BBB 27 Rabiul Awwal 1435 = 29 Januari 2014(Rabu):
Pengumuman bahawa Dato` Seri Anwar akan bertanding di dalam
pilihanraya kecil Dun Kajang mengubah fokus isu selama ini terhadap Y.A.B. Tan
Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim dan Y.B. Azmin Ali berubah dan berpindah
kepada Dato` Seri Anwar Ibrahim, bahkan Tan Sri Khalid dilihat terserlah kejujurannya,
manakala saudara Azmin bukanlah sebagaimana disifatkan berhasrat untuk
menduduki kerusi Menteri Besar sehingga menimbulkan sangkaan kemungkinan
pemecatan beliau dari Ahli Lembaga PKNS sengaja dilakukan pihak tertentu bagi
memecahbelahkan perpaduan di dalam Pakatan Rakyat.
Isu juga berpindah kepada Lee Chin Cheh yang meletak jawatan
dari DUN Kajang sebagai fokus minor dan Dato` Seri Anwar sebagai fokus major.
Di dalam hal ini kita melihat ketidaksekataan berlaku bukan dari musuh politik
PR, tetapi di dalam Pakatan Rakyat sendiri. Bersih mengeluarkan pendapat
melalui Dato` Ambiga yang dianggap penyokong kuat PR mau penjelasan yang
rasional mengenai perletakan jawatann Lee Chin Cheh dan menganggapnya sebagai
politik kotor yang mengkhianati amanah diberi rakyat dan bercanggah dengan
amalan demokrasi sebenarnya. Dapatlah difahamkan konsep `bersih` bukan saja
bersih dalam pilihanraya yang selama ini dituntut oleh PR, tetapi juga
bersih bermakna dari segi amanah yang
diberi, jika kita tidak menjaga amanah yang diberi, maka kita juga boleh
digolong sebagai tidak bersih. Kalau begitu sejauhmanakah kita mempraktikkan konsep
bersih yang kita perjuangkan – jadi ada percanggahan.
Berlainan dengan DAP yang memberi sokongan padu terhadap isu
yang berlaku di Selangor ini, Pas agak lantang di dalam membuat kenyataan.
Walaupun saudara Salahuddin Ayub Naib Presiden Pas Pusat menyatakan akan
memberi sokongan dan akan turun padang berkempen membantu calon PKR yang akan
bertanding di Kajang, tetapi Y.B. Ustaz Nasruddin Ahli Jawatankuasa Pas Pusat
selaku Ahli Parlimen Temerloh membuat kecaman keras, bahawa adalah berdosa
meletak jawatan dan mensia-siakan amanah yang diberi rakyat. Ertinya ianya
sebagai pertanda ketidakadanya penyelarasan dari segi pendapat.
Pas negeri Selangor juga kelihatan laju dan terburu-buru di
dalam membuat kenyataan yang mungkin tidak dirujuk kepada peringkat Pusat
dengan Setiausaha membuat kenyataan akan mengemukakan calon Menteri Besar,
andainya berlaku perubahan dari Menteri Besar sekarang, bahkan menamakan
Pesuruhjaya Pas Selangor sebagai calon bagi Menteri Besar. Pas negeri Selangor
mempunyai kewajaran untuk menuntut kerusi Menteri Besar Selangor, memandangkan
Pas mempunyai suara yang lebih kuat dari PKR dan Dap di Dewan Negeri Selangor,
tetapi dengan pengumuman segera mungkin membuat hubungan di dalam PR di
Selangor terjejas. Oleh kerana masa masih banyak seeloknya isu Menteri Besar
dirujuk kepada peringkat Pusat dahulu. Dengan demikian dapat dijaga dari segi
hubungan di dalam PR, bahkan dapat mengelak peringkat Pusat dari terjebak dalam
situasi yang tidak menyenangkan. Isu Menteri Besar tidak mudah diselesaikan
bahkan lebih rumit kerana ianya melibatkan pihak Istana.
Namun dari satu segi tindakan yang diambil Pas Negeri
Selangor tidak boleh dipersalahkan, kerana pihak PKR yang menjadi rakan di
dalam pemerintahan tidak dirunding dan tidak dimaklumkan dengan tindakan dan
perkembangan yang berlaku di Dun Kajang. Dalam kata lain penghormatan dan
sensitiviti rakan di dalam satu PR yang memerintah tidak diambil kira, lantus
mencetuskan reaksi balas dari pihak PAS negeri. Keadaan lebih jauh dari itu,
sikap PKR dalam hubungan pengosongan kerusi dan pengumuman bertanding oleh
pemimpin tertinggi mengundang pendirian keras dari Pemuda Pas Selangor, bahawa
Pemuda Pas Selangor mungkin mengarah jenteranya memboikot dari memberi sokongan
kepada calon yang akan bertanding. Namun pernyataan keras ini diperbaiki oleh
Timbalan Presiden saudara Mat Sabu yang menyatakan bahawa Pas akan bekerja sama
dan akan turun berkempen di Kajang.
Walau apa pun pertandingan pilihanraya kecil di DUN Kajang
akan berlaku. Isu awal telah tenggelam dan berubah terfokus kepada Dato` Seri
Anwar Ibrahim yang diumumkan bakal bertanding bagi Dun Kajang. Bagi PR kerusi
ini mesti dimenangi, tapi banyak perkara telah terburai kepada pihak musuh.
Kita bertanya mengosongkan kerusi Dun Kajang adakah bagi menyelesaikan masalah
atau lebih banyak mengundangkan masalah ?
Masalah membaiki kesepakatan di dalam PR, masalah menghadapi
tuduhan musuh politik PR yang kita seolah-olah membekalkan kepada mereka
senjata-senjata dan masalah untuk memulihkan keyakinan rakyat pemilih yang
mereka menganggap kita tidak menghormati pemilihan yang dibuat sebelum ini. Ini
semua adalah cabaran-cabaran yang perlu diselesaikan untuk mengelak dari mala petaka
yang boleh memusnahkan.
Sekian.
No comments:
Post a Comment