BBB, 12 Rabiul Awwal 1435 = 14 Januari 2014 (Selasa):
Kedatangan 12 Rabiul Awwal tarikh kelahiran Junjungan Besar
Nabi Muhammad Rasulllah s.a.w. disambut diberbagai tempat dari peringkat
Negara, negeri, kawasan, masjid, surau dan kariah. Cara sembutan juga berbagai
cara dengan mengadakan perarakan, ceramah, forum, salawat barzanji dan
sebagainya.
Surau Al-Umm sebagai surau terawal dan tertua di Bandar Baru
Bangi pada tahun ini sebagaimana di tahun-tahun lain turut mengadakan sambutan
Maulid al-Rasul. Pada kali ini dengan mengadakan Majlis Selawat, Marhaban,
Qasidah dan Nasyid yang puncaknya ialah penyampaian ceramah. Majlis pada kali
ini bermula dari jam 11.00 tengahari sehingga zohor dan berakhir jam 2.00 tengahari.
Sambutan pada peringkat Surau Al-Umm ini disponsor oleh jiran surau Prof. Dr.
Zainal Abidin & Isteri Puan Hajjah Aminah serta penderma-penderma. Hadir ke
majlis AJK surau, penduduk setempat lelaki dan perempuan memenuhi surau.
Majlis bermula dengan doa dibacakan oleh Imam Surau Al-Umm
Ustaz Haji Anas diikuti dengan selawat, qasidah dan nasyid oleh kumpulan nasyid
dari Madrasah al-Qur`an – Madrasah Tahfiz USJ seramai 13 orang dengan diiringi
Mudirnya Ustaz Ikram. Dalam ucapan alu-aluannya Dr. Shafie Abu Bakar selaku
Pengerusi Surau mengucp syukur kepada Allah kerana sekali lagi, katanya, kita
dapat menyambut Sambutan Maulid al-Rasul 1435=2014 dan berterima kasih kepada
para hadirin yang hadir begitu ramai memenuhi surau. Beliau juga berterima kasih
kepada yang sponsor dan menderma hingga dapat menjayakan sambutan. Kehadiran kita katanya, menandakan kecintaan
kita terhadap Rasulullah s.a.w. Seseorang yang kita cintai terlebih banyak kita
menyebutnya. Tanda cinta kita kepada Rasulullah ialah dengan banyak bersalawat
kepadanya. Sesungguhnya Allah dan malaikat berselawat kepada Nabi, maka kita
dituntut berselawat kepada baginda – sebagaimana kumpulan nasyid tadi berselawat
dan kita turut sama berdiri berselawat ke atas Nabi. Tetapi kecintaan
sebenarnya ialah mematuhi perintah Allah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Dr.
Shafie mengambil kesempatan menyebut di surau dan masjid tempat kita beribadat
dan juga bersalawat. Masjid Al-Umm dalam pembinaan dan memerlukan sumbangan
dana bagi mencukupi jumlah kos pembinaan. Beliau menyeru kepada hadirin,
hadirat dan para dermawan mengambil peluang bagi menanam modal akhirat dengan
menderma bagi menyiapkan Masjid Al-Umm yang sedang dalam pembinaan yang
dijangka siap pada pertengahan 2015.
Acara puncak pengerusi majlis saudara Amir bin Khalil
menjemput penceramah khas, iaitu Ustaz Abdullah bin Jalil dari Universiti Sains
Islam Malaysia (USIM) menyampaikan ceramahnya, mulai jam 12.30 tengahari hingga
zohor.
Ustaz Abdullah berceramah tentang kemuliaan Rasulullah s.aw.
yang dilahirkan pada hari terbaik – Isnin dan bulan terbaik – Rabiul Awwal yang
Rasulullah bersabda bermaksud:
``Aku dilahirkan pada hari Isnin dan aku dibangkitkan pada
hari itu.``
Dan bulan Rabiul Awwal bulan istimewa yang bermaksud – Musim
Bunga.
Nabi dipuji dalam puisi `Al-Mu`allaqat al-Sab`i` dan Nabi
dipuji oleh a-Busiri di dalam puisi Burdahnya yang setengah pihak menjadikan
puisi berkenaan sebagai wirid dan salawat terhadap Nabi.
Kata Ustaz Abdullah mulianya Nabi - dengan memetik ungkapan
bermaksud:
``Tidak ada siapa yang ketahui dengan sebenarnya kemuliaan
Nabi melainkan Rabbi``
Baginda diutuskan sebagai rahmat kepada sekalian alam.
Beliau menyebut adab-adab berhubung dengan Nabi, antaranya tidak menyebut
namanya secara langsung, sebaliknya disertai dengan gelaran – Rasulullah dan
sebagainya. Kita juga tidak boleh memanggil orang tua kita dengan namanya
secara langsung, kerana demikian tidak menghormatinya. Ayat al-Qur`an melarang
meninggikan suara terhadap Rasulullah, lantaran itu para sahabat tidak
mengangkatkan suara ketika bercakap dengan baginda.
Rasulullah adalah termulia dari segala makhluk yang lain
termasuk lebih mulia dari makhluk terbesar ciptaan Allah yang Dia kaitkan
diriNya dengan ciptaan terbesarnya Rabbul `Arshi al-`Azim`.
Ustas Abdullah menyebutkan bahawa kita kasihkan nabi dengan
banyak bersalawat kepada baginda, sebagaimana setiap kali bersolat Jumaat pada
hari Juma`at diperingatkan oleh khatib supaya kita memperbanyakkan salawat
kepada Baginda. Kita mengharapkan syafaat dari Baginda hari akhirat yang akan
jatuh hari kiamat pada hari Jumaat. Ustaz Abdullah membacakan Hadith tentang Syafaat
Rasulullah pada hari Kiamat, yang nabi-nabi lain tidak dapat memberi syafaat
kecuali Nabi Muhammad s.a.w.
Ceramah berakhir dengan solat zohor berjamaah diikuti dengan
makan tengahari – Nasi Arab.
Sekian.
No comments:
Post a Comment