-rapi dalam rapat umum yang dihadiri oleh ribuan manusia itu ialah Zulkifli – Dia yang memakai baju kemeja, bersongkok agak melintang, berkain sarung dan tidak berkasut (berkaki ayam). Dia berucap menentang tipu daya penjajah, menentang nafsu besar anak-anak mas penjajah dan memperkatakan nasib bangsa Melayu yang akan datang.``

(Mukhtar Petah, 1966: 26 – 28).

Menurut Mukhtar, ``Ucapannya (Zulkifli) itu telah menarik perhatian Baginda Sultan Abdul Aziz yang bersemayam di Istana Iskandariah, Bukit Candan dan Baginda senantiasa bertanya-tanya tentang diri Zulkifli kepada orang-orangnya.`` Menurut Mukhtar lagi:

``Masa itu juga saya kira tidak ada seorang pun yang boleh memberi ucapan dalam rapat umum sebegitu tegas dan berani, walaupun ada Ishak Haji Muhammad, Doktor Burhanuddin, dan Dato` Onn sendiri. Nada suara mereka berucap tidak dapat dibuat sebagaimana suara Zulkifli – tegas, pedas dan menggerunkan bulu tengkuk.``

(Mukhtar Petah, 1966, 28 -29).

Keterlibatan Zulkifli pada peringkat awal di dalam Umno, oleh kerana inilah wadah politik arus perdana pada masa itu. Hizbul Muslimin yang ditubuh antaranya oleh Ustaz Abu Bakar al-Baqir (1948) selepas penentangan terhadap Malayan Union (1946) dan penubuhan Pas hanyalah pada tahun (1951) ketika Zulkifli sudah berada di luar Negara. Keadaan yang sama berlaku kepada Dr. Burhanuddin Hilmy, sebelum memimpin Pas pernah memimpin KMM dan sebagainya.

Jelas memperlihatkan bahawa Zulkifli Muhammad – Pemuda berjiwa besar ini, walaupun cacat, tidak menghalangnya dari usaha mempertajamkan minda dan menyuburkan bakat penulisannya hingga terserlah ketokohannya sebelum beliau melanjutkan pelajarannya ke luar Negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment