January 16, 2014

Seni Untuk Seni & Masyarakat - Seni Bermanfaat


BBB, 13 Jamadil Awwal 1435 = 15 Januari 2014 (Isnin):

Telah dibicarakan terdapat elemen-elemen seni di dalam al-Qur`an, bahkan melalui al-Qur`an dapat dipelajari secara teratur ilmu nahu, saraf dan balaghah (ma`ani, bayan dan badi`) yang melaluinya dapat difahami secara mendalam terhadap bahasa, kehalusan dan keindahan bahasa al-Qur`an. Ini bermakna Islam mengiktiraf tentang seni. Jadi seni tidaklah boleh dianggap suatu yang bersifat semata-mata keduniaan dan tidak ada hubungan dengan keislaman. Bayangkan sebuah hasil khat berayat Qur`an yang ditulis dengan indah, bayangkan juga sebuah masjid yang indah juga bayangkan sebuah puisi yang kudus memuji Allah dan  mensalawat Rasulullah s.a.w. Jika Islam sendiri tidak bercanggah dengan seni, maka seni sebagai sifat alam dan sifat Tuhan (Jamal), maka seni wajar tumbuh dan berkembang bagi manfaat insan. tetapi seni sebagai hasil seni dan hubungannya dengan masyarakat ada batas-batasnya, khususnya ianya dilihat sebagai sebuah hasil seni dan kepentingan bagi masyarakat. Antaranya:

a)      Seni yang dimengerti dan difahami. Jika sesebuah karya sampai langsung tidak dapat dimengerti dan lebih dari kabur dan langsung tidak memberi manfaat, maka sebenarnya bukan sebagai sebuah hasil seni, bahkan patut ditolak.
b)      Tidak bersifat sesat dan menyesatkan. Contoh sebuah hasil seni katakan memuja syaitan, kebatilan dan sebagainya, maka ianya perlu ditolak.
c)      Tidak bercanggah dengan nilai akhlak dan kemanusiaan. Contoh sebuah novel atau filem lucah yang merosakkan masyarakat juga perlu ditolak.

Aspek-aspek di atas adalah bercanggah dengan Islam. Karya-karya yang mengandungi unsur-unsur di atas tidak dapat diterima sebagai karya seni. Al-Qur`an mencirikan nilai seni sebagaimana berikut:

1)      Menyuruh berbuat baik dan mencegah dari mungkar (maksud dari ayat Ali Imran: 104 & 110).
2)      Tidak menyesatkan (difahamkan dari al-Shu`ara`: 224).
3)      Meneguhkan keimanan, amal salih dan mengingatkan Allah (al-Shu`ra`: 227).

Dapat dirumuskan bagi memenuhi tuntutan semua nilai-nilai di atas (a,b, c & 1,2, 3), bahawa seni hendaklah `Bermanfaat`. Konsep seni dilihat pada zat seni itu sendiri yang dapat dibicarakan `Seni Untuk Seni` dan kesan keluar dari seni itu kepada yang lain yang antaranya dibicarakan `Seni Untuk Masyarakat`.

Seni pada dasarnya menyempurnakan (Teori Takmilah), pengkarya, karya dan khalayak.
Bayangkan sebuah hasil seni, katakan sebuah hasil khat. Menghasilkan khat yang indah, ianya tidak terhasil begitu saja. Tetapi bagi menghasilkan khat indah datangnya dari seniman Khattat yang berilmu, tahu kaedah menulis khat dan jenis-jenisnya dan menghasilkannya dan sebagai sebuah hasil seni yang indah bermutu memberi kesan keluar kepada penghayatnya, misalnya rasa indah, tenteram atau kudus. Pokoknya ianya memberi manfaat. Kemanfaatan ini mungkin diperluaskan dengan menjadi bahan hiasan di tempat-tempat sesuai yang dimanfaatkan oleh khalayak.

Bayangkan juga menghasilkan sebuah seni bina masjid yang luhur dan kudus yang seni binanya berfalsafah tauhid dengan kubah dan menara berbentuk bulat melambangkan sifat Allah yang sempurna, tegak mencecah langit yang melambangkan ketinggian kekuasaan Allah, ruang dalam yang terbuka luas untuk jamaah yang mencerminkan falsafah Islam yang tidak membezakan kedudukan jamaah, dindingan yang dihiasi dengan ayat-ayat Qur`an dengan khat-khat yang indah melahirkan rasa tenteram dan kudus bagi jamaah. Apa lagi bila tiba waktu solat ayat Qur`an dibacakan diikuti azan berkumandang. Berikutan dari solat diiringi dengan pengajaran atau tazkirah. Seni bina rumah tradisi Melayu seperti rumah peleh yang sesuai dengan iklim tempatan yang mengalami panas dan hujan bukan saja cantik dan menarik, tetapi juga berfaedah. Semua memberi manfaat sebagai seni suci dan memberi faedah kepada masyarakat.

Jadi hasil seni yang baik sudah pasti bersifat dua dimensi, dimensi ianya sebagai sebuah seni yang bernilai, indah dan mengkagumkan dan dimensi kemasyarakatan, dalam mana ianya memberi manfaat kepada masyarakat. Ambil contoh sebuah novel Di Bawah Lindungan Ka`bah yang bertemakan cinta suci Zainuddin terhadap Zainab yang berlatarbelakangkan Indonesia yang watak membawa diri ke Tanah Suci mengadu nasibnya pada Ilahi atau Novel Fajar Di Hujung Malam oleh Hasan Ali yang melaluinya dapat difahami tentang sejarah dan perjungan Rasulullah s.a.w. dalam menegakkan Islam. Demikianlah dengan cerpen-cerpen yang dapat dicontohi dari cerpen-cerpen peraduan berunsur Islam. Contoh cerpen dalam antologi Tantangan (DBP, 1978), Sebuah Lampu Anti (Bahagian Ugama, JPM, 1983), Persinggahan (Bahagian Ugama JPM, 1986), Embun Hidayah (DBP, 1991) dan Syahdu (DBP, 1993).

Contoh juga dapat diambil dalam bidang puisi Buah Rindu oleh Amir Hamzah (Dian Rakjat, Djakarta,1969), Pelabuhan Putih oleh Kemala (DBP, 1989), Kau Dan Aku oleh Aziz Deraman (DBP, 1994), As-Salam (DBP, 2006) oleh Suhaimi Haji Muhammad.

Semua hasil seni di atas memberi manfaat kepada manusia sebagai khalayak seni di atas seperti menimbulkan rasa kekaguman, keluhuran dan kebesaran Ilahi, memperhaluskan jiwa dan rasa kemanusiaan, rasa rahmat dan kasihan belas, memahami sejarah dan perjuangan Rasulullah s.a.w, memahami liku-liku hidup manusia yang menambahkan pengalaman dan keinsafan kepada manusia, membela yang lemah dan menegakkan kebenaran. Memupuk kefahaman tentang bahasa dan keindahan dan turut membantu khlayak menggunakan bahasa yang betul dan berseni dan berbagai lagi.

Sekian.

No comments:

Post a Comment