January 25, 2014

Kunjungan Dan Perbincangan Dengan Pelajar-Pelajar Ph. D.

-->
BBB, 22 Rabiul Akhir 1435 = 24 Januari 2014 (Juma`at):

Pagi ini Penulis dikunjungai oleh beberapa pelajar yang sedang membuat Ph. D. di beberapa buah universiti tempatan. Kunjungan ini sepatutnya berlaku semalam (Khamis), tetapi oleh kerana pada sebelah pagi Penulis mempunyai urusan di MAIS dan pada sebelah petangnya pula di Lembaga Zakat Selangor, maka pertemuan dibuat pada pagi ini. Selepas mengunjungi kediaman Penulis, mereka kemudian ke Pejabat Penulis untuk perbincangan. Mereka yang datang ialah:


1)      Puan Maisarah Bt. Yaacob Pensyarah di Institut Pendidikan Islam di Bangi yang   
      kini sedang membuat Ph. D. di Universiti Pertanian Malaysia di bawah Penyeliaan
     
           Dr. Kamariah Kamaruddin, judul tesisnya ialah:
           Tarbiah Di Dalam Novel Komsas (Komponan Sastera).

2)      Puan Zanariah Bt. Ibrahim Pensyarah di Institut Pendidikan Islam Bangi yang kini sedang membuat Ph. D. di Universiti Malaya di dalam bidang bahasa di bawah penyeliaan Dr. Maslida. Judul tesisnya ialah:
Lakuan Bahasa Diskriptif.
3)      Puan Siti Hajar Idrus dari Institut Pendidikan Islam Bangi yang sdang membaut  
      Ph. D. di Universiti Kebangsaan Malaysia di dalam bidang Puisi Tradisional.
      Tajuknya berhubung dengan Teromba. Penyelia ialah Dr. Saiful.
4)      Nurul Farhani Abdul Razak (Anak Puan Maisarah) Guru graduate yang sedang   
      menunggu posting.
Secara kebetulan semasa mereka hadir saudara Azizi datang ke pejabat Penulis dan turut sama meraikan mereka.

Kami berbincang secara terbuka berhubung dengan bidang-bidang yang dikaji mereka. Bagi Puan Maisarah adalah bekas pelajar Penulis semasa di UKM dan menggunakan teori Takmilah semasa menulis Latihan Ilmiah. Penyelia beliau Dr.Kamariah Kamaruddin juga bekas pelajar Penulis semasa di UKM. Selepas membuat Ijazah sarjana beliau membuat Ijazah Ph. D. di Universiti Malaya dengan mengkaji sejumlah novel dengan menggunakan Teori Takmilah di bawah penyeliaan Profesor Dr. Mohamad Mokhtar bin Abu Hassan (Akademi Pengajian Melayu) dan Profesor Madya Dr. Che Zarrina Sa`ari (Akademi Pengajian Islam). Penulis adalah antara Pembaca Luar bagi penilaian tesis Ph. D. Dr. Kamariah. Kini Puan Maisarah membuat Ph. D. di bawah Dr. Kamariah yang juga akan menggunakan Teori Takmilah.


Masalah yang ditimbulkan oleh Puan Maisarah, bagaimana mengaplikasi dan membuktikan kandungan novel Komsas yang dipilih pada bahagian atas bagi komponen Takmilah, khususnya aspek Ketuhanan dan Kerasulan yang merupakan prinsip puncak bagi 7 prinsip. Menurutnya bagi lima prinsip yang lain jelas dan kurang bermasalah. Sebenarnya pada dua peringkat ini perlu pembacaan dan kefahaman yang luas tentang aspek Ketuhanaan dan Kerasulan bagi dikaitkan dengan kandungan yang dikaji yang melibatkan sudut pandangan dan nilai baik secara direct atau indirect. Pendekatan Takmilah boleh bertolak dari atas atau dari bawah dengan menggunakan kaedah yang wajar.

Bagi Siti Hajar yang mengkaji tentang Teromba perlu memahami Sistem Adat di negeri Sembilan, khususnya Adat Perpatih dan juga Sistem Sosial Masyarakatnya yang antaranya pernah ditulis oleh Gullick, Nordin Selat dan Dato` Abdul Samad Idris. Beliau juga perlu mengkaji dengan mendalam dari segi puisi Teromba yang bersifat bebas di dalam konteks puisi tradisional dan penggunaannya di tengah masyarakat dan potensi mengaplikasinya sebagai puisi moden. Bidang ini pernah dikaji oleh Profesor Madya Dato` Dr. Mohd Rosli Saludin yang membuat kajian peringkat sarjana di bawah penyeliaan Penulis tentang Teromba dan melanjutkan kajiannya pada peringkat Ph. D. di Universiti Malaya di dalam bidang yang sama. Beliau banyak menghasilkan penulisan yang perlu dibaca bila mengkaji tentang teromba.

Berhubung dengan bidang kajian Puan Zanariah bt. Ibrahim yang melibatkan bahasa, Penulis tidak membincangkannya, kerana di luar dari bidang Penulis.

Mengakhiri pertemuan Penulis menghadiahkan tiga buku bagi setiap orang daripada mereka, iaitu buku Bangi Bandar Ilmu, Gagasan Bangi dan Puncak Rindu.

Sekian.

No comments:

Post a Comment