February 25, 2014

Anwar-Mei Fun, Pertembungan Misi Berlainan: Pengundi Kajang Buat Penentuan

-->
BBB, 24 Rabiul Akhir 1435 = 24 Februari 2014 (Isnin):

PRK Kajang 23 Mac 2014 menjadi lebih menarik dan mengundang cakna masyarakat terhadapnya makin tinggi selepas BN menamakan calonnya. Sebelum pengumuman calon BN dari MCA itu pada 21 Februari 2014 banyak diperkatakan terhadap Dato` Seri Anwar sebagai calon PKR-PR secara sebelah pihak dan lebih bersifat spekulatif siapa lawannya. Bila diumumkan bahawa Datuk Paduka Chew Mei Fun sebagai calon dari BN-MCA, maka tekateki sebelumnya sudah terjawab dan keghairahan terhadap PRK Kajang makin meningkat. Jika ada calon-calon tumpangan kelak sekadar memeriahkan, tetapi tidak sangat mengubah keputusan. Fokus utama ialah Anwar-Mei Fun.


Pertandingan PRK Kajang bukan setakat memperlihatkan ketokohan dan pengaruh dua calon dalam mana Dato` Seri Anwar sebagai Ketua Umum PKR dan Datin Paduka Chew Mei Fun selaku Naib Presiden MCA, tetapi membawa misi masing-masing. Datuk Seri Anwar mau – jika mungkin dengan misi menjadi Menteri Besar Selangor dan menjadikan Kajang `Road to Putrajaya`. Manakala bagi Datin Paduka Mei Fun dilihat sebagai proxi Datuk Seri Liow Tiong Lai Presiden MCA dengan misi menyekat kehadiran Dato` Seri Anwar bagi memulihkan imej MCA yang sebelum ini menurun dari sokongan dan juga sebagai kejayaan terhadap Datuk Seri Tiong Lai yang baru memimpin MCA itu. Semalam MCA dalam AGMnya bersetuju untuk kembali menganggotai kabinet sebagai salah satu usaha memulihkan imej MCA yang diharap kembali mendapat kepercayaan rakyat.

Apakah modal kedua pihak bagi mendepani pengundi Kajang ? Bagi Dato` Seri Anwar tentulah isu yang dianggap memasalahkan rakyat pada peringkat Kerajaan Persekutuan, juga apa yang telah dilaku dan akan dilakukan pada peringkat kerajaan Negeri. Isu pada peringkat kerajaan Persekutuan tentulah lebih lumrah seperti kenaikan harga barang-barang dan rumah kediaman serta implikasi kepada rakyat bila dilaksanakan GST. Nilai matawang yang terus menurun dan merudum. Kesan harga minyak dan tol, keamanan yang makin menghilang, sistem pendidikan yang tidak mantap contoh isu Penilaian Berdasarkan Sekolah (PBS) yang memasalahkan, hutang Negara yang terus meningkat dan berbagai lagi. Dari negeri Selangor tidak banyak perubahan pendekatan selain dari penerusan dari penggal lepas (2008-2013) dan Bekas Adun Kajang yang meletakkan jawatan - Lee Chin Cheh tidak berkesempatan melakukan khidmat berkesan. Barangkali untuk boleh dijadikan hujah oleh Dato` Seri Anwar perlunya dilakukan goncangan pimpinan untuk agar berlaku kesedaran & kesegaran pendekatan dan peningkatan perkhidmatan.

Bagi pihak Datin Paduka Chew Mei Fun, modal utama baginya ialah pergolakan dalam kepimpinan PKR itu sendiri dan kurangnya kesepaduan di dalam PR berhubung dengan PRK Kajang. Penarikan diri Lee Chin Cheh boleh disifatkan sebagai mempermainkan demokrasi dan membazirkan wang rakyat. Datin Paduka Mei Fun boleh mendakwa perlantikannya sebagai calon bagi PRK Kajang sebagai satu pengiktirafan dan kepercayaan terhadap kaum wanita yang dianggap boleh menarik sokongan sebahagian besar pengundi dari kalangan wanita. Pemberian BRIM Kerajaan dan berbagai-bagai projek yang sedang dijalankan tentulah sama dijadikan modal. Lebih daripada itu tentulah janji dari Mei Fun untuk memberi khidmat terhadap rakyat Kajang sebaik mungkin.


Kajang dari sekarang dan memuncak kepada 23 Mac akan sebok dikunjungi pekerja-pekerja parti dari kedua belah pihak bagi menjamin kemenangan calon yang didukung, kesesakan juga disumbang oleh mereka yang datang mau memerhati pertandingan PRK terbesar itu sebagai satu peristiwa politik penting terkini. Tentulah kini sehingga 23 Mac kedua pihak menggembling seluruh tenaga bagi memberi keyakinan dan mendapat sokongan dari pengundi di Kajang. Penduduk Kajang hendaklah mengambil manfaat dari limpahan rahmat bila PRK diadakan, termasuklah para peniaga. Pengundi Kajang haruslah melihat secara positif bahawa Dun Kajang telah dipilih bagi menilai apakah `Agenda Kajang` sesuai dan releven, lantas mengambil keputusan menyertai kafilah yang dijangka membawa perubahan pada peringkat negeri dan Persekutuan.
Ataukah ada yang menggabungkan pendirian dengan pimpinan baru dalam BN-MCA yang dilihat sedang menuju perubahan. Walau apapun jika Mei Fun menang di Kerusi Kajang tidak menjejaskan kuasa dalam Dewan dan Negeri Selangor. Sebagaimana pembangkang yang lain dalam Dewan Negeri Mei Fun tidak dapat membawa perubahan. Namun diakui jika Mei Fun menang boleh meningkatkan prestasi kepimpinan  Datuk Seri Tiong Lai sebagai Presiden MCA. Jika kemenangan bagi Dato` Seri Anwar bererti kerusi kembali kepada asal. Namun jalan seterusnya tidak semudah dan selicin yang dijangkakan. Isu Menteri Besar boleh berlarutan dan boleh mengganggu kelicinan pemerintahan. Jika berterusan berlaku perbalahan, termasuk isu-isu yang lain menjejaskan peluang kemenangan di dalam pilihanraya ke 14. Sebarang kekalahan di PRK Kajang, makin memalapkan lagi perjalanan ke Putrajaya. Namun jika kemenangan dijadikan landasan bagi perubahan ke arah positif, sama ada mengekalkan Menteri Besar yang ada atau sebaliknya dan Selangor dilihat benar-benar menjadi negeri contoh, bersama dengan perkembangan positif di tempat lain dan kerjasama lebih rapat di dalam PR, maka jalan ke Putrajaya lebih cerah. Dengan scenario terhad ini terpulanglah kepada pengundi Kajang membuat penilaian dan mengambil keputusan.

Sekian.

No comments:

Post a Comment