Bangi, 26 Rabiul Awwal 1435 = 28 Januari 2014 (Selasa):
Isu pemecatan YB Azmin Ali Adun Bukit Antarabangsa dari Ahli
Lembaga PKNS yang merupakan Timbalan Presiden PKR meletup sejak awal tahun menjadi
pemula bagi kemelut politik di Selangor. Ancaman serius kepada kestabilan
politik Selangor akibat dari pergolakan dalam di dalam PKR ialah desakan secara
majoriti dari PKR Selangor agar Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim
berundur dari kepimpinan negeri Selangor. Isu-isu yang selama ini terbuku dan
terpendam lantas dibangkitkan. Contoh isu kenaikan gaji ahli Exco dan Adun yang
dianggap di luar kewajaran dan isu memiliknegerikan air yang tidak kesampaian.
Keretakan dalam PKR tidak boleh dibiarkan, ia akan menggugat
kestabilan Kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor jika berlaku misalnya, usul
tidak percaya terhadap Menteri Besar di dalam Mesyuarat Dewan Negeri Selangor
(tidak semestinya disetujui oleh ahli-ahli lain dari PKR). Kehilangan
kepercayaan dan kekecohan politik merupakan kesempatan bagi musuh politik –BN
menangguk di air keruh bagi menjatuhkan kerajaan Pakatan Rakyat, jika pun tidak
dalam masa terdekat, maka ianya sebagai peluang menguji ketahanan Kerajaan
Pakatan Rakyat dalam pilihanraya umum akan datang.
Semalam (Isnin 27 Januari) tercetus berita mengejutkan YB
Lee Chin Cheh meletakkan jawatan dari kerusi Ahli Dewan Negeri Kajang –
dikatakan tanpa alasan ! Dalam kemelut politik yang menghangat kini, walaupun
dikatakan tanpa alasan tidak susah bagi pemerhati politik membuat tafsiran.
Bahawa pengunduran sengaja diatur bahkan beliau dikatakan `membawa mulut` yang
mengatakan Tan Sri Khalid akan berundur, walaupun beliau menafikan. Tuduhan dijangka
untuk mewajarkan beliau meletakkan jawatan ? Berita hari ini Tan Sri Khalid mengumumkan
bahawa Dato` Seri Anwar Ibrahim akan bertanding di Dewan Negeri Kajang bagi
mengisikan kekosongan.
Pertandingan merupakan serampang banyak mata. Ia bagi
membendung perpecahan yang berlaku di dalam PKR negeri Selangor yang jika
tindakan tidak diambil makin melemahkan parti itu. Ianya dapat dilihat sebagai
usaha memperkukuhkan PKR di negeri Selangor, satu satunya negeri yang diberi
kepercayaan kepada PKR mengepalai kepimpinan negeri. Jika pemulihan tidak
dilakukan mungkin kerusi PKR makin merosot dan jika berlaku demikian maka
mungkin parti itu tidak diberi kepercayaan memimpin negeri Selangor lagi.
Kemasukan Dato` Seri Anwar Ibrahim adalah juga bertujuan bagi mengukuhkan
kedudukan Tan Sri Dato` Seri Khalid Ibrahim sebagai Menteri Besar Selangor ?
Pemerhati melihat, jika setakat memperkukuhkan kedudukan Menteri Besar dan
membendung perpecahan boleh dilakukan tanpa perlu bertanding di Dewan Negeri
Kajang dan tidak perlu berlakunya perletakan jawatan.
Lantaran itu ada yang melihat Dato` Seri Anwar Ibrahim
bertanding bagi mengambil alih kerusi Menteri Besar Selangor ! Dikatakan Tan
Sri Khalid sedia berundur jika yang mengambil alih Dato` Seri Anwar dan
bukannya saudara Azmin Ali. Pengambilan kerusi Menteri Besar dilihat bukan
setakat membendung perpecahan di dalam PKR, tetapi lebih besar daripada itu,
iaitu memperkukuhkan Pakatan Rakyat bagi menjadi model pemerintahan yang boleh
menambahkan sokongan rakyat kepada Pakatan Rakyat.
Begitu percaturan politik dilihat, tetapi perancangan tidak
semestinya dapat diterjemahkan secara tepat. Tindakan yang diambil mestilah dilihat
oleh rakyat, khususnya pengundi di Kajang sebagai penting dan wajar. Jangan
sampai dilihat rakyat sebagai mempunyai agenda peribadi dan membazirkan
kewangan Negara.
Perkiraan juga perlu diambil dari segi kecenderungan
pengundi Kajang yang boleh berubah oleh isu-isu semasa dan kepimpinan. Perlu diingat
pengundi Kajang boleh berubah dari segi pemilihan yang pernah diberi mandate
kepada BN (MCA), DAP, PAS dan PKR. Berdasarkan kepada majoriti yang didapati
PKR dalam pilihan raya ke 13 lepas dengan majoriti lebih 6,000, maka
kemungkinan besar PKR dapat mempertahankan kerusi tersebut, tapi perlu diingat
MCA yang biasanya darinya dijadikan calon di Kajang berada di dalam mood dan
kepimpinan baru, maka perlulah dilihat MCA mau membina repotasinya di bawah
kepimpinan yang baru. Pilihanraya kecil di Kajang dilihat salah satu yang dapat
memprojekkan imej MCA.
Apa yang dilihat pergolakan yang berlaku di dalam PKR ini
nampaknya cuba
diselesaikan oleh PKR. Perlu diingat dari segi kesannya ianya melibatkan
Pakatan Rakyat, khususnya di Selangor. Apa yang dilihat pihak lain dalam PKR
seolah-olah tidak dilibatkan, suara dan pendapat dalam Pakatan Rakyat perlu
dilibatkan, bahkan keputusan-keputusan yang dibuat wajar diperlihatkan secara
bersama, kerana implikasi pergolakan melibatkan semua.
Namun perletakan jawatan di Dewan Negeri Kajang telah
berlaku, kemenangan Pakatan Rakyat di Kajang amat perlu bagi memperkukuhkan PKR
dan Pakatan Rakyat di Selangor, andainya kebalikan, maka upset akan berlaku.
Banyak desakan dan perubahan juga akan berlaku.
Sekian.
No comments:
Post a Comment