BBB, 04 Rabiul Awwal 1435 = 06 Januari 2014 (Isnin):
Telah diperkatakan bahawa pertengahan tahun-tahun 1950
timbul kelompok penyair menghasilkan `Puisi Kabur`. Tiga orang daripada mereka
ialah Noor S.I., A.S. Amin dan M. Ghazali. Oleh kerana keselarian mereka dari
segi pengungkapan, konsisten dengan cara mereka dan berada di dalam satu era, mereka
dilihat sebagai mempelopori sajak-sajak kaburi dan membentuk aliran khusus pada
pertengahan 1950an dan seterusnya secara menyimpang dari pengungkapan
tradisional dan biasa sebagaimana selama ini. Dari satu segi mereka bukan
setakat menyimpang, tetapi memberontak terhadap pengucapan tradisional dan
biasa yang dianggap terlampau klisye dan memerlukan pembaharuan. Kekukuhan
kedudukan mereka lantaran diterbitkan puisi-puisi mereka yang beraliran kabur
di dalam sebuah antologi yang diusahakan oleh Pyan Husayn dan Suhaimi Haji
Muhammad dengan judul `Orang Bertiga` dan diterbitkan oleh Dewan Bahasa dan
Pustaka (1980).
Ketiga-tiga penyair walaupun bersatu dari segi aliran, tapi
berlainan latarbelakang. Contoh Noor S.I. bekerja pada penerbitan Pustaka
Nasional Singapura, A.S. Amin bekerja antaranya di beberapa penerbitan seperti
Penerbitan Franklin dan kemudian Penyunting di Utusan Melayu dan M. Ghazali
berpendidikan Arab, bekerja sebagai guru agama, kemudian berkhidmat di berbagai
penerbitan seperti Melayu Raya, Utusan Melayu dan Angkatan Baru. Selain dari
sajak-sajak tiga penyair kabur diterbitkan secara bersama `Orang Bertiga`,
masing-masing menerbitkan kumpulan puisi masing-masing:
Noor S.I. menerbitkan kumpulan puisi `Setanggi Waja` & `Rakaman Roh`.
A.S. Amin menerbitkan kumpulan puisi `Damai`.
M. Ghazali menerbitkan kumpulan puisi `Bunga Merah`.
Antara bertiga Noor S.I. adalah terkedepan di dalam mempelopori
sajak kabur. Sajak kabur permulaannya berjudul:
``Cerita Larut Membawa Kenangan``
(Kepada kejayaan sandiwara dan kawan-kawan)
Kerdipan mata nak dara bersopan sekali
Dan penjaja taman malam itu membisu hati
Menikmati limpahan mesra sampai dinihari.
Sampai larut seribu cerita lagi berturut
Lantai mati jadi saksi yang tak mati
Pada penari kecil tiada berteman
Mesra pandangan pada ``gadis di kuburan`
Lahirlah cerita berturut penuh kenangan
Wahai hati meronta mahu memburu
Nak dara pulang tenang membisu.
(Utusan Zaman, 10 Julai 1955).
(Orang Bertiga, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur,
1980: 6).
Sajak ini disorot oleh Asraf dengan menunjukkan rangkap tiga
sajak itu mengandungi kekaburan dan sukar untuk difahami. Ismail Hussein (1956)
mengeluh tentang kesukaran sajak Noor S.I.
(Orang Bertiga, 1980: 1X)).
Penyajak Noor S.I. paling banyak menghasilkan puisi dan
konsisten diikuti Penyajak As.Amin dan M.Ghazali. Perkembangan penulisan sajak
kabur berterusan hingga 1960an. Contoh sajak A.S.Amin:
Dunia Kosong
Seraklah tengkorak
Dunia kosong dan terpacak di simpang
Merebakkan api membara menyala
Mengalirkan darah menyilau di tanah
Berseraklah tengkorak menyamai sampah.
Tinggallah yang bisu kaku
Gadis-gadis kehilangan kasih hatinya
Ibu-ibu memimpikan anak-anaknya
Isteri-isteri kehilangan suaminya
Kepada siapa sesalan hati
Ataukah takdir dari Ilahi ?
Bersikap kasar menyalakan api
Singapura
November 1956
Utusan Zaman, 18 November 1956.
(Orang Bertiga, 1980: 95).
Contoh dari M. Ghazali`
Menggelepar
Tumbuh dan berbunga
Kental menyingkap diri
Putih menyerah rela
Merah berumbi di hati
Subur rasa dibakar
Hitam nafas ditadah
Mengelepar ke siang datar
Sekuat hati membedah
Kaku kepunahan darah
Dalam tanah aku menyembah
Singapura,
21 Mei 1957.
(M. Ghazali, Bunga Merah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala
Lumpur, 1977: 12).
Demikian puisi-puisi dari setiap penyair `Orang Bertiga`
yang dianggap kabur dan memang kabur.
Kehadiran puisi-puisi kabur mengocak ketenangan alam
perpuisian, bahkan menimbulkan penentangan dan tidak kurang pula yang
mempertahankan.
Antara yang menentang ialah seperti Kassim Ahmad, Suhaimi
Haji Muhammad, bahkan seorang pensyarah bahasa, iaitu Muhammad Yusof bin Mohamed
membandingkan sajak kabur sebagai hasil lukisan abstrak yang dilukis oleh
monyet !
Manakala yang mempertahankan ialah A.Shukur Harun, Hassan
Ahmad, A.Samad Said, Simposia, Darus Usma dan Sahmad Malaya. Yang menentang
menganggapnya tidak berfaedah, manakala yang menyokong melihatnya sebagai
perkembangan yang sihat dan berubah dari yang bersifat klisye dan jumud kepada
kemungkinan-kemungkinan baru. Idrus seorang tokoh Angkatan 45 Indonesia yang
kebetulan datang ke Malaya pada ketika hangat diperkatakan tentang sajak kabur
menganggap sajak sedemikian sebagai `Hasil Seni yang abstrak`, manakala
Abdullah Hussein berpendapat sajak
seperti kesenian lain, kadang-kadang tidak difahami kerana ada di dalamnya
`bibit ghaib`. Bagi Masuri S.N. mengaggap ianya satu perkembangan baru dalam
kesusateraan Melayu.
(Orang Bertiga, 1980: IX – XVII).
Walaupun timbul kecaman dan yang mempertahankan, ketiga-tiga
tokoh terus berkarya hingga ke tahun-tahun 1960an. Kehadiran mereka dengan identiti
`Sajak Kabur` diterima sebagai satu aliran yang berkembang di dalam perpuisian
tanahair, khususnya sekitar 1955-1960an).
Sekian.
No comments:
Post a Comment