January 3, 2014

Dato` Dr. Haron Din Menderma Sebanyak RM1.5 Juta Bagi Masjid Al-Umm Di Dalam Majlis Doa Selamat & Penentuan Arah Kiblat

-->
Tapak Masjid Al-Umm BBB, 30 Safar 1435 = 02 Januari 2014 (Khamis):


Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din Penaung Jawatankuasa Pembinaan Masjid Al-Umm pagi ini ketika menyampaikan ucapan sempena Majlis Doa Selamat Dan Penentuan Arah Kiblat Masjid Al-Umm mengumumkan yang beliau menderma bagi Masjid al-Umm sebanyak RM1.5 juta. Inilah derma terbesar setakat ini yang diterima dari orang perseorangan. Dengan derma beliau menjadikan jumlah derma dalam kutipan ialah sebanyak RM4 juta. Beliau mencadangkan pihak AJK menemui pihak Wakaf dan Zakat negeri Selangor bagi mendapatkan derma RM2 juta lagi bagi melayakkan pihak AJK menuntut dari pihak Kerajaan Negeri RM6 juta sebagaimana dijanjikan Kerajaan Negeri Selangor. Kos bagi membina Masjid Al-Umm ialah sebanyak RM12 juta. Beliau meminta pihak AJK membuat temujanji dengan pihak Wakaf dan Zakat Negeri Selangor dan Tuan Guru berjanji akan turut sama pergi setelah dibuat temu janji.


Komitmen Tuan Guru dalam membina masjid bukan baru dan bukan setakat Masjid Al-Umm, tetapi sebelum ini beliau juga membantu menyiapkan Masjid Kg. Pering, Kedah. Beliau juga menderma sebanyak RM1 juta bagi membina sebuah masjid di Langkawi yang selepas 3 tahun mencari derma hanya dapat dipungut sebanyak RM12,000 sahaja.
Beliau juga membina sebuah masjid di kampungnya sendiri di Perlis.



Merujuk kepada pembinaan Masjid Al-Umm kata Tuan Guru, `` Ianya merupakan saat yang kita semua tunggu. Tiada kerja yang lebih mulia dari membina Rumah Allah. Masjid yang paling mulia ialah Baitullah al-Haram.`` Beliau merujuk kepada ayat bermaksud:

``Sesungguhnya rumah yang mula-mula dibina untuk manusia (beribadat) ialah Baitullah yang di Makkah yang berkat dan pertunjuk hidayat bagi manusia.`` (Ali `Imran: 96).

Dan kedua penting ialah masjid. Firman Allah bermaksud:
``Dan bahawa masjid adalah bagi Allah, maka janganlah engkau menyeru bersama Allah akan sesuatu yang lain (Al-Jinn: 18).
Kata Dato` Dr. Haron Din,
`Hari ini, kita memohon kepada Allah untuk mendirikan rumah Allah, tidak ada sebab Allah tidak menolong, jika kita benar-benar ikhlas. Firman Allah bermaksud:

``Kamu berhajat kepada Allah dan Dia Kaya lagi Maha Terpuji.`` (Muhammad:38).

Beliau berkata, ``Allah menguji kita, selama lebih dari setahun masih belum dapat memungut sejumlah RM2 juta. Tetapi kita seharusnya terus berusaha. Sesungguhnya maksud Hadith:

``Barang siapa membina masjid untuk kepentingan orang ramai, walaupun sumbangannya sekadar segenggam pasir, nescaya Allah membina baginya mahligai di syurga.``

Berdermalah kata Dato` Dr. Haron Din, sebaik-baiknya bermula dari diri kita sendiri, kerana dikatakan, siapa yang menunjukkan kepada kebaikan, ianya seperti melakukan kebaikan.


Sebelum daripada itu, Dr. Shafie Abu Bakar, Pengerusi AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dalam ucapan alu-aluannya di hadapan hadirin antaranya selain dari Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din ialah YB Ustaz Shafie Ngah Adun Bangi, Tuan Haji Sufi Munassir YDP Persatuan Penduduk Bandar Baru Bangi, Dr. Tajul Ariffin Noordin Pengerusi Kompleks Pendidikan Islam Bangi, Wakil dari JAIS, Wakil dari Balai Polis Bandar Baru Bangi, Pengerusi-Pengerusi Surau, Tuan Haji Marzuki bin Che Omar Kontrektor dan penduduk Bandar Baru Bangi yang berjumlah lebih kurang 100 orang.  Dr. Shafie bersyukur selepas Majlis Pelancaran Derma  19 Mei 2012, Khenduri Kampung bersama Y.A.B. Dato` Menteri Besar Selangor Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim 6 Januari 2013, diwarta tapak pada September 2010 dan kelulusan pembinaan oleh JAIS pada Jun 2011, maka pada hari ini dapat dilaksanakan Majlis Do`a Selamat dan Penentuan Arah Kiblat. Beliau berterima kasih di atas kesudian Dato` Dr. Haron Din bersama menyempurnakan majlis. Beliau juga berterima kasih kepada orang ramai antaranya melalui masjid dan surau yang menderma secara ikhlas hingga setakat ini berjumlah RM2.5 juta yang insya Allah menjadikan RM4 juta. Usaha bagi menggenapkan RM6 juta akan dilaksanakan.


Dr. Shafie menyebutkan kerja tanah telah bermula sejak 10 Disember 2013 dan kerja pembinaan dalam progress. Beliau menyebut Syarikat Kontrektor dipilih ialah Tekad Nusantara Sdn. Bhd,, Arkitek Urusbina, Juru Ukur Bahan May Consult, Jurutera Safari Ingenieurs dan Elektrik Perunding Azfar. Pembinaan Masjid Al-Umm menurut Dr. Shafie akan dapat menyediakan keperluan tempat berjumaat dan berjamaah yang kini kekurangan ruang terutama bagi hari Jumaat.


Menurutnya Masjid al-Umm terdiri dari tiga tingkat. Tingkat Dua ruang utama bagi jamaah, tingkat tiga bagi jamaah perempuan dan tingkat bawah bagi tujuan multi purpose termasuk dewan kuliah, kelas tahfiz, majlis aqad dan perkahwinan serta jamuan. Menrutnya lagi, ``Adalah diharapkan Masjid Al-Umm apabila siap dijangkan pertengahan 2015 menjadi induk bagi Wadi Ilmu bagi rangkaian surau-surau sekeliling seperti Al-Nur, al-Ihsan, Damai, al-Ittihad dan Kompleks Pendidikan Islam Bandar Baru Bangi. Beliau berterima kasih kepada semua pihak yang menjayakan pembinaan Masjid al-Umm.


Selepas Dato` Dr. Haron Din menyampaikan ucapan, beliau juga membaca doa bagi menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm, keselamatan semua pekerja dan kelicinan urusan. Selepas itu Pengerusi Majlis Tuan Haji Ghazali Abbas menjemput  Dato` Dr. Haron Din diiringi Pengerusi, YB Adun Bangi, AJK dan para hadirin ke Majlis Penentuan Arah Kiblat. Kedudukan arah Kiblat ialah pada 292.3658 minit. Dato` Dr. Haron Din memasukkan anak panah pada ruang plug simbolik menandakan arah Kiblat. Beliau meminta tanda arah dibuat di luar tapak agar tidak berganjak, kerana tanda atas tapak akan mengalami kerja tanah yang boleh mengubahkan kedudukan. Pihak Jurutera menunjukkan ruang bagi basement yang sedang digali seluas 42 meter yang mempunyai benteng dinding, tingkat dua seluas  45 meter dan tingkat tiga 47 meter .
Selepas perasmian Penentuan Arah Kiblat para tamu dijemput ke Jamuan makan. Semasa ini Setiausaha Kerja saudara Adham Anuar memohon dari Dato` Dr, Haron Din mentahniq anak sulungnya – Adam. Majlis diakhiri dengan AJK bergambar yang Juru Gambar Resmi dijemput khas ialah saudara Azizi.


Majlis berjalan lancar dan licin. Syukur kepada Allah dan terima kasih kepada semua pihak. 

Sekian.

No comments:

Post a Comment