BBB, 05 Jamadil Awwal 1435 = 07 Januari 2014 (Selasa):
Perjuangan bagi mendapatkan kemerdekaan tanahair adalah
sejarah yang penting bagi sesebuah Negara dan rakyatnya. Dalam perjuangan
mendapat kemerdekaan tanahair kita dan pengisiannya, maka antara perkara
penting yang menjadi pakej perjuangan kemerdekaan ialah persoalan `Kebahasaan`.
Menyebut persoalan kebahasaan di sini, bukan terhad kepada
apakah bahasa yang menjadi bahasa rasmi negera semata-mata, tetapi ianya
melibatkan persoalan bahasa dan perkembangan sastera dan budayanya, sistem,
dasar pelajaran dan pendidikan, penggunaan bahasa tersebut di tengah masyarakat
dan menjadikannya sebagai identiti dan nilai budaya mesyarakat tersebut dan
berusaha memperkembangkannya sehingga menjadi salah satu bahasa penting dunia.
Mengapa isu bahasa menjadi sebahagian dari pakej perjungan
kemerdekaan tanahair. Ini ialah kerana antara faktor ialah `Bahasa Inggeris`
pada zaman penjajahan adalah menjadi bahasa rasmi pemerintahan dan pentadbiran.
Bahasa tersebut dikuasai cuma oleh segelintir elit pentadbiran dan mendapat
pendidikan melalui Sekolah-sekolah didirikan yang menggunakan bahasa tersebut.
Sedangkan majoriti penduduk adalah menggunakan bahasa rakyat tempatan, iaitu
bahasa Melayu yang menjadi bahasa pertuturan di tengah masyarakat. Media utama
yang menjadi bahan bacaan rakyat ialah melalui bahasa tersebut seperti
akhbar-akhbar dan majalah-majalah termasuklah penggunaan melalui radio pada
zaman itu.
Fakta yang paling penting ialah pensejarahan Negara ini
sendiri. Negara ini pada masa itu dikenali dengan Tanah Melayu atau Semenanjung
Tanah Melayu yang mencerminkan asal usul, ketuanan dan peribumi asli menduduki
tanah tersebut yang menggunakan bahasa tempatan dan peribumi, iaitu Melayu.
Fakta sejarah ini bukan sekadar nama, tetapi kewujudan Negara bangsa sejak
berabad-abad yang lalu yang antara negaranya boleh disebut Empayar Kerajaan
Melayu Melaka, Langkasuka dan Sriwijaya yang merupakan Kerajaan Melayu tradisi.
Kerajaan-kerajaan Melayu ini bukan sekadar nama, tetapi wujudnya sejarah
persuratan, prasasti dan dokumen-dokumen di dalam dan luar Negara yang
mengesahkan sejarah kebahasaan, tamadun dan peradaban yang dilaluinya di dalam
sejarah. Kewujudan kebahasaan, tamadun dan peradaban yang dilalui oleh
Negara-bangsa-bahasa tersebut adalah menjadi kemegahan bagi bangsa yang
mewarisi dan mendukungnya. Adalah dilihat perjuangan bagi menegakkan bahasa
tersebut adalah merupakan perjuangan yang murni, dimegah, bahkan dilihat
menjadi kewajipan dan tugas suci yang harus diperjuangkan bagi mengembalikan
kesucian dan keunggulan bahasa tersebut. Dari satu segi adalah dilihat bahawa
kemunduran dan pengabaian terhadap bahasa tersebut sengaja dilakukan oleh pihak
penjajah bagi melemah dan merendahkan bahasa rakyat tempatan dan peribumi,
serentak dengan itu mengunggulkan bahasa penjajahan. Bagi pejuang-pejuang
kemerdekaan mereka melihat ini adalah merupakan wadah perjuangan suci yang
dilihat sebagai tugas mulia bagi mereka.
Perjuangan kemerdekaan sejak dari selepas peperangan Dunia
Pertama, khususnya selepas Peperangan Dunia Kedua adalah didokong oleh kalangan
intelektual dan ilmuan pada zaman berkenaan.
Kesedaran kebangsaan dan semangat anti penjajahan pada
peringkat permulaan dicetuskan oleh tokoh-tokoh intelektual Islam dari Asia
Barat yang dikaitkan dengan perjuangan Jalaluddin al-Afghani sejak akhir abad
ke 19 membawa kepada Muhammad Abduh dan Rashid Rida di awal Abad ke 20.
Pengaruh mereka tiba kepada intelektual dan ulama Melayu secara langsung atau
tidak langsung antaranya melalui Makkah di awal abad 20 seperti Dato` Bahaman,
Tok Gajah dan Mat Kilau di Pahang, Haji Abdul Malik bin Isa, Syed Abdul Rahman
bin Muhammad (Tukku Paloh) dan Haji Abdul Rahman Limbung Terengganu, Tok
Janggut dan Tuk Kenali di Kelantan.
Manakala kesedaran kebangsaan dan anti penjajahan yang lebih
kemudian dicetuskan oleh ulama-intelektual dan penulis seperti Shaykh Tahir
Jalaluddin, Syed Shaykh al-Hadi membawalah kepada Abu Bakar al-Baqir dan Burhanuddin
al-Hilmi, manakala bagi pejuang yang disifatkan sebagai perjuangan kebangsaan
ialah seperti Dato` Onn Ja`afar membawalah kepada Tunku Abdul Rahman. Ini
adalah aliran utama dalam perjungan politik Negara, walaupun tidak dapat
dinafikan kesan dari penjajahan British yang membawa boroh-boroh luar ke Negara
ini bagi mengexploitasi ekonomi seperti dari negeri Cina dan India yang mereka
juga terlibat sama dalam perjuangan kemerdekaan, setengahnya bersifat kekirian,
tetapi umumnya mereka mengikut realiti sejarah dan sama berjuang menegakkan
kemerdekaan menurut acuan tempatan menurut kesesuaian zaman. Semua ini telah
berlalu dalam sejarah dan masalah kebahasaan yang menjadi pakej penting dalam
perjuangan kebahasaan dan pengisian dan adalah sama diterima dan didukung.
Sekian.
No comments:
Post a Comment