BBB, 09 Rabiul Awwal 1435 = 11 Januari 2014 (Sabtu):
Satu peristiwa penting di dalam perkembangan persuratan
Melayu ialah tertubuhnya persatuan penulis yang dikenali dengan nama Angkataran
Sasterawan 50 (Asas 50) di Singapura pada 6 Ogos 1950. Penubuhannya di
Singapura adalah wajar kerana Singapura selepas Perang Dunia Kedua adalah
menjadi pusat bagi persuratkhabaran dan berbagai-bagai penerbitan. Penubuhan
juga dimungkinkan oleh kerana wujudnya kebebasan berkarya berbanding dengan
zaman Jepun sebelumnya. Tokoh yang dikaitkan dengan kepimpinan Asas 50 ialah
Asraf bin Haji Abdul Wahab. Bahkan beliau muncul dan terkenal sebagai penulis
bermula dari bergiat sebagai pemimpin dan jurucakap kepada Asas 50 yang begitu
lantang (Wajah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 154).
Dalam kegiatannya Asas 50 menghasilkan Memoranda sebagai
rangka dan gagasan perjuangan Asas 50. Motto bagi Asas 50 ialah `Seni Untuk
Masyarakat`. Pandangan Asas 50 agak radikal dan agak kiri. Li Chuan Siu memetik
dari sebuah artikal berjudul ``Pandangan keliru terhadap Angkatan Baru`` yang
termuat dalam bulanan Mastika, Julai 1952 sebagaimana berikut:
Membangunkan rakyat sesuai dengan tuntutan zaman ini
tidaklah boleh dengan rayuan dan nyanyian, nasihat dan petua. Rakyat tidak
boleh lagi diberi harapan yang kosong dan menggambarkan yang indah-indah saja,
rakyat tidak boleh lagi ditakuti atau dimomokkan saja dengan menggambarkan
neraka atau jil di depan mata. Tetapi rakyat Melayu sekarang mestilah diberi
jalan fikiran baru supaya mereka sendiri berfikir, menimbang dan bertindak,
tidak takut-takut dan tidak terikat oleh berbagai momok adat resam Melayu yang
lembab dan yang telah bersarang dalam jiwa mereka turun temurun.
(LiChuan Siu, Ikhtisar Sejarah Pergerakan dan Kesusasteraan
Melayu Moden 1945 - 1965, Pustaka Antara, Kuala Lumpur, 1967: 165-166).
Pandangan radikal dan keghairahan terhadap dunia baru dengan
melihat sinis terhadap soal agama (Ada
di kalangan pendukung Asas dituduh sebagai etheis – Li Chuan Siu, hlm. 165),
bahkan terhadap nilai budaya menjadikan ada pihak yang tidak menyenangi dengan
perjuangan Asas 50. Hamzah Abdul Majid bin Hussin salah seorang pengasas dan
penggiat penting Asas 50 yang tidak senang dengan pembawaan Asas 50 – Antaranya
disebabkan oleh soal kepercayaan agama dan hal-hal lain dan polimik hangat
antaranya dengan Asraf menyebabkan Hamzah menarik diri dari keahlian Asas 50
bersama pengikut-pengikutnya antaranya Rosmera. Hamzah yang mempunyai asas agama
yang agak kukuh. Menurut buku Wajah – Biografi Seratus Penulis;
``Hamzah, anak kepada seorang penerbit, penjual buku dan
juga pengarang syair, menerima didikan di Sekolah Melayu, dan di Sekolah
Inggeris Victoria
hingga darjah lapan. Dia juga terdidik di Sekolah agama Darul Ma`arif
al-Islamiah, Singapura sewaktu zaman Jepun. Hamzah mempunyai latar belakang
agama yang kuat sehingga pada awal-awal kegiatannya di lapangan penerbitan di
Singapura dalam tahun lima puluhan dia dikatakan
sering membawa surat
Yasin di dalam saku bajunya.``
(Wajah, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur, 1981: 179).
Kerana tidak bersetuju atas soal prinsip, maka Hamzah telah
keluar dari Asas dan bersama kawan-kawan sealirannya menubuhkan, ``Persatuan
Angkatan Persuratan Melayu Baru`` (PAPMB) pada 17 April 1954. Namun persatuan
ini tidak begitu aktif dan tidak hidup lama.
Adapun Asas 50 berpengaruh hingga ke tahun 1960an. Adalah
dikatakan dalam tempoh penguasaan Asas dalam mana mereka adalah tenaga-tenaga
penting dalam persuratan dan penerbitan merekalah yang menguasai dan mengawal
bahan-bahan penerbitan. Lantaran itu isu-isu agama kurang mendapat tempat,
bahkan watak ulama dan lebai sering menjadi bahan sindiran dan sasaran.
Asas adalah organisasi yang mengusulkan supaya tulisan rumi diterima
sebagai tulisan rasmi. Usul kali pertama dalam kongres pertamanya di Singapura
pada 1952 ditolak, namun dalam kongres keduanya di Seremban pada 1 & 2
Januari 1954 diterima dan usul ini kemudiannya dirterima oleh Penyata Razak.
(Shafie Abu Bakar, Sastera Melayu Dan Islam, dlm. Sekitar
Pemikiran Kesusasteraan Islam, Gabungan Penulis Islam Malaysia (GAPIM), Kuala
Lumpur, 1980: 1-25).
Pada dasarnya, tidak ada salahnya pada slogan `Seni Untuk
Seni` dan `Seni Untuk Masyarakat` selagi ianya dipandu secara betul.
Kedua-duanya hakikat dan tujuan berseni sastera.
Walau apa pun kelahiran Asas 50 sebagai organisasi terawal sebagai satu badan
penulis amat penting. Sebuah organisasi sedemikian mempunyai pegangan dan arah
dalam perjuangan penulisan di samping menjadi kepentingan ahli. Kelahiran
Persatuan Angkatan Persatuan Melayu Baru juga adalah penting kerana mau
mempertahankan prinsip. Polemik yang berlaku di antara kedua-dua pemimpin
persatuan ini dapat meluaskan kefahaman prinsip perjuangan di dalam bidang
persuratan kedua belah pihak. Lebih dari itu kehadiran kedua-dua persatuan bagi
bidang persatuan membuka jalan kepada penubuhan berbagai-bagai persatuan
penulis mulai 1960an dan seterusnya seperti Pena, persatuan-persatuan penulis
negeri, persatuan penulis Islam dan Gapena. Dengan demikian menyemarakkan lagi
bidang penulisan tanahair.
Sekian.
No comments:
Post a Comment