January 2, 2014

Pembinaan Masjid Al-Umm Bermula

-->
BBB, 29 Safar 1435 = 01 Januari 2014 (Rabu):

Pembinaan Masjid Al-Umm bermula. Kerja tapak telah dimulai sejak 10 hb. Disember yang lepas. Esok Khamis 02 Januari 2014 akan diadakah Majlis Doa Selamat dan Penentuan Arah Kiblat. Bagi tujuan ini berbagai pihak yang terlibat bagi menjayakan pembinaan Masjid al-Umm dijemput seperti pihak MAIS-JAIS, PAID, MPKj, Pejabat Daerah, Kerjaraya, Bomba, Polis, Masjid, Surau-surau, Sekolah-sekolah dan orang ramai.


Majlis pada pagi esok diatur secara ringkas mulai jam 9.00 pagi dengan Doa Selamat, Ucapan Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm Dr. Shafie Abu Bakar, Ucapan Penasihat Ybhg. Dato` Dr. Haron Din dan acara Penentuan Arah Kiblat yang dilakukan oleh Jurukur mewakili pihak Pejabat Mufti Kerajaan Negeri Selangor. Pameran mengenai Masjid al-Umm juga diadakan. Diikuti dengan jamuan ringan.

Kegiatan ke arah pembinaan Masjid Al-Umm bermula dengan pelancaran Tabung Pembinaan Masjid Al-Umm pada 19 Mei 1012 dan Majlis Mesra Kenduri Kampung bersama Yang Amat Berhormat Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor pada 6 hb. Januari 2013. Pada hari itu pihak Y.A.B. Dato` Menteri Besar berjanji akan memberi bantuan dana berdasarkan ringgit ke ringgit kepada jumlah RM6 juta dari pihak Kerajaan Negeri Selangor. Kini jumlah yang didapati adalah RM2.5 juta dengan Penasihat Ybhg. Dato` Dr. Haron Din berusaha untuk mendapat RM1.5 juta. Mencukupkan insya Allah sebanyak RM4 juta. Ini bermakna pihak AJK perlu mencari sebanyak RM2 juta lagi bagi menjadikan jumlah RM6 juta yang melayakkan pihak AJK membuat tuntutan dari pihak negeri memberi bantuan RM6 juta. Orang ramai dijemput menderma untuk mengisi jumlah yang diperlukan ini.

Pada pagi ini Penulis selaku Pengerusi Pembinaan Masjid Al-Umm melihat persediaan bagi Majlis Doa Selamat dan Pembetulan Arah Masjid. Khemah-khemah diuruskan pemasangan oleh pihak Kontrektor. Encik Marzuki Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd turut sama hadir mempastikan pemasangan khemah dan peralatan berjalan lancar. Turut hadir ialah Tuan Haji Shuaib Maulud Setiausaha, Tuan Haji Abdul Rahman AJK dan saudara Adham Setiausaha Kerja.


Di samping melihat persediaan bagi Majlis Baca Doa dan Penentuan Arah Kiblat, Penulis selaku Pengerusi bersama En. Marzuki Kontrektor melihat tapak yang dalam progres pembinaan. Menurut En. Marzuki;

``Kerja-kerja yang dilakukan ialah pemindahan tanah bagi Tingkat Bawah Masjid ke bahagian atas berdekatan dengan perumahan dan Dewan Orang Ramai yang agak rendah agar dapat disamakan levelnya.``. Bila ditanya kemungkinan membawa masuk tanah dari luar bagi meratakan tapak sebagaimana dijangka dulu ?`` Beliau menjawab,
``Mungkin tidak perlu, kerana tanah sedia ada dijangka mencukupi,`` kata En. Marzuki.

Adalah dijangka keperluan mengeluar dan menambak kawasan rendah memerlukan lebih kurang 5,000 lori. Kerja-kerja inilah yang dijalankanm oleh pihak kontrektor sekarang. Menurut En. Marzuki,
``Kerja-kerja sekarang lebih lancar, kerana hari sudah tidak hujan, Sebelum ini kerja sering terganggu pada musim hujan.``

Penulis juga melihat kabin sebagai Pejabat Operasi telah diadakan, di samping juga pusat pengawalan.``

Ada kekeliruan berhubung dengan nama Masjid Al-Umm yang dianggap sebagai masjid bagi kariah Surau Al-Umm. Masjid al-Umm adalah merupakan ,masjid bagi penduduk di Bandar Baru Bangi. Ianya merupakan masjid kedua selepas Masjid Al-Hasanah bagi penduduk Bandar Baru Bangi yang kini berjumlah lebih kurang 100,000 penduduk. Nama Masjid Al-Umm memang diambil dari nama Surau Al-Umm, iaitu sebagai surau pertama diwujudkan di Bandar Baru Bangi berasaskan bangunan yang diberi oleh pihak PKNS bagi kegunaan surau sejak tahun 1978. Sebelum ada surau yang lain penduduk seksyen 1, 2, 16 dan Jalan 6 menggunakan surau ini. Kemudian masing-masing tempat mendirikan surau di bahagian dan Seksyen masing-masing hingga kini jumlah surau di Bandar Baru Bangi mencecah 30 buah surau. Penggunaan nama Surau Al-Umm ialah bagi mengekalkan nama surau pertama di Bandar Baru Bangi yang berhampiran surau ini didirikan Masjid Al-Umm. Surau Al-Umm bila siap Masjid Al-Umm akan terus digunakan yang kemungkinan menjadi rumah Imam atau asrama pelajar yang mengikuti pengajian yang dianjurkan oleh Masjid Al-Umm.

Masjid Al-Umm, insya Allah menyediakan ruang yang cukup bagi jamaah dan bagi mereka yang mendalami ilmu-ilmu keislaman. Masjid al-Umm menyediakan ruang fizikal yang boleh memuat secara serentak  seramai 3.000 jamah, di samping menyediakan ruangan solat bagi muslimat pada bahagian atas. Manakala di level bawah ruang multi-purpose seperti tempat ceramah, forum, tahfiz, sambutan, acara aqad nikah dan jamuan perkahwinan. Masjid Al-Umm menyediakan ruang fizikal bagi memudahkan semua orang menunaikan ibadat dan mendalami ilmu pengetahuan, sesuai dengan slogan

`Bangi Bandar Ilmu.``

Sekian.

No comments:

Post a Comment