September 13, 2014

Konsep Persyarikatan Ilmu Bagi Memasyarakatkannya


BBB, 17 Zulkaedah 1435 = 12 September 2014 (Jumaat):
Bandar Baru Bangi terkenal dengan jolokan `Bangi Bandar Ilmu`, bererti penghuninya adalah orang-orang berilmu. Kalau demikian boleh ditanyakan mengapakah bersusah-susah untuk mengatur  program pengajian kepada mereka yang sudah pandai ? Memang penghuni di Bandar Baru Bangi adalah pada dasarnya orang-orang berilmu, ini bukan bererti  bersifat keseluruhan. Sebahagian adalah dalam  tahap tidak berilmu dan perlu mencari ilmu. Akan tetapi bagi yang sudah berilmu, itupun terhad kepada bidang masing-masing  juga  perlu mencari ilmu dengan meluaskankan bidang kepakarannya dan mencari keilmuan yang tidak dipelajari – contoh bidang keagamaan. Pencarian ilmu tidak berakhiran –  `Tuntutlah ilmu dari buaian ke liang lahad`, maksud Hadith yang mencerminkan  konsep,  menuntut ilmu sepanjang hayat di dalam Islam.
Di Bandar Baru Bangi – termasuklah di bawah kariah Masjid Al-Umm dapat dikategorikan masyarakatnya kepada tiga bahagian.
a)       Kalangan orang awam yang digalakkan mereka belajar dan mereka perlu dibawa sama di dalam pengajian di Masjid Al-Umm.
b)      Golongan berpengetahuan yang sedar dan mereka berminat menambahkan ilmu pengetahuan
c)       Golongan intelektual  dan  professional  yang  mendalam dalam bidang keilmuan masing-masing.
Di dalam pendekatan ilmu selama ini berlaku compartmental dan pengasingan di antara mereka yang disifatkan alim di dalam bidang agama dan yang tidak. Pengasingan ini juga melibatkan keilmuan yang dianggap Islam seperti fiqah, tauhid, tasawuf, tafsir, Hadith dan sebagainya, manakala bidang-bidang yang di luar dari agama dianggap bukan `keilmuan Islam`. Contoh geografi, sejarah,  perubatan, alam sekitar, permakanan, statistic, matematik dan sebagainya. Keilmuan sedemikian sebenarnya  tidak boleh dianggap bukan Islam, lantaran segala keilmuan yang benar tidak bercanggah dengan Islam  adalah keilmuan Islam dan patut dipelajari oleh orang Islam bagi keperluan hidup dan mati mereka dan tidak salah dipelajari hingga ke masjid. Pandangan yang memisahkan apa yang dikatakan ilmu agama dan bukan agama, memisahkan kalangan intelektual dan ulama. Pada hal pada zaman suburnya pengetahuan di dalam Islam, maka  tokoh-tokoh ilmuan  seperti  Al-Kindi, Al-Faradi,  Ibn Sina, Al.Biruni dan Al-Ghazali menguasai berbagai-bagai bidang ilmu yang kini disifatkan sebagai keilmuan agama dan bukan agama.
Walau bagaimana setengah keilmuan yang seharusnya bersifat neutral dipengaruhi oleh pandangan falsafah pendukung-pendukungnya. Contoh ilmu sosiologi, sejarah, politik dan sebagainya dipengaruhi oleh ideology dan falsafah pendudkung-pendukungnya, lantaran itu  ada kecurigaan terhadap setengah keilmuan. Pada  sekitar  1970an-1990an ada saranan  `Mengislamisasikan  Ilmu`. Memang usaha dilakukan, tetapi tiada kejayaan ketara. Adalah tidak jelas penubuhan universiti-universiti  yang dilabelkan dengan Islam,  dari kesedaran bagi mengislamisasikan ilmu atau sekadar melabelkan semata-mata. Isu berkenaan tidak dibangkitkan lagi.
Di dalam pendekatan pengajian di Masjid Al-Umm dan juga boleh diperluaskan di Bangi, kita tidak akan mengambil pendekatan mempertajamkan perbedaan antara bidang-bidang keilmuan Islam dan apa yang dikatakan bukan, sebaliknya akan mengamalkan `Persyarikatan Ilmu bagi  Memasyarakatkannya` dengan menganggap segala bidang ilmu, jika tidak bercanggah dengan Islam,  maka ia adalah juga bidang keilmuan Islam. Dalam Persyarikatan Ilmu yang melibatkan golongan intelektual, ulama dan professional akan sama terlibat dalam pengajaran dan bimbingan. Pengajaran  di dalam bidang yang selama ini dikategorikan sebagai bidang keislaman jati akan diberi penekanan di dalam bidang pengajian. Pengajian ini turut sama diikuti oleh para intelektual dan professional . Manakala para intelelektual  dan professional  pula diminta mengajar atau membimbing dengan keilmuan masing-masing dan berusaha dari segi  pendekatan menurut perspektif Islam. Bayangkan keilmuan seperti ekonomi rumahtangga, alam sekitar, permakanan, keluarga bahagia, Bank  Islam, kesihatan, halal-haram  dan berbagai lagi adalah keperluan hidup masyarakat ummah. Dengan pendekatan seperti ini.
a)      Meruntuhkan batas batas yang menyempitkan keilmuan yang dilabelkan dengan Islam kepada perspektif yang luas.
b)      Masjid menjadi institusi masyarakat yang membimbing umat hidup-mat i mereka  dengan keilmuan Islam
c)       Mendekatkan Pakar, intelektual dan professional dengan Islam, lantaran mereka mendekatkan keilmuan mereka dengan Islam.
d)      Mengubahkan kurikulum yang dikatakan `Pengajian Islam` yang  boleh disifatkan sebagai `kurang bergerak` kepada lebih terbuka dan cergas.
e)      Mengislamisasikan keilmuan dari perspektif Islam atau boleh disebut keislaman ilmu dalam keilmuan Islam.
f)       Memvariasikan pengajaran dan pembelajaran kepada yang lebih bersifat menarik
g)      Mendekatkanberbagai bidang keilmuan  menurut  perspektif Islam
h)      Menyuburkan daya kreatif dan inovatif di dalam pengajaran dan pembelajaran
i)        Masjid lebih menarik dan dihadiri semua lapisan masyarakat
j)        Lebih memberi  erti Masjid sebagai `Al-Umm  bagi keilmuan.

Sekian. 

September 12, 2014

Menunggu Masjid Al-Umm Siap Bangunan Membincangkan Pengisian


BBB, 16 Zulkaedah 1435 = 11 September (Khamis):
Sesuatu gagasan yang hendak dilaksanakan perlu mempunyai perancangan yang darinya menjadi panduan bagi menjayakan perancangan tersebut. Telah disebutkan bahawa rancangan mendirikan Masjid Al-Umm merupakan salah satu projek bagi  menjayakan gagasan yang dicetuskan pada tahun 2007 yang diungkapkan sebagai `Bangi Bandar Ilmu`. Al-hamdulillah rancangan ini menjadi reality, selepas projek ini benar-benar bergerak mulai 2012.


Dalam perancangan pembinaan Masjid Al-Umm, kami mempunyai  dua tahap perancangan, iaitu Pembinaan Fizikal Masjid Al-Umm dan Perancangan Pengisian. Semalam Khamis (10 September) separuh dari tempoh pembinaan yang bermula pada 10 Disember 2013 telah berlalu. Didapati progress pembinaan berjalan lancar dan separuh dari projek pembinaan telah dilaksanakan. Rangka binaan Masjid Al-Umm telah disiapkan. Dalam masa AJK sama ada AKK Tapak, Teknikal dan Induk terus memonitor, mengikuti perkembangan, menilai dan membuat cadangan dan mempastikan keputusan yang diambil di dalam mesyuarat diikuti dan dilaksanakan, AJK-AJK mulai  menghalakan kepada perancangan tahap kedua, iaitu `Pengisian Masjid`. Maksud Pengisian Masjid, ialah merangka  program-program yang akan dilaksanakan. Pembinaan fizikal ada tempoh dan hadnya, bila siap ianya boleh digunakan, adapun program Pengisian walaupun ada permulaan, tetapi relatifnya tiada pengakhiran. Ini merupakan sesuatu yang mencabar kami. Pengisian bukan setakat pengisian masjid sebagai tempat ibadah, khususnya bagi solat, tetapi bermatlamat lebih besar dan lebih jauh dari itu. Kami berhasrat mengisi ideal bagi Masjid Al-Umm dari segi:
1)      Konsep al-Umm bukan saja dari segi ianya berasal dari sebuah tempat ibadat (Al-Umm) terawal di Bandar Baru Bangi, tetapi Al-Umm adalah induk, ibu dan sumber bagi pengibadatan dan keilmuan
2)      Progrem yang bakal dijalankan dengan harapan dapat memenuhi aspirasi dan inspirasi `Bangi Bandar Ilmu`. Kami mengharap Masjid Al-Umm sebagai penggerak bagi Bangi Bandar Ilmu atau sekurang-kurang ianya sebagai projek mikro yang akan diperluaskan secara bertahap  kepada peringkat Makro di Bandar Baru Bangi
Kami berpendapat ianya tidak lari dari konsep masjid sebagai tempat ibadat, konsep memakmurkannya dengan ilmu, pengkuhan iman, taqwa, tazkirah dan ingat beringat. Dalam kata lain masjid sebagai tempat ibadat, kegiatan keilmuan, pembinaan keluarga dan masyarakat.
Kami berpendapat gagasan yang kami rangkakan dan perlaksanaannya lebih mudah diterapkan kepada masyarakat di Bandar Baru Bangi sebagai masyarakat yang disifatkan sebagai masyarakat intelektual, masyarakat yang dikelilingi berbagai-bagai institusi keilmuan, masyarakat yang sedar dan peka dengan perkembangan ilmu pengetahuan dan mencintainya. Dengan keadaan  masyarakat seperti ini persediaan masjid haruslah bersesuaian dengan ekpekstasi masyarakat, jika tidak masjid tidak menjadi daya tarikan kepada mereka. Tanpa persediaan yang sesuai dan releven, masyarakat tidak tertarik kepada masjid.  Menyedari bahawa, walaupun pada umumnya masyarakat di Bangi adalah masyarakat intelektual, tapi perlu diingat ada sebahagian dari kita yang masih pada tahap memerlukan pendidikan pada tahap fardu, perlu juga diingat, intelektual seseorang mungkin di dalam bidang kepakaran  khusus, mungkin mereka masih memerlukan pendidikan pada tahap fardu. Ada golongan yang sudah berada pada tahap cukup dari segi kefarduan tapi perlu kepada peningkatan dan sudah tentu sebahagian sudah ada pada tahap tinggi, dari mereka  kita mengharapkan sumbangan..


Di dalam hal ini kita tidak menganggap masyarakat sebagai tidak tahu dan hanya berperanan sebagai penerima, tetapi  menggerkkan konsep ``Persyarikatan dan Penyuburan Ilmu`. Ada beberapa tahap dan fungsi di dalam melaksanakan konsep `Persyarikatan dan Peyuburan Ilmu`  di Bangi Bandar Ilmu:
1)       Memberi penekanan terhadap pengajian fardu kepada mereka yang masih kekurangan di dalam bidang-bidang  berkenaan.
2)      Mempertingkatkan keilmuan di dalam bidang-bidang keilmuan Islam di tengah masyarakat dengan menggunakan kepakaran mereka yang terlibat di dalam bidang-bidang keilmuan Islam.
3)      Mendapat kerjasama dari kalangan professional di dalam bidang professional bercakap di dalam bidang-bidang mereka dari perspektif Islam. Contoh ekonomi ada ekonomi Islam begitulah diharap dalam bidang sains, teknologi, perusahaan, perubatan dan sebagainya.
4)      Membawa  tokoh-tokoh keilmuan dari luar menyampaikan keilmuan dan kepakaran mereka kepada masyarakat di Bangi
5)      Menghantar pakar dan tokoh keilmuan dari Bangi keluar menyampaikankeilmuan dan kepakaran serta berinteraksi dengan tokoh ilmuan dan pakar dari luar untuk dibawa kembali keilmuan kepada masyarakat di Bangi dan dapat menikmati bersama hasil dari interaksi mereka dari luar.
Untuk tujuan di atas, kami sedang berusaha menyediakan ruang dan peluang di Masjid Al-Umm dan dalam usaha merangka pendekatan dan pengisian  bersesuaian.

Sekian.

September 11, 2014

Dedikasi Kepada Semua Yang Terlibat Membina Masjid Al-Umm, Separuh Tempoh Berlalu


BBB, 15 Zulkaedah 1435 = 10 September 2014  (Rabu):
Hingga ke hari ini sudah 9 bulan (bermula 10.12 2013) projek pembinaan Masjid Al-Umm berjalan. Ini bererti  sudah separuh tempoh masa telah digunakan bagi menyiapkan Masjid Al-Umm. Menurut perkiraan hari, hingga ke hari ini sudah 274 hari dari 532 hari telah digunakan – dijangka siap 25 Mei 2015. Ini bererti lebih 50% hari telah digunakan. Sehingga kini status projek telah mencapai 22% dan melihat kepada pembangunan Masjid Al-Umm bahawa lantai bagi tingkat bawah dan tingkat utama telah disiapkan, manakala lantai bagi tingkat tiga dalam proses penyiapan. Manakala rangka pintu gerbang dan asas bagi dua menara di kanan dan kiri pintu gerbang sedang dalam pembinaan.
Melihat  kepada kerja adalah berterusan dan dapat dikatakan progress kemajuan adalah menurut jadual. Walau bagaimana melihat kepada banyak bahagian akan disiapkan, dinding, bumbung, menara  dan kubah dan finishing bagi setiap bahagian tentulah mengejar masa bagi menyiapkannya. Namun kita percaya berdasarkan prestasi yang telah ditunjukkan dan progress kerja adalah menurut jadual kita menjangkan pembinaan seterusnya akan berjalan lancar. Adalah difahamkan setakat ini tidak ada masalah dari segi tuntutan pembayaran.


Kelicinan perjalanan pembinaan Masjid Al-Umm banyak bergantung pada banyak pihak. Kelulusan dari JAIS membenarkan AJK Pembinaan Masjid Al-Umm membina Masjid dan pihak MAIS member keizinan memungut derma adalah factor utama yang memungkinkan pihak AJK pembinaan dapat mendirikan masjid. Kelulusan pihak Kerajaan Negeri  Selangor di bawah pimpinan Y.A.B.  Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim Menteri Besar Selangor dan Y.A.B. member kelulusan mengazetkan tapak tanah bagi Masjid Al-Umm adalah factor penting yang membolehkan Masjid Al-Umm didirikan. Kesudian Y.A.B. datang ke Majlis Kenduri Kampung dan melihat tapak pada  6 Januari 2013 dan janji menampung dana Masjid atas kadar separuh kos pembinaan (RM6 juta dalam proses penurunan) adalah sebagai galakan kepada AJK Pembinaan berusaha mendapatkan dana.
Lantaran itu ucapan terima kasih khas ditujukan kepada semua penderma yang jika tidak kerana derma yang mereka hulurkan maka projek pembinaan yang sedang berjalan tidak menjadi kenyataan. Kita berharap kepercayaan mereka akan berterusan dengan derma terus dihulurkan.
Pembinaan tidak menjadi reality tanpa dedikasi yang telah ditunjukkan terutama Tuan Haji Marzuki  selaku Kontrektor Tekad Nusantara Sdn. Bhd, yang setakat ini telah menjalankan kerja dengan baik. Kelicinan pembangunan Masjid Al-Umm  adalah bergantung pada Arkitek yang diketuai Tuan Haji Raja Fuaddin yang sentiasa tenang dan sabar terhadap banyak kritikan yang dihalakan kepadanya yang dengan kesabarannya perjalanan pembinaan berjalan dengan baik. Kejayaan pembinaan adalah bergantung sama pada perunding-perunding kejuruteraan Awam oleh Safari Ingeniuers, Perunding Kejuruteraan  Mekanikal & Elektrikal,  Perunding Azfar Sdn. Bhd., Perunding Ukur Bahan May Consult.
Lebih daripada itu kejayaan bagi pembinaan masjid Al-Umm adalah hasil dari kerja kuat dan keikhlasan dalam AJK Pembinaan Masjid Al-Umm bermula dari Penaung  Tuan Guru Dato` Dr. Haron Din yang bukan saja member nasihat dan buah fikiran, tetapi turut sama menggerakkan derma bagi mengisi Tabung Masjid Al-Umm.


Ada tiga lapis AJK yang bekerja secara dedikasi bagi menjayakan pembinaan Masjid Al-Umm yang tiap AJK mengadakan mesyuarat bulanan dan mesyuarat-mesyuarat tambahan. Bermula dengan AJK Tapak yang terdiri dari pihak kontrektor, perunding-perunding dan wakil-wakil dari AJK Induk dan AJK Teknikal. Kita berterima kasih kepada AJK Teknikal yang bekerja dengan  dedikasi yang diketuai oleh Ir. Tuan Haji Ishak bin Arshad selaku Pengerusi, En. Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausaha, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin, Tuan Haji Abdul Rahman  dan wakil-wakil dari kontrektor, arkitek dan wakil-wakil perunding. Sudah tentulah pada puncaknya kita berterima kasih kepada AJK Induk yang bekerja dengan dedikasi dan ikhlas terdiri dari Pengerusi,  Ir. Haji Ishak bin Ishak Pengerusi AJK Teknikal, Tuan Haji Suib bin Haji Maulud Setiausaha, Tuan Haji Mohd Nor bin Haji Yasin Bendahari, En. Nik Muhammad Adham bin Nik Anuar Setiausaha Kerja, Ir.Haji Ghazali Husin, Haji Abdul Rahman bin Daud, Dr. Haji Tajul Ariffin bin Noordin, Tuan Haji Sufi bin Munasir, Haji Omar bin Jaafar,  Haji Mohd Kalok bin Latiff, Tuan Haji Mohd Ghazali bin Haji Abas, Tuan Haji Ahmad bin Hasbullah dan Tuan Haji Hussin Bin Yunus.
Di atas komitmen dan kesungguhan semua pihak maka projek pembinaan Masjid Al-Umm berjalan lancar. Kita percaya dedikasi dan kesungguhan sedemikian akan berterusan sehingga Masjid Al-Umm akan dapat disiapkan dalam tempoh yang ditentukan dan selamat digunakan  selepas siapnya Masjid Al-Umm – insya Allah.

Sekian.

September 10, 2014

Ragam Hias Masjid


BBB, 14 Zulkaedah 1435 = 09 September (Selasa):
Selepas tulisan mengenai `Seni Di Masjid` diterbitkan pagi ini, maka selepas itu pada pagi ini, jam 10.00 ada mesyuarat AJK Teknikal, maka antara perkara yang dibincangkan ialah mengenai ragam hias di Masjid Al-Umm. Sekali lagi pihak Syarikat Majleza Aluminium Sdn. Bhd. membentang beberapa aspek mengenai Masjid Al-Umm, tetapi apa yang mau diperkatakan di sini ialah mengenai ragam hias di Masjid Al-Umm. Sebagaimana aspek-aspek yang lain, maka demikianlah berhubung dengan ragam hias yang dicadangkan, tidak diterima sepenuhnya, bahkan mesyuarat mencadangkan banyak perubahan yang diminta pihak Majleza mengubahsuai sebagaimana yang dikehendaki oleh AJK.


Ragam hiasa atau dekorasi adalah sebahagian dari aspek seni, sebagaimana perlunya berhati-hati di dalam menggunakan elemen seni di dalam masjid, maka demikianlah juga ragam hias yang hendak digunakan di masjid juga perlu hati-hati, tidak sebarang ragam hias boleh digunakan di masjid, ianya perlu bersesuaian dan tidak merosakkan dari segi adab, sebaliknya dapat membantu mengukuhkan dari segi kemurnian, keharmonian  dan kekudusan masjid.  Beberapa ragam hias dicadang, dibincang, ada yang diterima dan ada yang dicadang pengubahsuaian.
Pada dinding hadapan di kanan dan kiri bagi mihrab dibuat dua set  garis arch lengkung memenuhi dua ruang kosong berkenaan. Walaupun kedua-dua garis lengkung bagi kedua-dua belah dinding berkenaan agak menarik, dilihat agak berat dengan dekorasi dan dibimbangi mengganggu konsentrasi  dan kekhusyukan jamaah di dalam bersolat, AJK mencadangkan agar dinding berkenaan kosong dan ditampal dengan marmar biasa, pada bahagian ke atas kiri kanan dipilih dua ayat Qur`an yang bersesuaian dan berimbang, sebaik tulisan ialah nasakh atau raq`ah yang tulisan adalah jelas,  sebaliknya garis arch berkenaan dibuat pada lengkung mihrab yang mihrab cadangan agak kecil dan minta diperluaskan menurut spesifikasi awal keluasan mihrab. Adapun bagi mihrab hendaklah berhias dengan ragam hias yang bersifat geometric design yang agak ringan dan tidak terlampau lebat dengan design bertujuan juga tidak mengganggu konsentrasi dan kekusyukan terutama Imam. Adapun cadangan untuk meletakkan dua jam besar kiri kanan dinding mihrab, AJK mencadangkan, bahawa dua jam yang mengambil ruang yang banyak itu tidak perlu, sesuai dengan zaman teknologi canggih, hendaklah menggunakan jam digital  yang maklumat secara digital bergerak juga dapat digunakan
Adapun kubah yang di permukaan luar berkerawang bergeometrik design, maka bahagian dalam  yang sengaja tidak bertutup juga dikehendaki dihias dengan bentuk geometric design. Adapun ragam hias bagi tunjuk langit pada bahagian atas bagi kubah, oleh kerana contoh yang dikemukana sebelum ini agak janggal, maka adalah dipersetujui bahawa tulisan Al-Umm adalah digunakan sebagaimana pada logo. Ragam hias yang ketara ialah pada mimbar. Adalah dipersetujui bahawa bahan bagi mimbar hendaklah dari kayu tempatan – disebut kayu merbau. Sebagaimana amalan biasa pada mimbar masjid, ragam hias adalah alam flora – tumbuhan yang diukir secara tebuk tembus. Mimbar ini hendaklah  terletak sebelah kanan mihrab dan berkedudukan lebih tinggi dari ruangan lantai agar lebih jelas dapat dilihat oleh para jamaah terutama bagi solat Jumaat.


Beberapa jenis design dikemukakan bagi ragam hias pada kepala tiang dan tapak tiang. AJK menimbulkan kerisauan kiranya, jika ragam hias terlampau banyak lengkuk dan lubang yang mungkin kelihatan cantik, tapi menimbulkan masalah dari segi maintenance terutama pada bahagian atas yang mungkin mengalamai kekotoran, habuk dan sebagainya. Ini memasalahkan  maintenance dari segi kebersihan. AJK lebih cenderung memilih design berbentuk pucuk rebung yang tersusun secara berlapis-lapis yang kelihatan sederhana, mudah dibersih,  tetapi menarik. Ragam hias bagi bahagian tapak juga hendaklah harmoni dengan bahagian atas.
Pihak Majleza belum bersedia dengan ragam hias pada menara, Ianya bakal dibentangkan pada masa akan datang. Pihak Majleza juga diminta mengemukakan perubahan cadangan yang dibincangan kepada bentuk sebenarnya, bukan setakat lakaran sahaja.
Walau apa perubahan yang berlaku, kami AJK merasa puashati bahawa walaupun kami bukan arkitek, tetapi  dapat memahami aspek-aspek pembinaan, bukan setakat memahami, tetapi membuat cadangan kepada aspek-aspek yang kami fikir lebih baik dan bersesuaian. Kami merasakan pembinaan Masjid Al-Umm bagi kami bukan setakat mencari peruntukan, tetapi sama-sama terlibat di dalam membuat cadangan, perubahan dan penyesuaian sehingga kami merasa kami benar-benar berpartisipasi di dalam pembinaan Masjid Al-Umm.

Sekian.

September 9, 2014

Seni Di Masjid


BBB, 13 Zulkaedah 1435 = 08 September 2014 (Isnin):
Apakah seni ada di masjid ? Ya ada, sebagaimana telah ditegaskan bahawa setiap yang dihasil tangan manusia mempunyai nilai seni, lantaran tendensi manusia sukakan keindahan yang menyempurnakan (teori Takmilah).  Masjid adalah bangunan yang dibina secara kolektif dan tidak terlepas dari nilai seni, sama ada materialnya dari kayu atau batu.
Adakah terbawanya nilai seni sesuatu yang tidak bercanggah dengan Islam ?.
Kembali kepada prinsip bahawa maksud Hadith riwayat Bukhari dan Muslim, ``Bahawa Allah itu indah dan sukakan kepada keindahan``.
Manakala ayat Al-Qur`an  bermaksud::
``Wahai anak-anak Adam , pakailah pakaian kamu yang  indah ketika kamu menunainaikan ibadat (solat ) di masjid.`` (Al-A`raf: 31);
Dapatlah difahamkan bahawa Allah bersifat indah dan Dia maukan hambanya berhias dan mengindahkan diri dengan pakaian yang indah ketika bersama jamaah di Masjid.
Juga dapatlah difahami, bahawa mendirikan masjid sebagai tempat ibadat, khususnya soat Jumaat dan solat-solat fardu dan keperluan-keperluan yang lain adalah tuntutan, yang jika tidak diadakan menyebabkan tidak dapat dirikan Jumaat dan solat-solat yang lain secara berjamaah di masjid.
Masjid sebagai tempat ibadat secara berjamaah, perlu kepada bangunan yang baik, kukuh dan menarik bagi  kemudahan dan menyenangkan  hati  jamaah.
Sebagaimana telah dikatakan bahawa, masjid sebagai hasil tangan manusia – jamaah tidak sunyi dari elemen seni sama ada disengaja atau tidak sengaja. Contoh disengajakan, sebagaimana telah dibicarakan secara bersiri, bahawa pemilihan bentuk  dan ciri kubah, menara, mimbar dan mihrab adalah memilih dan membina dengan sengaja, menurut bentuk  dan model tertentu juga pemilihan ciri seni yang dibawa oleh bentuk-bentuk berkenaan. Apa lagi jika bentuk-bentuk berkenaan direkacipta oleh arkitek atau penggubah tertentu.
Apakah sebarang seni boleh diabadikan di masjid ?
Tidak sebarang seni boleh diabadi atau dipamerkan di masjid. Seni yang wajar dan diharuskan sahaja. Seni  yang dibenarkan di masjid seni yang functional dan bertujuan membesar dan mengagungkan Kebasaran Allah. Tidak boleh dan tidak wajar selain daripada itu. Seni-seni yang functional selain dari kubah, menara, mimbar dan mihrab ialah bentuk-bentuk yang melambangkan kebesaran Allah seperti semua tiang yang mengambil bentuk bulat dan gasal, pintu-pintu yang berbentuk arch yang melambangkan ketundukan dan kepatuhan, perulangan bentuk sesuatu yang tiada awal dan akhir – contoh pintu gerbang masuk ke masjid yang mempunyai tiang berkeliling.  Setengah masjid mempunyai kolam atau tasik kecil di tepi masjid bagi mendinginkan sekitaran. Berdepan atau di kawasan masjid di hias dengan taman-taman dan pokok-pokok menghijau yang menyejuk mata memandang.


Adapun ragam hias di dalam masjid terutama pada bahagian hadapan di dalam masjid perlu dihiasai secara teliti. Pada bahagian dinding bahagian hadapan masjid tidak wajar banyak dengan berbagai ragam hias, kerana ianya mengganggu konsentrasi dan kekhusyukan jamaah. Tidak wajar dihias katakan dengan awan larat dan warna-warna berbagai yang mengganggu tumpuan dan kekhusyukan di dalam beribadah. Hiasan yang wajar dan tidak terlalu banyak ialah khat dengan ayat Qur`an yang berhubung dengan katuhanan dan ibadat dan tertulis secara jelas seperti di dalam bentuk khat nasakh. Dinding bahagian hadapan terutama berdekatan mihrab wajar menggunakan marmar biasa. Adalah dilarang dan dijauhi dari merakamkan bentuk-bentuk bertubuh manusia, bahkan sebarang bentuk benda yang hidup dan bernyawa, kerana ianya merupakan larangan. Pada bahagian pangkal tiang juga di atas  dan kubah boleh dihias motif-motif yang bersifat geometric design. Manakala pada bahagian dinding boleh dihiasi dengan khat ayat Quran, tetapi seharusnya sederhana, terang dan tidak terlampau banyak. Hiasan berkerawang bermotifkan tumbuh-tumbuhan biasa diukir secara tebuk tembus pada dinding mimbar, manakala pada bahagian atas berhias dengan kubah kecil dan tunjuk langit.
Pendek kata seni di dalam masjid tidak seni melalaikan, tetapi seni muqaddas, iaitu  seni yang mendekati  dan mengingati diri kepada Allah.

Sekian.

September 8, 2014

Mihrab Terkedepan Dari Bahagian Masjid


BBB, 12 Zulkaedah 1435 = 07 September 2014 (Ahad):
Salah satu ciri seni bina masjid ialah wujudnya `mihrab`, iaitu jika binaan batu  merupakan  anjung kecil yang di tengah bahagian depan ada lengkung separuh bulat bujur bahagian luar ke depan, sedangkan dari dalam membentuk lengkungan kosong di tengah sebagai tanda arah kiblat. Jika bangunan masjid dari kayu, maka tidaklah dibuat lengkungan bulat, sebaliknya sebagai anjung kecil empat segi ke depan dari bangunan ibu, bagi menandakan arah kiblat. Di dalam kawasan anjung kecil ini imam mengambil tempat mengimami solat menghadapi kiblat bermakna ianya mendepani di bahagian mihrab berkenaan. Jika makmum tak ramai, kadang-kadang imam mengambil  tempat ke belakang sedikit, tetapi biasanya berdepan mihrab dalam menghadapi kiblat.
Membina mihrab bagi masjid tidaklah merupakan satu kemestian, tetapi dengan adanya mihrab member pertunjuk yang jelas bagi ahli jamaah dan orang ramai mengenai bahagian hadapan dan belakang  masjid dan k e mana sebenarnya arah kiblat. Mihrab yang functional  menunjuk ke arah kiblat ini secara tidak langsung ianya mempunyai fungsi estetik bagi masjid yang dari jauh boleh kelihatan. Bagi dalam masjid mihrab adalah `larangan tidak rasmi` kepada orang ramai memasuki  tempat ini. Yang berurusan rasmi di sini ialah bilal yang keluar masukl dari bilik bersebelah mihrab untuk urusan terutamanya bagi azan dan iqamah setiap waktu solat, imam yang mengimami jamaah solat yang imam berada di hadapan pada kawasan mihrab dan juga khatib yang juga imam berkenaan atau khatib khas kerana naik turun dari kawasan mihrab ke mimbar. Sebenarnya tidak ada keperluan bagi jamaah biasa untuk memasuki kawasan mihrab, tanpa tujuan.
Kawasan mihrab dilihat bukan saja sebagai `kawasan larangan tidak rasmi`, tetapi sebagai tempat suci, tempat imam mengetuai jamaah bersolat menghadap Kiblat – menyembah Allah. Mihrab dengan bentuk bulat melambangkan kesempurnaan dan bentuk lengkung tunduk melambangkan kekhusyukan jiwa dalam mendepani Allah. Tempat berkenaan perlu bersih dari gangguan di samping bersih fizikal sebagai  tempat imam memimpin jamaah dalam memikrajkan jiwa terhadap Allah – perjalanan mentakmilahkan ibadat dan kejiwaan. Dari tempat inilah juga bilal bukan saja mengalunkan azan, juga membaca Qur`an sebagai menandakan hampir  waktu solat waktu.


Bagi masjid satu tingkat, kalau binaan dari bahan kayu lebih mudah membina mihrab pada bahagian depan masjid (Tidak dibuat tangga atau pintu yang direct masuk ke mihrab). Adapun bangunan bertingkat maka cara mewujudkan mihrab agak berlainan. Masjid Al-Umm Bandar Baru Bangi sebagaimana dimaklumi adalah terdiri dari tiga tingkat. Pada bahagian hadapan bagi masjid adalah rata tiada dibuat anjung bagi masjid. Mungkin juga bagi memilihara ruang tanah yang agak terhad, Mihrab bagi Masjid Al-Umm adalah ditambah dengan  tapak  lengkongan bulat di tengah bahagian depan bagi menandakan arah Kiblat. Satu  bulatan dibuat dari level tengah ke atas. Dari tapak di tengah ini kelak akan dipasang batu bata ke atas secara melengkung sampai ke atas menyentuh cucur atap.
Sebagaimana telah disebutkan, bahawa dengan pembinaan  tapak bulat bujur bahagian depan, kelihatan ianya seolah-olah tong tangki yang merosakkan nilai estetik, lebih-lebih lagi pada asalnya bahagian atas kosong antara atas bagi bulatan hingga ke atap. Cadangan dibuat agar bulatan bersambung kepada atap, agar tidak kelihatan sebagai tong yang tergantung, bahkan disarankan bahawa mihrab bulat bujur ini hendaklah turun ke level ground floor agar kelihatan lebih harmoni dan turut berfungsi bagi arah tunjuk kiblat bagi level bawah tanah.


Dengan bahagian mihrab ada pada level tengah ke atas dan ke bawah, sebenarnya lebih sempurna kelihatan, terutama dari luar, lantaran bangunan Masjid Al-Umm berada pada tanah tinggi. Bangunan berada lebih tinggi dari benteng konkrit bagi bangunan. Masjid berada di atas benteng konkrit. Dengan bahagian mihrab meliputi ke tiga-tiga tingkat, maka dari jauh kelihatan lebih harmoni dan tidak bersifat tergantung.  Pada bahagian dalam bagi mihrab biasanya adalah tidak dihias dengan hiasan-hiasan yang boleh mengganggu konsentarsi imam di dalam solat dan boleh mengganggu ke khusyukan, Jika pun hendak dihias bagi mihrab dari dalam ialah dengan pemasangan mozaik kecil dengan warna-warna kebiasaan agar tidak mengganggu ke khusyukan. Jika memang masjid tidak menggunakan `hawa dingin, keseluruhan maka dipasang satu unit kecil penghawa dingin bagi member  keselesaan imam dan para jamaah pada bahagian depan. Juga  memberi  keselesaan pada guru-guru yang mengajar. Di samping turut menggunakan kipas bagi khalayak jamaah yang ramai.

Sekian.

September 7, 2014

Mimbar Khusus Untuk Khatib

BBB, 11 Zulkaedah 1435 = 6 September 2014 (Sabtu):
Mimbar adalah salah satu bahagian yang mencirikan masjid. Ia berhubung rapat dengan keperluan mendirikan Jumaat. Salah satu syarat mendirikan Jumaat ialah khatib dikehendaki menyampaikan khutbah. Penyampaian khutbah boleh disampaikan dengan cara biasa yang tidak memerlukan mimbar, tetapi untuk khatib menyampaikan khutbah dengan jelas dan dapat dilihat dengan terang  di dalam menerima dan menghayati khutbah, maka tempat khatib menyampaikan khutbah ini seharusnya lebih tinggi dari kedudukan jamaah. Ini membawa kepada penyediaan tempat menyampaikan khutbah yang dikenali dengan mimbar. Di dalam rukun khutbah, salah satu daripadanya khatib hendaklah duduk secara tam`ninah di antara dua khutbah. Ini bererti khutbah disampaikan secara berdiri dan perlu duduk antara dua khutbah. Ini membawa kepada persediaan tempat khutbah dan tempat duduk  lebih semperna dan kreatif, Ianya mungkin secara simple dengan menyediakan sebuah kerusi. Jika khatib memerlukan penggunaan teks bagi pembacaan atau panduan berkhutbah, maka diadakan `stand` bagi meletakkan teks panduan berkhutbah.


Bagi sesebuah masjid adalah menjadi keperluan menyediakan mimbar yang bentuknya mungkin berbagai-bagai. Pada kebiasaan mimbar berada pada bahagian kanan bagi ruang ke mihrab. Ianya merupakan sebuah  binaan yang sedia siap ditukangi dan diletakkan di bahagian kanan dari mihrab. Atau sengaja dibina ruang naik dari mihrab ke mimbar yang bersifat anjung dan tergantung yang mungkin dibina terus dari konkrit pada dinding sebelah kanan atau boleh juga dibina dari bahan besi bagi anjung tadi. Ia mengkin bersifat simple pada anjuang ini ada sebuah kerusi dan `stand` bagi meletakkan teks dan tempat meletakkan tongkat, tanpa ada sebarang lindungan di bahagian atas. Manakala di bawah ada ruang untuk diduduki  jamaah berjumaat, tanpa mengambil ruang bagi mimbar. Walau bagaimana ada mimbar yang lebih menarik yang sengaja diadakan lindungan dan hiasan berkerawang bagi dinding mimbar berkenaan. Pada bahagian atas ada lindungan sebagai menara kecil yang mempunyai tunjuk langit. Khatib yang tidak semestinya imam atau khatib merangkap imam seolah-olah berada di dalam satu kotak khusus baginya di dalam menyampaikan khutbah. Mimbar biasanya digunakan untuk menyampaikan khutbah pada hari Jumaat. Dia dianggap tempat suci dan mulia ianya tidak digunakan untuk ceramah biasa atau mengajar. Tempat ceramah biasa atau mengajar cukup dengan sebuah meja dan kerusi di bawah pada bahagian depan di tengah masjid. Adakala guru hanya duduk secara bersila biasa di hadapan para pendengar.
Adapun mimbar bagi Masjid al-Umm turut dibincang di dalam mesyuarat-mesyuarat, tetapi tidak sekerap dan sebanyak yang dibincangkan bagi kubah. Masalah yang dibincangkan di dalam mesyuarat berkenaan mimbar oleh kerana di dalam pelan asal mimbar mengambil ruang dari bahagian mihrab dan langsung kelihatan turun naik khatib. Kedudukan ini  dianggap tidak menarik kerana menghalang pandangan ke mihrab yang merupakan tunjuk arah kiblat. Lantaran itu timbul cadangan supaya diubahsuai bahawa mimbar hendaklah berada di sebelah kanan bagi mihrab dan tangga pertama bagi khatib melangkah ke atas hendaklah terselindung dari pandangan langsung dari jamaah. Khatib keluar dari bilik persediaan/rehat dari sebelah kiri mihrab dan naik ke mimbar. Tangga ke mimbar hendaklah dalam jumlah gasal bermula naik kaki kanan dan berakhir dengan kanan.


Berhubung dengan material mimbar, pada asalnya ianya adalah dari bahan konkrit dari dinding menganjur ke hadapan dengan pagar kiri, kanan dan depan dari besi, tanpa sebarang lindungan dari hadapan. Ketinggiannya sederhana sekadar jamaah dapat melihat khatib berdiri di atas mimbar menyampaikan khutbah dan masih kelihatan katib duduk antara dua khutbah.
Walau bagaimana ada yang berpendapat, walaupun anjung bagi mimbar ini dari konkrit (untuk kelihatan kukuh), tetapi materialnya hendaklah dari kayu tempatan yang tahan seperti cengal, berlian, merbau dan sebagainya. Penggunaan kayu adalah wajar, kerana banyak bahagian adalah batu dan besi. Bahagian kayu adalah bersifat tempatan dan lebih menarik. Adalah dicadangkan mimbar ini lengkap dengan ukiran yang sesuai dengan kedudukannya di dalam masjid, standnya juga hendaklah dari kayu dan mempunyai  lindungan yang menarik dan mempunyai tunjuk langit pada bahagian atasnya  berlambangkan logo Masjid al-Umm. Adalah dicadangkan jenis kayu yang digunakan ialah merbau. Disebutkan antara tukang yang baik dari Besut Terengganu atau dari Kelantan.
Satu persoalan yang timbul juga dalam perbincangan, bahawa dengan kedudukan mimbar berada di sebelah kanan, bahawa ianya berhadapan dengan  tiang seri (empat tiang seri utama masjid yang menyokong struktur atas, termasuk kubah di samping tiang-tiang yang lain). Penelitian dibuat bahawa mimbar berkenaan tidak benar-benar berdepan dengan tiang seri utama. Ianya tidak menghalang khatib berdepan dengan jamaah dan jamaah melihat khatib, kecuali yang sengaja mengambil posisi  berdepan tiang. Bagi yang berkedudukan jauh atau yang berada di tingkat bawah disediakan tayangan  cc tv.
Demikianlah setiap satu dari item di dalam masjid, walaupun sudah sedia dalam pelan arkitek, tidak terlepas dari perhatian dan perbincangan AJK di dalam mesyuarat. Banyak daripadanya diperbaiki hasil dari mesyuarat. Pelan asal tidak semestinya diikuti 100%. Jika didapati tidak sesuai, maka ianya diubahsuai hasil dari persetujuan ramai.

Sekian.