February 23, 2014

Pasar Kajang Pusat Pertemuan Rakyat - Politik, Kemasyarakatan Dan Kebajikan

-->
BBB, 22 Rabiul Akhir 1435 =22 Februari 2014 (Sabtu):

Pasar Kajang adalah pusat strategik bagi `Pertemuan Rakyat` baik yang bersifat politik, kemasyarakatan dan kebajikan. Ini ialah kerana Pasar Kajang yang berada di tengah Bandar Kajang terdiri dari peniaga-peniaga berbagai kaum menyediakan berbagai-bagai keperluan harian dari ikan, sayur, daging, buah-buahan, sayur-sayuran dan berbagai keperluan dapur. Pasar Kajang  dikunjungi oleh berbagai kaum bagi mendapat keperluan masing-masing. Pengunjung bukan setakat penduduk dari Bandar Kajang, tetapi berbagai tempat sekitar Kajang.


Pasar Kajang yang ada sekarang baru dibina pada pertengahan 1990an. Sebelum daripada itu Pasar Kajang bertempat di tapak Pasar Raya Metro Kajang sekarang. Di tapak itu ada station  minyak Shell, Perhentian Bas bagi Syarikat Foh Hup – bas berwarna hijau yang menjalankan khidmat dari Kajang ke Kuala Lumpur dan Bas Sum yang menjalankan khidmat dari Kajang ke Pekan Bangi dan sebelah Hentian Bas ialah Pasar Kajang yang agak kotor dan becak. Bandar Kajang asal ialah baris kedai di Jalan Besar Utama, Jalan tengah dan Jalan Mendiling. Kedai-kedai di Jalan Pasar Sekarang dan Jalan Haron dibina pertengahan 1980an. Pasar Kajang siap agak lewat. Bila Penulis menjadi Adun Kajang (1999-2004), Pasar Kajang sekarang baru mula digunakan.


Pasar Kajang amat strategic bagi segala pertemuan. Misalnya semasa kempen pilihanraya Penulis dan pembantu-pembantu serta penyokong-penyokong menjadikan Pasar Kajang sebagai satu Tempat Pertemuan Rakyat yang penting, khususnya bagi parti-parti dalam Barisan Alternatif pada masa itu yang sukar mendapat tempat dalam media-media perdana. Dengan turun ke Pasar Kajang kita dapat menemui rakyat dan pengundi-pengundi dari berbagai lapisan masyarakat. Pemberita-pemberita kadang-kadang turut ikut, tetapi biasanya dari akhbar-akhbar Cina, iaitu Nanyang Siang Pau, China Press dan Sin Chew Jit Poh.


Untuk kempen Pilihanraya (29 November 1999), kita turun bersama penyokong-penyokong Alternatif termasuk Dap bersama bendera masing-masing. Turun terakhir sebelum pilihanraya ialah pada Rabu 24 November 1999. Penulis dan pengiring bertemu pengunjung pasar dan mengedar kepada mereka kad pengenalan diri sebagai calon, bahan-bahan edaran. Selepas menemui pengunjung-pengunjung turut ditemui peniaga-peniaga di pasar berkenaan dan meminta sokongan mereka. Mereka menerima dengan hati terbuka dan menyatakan sokongan ! Kami turun setakat berjumpa dan bermesra, tetapi tidak pernah menyampaikan ucapan.


Apabila Penulis memenangi kerusi Dun Kajang, maka pada Ahad 5 Disember 1999  Penulis sekali lagi dengan diiringi satu jamaah Pas ke Pasar Kajang mulai jam 8.30 pagi dibantu oleh kaum Cina dari DAP turun mengedarkan `Kad Ucap Terima Kasih`  kepada pengunjung-pengunjung dan peniaga-peniaga di Pasar Kajang kerana mengundi Penulis sebagai Adun Kajang – Wakil Rakyat mereka. Pertemuan berterusan hingga jam 11.00 pagi. Selepas itu Penulis selaku Adun pulang ke Markas Mawaddah Seksyen 2, Bandar Baru Bangi kerana ada Majlis  Kesyukuran yang dihadiri oleh Pesuruhjaya Pas Negeri Selangor pada masa itu, iaitu Ustaz Hassan Shukri.

Pasar Kajang juga dijadikan tempat bantahan bagi satu-satu isu bagi kepentingan rakyat. Misalnya bila pihak MPKj bercadang untuk menaikkan Cukai Pintu bagi semua kediaman di bawah MPKj, Penulis dan pendukung parti di dalam Barisan Alternatif mengadakan bantahan dengan mengedarkan risalah-risalah menyatakan bantahan. Tindakan sedemikian mempunyai kesan positif, Cukai Pintu di bawah MPKj tidak dinaikkan sejak 1995 hingga kini. MPKj mendapat cukai melalui cari lain. Beberapa bantahan yang lain turut diadakan – termasuk kenaikan minyak dan tol yang turut diadakan demonstrasi di tol berkenaan.


Dari segi kemasyarakatan dan kebajikan setiap kali sambutan raya Idil Fitri, Tahun Baru Cina dan Ponggal kami turun ke Pasar Kajang mengedarkan kad jemputan bagi Hari Raya, Tahun Baru Cina dan Hari Ponggal ke tempat-tempat jamuan yang diadakan yang biasanya diubah lokasi dari satu tempat ke tempat yang lain dalam Dun Kajang. Pada hari-hari sambutan berkenaan disampaikan bantuan kepada fakir, miskin, warga emas dan OKU. Bagi kanak-kanak setiap sambutan disampaikan duit raya atau ang pau atau duit Ponggal bagi memeriahkan suasana- terutama bagi anak-anak.


Selain daripada itu Penulis sendiri selaku Adun Kajang menganjurkan gotong royong bagi membersihkan Pasar Kajang termasuk dengan kerjasama MPKj. Sebagaimana juga telah disebut bila Penulis dipilih menjadi Adun Kajang Pasar Kajang menjadi tempat utama bagi Penulis membuka Kaunter Adun dari bulan ke bulan. Pada masa itu Penulis adalah selaku Adun Pembangkang, jadi ianya merupakan satu pendekatan yang efektif bagi Penulis mendekati dan menjalankan khidmat kepada masyarakat. Tetapi bila kita menjadi pemerintah (Adun Bangi 2008-2013) di Selangor dan kita mempunyai peruntukan, pendekatan diubah kepada berbagai khidmat masyarakat berperuntukan.


Namun, walaupun sesudah PR memerintah di Selangor dan kini untuk mengadakan PRK di Kajang `Turun Padang di Pasar Kajang` masih tetap releven bagi menemui rakyat bagi menyampaikan maklumat dan harapan untuk mendapat sokongan. Pengunjung dan peniaga di Pasar Kajang sebagaimana pengalaman-pengalaman yang lepas tidak pernah menolak kehadiran mana-mana pihak.

Sekian.

No comments:

Post a Comment