BBB, 18 Rabiul Awwal 1435 = 20 Januari 2014 (Isnin):
Pelajar Kolej Islam Malaya mendahului perbincangan tentang
Sastera Islam berbanding dengan kesedaran dari kalangan aktivis Sastera Islam
pada pertengahan 1970an. Antara yang awal membincangkan tentang Sastera Islam
dari kalangan Pelajar/Penyair ialah Badaruddin H.O. (Pelajar dari Brunei ). Dalam
makalahnya yang berjudul `Konsep Seni Sastera Dalam Islam` di dalam majalah
Dewan Bahasa Februari 1966 Badaruddin melihat tentang dua perkara – Ugama dan
Seni & Apa yang dimaksudkan dengan Kesusasteraan Islam atau Kesenian Islam:
Pertama tentang Seni
dan Ugama:
Kata Badaruddin H.O. :
``Ada
orang berpendapat seni dalam erti kata seni dan Islam dalam erti kata ugama
tidak mempunyai apa-apa hubungan … sebenarnya pendapat ini tidak tepat. Pada
hakikatnya sahaja dapat dilihat bahawa pendapat ini timbulnya dari salah
pengertian terhadap ugama dan seni, atau kalau kita tidak mahu mengatakannya
salah, kita dapat mengatakan lahir dari kesempitan faham terhadap ugama dan
seni itu sendiri.`` Tambah Badaruddin
H.O.:
``Kita tahu, ugama (maksud saya ugama Islam) adalah satu
prinsip hidup. Sebagai prinsip hidup ia dapat dikatakan satu `keperluan` hidup
itu sendiri. Kemudian kita tahu pula bahawa kesenian dan kesusasteraan adalah
gambaran-gambaran indah tentang hidup. Indah dalam erti-kata seni. Sebagai
gambaran atau dalam kata-kata lain – sebagai satu pernyataan – ia juga
merupakan satu `keperluan` kehidupan itu sendiri.``
Kedua mengenai Kesusasteraan dan Kesenian Islam:
``Dalam soal ini juga kita menemui ada fikiran-fikiran yang
keliru, satu contoh: Seni Sastera Islam dikatakan sebagai ``Seni yang
memperkatakan tentang Islam``. Dan sebagai seni yang bercorak demikian ia
perlulah berunsur ajaran-ajaran, didikan-didikan, propaganda-propaganda atau
dalam erti kata yang kerap digunakan dalam istilah sastera ia perlu mengandungi
`pengajaran`.`` Tambah Badaruddin H.O.:
``Pendapat ini keliru kerana dengan pengertian yang demikian
ternyata bahawa seolah-olah ugama Islam itu pasif, tidak mampu menghadapi
soal-soal baharu. Ia seolah-olah merupakan satu objek semata-mata, diolah oleh
seniman dan sasterawan, sedang Islam sebenarnya tidak demikian. Ia menerima
pembaharuan dalam erti kata penyelarasan asas-asasnya dengan bentuk suasana dan
keadaan. Sebab ia adalah ugama yang ``sesuai bagi setiap masa dan tempat``.
(Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan
Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Februari, 1966: 66-68).
Bagi lebih jelas lagi mengenai Seni Islam – termasuk
sastera, Badaruddin H.O. memetik pendapat Mohd Qutub dalam bukunya Manhaj
al-Fann al-Islami yang mengatakan:
``Seni Islam ialah seni yang melukiskan gambaran-gambaran
kehidupan dan konsep keislaman. Ia adalah pernyataan yang indah tentang wujud,
kejadian, kehidupan dan manusia dari sudut pandangan Islam``. Seterusnya
katanya, ``Seni yang demikian dapat membawa kepada pertemuan yang harmoni serta
penyataan antara keindahan dan kebenaran. Kerana keindahan adalah hakikat
setiap keadaan dan setiap yang wujud dan kebenaran adalah puncak keindahan,
jadi dengan sendirinya`, `Kebenaran dan keindahan bertemu di kemuncak pertemuan
setiap hakikat yang wujud.``
(Badaruddin H.O., Konsep Seni Sastera Dalam Islam, 1966:
68). Lihat juga:
Mohd. Qutub, Manhaj al-Fann al-Islami, Dar al-Shuruq,
Beirut-al-Qahirah, 1403/1983: 6).
Badaruddin H.O. bersetuju dengan pendapat Mohd. Qutub dan
menjadi pegangan baginya atas tiga sebab:
1) Pengertian
ini membuka kemungkinan-kemungkinan yang luas bagi seniman atau sasterawan
Islam untuk menimba bahan-bahan ciptaannya dari seluruh keadaan dan lapangan
hidup dan kemudian mengolahnya dengan
pandangan dan konsep keislaman.
2) Pengertian
ini tidak memberatkan atau menetapkan supaya seni sastera Islam patuh kepada
aliran-aliran yang beku, dan mengemukakan `pengajaran` yang melulu.
3) Pengertian
ini mengakui nilai-nilai keindahan yang semestinya ada dalam hasil seni sastera
dan kesenian lainnya.
Badaruddin merumuskan:
Jadi secara ringkas konsep sastera Islam ialah:
- Seni sastera berhubung rapat dengan ugama, sebab kedua-duanya merupakan keperluan dari kehidupan. Sebagai keperluan dari kehidupan ia mesti diwujudkan bagi melengkapkan kehidupan itu.
- Seni sastera tidak mesti terikat kepada aliran-aliran yang beku – yang boleh mengabaikan nilai-nilai keindahan dalam hasil seni. Sungguhpun begitu ia mestilah mendukung cita-cita murni kemanusiaan dan kehidupan, sebab tujuannya selaku keperluan kehidupan adalah membawa pengertian yang menjaga nilai-nilai yang baik dari kehidupan itu.
- Seni sastera Islam ialah gambaran-gambaran serta pernyataan tentang wujud (semua kejadian) yang ditinjau dan dinilai dari konsep keislaman, sebab ia adalah ciptaan-ciptaan yang semestinya menyeluruhi semua segi dari kehidupan dan menilai segi-segi tersebut menurut nilai-nilai keislaman.
(Badaruddin H.O. Konsep Seni Sastera Dalam Islam, Dewan
Bahasa, Februari, 1966: 68-69).
Apa yang dibicarakan oleh Badaruddin H.O. tentang Seni dan
Sastera Islam adalah terkedepan dalam konteks zaman. Ia mendahului lebih kurang
sedekad dari meletusnya pembicaraan dan polimik sastera Islam. Misalnya
penubuhan Gabungan Penulis Islam Malaysia pada 1 Jamadil Akhir 1396 bersamaan
30 Mei 1976 bagi membicara dan memupuk perkembangan Sastera Islam, mendahului pembicaraan
Sastera Islam sebagai fokus pada Hari Sastera 1978 di Kuala Terengganu pada 24
– 27 Julai 1978, bahkan mendahului polimik Sastera Islam antara Shahnon Ahmad
dan Kassim Ahmad sekitar 1980an. Baharuddin H.O. sesungguhnya membuka jalan
yang terang bagi perbincangan dan perkembangan Sastera Islam berikut dan
seterusnya.
Sekian.
No comments:
Post a Comment