BBB, 06 Rabiul Awwal 1435 = 08 Januari 2014 (Rabu):
Perjuangan kemerdekaan, khususnya bagi orang Melayu adalah
menyertai sama ialah perjuangan menegakkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi
Negara dan kebangsaan. Pejuang-pejuang kemerdekaan umumnya adalah terpelajar
pada zamannya, antara mereka itu guru-guru, penulis-penulis dan
pemimpin-pemimpin setempat yang mendukung perjuangan bahasa sebagai pakej di
dalam perjuangan kemerdekaan.
Prehatin tentang bahasa, sebelum dari mencapai kemerdekaan
maka Dewan Bahasa dan Pustaka telah terlebih dahulu ditubuhkan di Johor Baharu
(1956) yang diketuai oleh Ungku Aziz bin Ungku Abdul Hamid dan berpindah ke Kuala Lumpur menjelang
kemerdekaan diketuai Tuan Syed Nasir selaku Pengarah. Tun Razak yang pada masa
itu menjadi Menteri Pelajaran dalam kata-kata alu-aluannya bagi penerbitan
sulung Majalah Dewan Bahasa menulis:
``Saya dengan sepenuh-penuh sukacita mengalu-alukan keluaran
bilangan yang pertama Majallah Bulanan Dewan Bahasa ini. Dewan Bahasa dan
Pustaka ialah bertanggungjawab bagi menjalankan rancangan-rancangan untuk
mengembang dan meluaskan bahasa Melayu supaya dapat menjadi bahasa Kebangsaan
dan bahasa Rasmi yang sebenar-bebarnya.``
(Dato` Abdul Razak bin Hussein – Menteri Pelajaran
Persekutuan Tanah Melayu, Majalah Dewan Bahasa, Dewan Bahasa dan Pustaka, Bil.
1, September, 1957, hlm. 4).
Sentimen terhadap bahasa sebagai pakej perjuangan
kemerdekaan adalah tinggi, oleh kerana bahasa paling rapat dengan pendukungnya
sehingga timbul slogan ``Bahasa Jiwa Bangsa`, ``Bahasa Memperkenalkan Bangsa``
dan sebagainya. Kecintaan terhadap bahasa dan mau mempastikannya menjadi bahasa
rasmi dan kebangsaan lantaran bahasa Melayu mempunyai sejarah dan dasar akar
yang kukuh dan dalam. Islam memainkan peranan yang penting di dalam mengangkat
dan memperkembangkan bahasa Melayu dengan memperkembangkan Ilmu melalui tulisan
jawi. Bangsa dan bahasa Melayu mewariskan tradisi bahasa dan persuratan yang
besar melalui Islam seperti yang berlaku di Terengganu sebagaimana tersurat
pada Batu Bersurat Terengganu 702/1303 dan kelahiran ulama` seperti Shaykh
Abdul Malik bin Abdullah dan karangan-karangannya terutama Hikam Melayu, Zaman
Pasai dengan Hikayat Raja-Raja Pasai, Zaman Melaka dengan Hikayat Hang Tuah dan
Sejarah Melayu, Zaman Aceh dengan Taj al-Salatin dan Bustan al Salatian dan
beberapa ulama dari Hamzah Fansuri, Shamsuddin al-Sumatrani, Nuruddin al-Raniri
dan Shaykh Abdul Rauf Singkel dengan karangan-karangan masing-masing, zaman
Patani dengan ulama-ulama seperti Shaykh Daud al-Fatani, Shaykh Zainal
Abidin (Tuan Minal), Shaykh Nik Mat dan
Shaykh Abdul Samad al-Falimbani yang juga berasal dari Patani yang
masing-masing mengarang kitab-kitab yang diwarisi dan dipelajari. Tradisi
keilmuan dan kepengarangan diteruskan oleh ulama dari abad 20 seperti di Kedah,
Terengganu, Perak dan Kelantan.
Penggunaan kitab-kitab di dalam pengajaran-pengajaran
sebenarnya yang telah menghidupkan bahasa Melayu di tengah masayarakat yang
telah memupuk kesayangan mereka terhadap bahasa Melayu.
Perkembangan Bahasa Yang Terpisah Dari Agama berlaku selepas
penjajahan British apabila penjajah memperkenalkan sistem persekolahan moden
mulai akhir abad ke 19 dan puncaknya dengan terdirinya Malay College Kuala
Kangsar (1925). Selepas penjajah British mewujudkan tiga jalur pemisahan,iaitu
Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu bagi anak tempatan dan pengajian agama yang
bersifat tradisi. Juga lahir Sekolah rakyat menurut ethnic. Puncak pendidikan
Melayu ialah dengan tertubuhnya Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malaim
Perak (1930an). Maktab ini bukan saja memberi tumpuan bagi melahirkan guru-guru
mengajar di Sekolah-sekolah Melayu, tetapi juga memberi perhatian terhadap
perkembangan bahasa dan sastera yang mana dari sini melahirkan penulis-penulis
dan tokoh bahasa, antara yang paling terkenal ialah Za`ba. Walau bagaimana
semua ini tidak menghalang dari semaraknya semangat menuntut kemerdekaan.
Bahkan dapat dilihat mereka yang mendapat didikan agama terutamanya dan didikan
aliran Melayu yang mencetuskan gerakan menuntut kemerdekaan.
Kepelbagaian pendidikan dan penulisan yang diakibatkan oleh
penjajahan British dari satu segi mempelbagaikan jenis pendidikan dan tulisan –
dimasukkan selama ini tulisan yang digunakan pada pengajian agama dan
persekolan pada peringkat awal ialah tulisan jawi. Bila datang British sistem
tulisan rumi diperkenalkan, namun popularity tulisan Rumi tidak berlaku pada
zaman penjajahan, ianya baru digunakan disekolah-sekolah sebagai pengenalan
pada pertengahan 1950an, bahkan akhbar-akhbar masih menggunakan tulisan jawi
sehingga 1960an. Selepas daripada itu baru tulisan rumi lebih popular dan
menggantikan tulisan jawi, tetapi tidak secara sepenuhnya.
Kepelbagaian di atas menjadi cabaran dari segi pendidikan
yang menuntut kebijaksanaan Negara dan pemerintah di dalam merangka sistem
pendidikan dan bahasa perantaraan. Ianya juga menjadi isu dalam memperjuangkan
kemerdekaan dan pengisian. Kesan dari warisan ini masih ketara dan kemantapan
belum sepenuhnya terlaksana.
Sekian.
No comments:
Post a Comment