BBB, 19 Rabiul Akhir 1435 = 19 Februari 2014 (Rabu):
Salah satu cara menjalan dan memaklumkan khidmat kepada
rakyat ialah melalui akhbar-akhbar. Laporan yang dibuat setelah
pemberita-pemberita dijemput ke tempat-tempat yang diadakan kegiatan, atau
mereka hadir ke lokasi-lokasi peristiwa berlaku secara mengejut. Contoh berlaku
kebakaran atau kemalangan.
Sejak penulis rasmi menjadi Adun Kajang pada 29 November
1999, Penulis selaku Adun mula berdepan dengan pemberita ialah pada Rabu 8
Disember 1999 apabila Penulis ke Kampung Baru Semenyih yang termasuk di bawah
Dun Kajang dalam rangka mengedarkan kad-kad terima kasih kepada
pengundi-pengundi di Kg. Baru Semenyih kerana mengundi Penulis sebagai Adun
mereka. Semasa di Kg. Baru ini Penulis dan pengiring-pengiring didatangai
pemberita-pemberita. Pemberita-pemberita yang sering datang membuat berita
adalah dari Akhbar Cina seperti China Press, Nanyang Siang Pau & Sin Chew
Jit Poh di samping Metro, The Star, Harakah dan beberapa yang lain, tapi yang
biasa memberi liputan adalah akhbar-akhbar Cina. Sebagai Wakil Rakyat
Pembangkang berita Penulis tidak diberi liputan di dalam akhbar-akhbar aliran
perdana.
Pada 8 Disember ini Penulis selaku Adun diikuti pemberita-pemberita
dari China Press yang pemberitanya ialah En. T.S.Chen (Mendiang) yang menjaga
bahagian Kajang. Beliau menjadi sahabat baik Penulis dan sering hadir bila
dijemput atau sekurang-kurangnya jika terpaksa hadir tempat lain beliau
menghantar wakilnya, turut hadir ialah Cik Lim Hai Har Pemberita Nanyang
bahagian Kajang, pemberita dari Sin Chew Jit Poh ialah Mr. Yong dari kawasan
Kajang. Mereka biasanya datang bertiga serentak. Pada pagi 8 Disember ini Penulis ditanya
pemberita-pemberita mengenai masalah di Kampung Baru Semenyih tentang kekotoran
Bandar Semenyih, longkang yang tersumbat dan rumput yang tidak dipotong. Mereka
mengambil kesempatan untuk menghighlightkan masalah di Kg. Baru dan juga
Semenyih dan Penulis juga mengambil kesempatan untuk menyampaikan maklumat
kepada pihak berkuasa tentang masalah di Semenyih, khususnya di Kg. Baru yang
jalannya sempit dan banyak rosak, kekurangan tempat parking di kawasan pasar,
longkang tersumbat dan rumput tidak dipotong. Keadaan ini bukan saja di kawasan
Pasar Kg. Baru, Semenyih, tetapi juga sampai di Perling Jaya. Di sini juga – di
Perling, Penulis menerima aduan tentang pokok-pokok yang tidak dipotong dan
berjanji kepada mereka untuk mengambil tindakan.
Selepas daripada mengunjungi kawasan Kg. Baru Semenyih,
Penulis bersama pengiring-pengiring ke Bukit Mewah Kajang, turut sama
pemberita-pemberita berkenaan. Masalah besar yang mulai berdepan dengan Penulis
sebagai Adun, bahawa perumahan di Jalan 20, Bukit Mewah – tidak jauh dari Surau
Al-Na`im di sini, bahawa berlaku pergerakan tanah di lereng Bukit Mewah
berkenaan, kerana ada aliran air berterusan meresap dari atas bukit ke bawah
bangunan rumah teres setingkat di sini – bermaksud rumah-rumah di Jalan 20 dan
sekitarnya berada di jalan larian air di bawahnya yang dapat disaksikan terus
mengalir walaupun sedikit kelihatan, tapi berterusan. Pada masa Penulis hadir
hanya beberapa buah rumah sahaja yang mulai retak. Perkara ini kemudiannya
dibawa kepada pengetahuan pihak MPKj dan kepada kerajaan negeri. Isu rumah
retak yang pertama kali dihadapi Penulis berterusan. Sebelum tindakan diambil
rumah retak bertambah hingga berjumlah belasan rumah. Pembaikan dilakukan oleh
pihak anak syarikat Metro – Cekap Cooperation, masalah retak makin bertambah
dan jumlah rumah retak juga makin bertambah. Perkara ini dibawa ke berkali-kali
ke mesyuarat pada peringkat MPKj dan juga pada peringkat kerajaan Negeri
Selangor. Ada
cadangan agar dirobohkan saja semua bangunan berkenaan dan digantikan rumah
tempat lain dan tapak berkenaan dijadikan tapak rekreasi. Sementara itu tanah
rekah juga berlaku dibahagian atas bukit dan rumah-rumah bungalow juga turut
retak termasuk jalan juga pecah. Rumah retak ini berterusan menjadi isu
menggugat dan memakan masa selama 15 tahun daripada masa Penulis menjadi Adun
Kajang (1999-2004) hingga ke masa Penulis menjadi Adun Bangi (2008-2013).
Tindakan mutakhir diambil oleh kerajaan negeri Selangor ialah meruntuh
rumah-rumah yang benar-benar rosak dan membina kembali dan mana yang rosak
kecil yang tidak melibatkan kerosakan struktur dibaiki sahaja.
Ironi bagi Penulis sebagai Adun Kajang mula-mula berdepan
dengan isu rumah retak di Bukit Mewah Kajang (8 Dis. 1999) dan terakhir sebelum
tempoh akhir Penulis menjadi Adun Bangi 2013 ialah melawat rumah-rumah berkenaan
pada 1 Mei 2013 bersama saudara Azizi beberapa hari sebelum pilihanraya ke 13
(5 Mei 2013) setelah diperbaiki oleh kerajaan Negeri Selangor di bawah Pakatan
Rakyat dengan kos berjuta-juta ringgit ! Bererti masalah rumah rentak yang
menjadi isu besar dan berlarutan mulai dari Penulis jadi Adun Kajang akhirnya
dapat diselesaikan pada bahagian akhir tempoh Penulis menjadi Adun Bangi.
Pada 8 Disember ini juga Penulis menerima kunjungan
Pemberita dari Majalah Detik pada jam 12.00 tengahari di Pejabat Penulis selaku
Adun Kajang pada masa itu. Pemberita ialah saudara Zulkifli. Apa yang ditanya
ialah tentang latarbelakang Penulis, tentang kemenangan yang baru dicapai
selaku Adun Kajang dan program-program yang akan dijalankan di Dun Kajang.
Akhbar-akhbar yang melaporkan tentang Penulis di atas, turut
dibeli Penulis, walaupun di dalam tulisan Cina, tak memahaminya – turut dibeli
ialah Majalah Detik yang dikeluarkan berikutnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment