BBB, 10 Rabiul Awwal 1435 = 12 Januari 2014 (Ahad):
Topik di atas adalah menarik dan terus valid. Walaupun
cetusan Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat berlaku pada tahun 1950an
(1954 & 1950) sebagai manifestasi perkembangan persuratan tanahair –
sebagai salah satu jalur penting dan terhenti pada tahun 1960an, tidak bererti
persoalan di atas sudah lengkap dan tamat. Apa yang dibincangkan adalah
cerminan tahap keilmuan dan pemikiran tokoh-tokoh pada masa itu. Perbincangan
bergantung pada pengaruh semasa dan ideologi atau pengaruh ideologi semasa.
Sedangkan topik di atas adalah realiti, bahkan tuntutan dari seni itu sendiri.
Jangan lupa bahawa seni yang antaranya dipersepsi sebagai
sesuatu yang indah, cantik dan menarik adalah sifat wujud – termasuk alam dan
sifat Ilahi sendiri (Jamal). Makhluk, khususnya seniman cenderung dan meniru
secara kreatif keindahan ini ke dalam karya seni masing-masing, sama ada puisi,
lukisan, khat dan sebagainya. Apa maknanya karya seni kalau tidak bersifat seni
? Seni sering dikeliru dan sering dipersalahkan dari segi pandangan Islam,
padahal kata M. A. J. Beg:
``Fine arts, existed, in one form or another, in Arabic
societies since the dawn of Islamic civilization, Muslims have made objet d`art
for aesthetic purpose. They produced superb calligraphy. They built their
places of worship (masajid) which are buildings radiating beauty. Muslim
craftsmen manufactured scientific instruments such as superlab (astrolabe)
which combines beauty with utility. They also made embroidered textiles,
carpets and pottery of fine quality, and decorated them with inscriptions,
geometrical designs and vegetal ornaments as well as portraits of living
beings. Muslims, of many countries have sung songs in Arabic, Persian, Turkish
and other languages (including Malay) to express their joy, love and sorrow.
They have also become virtuosos of music to satisfy their hearts and souls.
Muslim philosophers like al-Kindi, Ibn Sina and al-Farabi have written books on
the theories of music. Abul-Faraj al-Isfahani recorded Arabic songs of the
classical periods of Islamic civilization. Hasan al-Basri and Ibn `Abd Rabbihi
lauded the art of music. Muslims have also composed poems in praise of God, and
also of the beauty of woman and of nature. Hassan bin Thabit, Abu`l-`Atahiyah,
Buhturi, al-Mutanabbi and Jalal al-Din al-Rumi have written poems which are
read and appreciated to this day and age. Muslim artists and painters have
illuminated the Qur`an and illustrated thousands of books (i.e., manuscripts)
with portraits of men, animals, planets and tools. The achievements of Muslim
calligraphers, architects builders, painters, musicians, singers, poets,
artists and artisans are the proud legacies of the Islamic peoples.``
(M. A. J. Beg (Editor), Fine Arts In Islamic Civilization,
University of Malaya Press, Kuala Lumpur, 1981: VIII).
Estetika tidak saja sifat alamiah dan hasil kreativiti
seniman di dalam berbagai bidang, tetapi mereka memahami dan menghayati bahawa
elemen estetika adalah part and parcel daripada ayat-ayat al-Qur`an.
Penulis dalam membicarakan aspek Estetika Dan Takmilah
menyatakan:
``Estetika adalah aspek yang penting bagi karya sastera.
Tanpanya sesebuah tulisan mungkin akan menjadi sebuah esei biasa yang kering
dari daya estetika. Sesebuah karya sastera bukan bertujuan untuk menyampaikan
maklumat atau perutusan semata-mata, tetapi bagaimana ianya disampaikan secara
kreatif yang diperkayakan dengan unsur-unsur estetik sehingga ianya menjadi
menarik dan indah. Sesebuah genre sastera adalah dibezakan oleh bentuk dan ciri-ciri
estetiknya yang tersendiri. Tinggi dan rendahnya sesebuah karya sastera
dibezakan oleh ketinggian nilai estetiknya.``
(Shafie Abu Bakar, Estetika Dan Takmilah, dlm. Pembangunan
Seni & Sastera (diselenggarakan oleh Mana Sikana), JPM, FSKK, Universiti
Kebangsaan Malaysia dan
Akademi Seni Kebangsaan Malaysia ,
Kuala Lumpur :
1997: 105).
Berhubung dengan estetika al-Qur`an Muhammad Qutb
menyatakan:
``… al-Qur`an adalah Kitab Suci Agama. Akan tetapi agama di
dalam kefahaman Islam adalah sesuatu yang lengkap dan merangkumi semua aspek.
Ianya bukanlah semata-mata untuk ibadat tertentu yang memutuskan manusia dari
arus kehidupan. Akan tetapi agama yang menjadi aturan kehidupan yang lengkap.
Kehidupan yang bersifat perasaan, pemikiran, tingkah laku dan keintuisian.``
(Muhammad Qutb, Manhaj al-Fann al-Islami, Dar al-Shuruq,
Beirut-al-Qahirah, 1403/1983: 138).
Dilihat dari segi estetika secara khusus al-Qur`an membawa
satu bentuk baru dan memutuskan diri dengan ciri-ciri sastera Jahiliah
sebelumnya. Pengaruhnya amat besar terhadap perkembangan bahasa dan sastera
Arab dan umat Islam.
(Gibb, H.A.R. Arabic Literature: An Introduction, Oxford
University Press, Great Britain, 1963: 36).
Bahasa al-Qur`an yang tidak boleh disifatkan sebagai karya
prosa dan tidak pula boleh disifatkan sebagai karya puisi dari segi sasteranya
amat kaya dengan unsur-unsur sastera dan ciri-ciri estetiknya. Antaranya dapat
dipelajari melalui ilmu Balaghah, khususnya dari aspek bayan dan badi` sebagai
pecahan dalam ilmu balaghah (Ma`ani lebih dari segi ilmu bahasa).
Dari segi bayan al-Qur`an menggunakan umpamanya aspek
tashbih dan majaz.
Banyak pula menggunakan elemen ilmu badi`, iaitu kaedah mengelokkan kalam baik dari segi
keindahan maknawi dan juga lafzi. Sesungguhnya berbagai bentuk dan gaya yang berciri estetika
dibawa oleh al-Qur`an.
(Shafie Abu Bakar, Estetika Dan Takmilah, 1997: 108-126).
Dengan membaca dan mendengar dihayati keindahan al-Qur`an,
apa lagi jika dapat difahami dari segi makna dan aspek-aspek estetikanya dapat memberi
kesedaran dan keinsafan. Firman Allah bermaksud:
``Mereka mengingati Allah semasa berdiri dan ketika duduk
dan semasa mengiring di atas lambung mereka itu. Mereka berfikir tentang
kejadian langit dan bumi, lalu ujar mereka, Tuhanku ! Tidaklah apa yang Engkau
cipta ini sebagai sesuatu yang batil. Mahasuci Engkau. Lindungilah kami dari
azab neraka.``
(Ali Imran: 191).
Sesungguhnya al-Qur`an kaya dengan seni, tetapi adakah
seninya untuk seni ataukah bagaimana ?
Bersambung.
Sekian.
No comments:
Post a Comment