February 14, 2014

Mendekati Rakyat Kajang, Mengetahui Masalah Mereka Melalui Kaunter Terbuka

-->
BBB, 13 Rabiul Akhir 1435 = 13 Februari 2014 (Khamis):

Kemenangan Adun Kajang pada 29 September 1999 adalah dari Pas bersama tiga lagi Adun Pas, iaitu Dato` Dr. Hasan Ali (Sungai Burung), Ustaz Ismail Kamus (Gombak Setia) dan Ustaz Sallehen Mukhyi (Sungai Air Tawar), mereka adalah bersatus pembangkang di Dewan Undangan Negeri Selangor bersama dengan saudara Azmin Ali (Hulu Kelang) dari Keadilan dan En.Teng Chang Khim (Sungai Pinang) dari Dap. Ini adalah merupakan kali pertama Pas menduduki kerusi secara bertanding di Dewan Negeri Selangor bersama dengan pembangkang-pembangkang yang lain.


Sebagai pembangkang Adun tidak mendapat sebarang peruntukan pembangunan bagi kawasannya dan tidak ada kemudahan-kemudahan yang diberi kepadanya. Misalnya tidak dilantik menjadi Ahli Majlis Perbandaran dan tidak juga Ahli Majlis Daerah. Sebagai Adun permulaan, tidak menerima arahan dari parti mengenai pendekatan yang mesti diambil dalam hubungan dengan rakyat di dalam kawasan Dun yang dimenangi. Terpulang kepada Adun berkenaan memikirkan bagaimana pendekatan perkhidmatan yang mau diambil dengan dana dari elaun Adun, kewangan parti dan derma-derma dari orang perseorangan.


Bagi Adun Kajang dengan kemenangan di luar jangkaan, maka diambil pendekatan sebagaimana logo kami gunakan:

``Anda Memberi Mandate Kami Memberi Khidmat``

Sejak mula menang Adun menerima aduan dari berbagai pihak mengenai berbagai perkara. Adun adalah menjadi pengantara yang menerima aduan dari rakyat dan turun menyelesaikan bersama pembantu-pembantu dan jika aduan berhubung dengan pihak yang lain seperti jabatan-jabatan kerajaan, agensi-agensi dan pihak-pihak mana yang berkenaan, maka aduan-aduan berkenaan dibawa kepada pihak-pihak berkenaan dan diusahakan penyelesaian.


Bagi meningkatkan mutu perkhidmatan, maka mulai awal 2000 pihak Adun Kajang mewujudkan ``Jawatankuasa Bertindak Adun Kajang``  yang membantu Adun menyelesaikan aduan dan masalah yang dihadapi rakyat.  AJK berkenaan ialah:
Amir Hamzah Udin, Azemi Ahmad, Rusli Darus, Azizi Omar, Pn. Hidayah Muhammad, Haji Kamaruddin, Jamil Saring, Hj. Hamzah Osman, Sulaiman Sajilan, Solehin Jait, Faisal Mahmud, , Azhar Othman, Agus, Abdullah Abdul Rahman, Wan Abdul Rahman Wan Latiff, Hj. Ya`kob Md. Nor, Amir Hamzah Shafie, Abdul Abdul Karim, Sukaimi Rasmi, Khairul Adnan Kasim, Mu`minah Yusoff, Adnan Che Daud, Amir Othman, Ariffin Mahmud, Nik Pa Nik Leh, Hindun Lidin, Khairul Zaini Abdul Ghani, Zuryati Yasin, Nazri Daud, Mohsin Negara Ghazali, Zaiton Ahmad, Mohd. Hasni Mohamad dan Ruslan Abdul Manat.


AJK ini melibatkan soal lalu-lintas, kebersihan, kebajikan, perumahan, bencana, pendidikan, Masjid dan Agama, sukan, Belia, wanita & Antara Kaum . Adun & AJK menerima aduan dan berurus terus dengan pihak berkenaan. Misalnya mengenai sampah dan longkang maka aduan bersurat dibawa kepada pihak MPKj. Soal kebajikan dibawa kepada Pejabat Kebajikan Masyarakat. Bila berlaku bencana selain dari turun padang perkara ini dibawa ke Pejabat Daerah & MPKj dan jika perkara tersebut serius, misalnya masalah banjir, hakisan, tanah runtuh dan kerosakan jalan selain dari dibawa kepada jabatan-jabatan berkenaan, maka ianya dibawa ke Dewan Undangan Negeri untuk makluman dan tindakan.


Untuk meningkatkan pendekatan, hasil dari gerakerja yang dilakukan dan mesyuarat berterusan dengan AJK Bertidak tercetus idea mewujudkan `Kaunter Terbuka Adun Kajang` yang mula dilaksanakan pada awal Januari 2002. Caranya ialah Adun bersama AJK turun ke satu-satu lokasi dengan sebuah `stand papan kenyataan dari besi bertulis `Kaunter Terbuka Adun Kajang`, sebuah meja plastic dan beberapa buah kerusi plastic. Turut dibawa bersama borang-borang aduan. Kami mengambil tempat strategic yang menarik pandangan orang ramai untuk membuat aduan. Pada pertemuan sebegini turut diedarkan bahan-bahan maklumat kepada orang ramai. Kaunter Aduan ini biasanya dibuka pada pagi Sabtu dan Ahad bertempat di pasar-pasar, tetapi turut juga dibuka di pasar-pasar malam dan lokasi tertentu menurut hari tertentu tempat tersebut dibuka.


Tempat-tempat yang menjadi tumpuan kami membuka `Kaunter Terbuka Adun Kajang ialah:
Pasar Kajang (paling kerap), Pasar Malam Kajang Utama, Pasar Kampung Baru Semenyih dan Paling Jaya, Pasar Malam Jalan Reko, Pasar Malam Sabtu dan Selasa Bandar Baru Bangi, Pasar Pagi Sungai Long. Taman Rakan, Pasar Malam Taman Jasmin, Pasar Pagi Sungai Chua, Pasar Malam Taman Mesra/Delima, Pasar Malam Batu 10. Cheras, Pekan Bangi, Pejabat PKNS & Pejabat Adun. Tempat-tempat berkenaan digilir-gilir dari masa ke semasa. Kaunter Terbuka Adun Kajang juga dibuka di mana-mana ada keramaian seperti Hari-Hari Sambutan, Sukan dan sebagainya. Waktu pagi seperti di pasar masanya antara 8.30 pagi hingga jam 12.00 tengahari. Pada sebelah petang biasanya antara jam 4.30-6.30 petang dan jika malam dari jam 8.00-11.00 malam. Antara AJK Bertindak yang sering menyertai Kaunter Terbuka Adun Kajang ialah saudara Azemi Ahmad, Ahmad Sulaiman, Shukor Atan, Haji Kamaruddin, Amir Hamzah Udin, Jamil Saring, Solehin Jait, Abdullah Abdul Rahman, Amir Othman, Khairul Zaini dan lain-lain. Biasanya bila ke satu lokasi AJK parti setempat akan turun sama membantu, termasuk kalangan orang Cina seperti di Semenyih dan Pasar Kajang.


Kaunter mendapat sambutan dari masyarakat setempat. Melaluinya Adun mendapat maklumat dan masalah yang dihadapi. Aduan-aduan Adun usahakan bagi mendapat penyelesaian. Sesungguhnya ianya merupakan salah satu mekanisme khidmat Adun terhadap rakyat sebagai Adun Kajang.

(Akan bersambung – Analisa aduan dan tindakan).

Sekian.

February 13, 2014

Isu Tradisi Di Kajang - Masalah Jalan & Lalu Lintas

-->
BBB, 12 Rabiul Akhir 1435 = 12 Februari 2014 (Rabu):

Isu besar yang timbul dalam satu-satu masa dapat mempengaruhi dan mengubah sokongan pengundi, jika ia melibatkan pada peringkat nasional boleh meruntuh sebuah kerajaan atau menghilangkan sokongan pengundi. Isu Dato` Seri Anwar dipukul dan dijil dan kemarahan rakyat terhadap Dr. Mahathir menyebabkan kemerosotan sokongan yang diterima oleh BN pada pilihanraya 1999 dan membuka ruang bertapaknya Pas, Keadilan di samping Dap di Selangor. Apabila Dr. Mahathir turun dari kepimpinan Negara dan mengamanahkan kapada penggantinga di bawah kepimpinan Dato` Seri Abdullah ada semacam harapan baru dari pimpinan Dato` Seri Abdullah Badawi yang disifatkan sebagai `Mr. Clean`, maka sokongan padu diberi kepadanya, maka Pas & Keadilan yang bertapak di Selangor pada 1999 tidak mendapat sebarang kerusi pada pilihanraya ke 11 (2004) di Selangor (kecuali Dap dua kerusi). Penulis sendiri yang pertama kali bertanding di Dun Bangi yang dipecahkan dari Dun Kajang (2004) turut kecundang. Kemerosotan sokongan terhadap Barisan Alternatif yang kemudian dikenali sebagai Pakatan Rakyat ini bukan saja berlaku di Selangor, tetapi menyeluruh pada peringkat Negara dan negeri. Isu-isu khusus boleh berlaku pada seseorang pemimpin yang boleh menjatuhkannya, misalnya rasuah dan sebagainya.


Berhubung dengan isu juga diberi sokongan atau tidak terhadap seorang calon, kekal atau tidaknya sebagai pemimpin atau wakil rakyat bergantung pada kebijaksanaan mengendali dan menyelesaikan isu-isu setempat dan semasa yang dihadapi. Rakyat juga berpeluang mengambil peluang mengemukakan masalah dan isu kepada pemimpin yang bertanding menurunkan projek, bantuan dan penyelesaian bagi isu-isu yang dihadapi. Masa kempen pilihanraya ini dikatakan sebagai `Durian Runtuh` yang patut diambil kesempatan oleh rakyat setempat membuat aduan dan tuntutan.


Semua Dun dan juga parlimen mempunyai masalah sendiri yang setengahnya sebagai masalah tradisi. Masalah-masalah tradisi yang dihadapi di Kajang dan releven hingga kini ialah masalah jalanraya dan lalulintas. Masalah bukan setakat rosak, tetapi, pada masa Penulis menjadi Adun Kajang ada masalah lebih besar dari itu. Menjelang tahun 2,000 Kajang mulai membangun dengan adanya KLIA dan adanya jalan Plus. Kajang turut membangun, walaupun belum ada Putrajaya pada masa itu. Tapi ia mula berkembang sebagai pusat pengajian, pentadbiran dan komersil. Jalan lama dari Kuala Lumpur-Cheras-Kajang didapati terlampau sempit dan perlu diperluas kepada jalan 3 lane. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang, jalan KL-Cheras-Kajang dalam peningkatan di bawah Syarikat Grand Saga. Penulis banyak menerima aduan dari pengambilan tanah yang tidak sepadan dengan pampasan. Sebahagian menjadi setinggan di Bukit Dukung, kerana tiada tapak untuk mendirikan rumah. Pampasan yang diberi tidak cukup untuk membeli tanah atau rumah. Rundingan sering dibuat dengan Grand Saga tentang nasib mereka. Kalangan setinggan Bukit Dukung sering membuat aduan tentang air yang sering terputus, rumah mereka yang tidak selesa.


Grand Saga mendirikan dua tol di Batu Sembilan dan 10. Tol yang asalnya 10 & 20 sen dinaikkan kepada 20 & 30 sen. Bagi pihak rakyat kami sering membantah dan menunjuk perasaan dengan penduduk setempat dan parti politik. Namun dari masa ke masa toll terus naik kepada 30 & 50 dan akhirnya meningkat kepada RM1.00 dan lebih. Banyak kali tunjuk perasaan terpaksa diadakan. Kini toll Batu 9 telah ditutup.

Selain daripada untuk mengurangkan kesesakan jalanraya Semenyih Kajang dirancang jalan alternative di bawah Syarikat Silk. Masalah yang Penulis selaku Adun terpaksa hadapi dan runding ialah jalan Silk ini mengasingkan Kajang Utama. Kami bersama penduduk menuntut supaya diadakan fly-over atau terowong antara Kajang Utama ke Kajang. Jenuh kami menunujuk perasaan. Samy Vellu Menteri Kerjaraya pada masa itu berjanji mau mengadakan fly-over sebelum pilihanraya ke 12 yang lepas, tetapi hingga kini masih belum menjadi kenyataan – masih dalam perancangan. Pihak Silk juga bercadang untuk mendirikan tol dekat Kajang Utama. Kami membantah, sudahlah penduduk terpaksa membuat U-Turn berpuluh km. kena bayar tol. Tuntutan kami berjaya di mana tol dibuat jauh hingga tidak dikenakan tol kepada penduduk Kajang Utama. Pada masa Penulis menjadi Adun Kajang juga pihak kerajaan mau mengambil tanah penduduk di Simpang Balak untuk meningkatkan taraf lingkaran jalan ke jalan-jalan lain. Kami terpaksa menunjuk perasaan dan menuntut dibayar pampasan lebih tinggi kepada pemilik-pemilik tanah yang diambil.


Semasa menjadi Adun Kajang juga perumahan di Sungai Long, Taman Rakan dan Taman Mahkota sedang dibuka. Jalan masuk ke kawasan ini amat bermasalah, Bereselut dan banjir lumpur. Terpaksa berterusan berurusan dengan pihak pemaju sebelum jalan dibina secara lebih selesa.

Masalah jalan tradisi antara Kajang dengan Pekan Bangi juga menjadi isu yang berpanjangan. Jalan ke Pekan Bangi adalah bengkang bengkok – Jalan zaman sebelum perang. Cadangan agar dilebarkan jalan berkenaan telah dibuat dan dapat diperluas secara sedikit-sedikit. Kini jalan ini baru dalam proses pembesaran. Jalan Reko ke UKM juga telah diperluaskan.

Masalah lalu lintas di Bandar Kajang sebagai tiada penghujungnya. Bandar Kajang yang kecil dan sempit itu tidak dapat menampung kemasukan kenderaan yang banyak dan ketidakcukupan tempat parking. Pernah Penulis sebagai Adun mencadangkan di Dewan Negeri Selangor agar didirikan bangunan untuk parking, tetapi hingga sekarang tiada bangunan sedemikian.

Kajang sebenarnya di dalam dilemma antara untuk menarik pengunjung dan pelancong berkunjung ke Bandar Kajang, terutama untuk menikmati sate dan antara orang ramai berusaha untuk lari dari memasuki Bandar Kajang, kerana takut terperangkap di dalam masalah lalu lintas. Bagi yang berminat bertanding menjadi Wakil Rakyat Kajang perlu beri perhatian terhadap masalah lalu-lintas di Kajang.

Sekian.

February 12, 2014

Turun Padang Di Kajang, Kempen Pilihanraya

-->
BBB, 11 Rabiul Akhir 1435 = 11 Februari 2014 (Selasa):

`Turun Padang` menjadi istilah popular sebagai `tindakerja` bagi satu-satu badan, persatuan atau organisasi melakukan kegiatan dan tumpuan melibatkan akar-umbi dan berusaha mentransformasikan mereka kepada objektif-objektif yang disasarkan.
`Turun Padang` digunakan juga di dalam agenda-agenda politik. Misalnya untuk memperkenalkan diri seseorang calon pilihanraya atau seseorang Adun yang dipilih dalam rangka berkhidmat kepada rakyat yang memilihnya, maka ia hendaklah
`Turun Padang` bersama rakyat.

Bagi seseorang calon yang dipilih di dalam pilihanraya, contoh PRK Kajang, menurut peraturan dia hanya boleh berkempen selepas hari penamaan calon. Ini tidak bererti dia tidak boleh melawat ke kawasan-kawasan yang ditandinginya. Bagi Dun Kajang hari penamaan calon ialah pada 11 Mac 2014 dan hari mengundi ialah pada 23 Mac 2014. Ini bermakna calon dan jentera parti dapat `turun padang` hanya selama 12 hari sahaja. Masa ini amat pendek dan tidak berkesempatan menziarah tempat-tempat dan pengundi-pengundi di dalam Dun Kajang. Untuk mengunjungi semua tempat dan menemui sebanyak pengundi calon terpaksa bergerak dengan jadual yang padat dan tepat sebagaimana yang disusunkan yang melibatkan 16 lokaliti bagi Dun Kajang kini. Dalam masa tersebut calon tiada masa – kecuali untuk rehat dan tidur, untuk memulihkan tenaga dan kempen seterusnya. Sebab itu seorang calon seharusnya seorang yang sihat, bertenaga dan bersemangat bagi `turun padang`. Tiada rehat baginya dalam kata sebenarnya. Andainya dia menang, maka akan diikuti dengan majlis-majlis kesyukuran yang bertalian yang menuntut darinya kecekalan dan hendaklah terus menunjukkan mood yang baik dan terus `tersenyum` walaupun sebenarnya dalam keadaan keletihan.


Penulis sendiri pernah melalui suasana kempen pilihanraya yang Penulis sendiri sebagai calon sebanyak tiga kali dan merasa sendiri betapa ketat jadual dan berkejar-kejar memenuhi program yang diaturkan. Sebagai contoh bagi pilihanraya ke 10 Dun Kajang (1999). Hari penamaan calon ialah pada 20 November 1999 dan hari mengundi ialah pada 29 November 1999. Ertinya tempoh diberi untuk berkempen ialah selama 9 hari sahaja. Kawasan bagi Dun Kajang pada masa itu adalah dua kali ganda dari kawasan Kajang sekarang, iaitu semua kawasan Dun Kajang sekarang campur dengan seluruh kawasan Dun Bangi sekarang ditambah dengan beberapa kawasan yang tidak termasuk di dalam Dun Kajang dan Bangi Sekarang seperti Bandar Teknologi, Sungai Long, Taman Rakan, sebahagian dari Sungai Jeluk dan Kampung Baru, Semenyih. Bayangkan di dalam masa sembilan hari terpaksa melawat dan menemui penduduk dilokasi-lokasi berkenaan. Penulis sebagai calon yang dipilih agak mengejut mengakui tidak begitu biasa dengan kebanyakan tempat-tempat berkenaan. Selama menjadi pensyarah di UKM dan tinggal di Bandar Baru Bangi, tempat yang Penulis kenali dan biasa pergi selama ini ialah Bandar Kajang dan tidak begitu biasa dengan tempat-tempat yang menjadi lokaliti bagi Dun Kajang pada masa itu. Jadi Penulis bergantung 100% kepada jentera parti yang mengatur program dari satu tempat ke satu tempat. Sebagai gambaran program yang dilalui sembilan hari (tidak merangkumi semua tempat, pergi ke tempat yang dijangka mendapat sokongan tinggi, manakala tempat lain dilawati oleh wakil-wakil):


20 November 1999 (Hari Penamaan Calon):
Pagi-pagi tiba di Masjid Kajang berpakaian baju Melayu sepasang berwarna samar lembut (kuning air) bersama penyokong (Pengiring-pengiring diri bergilir-gilir antaranya saudara Ahmad Sulaiman, Amir Udin, saudara Shukor Atan,, saudara Azemi Ahmad, Amir Othman, Abdullah dll.). Solat hajat. 8.30 pagi bergerak bersama-sama penyokong Pas dan Alternatif berjumlah 3,000 pengiring menuju ke Dewan Bandaran Kajang sambil bersolawat. Mendaftar sebagai calon Pas - Penulis bagi Dun Kajang lawan Choong Tow Chong (MCA-BN), Dr. Mohd Nor Nawawi Keadilan bagi Parlimen Hulu Langat lawan Badrul Hisham (UMNO-BN). Calon lain ialah Cikgu Haji Fadhil Pas Dun Dusun Tua dan Haji Zainuddin Lapoh Pas Dun Beranang. Ada bantahan tapi ditolak. Jam 2.30 diumumkan semua layak bertanding. Ke Masjid solat Zohor dan ke Dewan MPKj menerima taklimat dari pegawai plihanraya. Makan tengahari dan pulang rehat. Malam keluar ziarah UPU Cheras, Sungai Sekamat dan Taman Mesra. Pulang jam 2.00 pagi (Rumah dikawal setiap malam diketuai saudara Abdullah dari Unit Amal).

21 November 1999
Pagi bersenam dan bersiap ke Pasar Tani di PKNS bertemu masyarakat, diikuti ke Pasar di Jalan Reko. Balik rehat.
Petang ke Taman Perumahan dekat Simpang Balak jemputan kahwin di sini dan ke
jemputan perkahwinan lagi di Taman Sikamat. Pulang rehat.
Malam ke Surau al-Kauthar solat Maghrib, bertemu jamaah dan Isyak di Taman Mesra berjamaah bercakap dengan jamaah.
Ceramah di Taman Sikamat dan di Cheras.
Melawat UPU Cheras, Taman Sikamat dan Seksyen 4 Tambahan Bandar Baru Bangi.

22 November 1999.
Keluar ke Pasar Jalan Reko bertemu pengundi-pengundi.
Ke UKM bersama Imam Kamaruddin bertemu pegawai-pegawai UKM di Pusanika. Ke beberapa jabatan termasuk Jabatan Persuratan Melayu (Jabatan Penulis berkhidmat sebelumnya). Pulang rehat.
Petang ke perumahan setinggan Jalan Reko yang berlaku kebakaran.
Petang ke Markas di Kajang. Solat Maghrib di Kampung Muhibbah dan isyak di Surau Saujana Impian, baca Yasin Nisfu Sya`ban. Pulang ke Jalan 6, BBB ada tahlil. Kemudian ceramah di Bukit Mewah, ke Cheras ada tahlil aruah berikutnya ke UPU Cheras. Perjalanan pulang singgah di Seri Intan menemui gerakerja UPU – Tiba di rumah jam 2.00 pagi.

23 November 1999
Pagi ke Jabatan Persuratan Melayu bincang Tesis pelajar Ijazah Sarjana (Sdr. Azhar Wahid – Tugas menyelia beberapa pelajar terpaksa diteruskan) bersama ko-Penyelia Dr. Salehah Ishak.
Ke Kantin Pejabat Daerah Hulu Langat di Bangi jumpa pengundi-pengundi. Pulang rehat.
Selepas Zohor ke Pejabat Persatuan Penjaja-Penjaja Cina di Temani Cikgu Lee Kim Sin dan petang rayu undi di Pasaraya Warta BBB.
Maghrib imam di Surau Istiqamah. Berkejar ke Pasar Malam Jalan Reko dan ke Ceramah Kelompok di Taman Tenaga, ke Taman Mesra dan Taman Melor. 12.30 malam pulang.

24 November 1999
Makan pagi di Gerai dekat Masjid Kajang dan kempen kepada pengundi-pengundi.
Kemudian kempen di Pasar Kajang.

Selepas zohor gempur kempen di Bandar Kajang sepenuhnya bersama Keadilan dan DAP. Tamat jam 5.00 ptg.
Malam Solat Maghrib di Surau al-Sabah dan ke Kg. Baharu Semenyih berkempen di sana. Pulang jumpa Ustaz Hassan Shukri datang ke Markas al-Mawaddah BBB, kemudian ke Kg. Sentosa, Belakang Tabung Haji, Kajang. Kemudian melawat ke UPU Seri Jenaris. Jam 12.00 malam pulang ke Markas dan dihantar ke rumah.

25 November 1999.
Pagi keluar ke Metro Inn dengan pembantu-pembantu kempen ke tengahari.
Petang ke Markas Al-Mawaddah.
3.00 Ke Kajang perbincangan dengan persatuan Penjaja-Penjaja Cina.
Ke Sikamat Maghrib dan solat sunat hajat.
Berjumpa dengan pekerja-pekerja estate India di Sikamat – Masalah perumahan.
Pulang sertai majlis pertemuan di Fasa 4, Bandar Bandar Baru Bangi. Pulang ke Markas al-Mawaddah dan dihantar pulang ke rumah.

26 November 1999.
Keluar kempen bertemu pengundi di Pasaraya Econsave dan Pasaraya Ocean dan Pasaraya Billion yang semuanya di Bandar Kajang. Pulang rehat.
3.00 petang ke Masjid Kajang solat  Asar. Pulang ke Markas al-Mawaddah.
Malam dibawa kempen ke Taman Teknologi, kemudian dibawa ke Broga (ramai pengundi Cina Kajang di sana). Kembali ke Kajang kempen bersama DAP. Ke Taman Jenaris dan pulang ke Jalan 6, BBB dan ke Teras Jernang.

27 November 1999
Pagi berkonvoi turun ke Jalan Bukit Mewah Kajang berkempen di kedai-kedai di sana. Pulang ke MTD dan Kenduri Kahwin di Seksyen Satu BBB.
Petang bergerak ke Sungai Jeluk, kemudian ke Persatuan Kelab Sen Yee di Jalan Mandeling, Kajang. Berbincang dengan ahli. Kemudian ke Sungai Jeluk, kempen rumah ke rumah bersama muslimat. Pulang ke Markas MTD.
Maghrib di Surau al-Falah jalan 6 BBB dan Isyak di Surau al-Ehsan.
Keluar secara konvoi ke Kajang bertemu pengundi di Jalan Reko, kedai Sate di Pusat
Bandar Kajang dan ke Sungai Jeluk.

28 November 1999
8.00 Pagi dibawa ke Kajang gerakgempur peringkat akhir kerjasama dengan Dap. Tumpuan di Pasar Kajang. Buka kaunter, sebar pamflit dan bergerak dari satu gerai ke satu gerai bertemu peniaga dan pembeli. 11.00 di Pasar Bandar Baru Bangi bertemu peniaga dan pembeli, kemudian ke Cheras hadir jemputan kahwin sambil kempen. Zohor di surau di Cheras. Pulang ke MTD dan dihantar ke rumah rehat.

Solat Asar dan ke Taman Mesra, berjumpa dengan masyarakat India bekas pekerja Golden Hope. Kempen di Kajang Jaya ke Pasar Pekan sehari. Solat maghrib di Fasa 4 Tambahan serta solat hajat. Ke Pekan Sehari West Country dan malam berceramah terakhir di Fasa 4 Tambahan.

29 November 1999
Hari Mengundi Pilihanraya ke 10. Keluar ke MTD pakai bush jacket bersama isteri dan berarak ke Sekolah Rendah Kebangsaan Jalan Dua membuang undi bersama isteri.
Selepas itu melawat pusat-pusat mengundi bermula dari Sekolah Rendah BBB ke Kajang melawat tempat mengundi Taman Mesra, Taman Sikamat, Cheras Utara, Sekolah Rendah Jalan Semenyih, ke Kg. Baru Semenyih – Pulang singgah di Sekolah Convent, Sekolah Jalan Bukit. Pulang melawat Pusat Mengundi West Country, Sekolah Kebangsaan Jalan 6 dan Sekolah Menengah Kebangsaan BBB. Pulang mandi & solat dan ke MTD.

Melawat kali kedua mula-mula ke Sekolah Convent, Sekolah Jalan Bukit dan pulang ke West Country, Jln. 6, Sekolah Rendah & Menegah BBB.
Malam ke Dewan bandaran Kajang tunggu keputusan. 1.30 pagi baru diumumkan menang dengan majority tipis – iaitu 37 undi syukur al-Hamdulillah.

Sebenarnya dalam tempoh 9 hari tidak semua tempat dihadiri. Dalam 9 hari beri priority tempat yang dijangka tinggi sokongan, tapi di tempat-tempat lain telah dibuat lawatan sebelumnya. Kita tidak membuat lawatan ke Sungai Chua atau Pekan Bangi yang kita jangka pada masa itu kurang mendapar sokongan- diawasi oleh wakil-wakil. Lawatan telah dibuat sebelum dari tempoh kempen lagi. Misalnya Jamuan Makan Malam dihadiri oleh pemimpin-pemimpin tertinggi parti-parti dalam Alternatif. Sebelumnya juga banyak diadakan ceramah kelompok di seluruh tempat.

Pendekatan mungkin ada perbedaan antara satu Dun dengan Dun yang lain. Tetapi itulah mekanisme gerakerja dalam tempoh kempen pilihanraya. Yang penting ialah berusaha mendapat sokongan pengundi. Tempat-tempat utama diberi perhatian ialah tempat himpunan dan ramai pengundi seperti Pasar Kajang, pasar-pasar biasa, pasar-pasar malam dan pasar-pasaraya, kelab-kelab persatuan, majlis-majlis perkahwinan dan kedai-kedai.

Namun pilihanraya kecil secara berasingan seperti Kajang kini, tentulah berlainan, kerana banyak jentera parti dan pemimpin-pemimpin parti datang tertumpu pada satu kawasan. Sudah tentulah Kajang menghadapi kempen pilihanraya yang senget, tapi kita percaya pengundi-pengundi Kajang yang bijaksana akan mengundi secara bijaksana dan menghasilkan keputusan yang meyakinkan.

Sekian.

February 11, 2014

Mau Jadi Wakil Rakyat Perlu Dikenali Rakyat Setempat. Optimis Di Kajang

-->
BBB, 10 Rabiul Akhir 1435 = 10 Februari 2014 (Isnin):

 (Penulis Mantan Adun Kajang 1999-2004 & Adun Bangi 2008-2013)

Semestinya jika mau jadi Wakil Rakyat perlu dikenali oleh rakyat setempat, di samping keperluan-keperluan yang lain sebagaimana disyaratkan oleh Suruhanjaya Pilihanraya (SPR). Maksud `dikenali` di sini bukan setakat terkenal, tetapi mempunyai kelayakan, wibawa, ketokohan, misi dan visi yang menarik pengundi memberi sokongan kepadanya. Untuk menjadi Wakil Rakyat tidak boleh dilakukan secara perseorangan atau sekelompok kecil, kerana ia melibatkan kerja yang banyak yang memerlukan tenaga dan kewangan bagi menggerakkan kerja kempen bagi memperkenalkan calon bagi menarik sokongan.
Menjadi Wakil Rakyat berkait dengan kerja pentadbiran, pemerintahan dan perkhidmatan pada peringkat Dun yang dimenangi, peringkat daerah, peringkat negeri (Dewan Undangan Negeri), bahkan pada peringkat Persekutuan, jika ia jadi ahli Parlimen. Sebab itu untuk menjadi Wakil Rakyat seharusnya melalui organisasi yang dikenali dengan `parti`. Parti adalah sebuah organisasi berhiraki pentadbiran yang ada pemimpin tertinggi dan AJK pada peringkat pusat, negeri, kawasan dan Dun. Pihak parti akan memilih sesiapa yang layak bertanding di dalam pilihanraya pada peringkat Parlimen dan DUN. Dengan organisasi sedemikian dan juga kerjasama antara organisasi (parti) memungkinkan seseorang Wakil Rakyat yang menang dipilih sebagai pentadbir/pemerintah pada peringkat Negara, negeri, kawasan atau sebagai wakil rakyat biasa.


Dalam hal ini sukar bagi orang perseorangan tanpa organisasi untuk bertanding menjadi Wakil Rakyat tanpa organisasi bagi menggerakkan jentera kempen dan pentadbiran. Dalam hal ini ada advantagenya bagi seseorang calon tempatan yang mau menjadi Wakil Rakyat setempat yang ada tokoh dan kebolehan, kerana ianya sudah dikenali. Walaupun begitu setakat dikenali rakyat tempatan tanpa organisasi yang bertanding katakan atas nama `Bebas` tidak mudah mendapat mendapat sokongan dari pengundi dan pada kebiasaannya akan kalah – Kecuali kes-kes tertentu seperti Cikgu Jabar di Batu Laut, Kuala Langat yang bertahan beberapa penggal kerana popularitynya di kalangan masyarakat setempat.


Merujuk kepada PRK Dun Kajang yang akan diadakan pada 23 Mac 2014, calon PKR dari PR Dato` Seri Anwar Ibrahim adalah tokoh politik terkenal yang sudah dikenali pada peringkat internasional, nasional, negeri dan setempat. Dengan kedudukannya memasalahkan pihak lawan terutama dari pihak BN, dijangka dari MCA untuk menampilkan calon yang kalau boleh lebih wibawa dari Dato` Seri Anwar Ibrahim. Kita berpendapat amatlah sukar bagi BN-MCA untuk mencari status calon yang mengatasi wibawa atau sekurang-kurangnya setara dengan Dato` Seri Anwar Ibrahim. Kata-kata dari pimpinan MCA Dato` Liow Tiong Lai Presiden MCA bahawa MCA akan mengenengahkan calon tempatan – 3 nama untuk dipilih bertanding bagi pihak BN lebih bersifat psikologi untuk meyakinkan diri dan orang ramai, khususnya pengundi. Faktor calon tempatan, memang ada kelebihan, tetapi kelebihan sebagai calon tempatan tidak bermakna apa-apa jika aspek ketokohan, kewibawaan dan kepimpinan tidak menonjol. Namun kita menunggu calon yang akan dikemukakan. Kesukaran juga dihadapi oleh mana-mana organisasi atau individu yang mau turut bertanding, jika ada mungkin boleh disifatkan sebagai `kacau daun` dan mengambil kesempatan mencari popularity `semasa` dan tidak akan ke mana-mana.


Bila pilihanraya, termasuk di Kajang jentera pilihanraya parti dan pakatan bersama mestilah bergerak, walaupun calon sudah dikenali. Calon yang lebih awal diumum ada masalah juga, kerana selain dari kebaikan banyak masa dan peluang bagi musuh politik memperkatakan tentang kelemahan calon baik tentang diri dan peribadi calon, hubungannya dengan pentadbiran, krisis yang ada hubungan dengannya, kenyataan-kenyataan yang bercanggah dikeluarkannya dan sebagai yang menjadi senjata bagi musuh menyerangnya. Sebaliknya calon baru yang diperkenalkan ada advantagenya, kerana banyak kelemahannya tidak dan belum diketahui di mana kebaikan dan kebolehannya ditonjolkan. Walau bagaimana kelemahan bagi calon baru ditonjolkan, ialah ketiadaan kesempatan baginya untuk menjelajah dan menziarah untuk memperkenalkan diri, walaupun ada mekanisme parti memperkenalkan diri, tapi tak sama yang sudah dikenali dan yang telah popular di tengah masyarakat.

Kempen bagi Dato` Seri Anwar calon di Kajang, sebagai Ketua Umum PKR sudah tentu jentera pilihanraya dari peringkat Negara, negeri dan tempatan akan turun berkempen baginya. Sebenarnya PKR sudah mempunyai jentera yang cukup untuk berkempen baginya. Namun sebagai melahirkan solidarity di dalam PR jentera-jentera dari berbagai parti di dalam PR akan turun sebagaimana dijanjikan, bahkan telah dilantik. Satu kelebihan bagi Dato` Seri Anwar, di dalam kawasan Dun Kajang yang dia bertanding ada empat tokoh individu mantan dan Wakil-Wakil Rakyat semasa terkenal yang boleh menggerakkan sokongan padu rakyat, iaitu Mantan Adun Kajang Cikgu Lee Kim Sin. Sebagai Mantan Adun Kajang terbaru dan Bekas Adun PKR dia boleh menggerakkan penyokong bekerja untuk memastikan kemenangan bagi Dato` Seri Anwar.  Tokoh kedua ialah Y.B. Dr. Che` Rusli Che` Mat Ahli Parlimen Hulu Langat yang Kajang adalah Dun di bawah Hulu Langat. Dia boleh menggunakan jentera dan pengaruhnya bagi mendapat sokongan dan tenaga bekerja. Tokoh ketiga ialah Y.B.Tuan Haji Razali Hassan Adun Dusun Tua yang tinggal di kawasan Dun Kajang – Batu 10. Dia juga adalah YDP Pas Hulu Langat boleh menggerakkan jentera dan penyokong-penyokongnya membantu memenangkan Dato` Seri Anwar. Tokoh keempat ialah Y.B. Khairuddin bin Haji Othman Adun Paya Jaras yang kediaman asalnya di Sungai Kantan di bawah Dun Kajang dapat sama menggunakan pengaruhnya, apalagi beliau adalah Setiausaha Pas Negeri Selangor.


Dilihat kepada jentera-jentera parti dari dalam PKR, di dalam PR, dari tokoh-tokoh berpengaruh tempatan, dari kawasan, negeri dan Negara amat besar. Ini sudah tentulah menggerunkan lawan. Bertdasrkan perkiraan di atas dengan isu-isu yang banyak dapat ditonjolkan kepada pengundi-pengundi, kita amat optimis bahawa PKR secara khusus dan PR secara umum dapat mempertahan, bahkan meningkatkan sokongan pengundi di Dun Kajang. Insya Allah.
Sekian.

February 10, 2014

Sokongan Antara Kaum Penting Bagi Memenangi Pilihanraya: Contoh PRK Kajang - 29 November 1999

-->
BBB, 09 Rabiul Akhir 1435 = 09 Februari 2014 (Sabtu):

(Oleh: Mantan Adun Kajang 1999-2004)

Sokongan berbagai kaum amatlah penting dalam pilihanraya, khususnya bagi kebanyakan Dun Selangor yang bersifat multirasial, lebih-lebih lagi bagi Dun Kajang yang jumlah pengundinya berimbang antara kaum. Kalau kita melihat kepada keputusan pilihanraya 1995 dalam mana pada masa itu tiada sebarang pakatan antara parti-parti selain dari BN, maka BN yang terdiri dari komponen kaum-kaum menguasai kerusi Dewan Undangan Negeri Selangor yang berjumlah 48 kerusi dalam mana BN menguasai 45 kerusi dan Dap yang mendapat sokongan kaum Cina memenangi 3 kerusi, sedangkan Pas, Semangat 46 dan Bebas yang mengharapkan sokongan kaum Melayu (Pas dan S46) tidak mendapat sebarang kerusi. Pada peringkat parlimen bagi negeri Selangor semua kerusi (17) dikuasai oleh BN.


Perubahan sokongan mulai berlaku pada pilihanraya ke 10 (29 Nov.) pada tahun 1999. Perubahan sokongan yang mengatasi persoalan kaum disebabkan oleh beberapa faktor, iaitu:
Isu Dato` Seri Anwar Ibrahim yang dipecat dari jawatan Timbalan Perdana Menteri, dipukul dan dipenjara, menarik simpati dari semua kaum menyokong parti lawan bagi BN. Rakyat juga tidak menyenangi terhadap pimpinan tertinggi Negara yang menyebabkan berlakunya penganiayaan terhadap Dato` Seri Anwar yang telah memerintah begitu lama. Sentimen dari isu Dato` Seri Anwar menyatukan parti-parti pembangkang dan pemimpin-pemimpin yang terdiri dari Dato` Fadzil Nor Presiden Pas, Datin Seri Wan Azizah Presiden Keadilan, Lim Kit Siang Pemimpin dari Dap dan Prof. Dr. Syed Husin Ali dari Parti Rakyat bersatu di dalam satu wadah yang dikenali pada masa itu `Barisan Alternatif. Meskipun BN masih menguasai pemerintahan di negeri Selangor, benteng perkauman mulai pecah dan sokongan diberi oleh berbagai kaum terhadap parti `Barisan Alternatif`. BN masih menguasai semua kerusi parlimen di Selangor, iaitu 17 kerusi, manakala bagi kerusi Dewan Undangan Negeri berjumlah 48 buah dikuasai oleh BN sebanyak 42 kerusi, Pas menguasai 4 kerusi (Kajang, Air Tawar, Gombak Setia dan Sungai Burung)
Dap menguasai Sungai Pinang dan Keadilan Menguasai Hulu Kelang.
Jelas Barisan Alternatif mendapat ruang kemenangan oleh kerana adanya isu besar yang berkait dengan Dato` Seri Anwar, adanya kesepakatan pembangkang dalam kesatuan yang dikenali dengan Barisan Alternatif dan adanya gerakerja yang diselaraskan.

Kajang Dun Pertama yang mendapat sokongan dari berbagai kaum. Perlu diingat Dun Kajang pada masa itu lebih luas dari Dun Kajang sekarang, selain dari kawasan Dun Kajang kini termasuk di bawah Dun Kajang juga seluruh kawasan Bangi sekarang dengan tambahan lagi ialah Sungai Long, Taman Rakan, Suntax, sebahagian dari Sungai Jeluk, Taman Teknologi dan Kampung Baharu Semenyih. Dun Kajang pada masa itu sekaliganda luasnya dari Dun Kajang sekarang. Namun jumlah pengundi pada masa itu masih belum ramai iaitu seramai 29,360 orang. Sokongan utama tentulah dari pimpinan Pas di Hulu Langat pada masa itu Dr. Che` Rusli Che` Mat yang merupakan YDP Pas Hulu Langat dan Timbalannya Dr. Hamirdin Ithnin (Beliau memangku YDP apabila Dr. Che` Rusli bertanding di Perlis), Dewan Pemuda, Muslimat, ketua-ketua cawangan MTD dan jentera pilihanraya. Pada masa itu kaum-kaum lain daripada Melayu turut membantu berkempen. Di Kajang dipimpin oleh Cikgu Lee Kim Sin yang mengetuai badan NGO bersama kumpulannya sering bersama Penulis selaku calon Pas di Kajang pada tahun 1999. Antara yang membantu dari kalangan orang Cina di Kajang seperti En. Ah sen, En. Chee, En.Chew Kwan Bee, En. Foo (Dap). Ketua yang membantu di Pasar Kajang ialah En. Low dan kawan-kawan di pasar. Dari Semenyih En. Gan Boon Chong, Jong Poh, En. Lai, En Liaw Kon Loong, En. Tan (Serdang). Di Semenyih ada sekumpulan veteran diketuai En. Lee dengan lebih kurang sepuluh penyokong sering membantu kempen di Kg. Baru Semenyih dan Penulis sering melawat Pejabat Dap yang agak uzur dan membuat kegiatan di sini.


Dari kalangan orang India kita mendapat sokongan daripada seperti En. Arutchelvan (PSM), Cik Kohila (JERIT) dan kawan-kawan, M.Sivam, Balasubramaniam, En. Dhama, Bharathi Thasan, En. Mega, En Kumar, En. Hari Krishnan, Poobalan dan Sollamuthu dan lain-lain.


Sokongan terutama dari AJK Parti serta penyokong-penyokong dan sokongan antara kaum dan ketua-ketua pemimpin setempat memberi kemenangan dan pertama kali memecah rekod seorang calon Pas bertanding di kawasan majoriti berimbang antara kaum memenangi kerusi Dun Selangor - Kajang, walaupun dengan majorit undi yang agak kecil (37) undi.

Peratusan pengundi:

Melayu  54.21
China     33.67
India      12.02
Lain           .10

Keputusan pengundian adalah sebagaimana berikut:

Jumlah pengundi     29,360
Keluar mengundi     21,807  = 75.6%

Undi Dr. Shafie Abu Bakar (Pas)           10,922
Undi Choong Tow Chong (MCA-BN)   10,885

Majoriti                                                          37


Kemenangan yang dicapai oleh Pas di Selangor, khususnya di Kajang ialah kerana adanya sokongan dan kerjasama antara parti dalam barisan Alternatif, sokongan dari pengundi yang berbagai kaum dan ada isu besar yang mampu menarik sokongan rakyat.


Apakah faktor-faktor sokongan seperti di atas wujud di dalam Pilihanraya Kecil Kajang pada 23 Mac 2014 nanti ?  Kerjasama di dalam PR memang wujud, tapi perlu diperkukuh. Adapun isu-isu adalah banyak antaranya seperti kenaikan harga barang, keamanan yang hilang dan pendapatan yang makin berkurang – Apakah ianya dapat menarik sokongan dan menambah jumlah pengundi kepada PR ?

Sekian.

February 9, 2014

Dun Kajang Tidak Sama Dengan Kawasan Kajang

-->
BBB, 08 Rabiul Akhir 1435 = 08 Februari 2014 (Sabtu):

(Penulis adalah Mantan Adun Kajang 1999-2004).

Kajang kini menjadi tumpuan perhatian dan fokus berita oleh kerana akan diadakan pilihanraya kecil (DUN 25 Kajang) yang akan berlangsung pada 23 Mac 2014. PKR telah menamakan calonnya iaitu Dato` Seri Anwar Ibrahim Ketua Umum PKR dan Penasihat Ekonomi Negeri Selangor yang juga Ahli Parlimen Permatang Pauh, Penang.  Kini orang ramai dalam penantian untuk mengetahui siapakah bakal calon dari lawan utama dari BN yang dijangka dari MCA yang Kajang merupakan Dun tradisi bagi MCA bertanding. Dijangka ada lagi calon-calon akan bertanding mungkin atas nama bebas dan sebagainya.


DUN Kajang bukan bermakna seorang wakil rakyat yang dipilih mewakili Kajang keseluruhannya. Sebenarnya ada kekeliruan mengenai konsep Kajang sebagai `Kawasan Kajang`, Kajang sebagai `Majlis Perbandaran Kajang` dan Kajang sebagai `Dun Kajang`.
Kajang adalah sebelumnya merupakan satu `Pekan` dan kemudian dikenali sebagai `Bandar Kajang` di bawah Daerah Hulu Langat, termasuk kawasan Ampang.

Sebelum 1984 segala urusan `Majlis Daerah/Perbandaran` adalah terletak di bawah Daerah Hulu Langat yang dikenali sebagai `Majlis Daerah Hulu Langat – MDHL`. Istilah ini adalah tepat dengan kedudukan geografi, pekan/bandar dan lokaliti termasuk Ampang berada di bawah Hulu Langat. Kesemua kawasan berkenaan berada di bawah MDHL. Sesudah berlaku pertambahan penduduk, maka difikirkan perlu ditingkatkan Majlis Daerah Hulu Langat kepada Majlis Perbandaran. Sepatutnya Majlis Perbandaran ini dinamakan dengan Majlis Perbandaran Hulu Langat yang ada di bawahnya Kajang, Ampang, Semenyih, Balakong, Bangi, Dusun Tua dan Cheras. Tiap-tiap kawasan ini berpotensi meningkat maju dan menjadi kawasan perbandaran sendiri. Dua kawasan, iaitu Kajang dan Ampang layak dan dipertingkatkan kepada Majlis Perbandaran yang masih di bawah Daerah Hulu Langat. Seharusnya Kajang yang dikenali dengan `Perbandaran Kajang` merangkumi kawasan Bandar Kajang sebagaimana Ampang merangkumi Perbandaran Ampang. Namun Kajang mengambil fungsi `Perbandaran` sebagai `Perbandaran Hulu Langat` yang melibatkan kawasan yang luas, iaitu selain dari Ampang. Seharusnya Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) setakat Bandar Kajang dan yang lain dari Ampang seharusnya masih di bawah Majlis Daerah/Majlis Perbandaran Hulu Langat. Sekarang disebut Majlis Perbandaran Kajang, sebenarnya ianya tidak saja bermaksud Bandar Kajang, tetapi juga Semenyih, Balakong, Bangi, Dusun Tua dan Cheras yang pada hakikatnya bukan merupakan perbandaran Kajang. MPKj dengan kedudukannya adalah tidak tetap, lokaliti di dalamnya akan berubah andainya misalnya Bangi meningkat menjadi Majlis Perbandaran Bangi, demikianlah dengan bandar-bandar yang lain di dalam Daerah Hulu Langat.


Dalam keadaan sekarang bila berdepan dengan `Kajang` haruslah diteliti dan membezakan antara Hulu Langat, Perbandaran Kajang, Bandar Kajang dan Dun Kajang.
Hulu Langat sebagai Daerah merangkumi Ampang, Kajang, Bangi, Semenyih, Balakong, Dusun Tua, Cheras, Sungai Long, Bandar Seri Putera dan Bandar Bukit Mahkota.
Perbandaran Kajang merangkumi seluruh kawasan Daerah Hulu Langat, kecuali Ampang. Manakala Bandar Kajang adalah merangkumi kawasan Bandar Kajang, Sungai Chua, Taman Bukit Kajang, Bukit Mewah, Jalan Reko, Sungai Kantan, Sungai Sekamat, Taman Delima, Taman Mesra, Kajang Utama dan Taman Jasmin.

Menyebut tentang Dun Kajang bukan saja mengelirukan bahkan melucukan (kepentingan politik), lantaran ada kawasan Kajang tidak dimasukkan di dalam Dun Kajang dan ada kawasan di luar dari Dun Kajang dimasukkan ke dalam Dun Kajang. Contoh kawasan Kajang yang tidak dimasukkan ke dalam Dun Kajang ialah seperti Bukit Mewah, Taman Bukit Kajang, Kajang Baru, Taman Jasmin, Taman Jeluk dan sebagainya. Manakala kawasan yang di luar Kajang dimasukkan ke dalam Dun Kajang seperti Kampung Baru Semenyih (pilihanraya ke 10), Taman Teknologi (ke 10) dan Sungai Long (ke 10).

Bagi pilihanraya ke 13 dan bagi pilihanraya yang akan berlangsung pada 23 Mac 2014, kwasan-kawasan berikut adalah di bawah Dun Kajang, iaitu:
Kajang, Bandar Kajang, Taman Kajang Baharu, Sungai Chua 1, 2, 3, 4 dan 5, Taman Kota Cheras, Batu 10 Cheras, Sungai Sekamat, Saujana Impian, Taman Mesra, Sungai Kantan, Taman Delima dan Kantan Permai. Jumlah pengundi bagi pilihanraya pada 23 Mac ini ialah seramai 39,278. Sebenarnya bagi seluruh kawasan Kajang – termasuk yang tidak dimasukkan di bawah Dun Kajang, maka Kajang sebagai sebuah kawasan layak menjadi sebuah kawasan Parlimen.

Sekian.

February 8, 2014

Ziarah Menziarahi Yang Sakit Demi Masjid

-->
BBB, 06 Rabiul Akhir 1435 = 06 Februari 2014 (Khamis):

Pada jam 3.00 petang Khamis 23 Januari 2014, Kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm ke Lembaga Zakat Selangor (LZS) di Shah Alam yang dijangka diketuai oleh Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din dengan tujuan untuk berjumpa dengan Tan Sri Anuar Pengerusi Lembaga Zakat dan Wakaf Selangor. Pertemuan untuk membincangkan tentang dana pembinaan Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi. Setibanya kami di bangunan Pejabat LZS, kami dimaklumkan tentang keuzuran TG Dato` Dr. Haron Din dan beliau dimasukkan ke IJN pada hari itu. Walau bagaimana pertemuan diteruskan dengan Penulis sebagai Pengerusi dan AJK dan En. Izam bin Mohd. Yusof sebagai CEO LZS. Pertemuan disifatkan sebagai mesra dan memberi maklumat dan manfaat.


Berhubung dengan kemasukan TG Dato` Dr. Haron Din beberapa pihak telah menziarah TG termasuklah Tun Mahathir dan Tun Abdullah yang kedua-duanya Bekas Perdana Menteri Malaysia. Penulis bersama saudara Azemi dan saudara Azizi berkesempatan menziarah. Adalah difahamkan dua hari selepas kami menziarah TG Dato` Dr. Haron Din dibenarkan pulang ke rumah, selepas kepulangannya Tan Sri Anuar ibn al-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail sahabat baik TG telah turut menziarah TG Dato` Dr. Haron Din di rumahnya di Bandar Baru Bangi. Kunjungan ini sudah tentulah sebagai melahirkan rasa gembira dan syukur di atas kesihatan TG yang semakin pulih.


Hari ini Khamis jam 4.15 petang di luar dari jangkaan kami TG Dato` Dr. Haron Din yang baru saja pulih dari sakit sanggup datang dan Tan Sri Anuar pula sanggup memperuntukkan masa bagi kunjungi kami diketuai TG seolah sebagai ganti pertemuan tak jadi 23 Januari 2014 yang lepas. Pertemuan ialah di rumah kediaman Tan Sri Anuar. Rombongan kami bertolak jam 3.00 petang dengan Tuan Haji Mohd Nor Yassin Bendahari bersama Tuan Haji Suib Maulud Setiausaha, Haji Abdul Rahman AJK dan saudara Adham Setiausaha Kerja dalam sebuah kenderaan dan Penulis bersama saudara Azizi satu kenderaan, manakala TG. Dato` Dr. Haron Din bersama isteri dan anaknya saudara Hamdi dengan satu kenderaan. Ketibaan kami dalam masa hampir bersamaan ke rumah Tan Sri di Seksyen 16 Petaling Jaya itu disambut sendiri oleh Tan Sri Anuar, isteri dan anak menantunya. Dua kakitangan dari LZS juga turut hadir, iaitu Ustaz Farhan dan Ustaz Shukran.


Setelah berkenal dan diperkenal kami rombongan berbincang di meja mesyuarat. TG Dato` Dr. Haron Din memulakan perbincangan ringkas tujuan kehadiran dan berterima kasih di atas kesudian Tan Sri menerima rombongan. TG menyatakan hasrat kunjungan di samping Penulis menambah maklumat tentang pembinaan Masjid Al-Umm yang dalam progress itu. Rupanya Tan Sri telah meneliti dan membaca bahan-bahan berkenaan dengan Masjid Al-Umm yang telah dibekalkan sebelumnya. Jadi tidak banyak yang perlu kami – termasuk Haji Abdul Rahman Pengarah Projek memberi penerangan lanjut. Tan Sri menyebut ruang dan peluang untuk mendapatkan dana. Tan Sri berjanji untuk sama berusaha bagi mendapatkan sejumlah dana dan meminta kami menulis surat kepada pihak berkenaan yang akan disampaikan melalui Tan Sri.


Selain dari perbincangan secara licin dan tenang, Penulis sebenarnya tersentuh jiwa oleh beberapa perkara, iaitu komitmen TG Dato` Dr. Haron Din, selain dari beliau telah menyalurkan sejumlah RM1.52 juta kepada Masjid Al-Umm. Semasa TG sakit dan dikunjungi Penulis topic yang dibicarakan ialah perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm dan hari ini, sepatutnya TG masih berihat setelah baru keluar dari IJN, tetapi sanggup datang agak jauh mengetuai pertemuan dengan Tan Sri Anuar bagi membincangkan tentang Masjid Al-Umm.

Penulis juga tersentuh jiwa tentang kesudian Tan Sri Anuar Ibn Al-Marhum Tuanku Syed Putera Jamalullail Raja Perlis dan Bekas Yang Di Pertuan Agung dan isteri beliau Puteri Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah al-Marhum Sultan Selangor, Tan Sri selaku Pengerusi LZS dan Wakaf Selangor meletakkan dirinya sebagai orang biasa – Tan Sri dan isteri sendiri menerima TG sekeluarga dan kami dan menjemput kami ke dalam rumah. Suasana menunjukkan kehidupan mereka serba sederhana. Dinding rumah selain dari dihiasi gambar-gambar Al-Marhum Ayahanda dan Bonda ialah ayat-ayat suci – kelihatan bersifat Islamik. Tan Sri bercakap antaranya tentang LZS, masjid-masjid, antaranya yang diberi bantuan oleh LZS. Puteranya yang baru mendirikan rumah tangga berkelulusan Oxford dan lama tinggal di England itu turut sama bercakap dengan Penulis, terutama tentang bidang pengajian dan profession pekerjaannya.


Penulis terbayang dan terpandang dalam fikiran bahawa Masjid al-Umm insya Allah `Masjid al-Barakah` didirikan di atas dasar `Taqwa` yang setiap juzuk pembinaan adalah terdiri dari susunan keikhlasan jiwa semua pihak yang terlibat. Tan Sri Anuar sendiri dalam perbincangan sambil membilik-bilik buku perspektif berpuashati dengan bentuk binaan masjid, bahkan menyebutnya sebagai `Cantik`. Semua mengharapkan Masjid Al-Umm dibina menurut spesifikasi yang dirangka dan siap dalam tempoh yang dijangka.

Selepas perbincangan kami mendirikan solat asar berjamaah dengan diimami oleh Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din. Selepas itu kami beredar ke meja makan menikmati minuman petang dan terus berbincang dan bercakap mengenai berbagai-bagai topic – termasuk sekitaran tempat tinggal Tan Sri yang di bawah Bukit naik berbagai-bagai bangunan termasuk Ibu Pejabat Akhbar The Star di samping berbagai-bagai bangunan komersil. Menurut Tan Sri mereka sekeluarga menghuni di atas tanah dibeli dari PKNS itu sejak 40 tahun lepas lagi. Kediaman Tan Sri tidak jauh dari Bangunan Kolej Islam, Petaling Jaya yang pernah menjadi sebahagian dari bangunan UKM (Fakulti Islam) dan pernah juga menjadi Kampus UIA.


Majlis kunjungan dan perbincangan berakhir dengan penyampaian cenderahati dan ucapan terima kasih. Kami bertolak pulang jam 6.15 petang. Syukur kepada Allah semuanya berjalan lancar. Kunjungan kami amat berfaedah dan barakah – Insya Allah.

Sekian.