January 5, 2014

Menerima Cek RM1,520,000.00 Dari Dato` Dr. Haron Din Untuk Masjid Al-Umm

-->
Kediaman Dato` Dr. Haron Din, BBB, 02 Rabiul Awwal 1435 = 04 Januari 2014 (Sabtu):

Sebagaimana dijanjikan dalam Majlis Doa Selamat Dan Penentuan Arah Kiblat pada Khamis 30 Safar = 02 Januari 2014 lepas, maka pada hari ini Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung bagi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm memaklumkan kepada AJK bahawa beliau mau menyerahkan cek yang dijanjikan. Penulis selaku Pengerusi AJK menerima maklumat dari Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK menjelang Zohor hari ini bahawa Tuan Guru menjemput ke rumahnya bagi penyerahan cek.


Sebelum ke rumah Tuan Guru Penulis bersama saudara Azizi ke Surau Al-Nur bersolat Asar berjamaah yang diimami oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din sendiri dan kemudian bersama dengannya dan AJK ke rumahnya tidak jauh dari Surau Al-Nur. Hadir ke Majlis Penyerahan Cek secara ringkas.

1)      Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung
2)      Dr. Shafie Abu Bakar  Pengerusi
3)      Cikgu Ma`an- Pengerusi AJK Surau Al-Nur
4)      Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi KPI yang juga AJK Pembinaan Masjid
5)      Tuan Haji Mohd Nor Hj. Yassin Bendahari
6)      Tuan Haji Abdul Rahman Daud AJK
7)      Saudara Hamdi Anak Tuan Guru
8)      Saudara Haji  Azizi – Juru Gambar.

Sebaik tiba pengurusan penyerahan cek dilakukan oleh saudara Hamdi yang ditulis atas tiga helai cek. Kami dapati jumlah penyerahan melebihi dari jumlah yang dijanjikan pada Majlis Doa Selamat dan Penentuan Arah Kiblat (RM1.5 juta), tetapi yang diserahkan pada petang ini ialah sejumlah RM1,520,000.00 bertambah RM20,000.00 daripada jumlah yang dijanjikan. Tapi menurut Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din jumlah cek ini adalah:

1)      Derma dari Puan Sri Hamidah bt. Abdul Rahman  berjumlah  RM1,000,000.00


2)      Dato` Dr. Haron Din                                                                  RM   500,000.00


3)      Tambahan terbaru dari Dato` Dr. Haron Din                             RM     20,000.00



                                 Jumlah semua                                                        RM1,520,000.00

Penyerahan cek dilakukan oleh Dato` Dr. Haron Din dan diterima oleh Penulis sebagai Pengerusi disertai AJK dan semua yang hadir. Sebagai tanda terima kasih Penulis menyerahkan dua buah buku, iaitu Bangi Bandar Ilmu dan Gagasan Bangi. Selepas itu Penulis pula menyerahkan cek-cek berkenaan kepada Tuan Haji Mohd. Nor Yassin selaku Bendahari. Segera resit penerimaan disiapkan oleh Tuan Bendahari dan Penulis menyerahkan resit-resit berkenaan kepada Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Selepas semua penyerahan dan penerimaan dilakukan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din membaca doa selamat.


Sambil minum petang yang dihidangkan Penulis menyebut bahawa Pembangunan Masjid akan diikuti kelak beberapa fasa:

1)      Pembangunan Pendidikan dan Ilmu Pengetahuan antaranya bercadang mengadakan Pengajian Tahfiz dan Lanjutan bagi penduduk dan pelajar luar belajar di Masjid Al-Umm sebagai induk bagi Wadi Ilmu bersama surau-surau dan Kompleks Pendidikan Islam (KPI) berhampiran. Mungkin juga Perubatan Islam yang Dar Al-Shifa` berada di dalam kawasan ini.
2)      Pembangunan Fizikal dengan memohon dari pihak Kerajaan Negeri Selangor untuk membangunkan kompleks di atas kawasan Medan Usahawan bagi asrama, perpustakaan, Dewan-Dewan dan ruang perniagaan termasuk membangunkan bahagian padang (dikekalkan) sebagai sebahagian dari pembangunan Masjid Al-Umm.
3)      Melaksanakan konsep wakaf, termasuk menaja dan membiayai pelajar-pelajar tahfiz terpilih dari Tabung Wakaf Pengajian Masjid Al-Umm dan memiliki harta-harta tetap Masjid Al-Umm sebagai asset jangka panjang bagi pembangunan masjid dan pendidikan.
(Gagasan tersebut di atas antaranya terakam di dalam buku Bangi Bandar Ilmu dan buku Gagasan Bangi yang diserahkan kepada Dato` Dr. Haron Din).

Di dalam hal ini pihak AJK tentulah mengharapkan idea dan cadangan Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din bagi kemajuan Masjid Al-Umm dan perkembangan pengajian dan keilmuan dari masjid dan rangkaian pendidikan yang telah sedia berkembang di sekitarnya.

Menyebut tentang pelajar Tahfiz Dato` Dr. Haron membangkitkan,``Setiap tahun kita mendapatkan hafiz-hafiz dari luar untuk menjadi imam pada bulan Ramadhan.`` Tambahnya,
``Adalah memalukan, Bangi sebagai Bandar Ilmu terpaksa mencari hafiz-hafiz dari luar. Sepatutnya kitalah yang menghantar hafiz-hafiz ke luar !``
Beliau mengingatkan kepada Cikgi Ma`an selaku Pengerusi Surau Al-Nur, agar mendapatkan hafiz-hafiz tempatan. Bukan tidak ada hafiz-hafiz tempatan.  Tapi perlu dibuat janji dan tempahan hafiz-hafiz berkelayakan lebih awal.  Di tempat kita ada hafiz-hafiz lulusan Usim, Kuis dan lulusan dari tempat lain.``


Dalam kata lain peranan Tahfiz yang bakal diwujudkan di Masjid Al-Umm kelak antaranya bagi mewujudkan hafiz-hafiz tempatan, di samping mengexport mereka sebagai hafiz dan pendidik ke tempat-tempat yang lain.

Sebelum pertemuan berakhir pihak AJK berbincang dengan Tuan Guru tarikh-tarikh alternative dengan berbagai pihak, terutama bagi mendapat dana bagi Masjid Al-Umm. Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din menunjukkan kesungguhan bahawa beliau bersedia memimpin pertemuan-pertemuan dengan pihak-pihak berkenaan bila dibuat temu janji menurut tarikh-tarikh yang bersesuaian. Insya Allah.

Sekian.

1 comment: