BBB, 19 Rabiul Awwal 1435 = 21 Januari 2014 (Selasa):
Mutu perpuisian Generasi Kolej Islam adalah selari dengan
penyair-penyair sezaman yang mempunyai kedudukan. Antara mereka terkenal
lantaran puisi mereka mendapat pengiktirafan. Antara mereka memenangi Hadiah
sastera Malaysia
pada peringkat awal hadiah berkenaan diperkenalkan. Seorang dari mereka
dimaksudkan ialah saudara Marhan. Marhan ialah nama samaran bagi saudara Abdul
Rahman bin Salleh. Mendapat didikan hingga ke Kolej Islam Kelang. Sejak 1970
beliau mengendalikan pendidikan swasta di Machang, Kelantan. Puisinya tersiar
di dalam berbagai media seperti Dian, Berita Minggu, Mingguan Malaysia , Dewan Sastera dan
sebagainya. Kumpulan puisinya ialah Dengan Bayang (1974).
(Ahmad Kamal Abdullah dan Mohd Hanafi Ibrahim, Mengenangmu:
Puisi-Puisi Melayu Berunsur Islam 1933-1986, Dewan Bahasa dan Pustaka, Kuala Lumpur ,1989: 502).
Puisinya yang memenangi Hadiah Sastera tahun 1972 ialah:
Melalui:
Fikir, Mata, Telinga dan Lidahku
Melalui kalbuku nan terbuka
Fikirku adalah bintang-bintang yang mengerdip
Segala cita-cita dan harapan
Yang bisa membentuk dan membangun
Kerukunan suatu umat
Keperibadian satu bangsa.
Mataku adalah arasy nan luas
Di perjalanan kutub dan ufuk
Atas segala sifat
Dan warna-warni yang berjisim
Sesungguhnya zat-zat dan makrifat.
Telingaku adalah perakam
Didesir angin dan ombak
Menyelinap dan meresap
Ruang-ruang yang terbuka
Sebenarnya suatu hakikat
Yang wujud dan fana
Yang mujarad dan nyata.
Lidahku api dan angin
Membakar dan meruntuh
Istana dan mahligai
Yang bertakhta di mata
Dan beraja di hati.
Ilahi Rabbi
Jiwaragaku untukmu.
Machang,
18 April 1971
(Dewan Sastera, Julai 1972: 39)
Puisi di atas adalah bersifat fikiran yang melihat
fungsi-fungsi akal, inderawi mata, telinga dan lidah yang mempunyai peranan –
melalui fikiran dapat membangun kemajuan, mata bagi menangkap dan menanggap
makna lahiri dan maknawi, begitu juga telinga sebagai saluran mendapat maklumat
dan memahami wujud secara mujarad atau nyata. Begitu juga dengan lidah yang
boleh membina melalui saranan-pengajaran yang baik dan boleh sebagai racun dan
api yang membakar dan meruntuhkan. Idea puisi ini tersusun rapi. Walaupun ianya
bersifat idea dan pandangan, penyair berjaya meluahkannya di dalam bahasa yang
indah dan tinggi daya estetiknya.
Selaku penulis kelahiran Kolej Islam selain dari Marhan
turut menerima Hadiah sastera ialah Hadzrami A.R. dengan judul puisinya (Lagu
Laut Jam Sebelas Pagi, 1971). Hadzrami A.R. kelahiran Pasir Mas, Kelantan
(1941). Bersekolah di Ma`had Muhammadi, kemudian ke Kolej Islam, Kelang (1958-1963).
Pernah bekerja di Berita Harian, Pegawai Akhbar di Kementerian Tanah dan
Pembangunan Wilayah, Pegawai Akhbar di Kementerian Penerangan dan Ketua
Pratonton dan Penapisan TV 3, Kuala Lumpur. Menulis puisi, cerpen dan kritikan.
Kumpulan puisinya Dunia Di Bibir Kiamat (1971), Terbit Matahari (1972).
(Mengenangmu, 1989: 497).
Lagulaut Jam Sebelas Pagi
Mereka berkumpul di teluk itu
Pantai melengkung bibir gadis
Rapat ke tepi perahumu
Pegang ujung pukatarik
Ramairamai kecil-besar, bersuara
Tarik weih, tarik
weih
Ombak berombak membantu memutih.
Mereka paling
miskin bangsaku.
Kolek-kolek sunyi dari motobot berbunyi
Berlinggang atas permaidani air
Orang tua dengan kain lusuh
Dari pinggang hingga kepala
Berbisik pada kawannya dengan curiga:
Masuki
kindungan, masukkan
Udang baring
bikin belacan.
Mereka paling
tersepit bangsaku.
…..
Pantai Rusila,
Terengganu: 11.45 pagi
6.3.1971.
(Dewan Sastera, Jun 1971: 40).
Di atas adalah gambaran nelayan menarik pukat ke pantai
beramai-ramai bagi menangkap ikan dan udang baring. Mereka adalah kumpulan
nelayan yang terkenal miskin. Hadzrami terkesan ketika singgah di pantai dan
memerhati realiti episod kehidupan mereka sebagai nelayan pantai.
Hadzrami juga terkesan dengan pemergian seorang pejuang
bangsa terkenal di dalam bidang pendidikan – sewaktu umurnya masih muda.
Fragmen:
Nestapa
(Untuk Allah Yarham Aminuddin Baki)
Tembok duka gurun nestapa
Waktu belakangan –
Meriah berpawai di depan mata
Berjulangan –
Wajah demi wajah ghaib di senja
Ke balai penghadapan –
Pemergian orang-orang berjasa.
Ia yang pergi dengan lagunya bernama
Gemuruh jantung –
Maka kulepaskan dengan kelu terpaku
Rabu bersabung –
Sekuasa diri memupuk restu.
Berkibas sayu malaikat di kiri kanan
Mengiring tamu –
Dari pintu dunia menyeberang jalan
Disambut syahdu –
Ke pantai abadi berpandu obor kebaktian
Dipayung sayap-sayap biru
Tangisan anak-anak
pada kehilangan besar
Penghormatan –
Pemergian setelah permaidani terhampar
Kebesaran –
Sedang harga manusia yang sebenar
`lah disemaikan.
…….
Ia yang pergi dengan lagunya bernama
Ia yang pergi dengan lagunya bergema
Menapak tangga mahligai menguntum senyum
Laut zaman beriak memercik harum.
Sayap-sayap malaikat berkipas kiri kanan
Menyongsongi hayat (dan maut) mengusung iman
Mendorong rentak pada peragu mencapai depan.
Tuhanku –
Berita Minggu, 2 Januari 1966.
Aminuddin Baki Pejuang selaku Ketua di Kementerian
Pendidikan peka terhadap kelemahan anak bangsa di dalam bidang pelajaran.
Ungkapannya `Itik di air mati kehausan, ayam di kepuk mati kelapara` begitu
terkenal. Dia berjuang bagi menaikkan prestasi anak bangsa dalam bidang
pelajaran. Kematiannya dikala masih muda ditangisi anak bangsa. Hadzrami turut
mencatat tentang kesedihan ini.
Mutu puisi kedua-dua penyair – Marhan dan Hadzrami,
berbetulan kedua-dua penyair dari Kelantan, mendapat pendidikan di Kolej Islam
tidak dipertikaikan. Puisi kedua-dua mereka diiktiraf dan memenangi Hadiah
Karya Sastera Kerajaan Malaysia .
Sekian.
No comments:
Post a Comment