February 12, 2014

Turun Padang Di Kajang, Kempen Pilihanraya

-->
BBB, 11 Rabiul Akhir 1435 = 11 Februari 2014 (Selasa):

`Turun Padang` menjadi istilah popular sebagai `tindakerja` bagi satu-satu badan, persatuan atau organisasi melakukan kegiatan dan tumpuan melibatkan akar-umbi dan berusaha mentransformasikan mereka kepada objektif-objektif yang disasarkan.
`Turun Padang` digunakan juga di dalam agenda-agenda politik. Misalnya untuk memperkenalkan diri seseorang calon pilihanraya atau seseorang Adun yang dipilih dalam rangka berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya, maka ia hendaklah
`Turun Padang` bersama rakyat.

Bagi seseorang calon yang dipilih di dalam pilihanraya, contoh PRK Kajang, menurut peraturan dia hanya boleh berkempen selepas hari penamaan calon. Ini tidak bererti dia tidak boleh melawat ke kawasan-kawasan yang ditandinginya. Bagi Dun Kajang hari penamaan calon ialah pada 11 Mac 2014 dan hari mengundi ialah pada 23 Mac 2014. Ini bermakna calon dan jentera parti dapat `turun padang` hanya selama 12 hari sahaja. Masa ini amat pendek dan tidak berkesempatan menziarah tempat-tempat dan pengundi-pengundi di dalam Dun Kajang. Untuk mengunjungi semua tempat dan menemui sebanyak pengundi calon terpaksa bergerak dengan jadual yang padat dan tepat sebagaimana yang disusunkan yang melibatkan 16 lokaliti bagi Dun Kajang kini. Dalam masa tersebut calon tiada masa – kecuali untuk rehat dan tidur, untuk memulihkan tenaga dan kempen seterusnya. Sebab itu seorang calon seharusnya seorang yang sihat, bertenaga dan bersemangat bagi `turun padang`. Tiada rehat baginya dalam kata sebenarnya. Andainya dia menang, maka akan diikuti dengan majlis-majlis kesyukuran yang bertalian yang menuntut darinya kecekalan dan hendaklah terus menunjukkan mood yang baik dan terus `tersenyum` walaupun sebenarnya dalam keadaan keletihan.


Penulis sendiri pernah melalui suasana kempen pilihanraya yang Penulis sendiri sebagai calon sebanyak tiga kali dan merasa sendiri betapa ketat jadual dan berkejar-kejar memenuhi program yang diaturkan. Sebagai contoh bagi pilihanraya ke 10 Dun Kajang (1999). Hari penamaan calon ialah pada 20 November 1999 dan hari mengundi ialah pada 29 November 1999. Ertinya tempoh diberi untuk berkempen ialah selama 9 hari sahaja. Kawasan bagi Dun Kajang pada masa itu adalah dua kali ganda dari kawasan Kajang sekarang, iaitu semua kawasan Dun Kajang sekarang campur dengan seluruh kawasan Dun Bangi sekarang ditambah dengan beberapa kawasan yang tidak termasuk di dalam Dun Kajang dan Bangi Sekarang seperti Bandar Teknologi, Sungai Long, Taman Rakan, sebahagian dari Sungai Jeluk dan Kampung Baru, Semenyih. Bayangkan di dalam masa sembilan hari terpaksa melawat dan menemui penduduk dilokasi-lokasi berkenaan. Penulis sebagai calon yang dipilih agak mengejut mengakui tidak begitu biasa dengan kebanyakan tempat-tempat berkenaan. Selama menjadi pensyarah di UKM dan tinggal di Bandar Baru Bangi, tempat yang Penulis kenali dan biasa pergi selama ini ialah Bandar Kajang dan tidak begitu biasa dengan tempat-tempat yang menjadi lokaliti bagi Dun Kajang pada masa itu. Jadi Penulis bergantung 100% kepada jentera parti yang mengatur program dari satu tempat ke satu tempat. Sebagai gambaran program yang dilalui sembilan hari (tidak merangkumi semua tempat, pergi ke tempat yang dijangka mendapat sokongan tinggi, manakala tempat lain dilawati oleh wakil-wakil):


20 November 1999 (Hari Penamaan Calon):
Pagi-pagi tiba di Masjid Kajang berpakaian baju Melayu sepasang berwarna samar lembut (kuning air) bersama penyokong (Pengiring-pengiring diri bergilir-gilir antaranya saudara Ahmad Sulaiman, Amir Udin, saudara Shukor Atan,, saudara Azemi Ahmad, Amir Othman, Abdullah dll.). Solat hajat. 8.30 pagi bergerak bersama-sama penyokong Pas dan Alternatif berjumlah 3,000 pengiring menuju ke Dewan Bandaran Kajang sambil bersolawat. Mendaftar sebagai calon Pas - Penulis bagi Dun Kajang lawan Choong Tow Chong (MCA-BN), Dr. Mohd Nor Nawawi Keadilan bagi Parlimen Hulu Langat lawan Badrul Hisham (UMNO-BN). Calon lain ialah Cikgu Haji Fadhil Pas Dun Dusun Tua dan Haji Zainuddin Lapoh Pas Dun Beranang. Ada bantahan tapi ditolak. Jam 2.30 diumumkan semua layak bertanding. Ke Masjid solat Zohor dan ke Dewan MPKj menerima taklimat dari pegawai plihanraya. Makan tengahari dan pulang rehat. Malam keluar ziarah UPU Cheras, Sungai Sekamat dan Taman Mesra. Pulang jam 2.00 pagi (Rumah dikawal setiap malam diketuai saudara Abdullah dari Unit Amal).

21 November 1999
Pagi bersenam dan bersiap ke Pasar Tani di PKNS bertemu masyarakat, diikuti ke Pasar di Jalan Reko. Balik rehat.
Petang ke Taman Perumahan dekat Simpang Balak jemputan kahwin di sini dan ke
jemputan perkahwinan lagi di Taman Sikamat. Pulang rehat.
Malam ke Surau al-Kauthar solat Maghrib, bertemu jamaah dan Isyak di Taman Mesra berjamaah bercakap dengan jamaah.
Ceramah di Taman Sikamat dan di Cheras.
Melawat UPU Cheras, Taman Sikamat dan Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

22 November 1999.
Keluar ke Pasar Jalan Reko bertemu pengundi-pengundi.
Ke UKM bersama Imam Kamaruddin bertemu pegawai-pegawai UKM di Pusanika. Ke beberapa jabatan termasuk Jabatan Persuratan Melayu (Jabatan Penulis berkhidmat sebelumnya). Pulang rehat.
Petang ke perumahan setinggan Jalan Reko yang berlaku kebakaran.
Petang ke Markas di Kajang. Solat Maghrib di Kampung Muhibbah dan isyak di Surau Saujana Impian, baca Yasin Nisfu Sya`ban. Pulang ke Jalan 6, BBB ada tahlil. Kemudian ceramah di Bukit Mewah, ke Cheras ada tahlil aruah berikutnya ke UPU Cheras. Perjalanan pulang singgah di Seri Intan menemui gerakerja UPU – Tiba di rumah jam 2.00 pagi.

23 November 1999
Pagi ke Jabatan Persuratan Melayu bincang Tesis pelajar Ijazah Sarjana (Sdr. Azhar Wahid – Tugas menyelia beberapa pelajar terpaksa diteruskan) bersama ko-Penyelia Dr. Salehah Ishak.
Ke Kantin Pejabat Daerah Hulu Langat di Bangi jumpa pengundi-pengundi. Pulang rehat.
Selepas Zohor ke Pejabat Persatuan Penjaja-Penjaja Cina di Temani Cikgu Lee Kim Sin dan petang rayu undi di Pasaraya Warta BBB.
Maghrib imam di Surau Istiqamah. Berkejar ke Pasar Malam Jalan Reko dan ke Ceramah Kelompok di Taman Tenaga, ke Taman Mesra dan Taman Melor. 12.30 malam pulang.

24 November 1999
Makan pagi di Gerai dekat Masjid Kajang dan kempen kepada pengundi-pengundi.
Kemudian kempen di Pasar Kajang.

Selepas zohor gempur kempen di Bandar Kajang sepenuhnya bersama Keadilan dan DAP. Tamat jam 5.00 ptg.
Malam Solat Maghrib di Surau al-Sabah dan ke Kg. Baharu Semenyih berkempen di sana. Pulang jumpa Ustaz Hassan Shukri datang ke Markas al-Mawaddah BBB, kemudian ke Kg. Sentosa, Belakang Tabung Haji, Kajang. Kemudian melawat ke UPU Seri Jenaris. Jam 12.00 malam pulang ke Markas dan dihantar ke rumah.

25 November 1999.
Pagi keluar ke Metro Inn dengan pembantu-pembantu kempen ke tengahari.
Petang ke Markas Al-Mawaddah.
3.00 Ke Kajang perbincangan dengan persatuan Penjaja-Penjaja Cina.
Ke Sikamat Maghrib dan solat sunat hajat.
Berjumpa dengan pekerja-pekerja estate India di Sikamat – Masalah perumahan.
Pulang sertai majlis pertemuan di Fasa 4, Bandar Bandar Baru Bangi. Pulang ke Markas al-Mawaddah dan dihantar pulang ke rumah.

26 November 1999.
Keluar kempen bertemu pengundi di Pasaraya Econsave dan Pasaraya Ocean dan Pasaraya Billion yang semuanya di Bandar Kajang. Pulang rehat.
3.00 petang ke Masjid Kajang solat  Asar. Pulang ke Markas al-Mawaddah.
Malam dibawa kempen ke Taman Teknologi, kemudian dibawa ke Broga (ramai pengundi Cina Kajang di sana). Kembali ke Kajang kempen bersama DAP. Ke Taman Jenaris dan pulang ke Jalan 6, BBB dan ke Teras Jernang.

27 November 1999
Pagi berkonvoi turun ke Jalan Bukit Mewah Kajang berkempen di kedai-kedai di sana. Pulang ke MTD dan Kenduri Kahwin di Seksyen Satu BBB.
Petang bergerak ke Sungai Jeluk, kemudian ke Persatuan Kelab Sen Yee di Jalan Mandeling, Kajang. Berbincang dengan ahli. Kemudian ke Sungai Jeluk, kempen rumah ke rumah bersama muslimat. Pulang ke Markas MTD.
Maghrib di Surau al-Falah jalan 6 BBB dan Isyak di Surau al-Ehsan.
Keluar secara konvoi ke Kajang bertemu pengundi di Jalan Reko, kedai Sate di Pusat
Bandar Kajang dan ke Sungai Jeluk.

28 November 1999
8.00 Pagi dibawa ke Kajang gerakgempur peringkat akhir kerjasama dengan Dap. Tumpuan di Pasar Kajang. Buka kaunter, sebar pamflit dan bergerak dari satu gerai ke satu gerai bertemu peniaga dan pembeli. 11.00 di Pasar Bandar Baru Bangi bertemu peniaga dan pembeli, kemudian ke Cheras hadir jemputan kahwin sambil kempen. Zohor di surau di Cheras. Pulang ke MTD dan dihantar ke rumah rehat.

Solat Asar dan ke Taman Mesra, berjumpa dengan masyarakat India bekas pekerja Golden Hope. Kempen di Kajang Jaya ke Pasar Pekan sehari. Solat maghrib di Fasa 4 Tambahan serta solat hajat. Ke Pekan Sehari West Country dan malam berceramah terakhir di Fasa 4 Tambahan.

29 November 1999
Hari Mengundi Pilihanraya ke 10. Keluar ke MTD pakai bush jacket bersama isteri dan berarak ke Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Dua membuang undi bersama isteri.
Selepas itu melawat pusat-pusat mengundi bermula dari Sekolah Rendah BBB ke Kajang melawat tempat mengundi Taman Mesra, Taman Sikamat, Cheras Utara, Sekolah Rendah Jalan Semenyih, ke Kg. Baru Semenyih – Pulang singgah di Sekolah Convent, Sekolah Jalan Bukit. Pulang melawat Pusat Mengundi West Country, Sekolah Kebangsaan Jalan 6 dan Sekolah Menengah Kebangsaan BBB. Pulang mandi & solat dan ke MTD.

Melawat kali kedua mula-mula ke Sekolah Convent, Sekolah Jalan Bukit dan pulang ke West Country, Jln. 6, Sekolah Rendah & Menegah BBB.
Malam ke Dewan bandaran Kajang tunggu keputusan. 1.30 pagi baru diumumkan menang dengan majority tipis – iaitu 37 undi syukur al-Hamdulillah.

Sebenarnya dalam tempoh 9 hari tidak semua tempat dihadiri. Dalam 9 hari beri priority tempat yang dijangka tinggi sokongan, tapi di tempat-tempat lain telah dibuat lawatan sebelumnya. Kita tidak membuat lawatan ke Sungai Chua atau Pekan Bangi yang kita jangka pada masa itu kurang mendapar sokongan- diawasi oleh wakil-wakil. Lawatan telah dibuat sebelum dari tempoh kempen lagi. Misalnya Jamuan Makan Malam dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam Alternatif. Sebelumnya juga banyak diadakan ceramah kelompok di seluruh tempat.

Pendekatan mungkin ada perbedaan antara satu Dun dengan Dun yang lain. Tetapi itulah mekanisme gerakerja dalam tempoh kempen pilihanraya. Yang penting ialah berusaha mendapat sokongan pengundi. Tempat-tempat utama diberi perhatian ialah tempat himpunan dan ramai pengundi seperti Pasar Kajang, pasar-pasar biasa, pasar-pasar malam dan pasar-pasaraya, kelab-kelab persatuan, majlis-majlis perkahwinan dan kedai-kedai.

Namun pilihanraya kecil secara berasingan seperti Kajang kini, tentulah berlainan, kerana banyak jentera parti dan pemimpin-pemimpin parti datang tertumpu pada satu kawasan. Sudah tentulah Kajang menghadapi kempen pilihanraya yang senget, tapi kita percaya pengundi-pengundi Kajang yang bijaksana akan mengundi secara bijaksana dan menghasilkan keputusan yang meyakinkan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment