Kajang Baru, 24 Rabiul Awwal 1435 = 26 Januari 2014 (Ahad):
Penulis selaku Mantan Adun Bangi-Kajang telah dihubungi oleh
pihak AJK Rukun Tertangga Penduduk Kajang Baru, Kajang dengan tujuan mendapat
peruntukan bagi mengadakan Gotong Royong membersih kawasan. Menyangka mereka
masih keliru bahawa Penulis bukan lagi berstatus Adun, Penulis mencadangkan
mereka berurusan dengan Pejabat Adun Bangi di Seksyen 7, Bandar Baru Bangi.
Mereka menegaskan bahawa mereka tahu bahawa Penulis bukan lagi Adun Bangi,
tetapi memandangkan banyak kegiatan Penulis sebagai Adun lakukan dahulu, mereka
seolah-olah nostalgia terhadap Penulis dan maukan Penulis juga datang
merasmikan gotong royong. Setelah berunding tentang tarikh, masa, kegiatan dan
peruntukan yang diperlukan, maka Penulis meminta mereka datang pada Isnin 20
Januari 2014 ke pejabat Penulis untuk mengambil peruntukan. Keterlibatan
kemasyarakatan Penulis ini tidak bermotif politik, sebaliknya sebagai mengenang
budi masyarakat di Dun Bangi dan juga Dun Kajang yang pernah memberi
kepercayaan kepada Penulis menjadi Adun di Bangi (2008-2013) dan Kajang
(1999-2004). Penulis bersedia terlibat kepada kegiatan-kegiatan yang bersifat
kebajikan dan pendidikan.
Pagi ini (Ahad 26 Januari 2014) sebagaimana dijadualkan
Penulis tiba di Markas Rukun Tetangga Kajang Baru jam 8.00 pagi bersama saudara
Azizi dan turut hadir kemudian ialah saudara Hamidi Bekas Ahli MPKj dan saudara
Azemi Ahmad. Kami disambut oleh Penasihat AJK En. Paramis, Pengerusi En. Othman
bin Ali, Timbalan Pengerusi En. Usamah bin Ibrahim, Setiausaha Puan Assunta
Devi, Bendahari Puan Manbili, Ketua Biro Kebajikan Puan Maslina dan Ketua Biro
Keselamatan En. Jamaluddin Muhammad. Turut hadir penduduk setempat yang terdiri
dari berbagai kaum – lelaki dan perempuan, orang muda dan juga tua.
Bagi menyempurnakan gotong royong turut dijemput ialah
pegawai-pegawai dari Jabatan Kesihatan Kajang yang diketuai oleh En. Ahmad
Reza. Pihak MPKj menghantar tenaga-tenaga kerja dengan tiga buah lori, turut
hadir ialah pihak Bomba dengan petugas-petugas dan juga pihak Syabas. Sebelum
gotong-royong bermula peserta-peserta dijemput bersarapan pagi dengan nasi
lemak. Kemudian Timbalan Pengerusi menjemput Penulis menyampaikan ucapan
perasmian.
Penulis selaku Mantan Adun Bangi-Kajang mengucapkan terima
kasih di atas jemputan dan kepercayaan penduduk yang mencerminkan rasa kasih
sayang dan kemesraan penduduk masih berkekalan dan hendaknya berterusan. Mantan
Adun memuji pihak AJK dan penduduk mengambil inisiatif mengadakan gotong royong
dan merupakan masa yang tepat, kerana wabak denggi berlaku di Negara kita. Berita
mutakhir sebanyak 280 kes berlaku sehari dan 145 daripada kes adalah di
Selangor. Selangor tertinggi dari kes denggi dengan 23,852 kes 2013 dengan
kematian 23, kini kes terbaru 3,168 kes.
Sejak awal 2014 hingga kini 10 kematian berlaku. Di Selangor kawasan yang
paling tinggi dengan kes denggi ialah Petaling Jaya, diikuti Hulu Langat dan
daerah-daerah yang lain. Tadi saya ditunjukkan oleh Pegawai Kesihatan bahawa
mereka telah dapat mengesan jejentik nyamuk denggi yang diisi di dalam tiga
bekas plastik. Gotong royong adalah
merupakan pencegahan dan pencegahan adalah lebih baik dari pengubatan.
Sesungguhnya kesihatan tidak disedari tinggi nilainya kecuali seseorang itu
sakit. Dengan gotong royong mengeratkan hubungan tetangga dan kekeluargaan.
Penulis melahirkan rasa gembira melihat penduduk di Kajang Baru dari berbagai
kaum memberi kerjasama yang baik setiap kegiatan yang diadakan dan kerjasama
sedemikian diharap dapat diteruskan. Kata Penulis, ``Saya difahamkan kegiatan
hari ini merupakan fasa pertama yang kawasannya meliputi Jalan 9 (dekat Surau
al-Hidayah) hingga Jalan Tiga. Untuk Fasa Kedua kelak melibatkan Taman Permai
hingga kawasan Surau dan fasa ketiga meliputi seluruh Kajang Jaya.``
Selepas dari perasmian, gotong royong dimulakan yang fokus
utama ialah padang
berdekatan dengan Markas Rukun Tetangga dengan menebas semak, memotong batang
pokok dan mengangkat barang-barang buangan ke lori MPKj. Penduduk beramai-ramai
bergotong royong. Mereka yang keluar makin ramai. Antara mereka mengeluarkan
barang-barangan yang hendak dibuang, manakala unit memotong pokok MPKj memotong
dahan-dahan pokok. Sementara itu pihak Bomba dan Syabas menumpukan perhatian
pada membersih longkang dan sampah di longkang-longkang berhampiran dengan
Surau al-Hidayah.
Selepas bersama gotong royong penulis bergerak dari rumah ke
rumah menyampaikan bantuan kepada warga emas yang uzur, iaitu Tuan Haji Abdul
Rahman (58), Puan Pawai (70), En. Nenak Periakok (96), En. Mazlan (60) dan Puan
Aeda (55).
Selepas menyampaikan bantuan, Penulis kembali ke majlis
menerima cenderahati. Walaupun peruntukan disediakan kecil – sekitar RM1,500
sahaja, namun hasil dari gotong-gotong manfaatnya lebih besar dari itu. Semasa
Penulis dan saudara Azizi memohon diri sekitar jam 11.00 pagi gotong
royong masih diteruskan. Sadara Azemi
Ahmad yang merupakan penduduk setempat meneruskan gotong royong bersama mereka.
Sekian.
No comments:
Post a Comment