January 11, 2014

Desakan Melaksanakan Bahasa Rasmi & Kebangsaan Serta Kaitan


BBB, 08 Rabiul Awwal 1435 = 10 Januari 2014 (Jumaat):

Janji perlaksanakan bahasa rasmi dan kebangsaan – Bahasa Melayu, sepatutnya pada tahun 1967 telah tertangguh menyebabkan timbul rasa tidak puas, terutama bagi pejuang bahasa Rasmi dan Kebangsaan. Kemungkinan tertangguh perasmian bahasa Rasmi dan Kebangsaan dapat dikesani sejak tahun 1965 lagi, bahkan masalah lebih dari itu:

Rencana majalah Dewan Bahasa Januari 1975 membicarakan kemungkinan dan masalah yang dihadapi oleh bahasa Kebangsaan, kata rencana itu:

``Setahun lagi berlalu dan kita semakin dekat kepada matlamat yang dituju. Masa sepuluh tahun cuma tinggal tiga tahun sahaja lagi. Dalam masa tujuh tahun yang lalu memang sudah banyak yang kita kerjakan, baik di lapangan perjuangan politik bahasa maupun di lapangan melengkapkan bahasa serta buku-buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu. Kelas-kelas bahasa Melayu kian bertambah, rakyat yang belajar bahasa Melayu kian ramai, kedudukan bahasa Melayu di sekolah-sekolah kian tegap dan penggunaan bahasa Melayu di lapangan pentadbiran semakin bertambah luas. Secara logik semakin dekat kita kepada tahun 1967 dan semakin banyak kemajuan yang kita capai tentulah semakin kurang masalah dan rintangan yang kita terpaksa hadapi. Akan tetapi kemajuan ini rupa-rupanya tidak menimbulkan hasil yang seimbang dalam lapangan perjuangan politik bahasa.``

Masalah yang dihadapi – berterusan penggunaan bahasa Melayu dan Inggeris – yang menguntungkan bahasa Inggeris yang telah mantap. Tambah rencana itu,
``Di samping itu desakan supaya bahasa Cina dijadikan salah satu bahasa rasmi dan tuntutan supaya bahasa Cina terus digunakan sebagai salah satu bahasa pengantar sekolah yang sepatutnya tidak timbul lagi – kembali bergema dan gema itu kedengaran kian hebat.``

(Rencana Pengarang – Bahasa Kebangsaan Menghadapi Tahun-Tahun Yang Amat Penting, Majalah Dewan Bahasa, Jil. IX, Bilangan 1 – Januari 1963, hlm. 1 -2).

Dalam Dewan Bahasa Mac 1965 ditimbulkan lagi alasan-alasan basi mereka yang menentang penggunaan bahasa rasmi dan kebangsaan dengan alasan kononnya bahasa Melayu tidak lengkap, buku-buku dalam bahasa Melayu tidak ada, guru bahasa Melayu tidak cukup dan ramai pegawai-pegawai kerajaan yang tidak mengerti bahasa Melayu, bahkan diambil pendapat dari orang luar bagi menegakkan penentangan.

(Rencana Pengarang – Bahasa Kebangsaan Dengan Alasan-Alasan Baharu, Dewan Bahasa , Jil. IX, Bilangan 3, Mac 1965: 97-98).

Sebenarnya tidak ada kemahuan politik, terutama dari pemimpin-pemimpin pada masa itu. Ini sebenarnya menimbulkan rasa tidak puashati seperti dari pegawai dan pekerja-pekerja di Dewan Bahasa dan Pustaka, tenaga-tenaga pengajar dari universiti dan maktab-maktab, penulis-penulis, sasterawan, guru-guru dan dari kalangan rakyat yang menyokong perlaksanaan bahasa Rasmi dan Kebangsaan.

Penulis masih ingat soal bantahan terhadap perlaksanaan bahasa Rasmi dan Kebangsaan pernah menjadi tajuk kuliah sejarah Profesor Dr. Zainal Abidin Wahid dan beliau membicarakan tentang tunjuk perasaan yang diadakan oleh pihak penentang penangguhan perlaksanaan bahasa Kebangsaan dan Rasmi Negara antaranya dari DBP seperti Syed Nasir Ismail, Usman Awang dan antaranya pelajar-pelajar dari Kolej Islam Malaya. Antologi puisi penentangan dikeluarkan, tapi antologi yang bersifat stenselan ini diharam dari diterbitkan.

Pada tahun 1967 dan seterusnya adalah tahun-tahun kecamuk dari segi politik. rakyat terutama yang diistilah sebagai `Bumiputera` miskin dan tertindas. Lambang kemiskinan dan `Lapar Tanah` boleh dilihat dari peristiwa `Teluk Gong` di mana sekumpulan rakyat yang diketuai Hamid Tuah meneroka tanah di tempat tersebut. Sudah tentulah mereka berhadapan dengan pihak pemerintah. Penyair-penyair bersatu menyokong mereka. Puisi-puisi berkenaan peristiwa Teluk Gong diterbitkan dalam antologi berjudul `Suara Tujuh`. Dipetik fragmen dari puisi Usman Awang:

Kehilangan Nama

Kerana kau seorang yang tidak bernama
Kau akan ditangkap
Jika politikmu lain dari yang ditentu.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Pondokmu akan dirobohkan
Jika kau tak mengisi borang permintaan
Kerana kau seorang tak bernama
Tanah yang baru diteroka akan diambil
Jika kau tak punya surat T.O.L.
Kerana kau seorang yang tak bernama
Bahasamu harus dikorbankan
Jika tidak kau dituduh perkauman.

(Usman Awang, Kihilangan Nama, Suara Tujuh, Setia Murni, Kuala Lumpur, 1969: 7).

Kata Kassim Ahmad yang puisinya sama disertakan dalam antologi:

II

Tidurlah ibu
Kita manusia kerdil
Siang membanting tulang
Malam menanggung bimbang.

Ada besok maka pasti ada suria
Aku akan pergi
Dengan seribu Jebat si anak tani
Kian lama kita mati dalam setia
Kali ini kita hidup dalam durhaka !

(Kassim Ahmad, Dailog, dlm. Suara Tujuh, 1969: 18).
Berhubung dengan penerokaan petani Baha Zain mencatat:

300 Mereka

Pagi itu embun masih ada
Tiba akhbar membawa 1 berita
300 orang bersenjata
Dengan bom pemedih mata
Mengepung petani yang tua
Mengepung isteri yang tua
Mengepung anak yang ketakutan
Tak tahu apa-apa.

(Baha Zain, 300 Mereka dlm. Suara Tujuh, 1969: 31).

Sebelum 1970 suasana politik kecamuk dan suasana agak tegang. Pejuang bahasa Rasmi dan Kebangsaan tidak berpuashati dengan keengganan kerajaan mematuhi janji. Rakyat miskin tertindas dan dalam keadaan miskin. Mereka dihiburkan dengan istilah `Bumiputera` dan `Hak Istimewa Orang Melayu` dan untuk mengalih suasana diadakan Revolusi Mental kononnya bagi membangkitkan orang Melayu dari ketinggalan. Majalah Dewan Masyarakat April 1968 memfokuskan tentang Hak Istimewa Orang Melayu dan Revolusi Mental` (Dewan Masyarakat, April, 1968: 1- 19). Diikuti dengan berbagai artikal mengenainya dalam terbitan-terbitan berikutnya.

Namun permasalahan bahasa Kebangsaan dan Rasmi, masalah kemiskinan dan berkaitan dengan tuntutan melaksanakan Dasar Pelajaran, Mendirikan Universiti Kebangsaan dan masalah kemunduran dan keciciran pelajaran, khususnya anak-anak bumiputera menjadikan suasana politik Negara kecamuk. Kerajaan yang pada asalnya agak kurang respon dengan desakan mendirikan UKM terpaksa membuat pengumuman:

``… Saya Suka Mengumumkan  Bahawa Kerajaan Akan Menubuhkan Universiti Kebangsaan.``

Demikian pengumuman yang dibuat oleh Encik Mohamed Khir Johari Menteri Pelajaran pada masa itu.
(Dewan Masyarakat, September 1968: 8).

Walau bagaimana permasalahan bertimpa-timpa dan desakan bertubi-tubi, semua tidak dapat diselesaikan dalam masa singkat. Suasana tidak dapat dibendung dan pecah tragedi 13 Mei 1969. Penyusunan kembali masyarakat dan tindakan terhadap tuntutan dibuat – termasuk dasar bahasa, penubuhan UKM dan pendekatan ekonomi yang lebih adil.  Rakyat dan Negara menghadapi fasa baru kehidupan, politik dan sejarah negara.

Sekian.

No comments:

Post a Comment