January 22, 2014

Lanjutan Puisi Generasi Kolej Islam


BBB, 20 Rabiul Awwal 1435 = 22 Januari 2014 (Rabu):

Puisi Islam tidak semestinya memperkatakan akidah dan hukum hakam Islam secara langsung, tetapi segala persoalan dapat diperkata dan dijadikan tema puisi yang dipersepsi dan dilihat dari sudut pandang keislaman. Lantaran itu kita dapati ada tema yang dekat persoalan keislaman dan ada tema biasa, tetapi dilihat dari pespektif keislaman. Badaruddin H.O. misalnya memperkatakan tentang perutusan Rasulullah s.a.w. yang temanya memang dekat dengan Islam dengan judul puisinya

Purnama Benderang Di Atas Kepala

(Purnama benderang di atas kepala
Hari ini dan sebelumnya
Hari esok dan sesudahnya
Menguak mendung awan pesona).

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhir pun
Oh ! Rasul – hati dunia ghairah merinduimu
Meski mereka orang Afrika atau mereka orang Asia
Meski mereka orang Eropah atau mereka orang Amerika.

Lagu tanah Hijaz iramanya mengalun
Lagu pujaan kafilah kehidupan
Bagaikan tiada puas telinga mendengar
Lalu meresap mengelus di hati
Dan engkau oh, Junjungan telah menapakkan kakimu
Di alun-alun sepanjang perjalanan yang nekad
Dari rumah Maha Pengasih dari rumah Maha Pencinta
Dengan langkah berderap gegarnya di setiap benua.

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhir pun
Oh, Rasul – dada ini terharu sedang mata hati
Menembusi jaring-jaring waktu di denyut jantung berdetik
Umat yang pertama berjabatan salih di Kota Yathrib
Dengan yakin dan takwa mendendangkan lagu tarhib
Dengan yakin dan takwa melaungkan gema takbir
Dan engkau oh, Junjungan sudah menetapkan makrifat
Dan Yathriblah udara menafaskan hangat pejuang-pejuang yang gigih
Meski mereka kaum bangsawan atau merekalah golongan hartawan
Meski mereka kaum rakyat bawahan atau merekalah hamba tebusan
Telah menjalin benang halus di bawah menara persaudaraan
Telah membuhul simpulan kasih dan khidmat kemanusiaan.

….
Berita Minggu, 26 Jun 1966.
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, MengenangMu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986), Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1989: 94-96).

Badaruddin  menggunakan teknik mengulang pengucapan permulaan dan pengakhiran
Purnama Benderang …(4 baris) dan diulang kembali pada penutup. Pengulangan juga dilakukan 5 kali bagi lima pecahan:

Dalam gelap sinar zaman berawal atau berakhirpun
Oh Rasul ….

Ini mengingatkan kita pada teknik marhaban yang dipecahkan bahagian-bahagian dengan:

Ya Nabi salam `alaika         Ya Rasul Salam `alaika
Ya Habib salam alaika         salawatullah alaika

Ianya merupakan teknik yang wajar.
Membaca puisi ini tentang peranan Rasullah menyatukan umat dan mendirikan Negara Islam Madinah ini mengingatkan kita kepada puisi Iqbal yang melihat peranan dan kejayaan unggul Rasulullah dalam menyatukan umat dan mendirikan Negara Madinah, bahkan meluaskan pemerintahan. Bermadah Iqbal:

Dan tempatnya berkhalwat ialah Gua Hira`
Diwujudkannya Negara, hukum dan pemerintahan
Banyak dialaminya malam tidak tidur lena
Supaya umatnya dapat bermukim di singgahsana Persia
Dalam detik perjuangan besi hancur oleh pedangnya
Dalam saat sembahyang waspa jatuh bagaikan hujan dari matanya.
                                                           (Asrar Kudi III)
(H. Bahrum Rangkuti, Asrar Khudi – Rahsia-Rahsia Pribadi – Dr. Moh. Iqbal, Bulan Bintang, Jakarta, 1976: 34-35).

Jelas ungkapan-ungkapan walaupun tak sama, tapi bersatu tema tentang perjuangan Rasulullah s.a.w. menegak Negara Islam di Madinah. Baik oleh Baharuddin H.O atau oleh Iqbal amat luas wawasan puisi mereka dan indah ungkapan. Kedua-dua mencerminkan tema dan ciri sastera yang Islamik sifatnya.

 A. Munir seorang lagi penyair Kolej Islam yang nama penuhnya ialah A. Munir bin Yaakub dilahirkan di Temerloh, Pahang. Mendapat pendidikan di tanah kelahiran di Temerloh dan menyambung pengajian di Kolej Islam. Mula menulis pada tahun 1964 dalam bidang sajak. Puisinya mendapat tempat di dalam Berita Minggu, Utusan Zaman, Dewan Bahasa dan lain-lain.

Sebagaimana penyair-penyair Kolej Islam yang lain menulis puisi bernafaskan keislaman, demikianlah dengan A. Munir mempuisikan tema-tema yang berhubung dengan Ketuhanan, Rasulullah dan kealaman. A. Munir menulis tentang kelahiran Rasulullah.

Kelahiran Di Pekat Malam

Muhammad
Kelahiranmu di pekat malam
Sedang anak-anak teresak meronta dahaga
Ayah dan ibu nyenyak beradu
Apa diharap apa dinanti.

Dalam sorak sorai peminum anggur
Juga kedurjanaan meraja serata
Darah berbuih dari gadis-gadis manja
Apa dosanya apa pintanya
Siapa Tuhannya mana kiblatnya ?

Rasulullah diutuskan kepada umat sebagai rahmat kepada sekalian alam. Menurut A. Munir seterusnya dalam puisinya;

Pada janji-janji Tuhan
Tugas nabinya selesai sudah
Atas agama Islam pengajaran suci
Adalah kesempurnaan limpahan rahmat
Muhammad akan bangun menatap wajah umat.

Mei 1967
Dewan Bahasa Julai 1967.

Puisi A. Munir ini bersifat langsung dan begitu jelas, sehingga terasa kurang dari daya estetik. Gaya dan ciri sedemikian juga terasa di dalam puisi beliau berjudul:

Hamba Dan Tuhan

Demi Tuhan manusia adalah hamba
-          paling angkuh mendabik dada
walau disula atau dipanggang api.

Demi Tuhan manusia adalah hamba
-          paling takwa sujud menyembah
walau direbus darah mengalir basah.

….

Dewan Masyarakat, September 1967.

(Mengenangmu, 1989: 75-76).

A.  Munir sama berperanan menyemarakkan kelahiran penyair-penyair Generasi Kolej
Islam Kelang 1960an sebagai satu jalur perkembangan perpuisian tanahair, khususnya yang bernilai keislaman.

Sekian.

No comments:

Post a Comment