February 13, 2014

Isu Tradisi Di Kajang - Masalah Jalan & Lalu Lintas

-->
BBB, 12 Rabiul Akhir 1435 = 12 Februari 2014 (Rabu):

Isu besar yang timbul dalam satu-satu masa dapat mempengaruhi dan mengubah sokongan pengundi, jika ia melibatkan pada peringkat nasional boleh meruntuh sebuah kerajaan atau menghilangkan sokongan pengundi. Isu Dato` Seri Anwar dipukul dan dijil dan kemarahan rakyat terhadap Dr. Mahathir menyebabkan kemerosotan sokongan yang diterima oleh BN pada pilihanraya 1999 dan membuka ruang bertapaknya Pas, Keadilan di samping Dap di Selangor. Apabila Dr. Mahathir turun dari kepimpinan Negara dan mengamanahkan kapada penggantinga di bawah kepimpinan Dato` Seri Abdullah ada semacam harapan baru dari pimpinan Dato` Seri Abdullah Badawi yang disifatkan sebagai `Mr. Clean`, maka sokongan padu diberi kepadanya, maka Pas & Keadilan yang bertapak di Selangor pada 1999 tidak mendapat sebarang kerusi pada pilihanraya ke 11 (2004) di Selangor (kecuali Dap dua kerusi). Penulis sendiri yang pertama kali bertanding di Dun Bangi yang dipecahkan dari Dun Kajang (2004) turut kecundang. Kemerosotan sokongan terhadap Barisan Alternatif yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat ini bukan saja berlaku di Selangor, tetapi menyeluruh pada peringkat Negara dan negeri. Isu-isu khusus boleh berlaku pada seseorang pemimpin yang boleh menjatuhkannya, misalnya rasuah dan sebagainya.


Berhubung dengan isu juga diberi sokongan atau tidak terhadap seorang calon, kekal atau tidaknya sebagai pemimpin atau wakil rakyat bergantung pada kebijaksanaan mengendali dan menyelesaikan isu-isu setempat dan semasa yang dihadapi. Rakyat juga berpeluang mengambil peluang mengemukakan masalah dan isu kepada pemimpin yang bertanding menurunkan projek, bantuan dan penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi. Masa kempen pilihanraya ini dikatakan sebagai `Durian Runtuh` yang patut diambil kesempatan oleh rakyat setempat membuat aduan dan tuntutan.


Semua Dun dan juga parlimen mempunyai masalah sendiri yang setengahnya sebagai masalah tradisi. Masalah-masalah tradisi yang dihadapi di Kajang dan releven hingga kini ialah masalah jalanraya dan lalulintas. Masalah bukan setakat rosak, tetapi, pada masa Penulis menjadi Adun Kajang ada masalah lebih besar dari itu. Menjelang tahun 2,000 Kajang mulai membangun dengan adanya KLIA dan adanya jalan Plus. Kajang turut membangun, walaupun belum ada Putrajaya pada masa itu. Tapi ia mula berkembang sebagai pusat pengajian, pentadbiran dan komersil. Jalan lama dari Kuala Lumpur-Cheras-Kajang didapati terlampau sempit dan perlu diperluas kepada jalan 3 lane. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang, jalan KL-Cheras-Kajang dalam peningkatan di bawah Syarikat Grand Saga. Penulis banyak menerima aduan dari pengambilan tanah yang tidak sepadan dengan pampasan. Sebahagian menjadi setinggan di Bukit Dukung, kerana tiada tapak untuk mendirikan rumah. Pampasan yang diberi tidak cukup untuk membeli tanah atau rumah. Rundingan sering dibuat dengan Grand Saga tentang nasib mereka. Kalangan setinggan Bukit Dukung sering membuat aduan tentang air yang sering terputus, rumah mereka yang tidak selesa.


Grand Saga mendirikan dua tol di Batu Sembilan dan 10. Tol yang asalnya 10 & 20 sen dinaikkan kepada 20 & 30 sen. Bagi pihak rakyat kami sering membantah dan menunjuk perasaan dengan penduduk setempat dan parti politik. Namun dari masa ke masa toll terus naik kepada 30 & 50 dan akhirnya meningkat kepada RM1.00 dan lebih. Banyak kali tunjuk perasaan terpaksa diadakan. Kini toll Batu 9 telah ditutup.

Selain daripada untuk mengurangkan kesesakan jalanraya Semenyih Kajang dirancang jalan alternative di bawah Syarikat Silk. Masalah yang Penulis selaku Adun terpaksa hadapi dan runding ialah jalan Silk ini mengasingkan Kajang Utama. Kami bersama penduduk menuntut supaya diadakan fly-over atau terowong antara Kajang Utama ke Kajang. Jenuh kami menunujuk perasaan. Samy Vellu Menteri Kerjaraya pada masa itu berjanji mau mengadakan fly-over sebelum pilihanraya ke 12 yang lepas, tetapi hingga kini masih belum menjadi kenyataan – masih dalam perancangan. Pihak Silk juga bercadang untuk mendirikan tol dekat Kajang Utama. Kami membantah, sudahlah penduduk terpaksa membuat U-Turn berpuluh km. kena bayar tol. Tuntutan kami berjaya di mana tol dibuat jauh hingga tidak dikenakan tol kepada penduduk Kajang Utama. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang juga pihak kerajaan mau mengambil tanah penduduk di Simpang Balak untuk meningkatkan taraf lingkaran jalan ke jalan-jalan lain. Kami terpaksa menunjuk perasaan dan menuntut dibayar pampasan lebih tinggi kepada pemilik-pemilik tanah yang diambil.


Semasa menjadi Adun Kajang juga perumahan di Sungai Long, Taman Rakan dan Taman Mahkota sedang dibuka. Jalan masuk ke kawasan ini amat bermasalah, Bereselut dan banjir lumpur. Terpaksa berterusan berurusan dengan pihak pemaju sebelum jalan dibina secara lebih selesa.

Masalah jalan tradisi antara Kajang dengan Pekan Bangi juga menjadi isu yang berpanjangan. Jalan ke Pekan Bangi adalah bengkang bengkok – Jalan zaman sebelum perang. Cadangan agar dilebarkan jalan berkenaan telah dibuat dan dapat diperluas secara sedikit-sedikit. Kini jalan ini baru dalam proses pembesaran. Jalan Reko ke UKM juga telah diperluaskan.

Masalah lalu lintas di Bandar Kajang sebagai tiada penghujungnya. Bandar Kajang yang kecil dan sempit itu tidak dapat menampung kemasukan kenderaan yang banyak dan ketidakcukupan tempat parking. Pernah Penulis sebagai Adun mencadangkan di Dewan Negeri Selangor agar didirikan bangunan untuk parking, tetapi hingga sekarang tiada bangunan sedemikian.

Kajang sebenarnya di dalam dilemma antara untuk menarik pengunjung dan pelancong berkunjung ke Bandar Kajang, terutama untuk menikmati sate dan antara orang ramai berusaha untuk lari dari memasuki Bandar Kajang, kerana takut terperangkap di dalam masalah lalu lintas. Bagi yang berminat bertanding menjadi Wakil Rakyat Kajang perlu beri perhatian terhadap masalah lalu-lintas di Kajang.

Sekian.

No comments:

Post a Comment