BBB, 16 Rabiul Awwal 1435 = 18 Januari 2014 (Sabtu):
Itulah antara pendapat yang diungkapkan. Namun pendapat ini
boleh dipersoalkan. Jika Asas 50 kuat berpengaruh semasa di Singapura dapat diterima.
Tetapi semasa di Malaya , sejak 1960an Asas
tidak lagi berpengaruh, walaupun pendukung atau bekas pendukung berada di
beberapa penerbitan penting. Mungkin dapat disebut seperti Kris Mas, Usman
Awang dan Wijaya Mala berada di Dewan Bahasa dan Pustaka, Ashraf juga berada di
Kuala Lumpur dan bekerja dengan penerbitan swasta, Awam II Serkam juga berada
di Kuala Lumpur dan pernah bekerja di Utusan Melayu dan A.Samad Ismail yang
dikatakan tidak menjadi ahli Asas 50, tetapi banyak memberi nasihat kepada Asas
50 di dalam kegiatannya.
Selepas 1960 penerbit-penerbit penting seperti Utusan
Melayu, Dewan Bahasa dan Pustaka (bermula di Johor), Berita Harian dan beberapa
penerbitan kecil berada di Kuala
Lumpur . Semasa di Singapura penerbitan adalah terhad
dan penulis tidak ramai. Dengan penerbitan terhad dan penulis tidak ramai,
mereka mudah dikawal di bawah satu persatuan Asas 50. Tokoh-tokoh Asas 50 yang
berpindah ke Kuala Lumpur sebagaimana disebutkan di atas, walaupun dikenali
sebagai pendukung Asas 50 mereka bukan lagi bergerak secara organisasi. Mereka
cuma dikenali sebagai pendukung atau pernah mendukung Asas 50. Sebagai bukti
Asas 50 tidak lagi dianggap penting, sejak tahun 1961 Persatuan Penulis
Nasional ditubuhkan di Kuala Lumpur yang dikatakan tokoh yang menggalakkan
penubuhan persatuan tersebut ialah Samad Ismail yang bukan ahli Asas 50. (A.
Samad Ismail, dlm. Wajah – Biografi 100 Penulis, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur , 1981: 43).
Kewujudan Dewan Bahasa dan Pustaka di Kuala Lumpur dan
Perpindahan persuratkhabaran dan penerbitan-penerbitan swasta ke Kuala Lumpur dari Singapura selepas merdeka dan kemasukan
tenaga-tenaga baru dalam penerbitan dan berdepan dengan penulis-penulis baharu
menenggelamkan tokoh-tokoh Asas 50 yang merupakan saki baki pendukung Asas 50,
walaupun antara mereka masih memegang jawatan yang penting dalam penerbitan.
Mereka tidak dapat lagi mengawal penulis-penulis yang tidak tahu menahu bahkan
tidak ada hubungan dengan faham Asas 50. Asas 50 sebenarnya dikenali orang
sebagai ahli dan tidak dari segi karya, lantaran semua karya yang dihasilkan
sebenarnya dituju kepada masyarakat, hatta yang dikatakan bersifat seni
untuk seni. Sebenarnya jika ditiadakan nama pengarang –
terutama bagi karya yang tidak dikenali dan diminta tentukan karya yang mana
untuk masyarakat dan untuk seni ? Nescaya tidak dapat dibezakan dengan jelas.
Seni Untuk Seni dan Seni Untuk Masyarakat adalah lebih bersifat propaganda
sezaman dan banyak kesalahan dari segi tanggapan.
Selepas 1960an dapat dikatakan suasana alam penulisan lebih
demokratik dan peluang penulisan terbuka kepada yang berminat dan berbakat.
Kekurangan pada masa itu tidak ada persatuan penulis atau kursus formal
membimbing. Bagi yang bercita-cita menjadi penulis lebih bergantung pada minat,
kesungguhan dan bakat. Namun dari kesungguhan dan bakat yang ada pada mereka,
maka bermunculan penulis-penulis yang tidak ada kaitan dengan Asas 50 sperti
Affrini Adham, A.Samad Said, Ruhi Hayat, Noor S.I., M.Ghazali, Salmi Manja,
Kassim Ahmad, Mokhtar Yasin, Suhaimi Haji Muhammad, Abdul Sani Hamid, Kala
Dewata, Awang Had Salleh, Nora, Shukor Harun, Abdullah Hussain, Anis Sabirin,
Hasan Ali, Harun Hassan, Alias Ali dan beberapa lagi.
Wadah untuk mereka berkarya memang lebih luas dan makin
banyak serta terbuka seperti Utusan Melayu, Mestika, Utusan Malaysia, Berita
Harian, Dewan Bahasa, Dewan Masyarakat, Fikiran Rakyat dan sebagainya. Mereka
bebas menghasilkan kumpulan puisi, cerpen dan novel untuk diterbitkan melalui
penerbit-penerbit yang wujud atau menerbitkan secara bersendirian.
Hasil penulisan pada tahun 1960an, jika puisi lebih
ditonjolkan ialah Usman Awang – secara kebetulan kerana beliau di institusi
penulisan yang kukuh, iaitu Dewan Bahasa dan Pustaka. Masuri S.N. makin tidak
diberi perhatian, walaupun terus menulis, kerana beliau orang Singapura. Jika
novel, maka karya Salina dan Musafir hasil peraduan novel anjuran DBP 1958 dan
diterbitkan pada tahun 1961 agak kontroversi yang mencerminkan konflik nilai
yang didukung masyarakat. Musafir karangan Hasan Ali diberi hadiah pertama,
tetapi Salina yang judul asalnya Gerhana yang diberi hadiah penghargaan dan
ditukar kepada judul Salina bila diterbitkan mendapat pujian dari pengkaji
sastera dari barat A.Teeuw, maka novel ini dianggap sebagai membawa persembahan
`cara yang serba moden` (Kata Pengantar Salina, Cetakan Kedua – 1965: hlm.
Permulaan).
Mulai tahun 1960an wajah sastera di Malaya
mencerminkan wajah baru dalam perkembangan sastera di tanahair yang membuka
ruang bagi perkembangan lebih maju dan subur bagi dekad seterusnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment