January 20, 2014

Jalur Islam Dari Angkatan Kolej Islam: Mereka Didiskriminasi ?


BBB, 17 Rabiul Awwal 1435 = 19 Januari 2014 (Ahad):

Pada tahun 1960an, belum timbul perbincangan dan polimik tentang `Sastera Islam`, tetapi tidak bermakna dalam era ini tidak terhasil penulisan tentang Sastera Islam. Pada tahun 1956 Duli Yang Maha Mulia Sultan Hishamuddin Alam Shah telah berkenan mengurnikan sebuah istana dan kawasan di Kelang menjadi kampus Kolej Islam Malaya yang pembukaannya pada tahun tersebut dihadiri oleh Duli-Duli Yang Mulia Sultan-Sultan Negeri-Negeri Melayu. Kolej Islam Malaya merupakan Pusat Pengajian Tertinggi Utama didirikan di Malaya – Statusnya sebenarnya bertaraf universiti. Keberkatan dari keikhlasan niat Tuanku Sultan Hishamuddin, maka Kolej Islam berjaya mengeluarkan graduan-graduan terpelajar yang menjadi ulama, intelektual dan pegawai-pegawai tinggi di Negara ini dari mufti hinggalah kepada professor, pensyarah, pendidik, pemimpin dan pentadbir di Negara ini. Hasil dari keberkatan dan keikhlasan Tuanku Sultan Hishamuddin Alam Shah Kolej Islam telah berkembang kepada peringkat universiti bertaraf antarabangsa. Universiti Islam Antarabangsa Malaysia adalah berkembang dari Kolej Islam.

Satu bidang yang menonjol dari Kolej Islam sejak 1960an ialah lahirnya tokoh-tokoh sasterawan dari Kolej Islam, khususnya penyair-penyair terkenal tanahair. Kelahiran mereka bukan secara kebetulan, tetapi hasil dari keilmuan yang dipelajari terutama sastera dan bahasa Arab yang antara komponannya ialah nahu, saraf, mantiq dan balaghah, khususnya bagi mendalami bahasa, kandungan dan keindahan al-Qur`an. Ianya juga hasil dari minat dan pengajaran guru-guru bahasa Arab dan yang minat dalam sastera seperti Zulkifli Muhammad. Guru dan pelajar juga tentulah terdedah dengan perkembangan sastera tanahair dan dunia Islam.

Lantaran itu kita melihat dalam dekad 1960an lahir satu angkatan sasterawan Kolej Islam yang mempunyai kedudukan yang kukuh dalam kesusasteraan Melayu. Mereka yang dimaksudkan ialah:

1) A. Munir                    2) Adi Rumi
3) Badaruddin H.O.       4) Hadzrami A.R.
5) Marhan                      6) Sabda S.
7) Yahya M.S.               8)  Zulkifli Muhammad

Melihat kepada puisi-puisi mereka ternyata mempunyai kekuatan dari segi perpuisian dan kekentalan dari segi keislaman. Dengan jumlah begitu ramai hasil dari sebuah pengajian tinggi dan tinggi pula dari segi nilai, Penulis tertanya-tanya mengapa tidak seorang daripada mereka dimasukkan sebagai sejumlah dari 100 penulis terkenal tanahair (ada yang berasal dari Brunei) yang diterbitkan di dalam buku Biografi 100 Penulis yang merangkumi zaman mereka (DBP, 1981). Ada diskriminasi terhadap mereka sebagai penyair-penyair mengungkapkan puisi-puisi bernafaskan keislaman ?  Mereka hanya diberi tempat di dalam MengenangMu: Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986 (DBP, 1989).

Sebelum memperkatakan tentang puisi-puisi mereka, Penulis berkecenderungan meletakkan mereka sebagai generasi penulis-penyair Islam Awal Zaman Merdeka yang mendahului dan membuka ruang kepada perbincangan tentang Sastera Islam pada dekad 1970an. Badaruddin H.O. sebenarnya selain dari menulis puisi turut memperkatakan tentang sastera Islam. Beliau membicarakan tentang Konsep Seni Sastera Dalam Islam, tetapi idea terkehadapan (1966) Badaruddin H.O. tidak bersambut oleh penulis dan masyarakat pada masa itu. Lantaran itu pandangan awal beliau ini menjadi terpendam buat sementara (Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, Februari, 1966: 67-69).

Jalur Islam yang menonjol dari tenaga pengajar dan pelajar-pelajar Kolej Islam diperkukuhkan dengan adanya penulis-penulis sezaman yang mendapat pendidikan Islam dan menulis hasil-hasil penulisan dalam dekad yang sama, terutama puisi bertemakan keislaman. Antara mereka ialah seperti Nahmar Jamil, Kemala, Suhaimi Haji Muhammad dan A. Wahab Ali.

Dalam kata lain dengan kehadiran penulis-penyair dari Kolej Islam yang menulis puisi-puisi bertemakan keislaman di tambah dengan penulis-penyair luar dari kolej Islam dalam masa sezaman, jelas jalur Sastera Islam telah berkibar pada dekad 1960an dengan nyata dan jelas, tetapi tidak mendapat perhatian dan tidak menjadi topik perbincangan. Apakah ianya merupakan pengaruh dan kesan dari saki baki Asas 50 yang masih wujud pada masa itu ?

Perbincangan tentang Sastera Islam lebih jelas dan lahirnya aktivis-aktivis Sastera dan Persuratan Islam hanyalah berlaku pada dekad 1970an apabila berlaku Revolusi Islam Iran, tercetus dan popularnya ungkapan, Islam Syumul, Islam is a way of life dan timbulnya pandangan di pengajian-pengajian tinggi yang melihat Islam begitu berperanan di dalam membentuk bahasa budaya dan intelektual masyarakat umat, termasuklah di Alam Melayu yang melihat Islamlah yang mengangkat martabat bahasa, persuratan (termasuk sastera) dan budaya Melayu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment