September 20, 2014

Liberalisme, Pluralisme Dan Syiah Mengancam Akidah - Dialog Fatwa Perdana


BBB, 24 Zulhijjah 1435 =  19 September 2014 (Jumaat):
Semasa sesi perbincangan bagi dialog di atas dibuka seramai lima orang peserta sempat mengambil bahagian mengeluarkan pendapat dan pertanyaan.


Peserta terawal bercakap ialah Tuan Haji Ismail Mina  bin Haji Ahmad dari Pertubuhan Maufakat. Beliau seorang tokoh yang selama ini terkenal  dalam mempertahankan kemurnian Islam.  Menurut beliau liberalism yang dibawa antaranya oleh Sisters In Islam mempengaruhi anak muda, antaranya aktif di Seremban yang antara mereka adalah bekas pelajar seperti lulusan dari Mesir dan Pakistan. Menurut Tuan Haji Ismail ada institute yang dikenali dengan Institut Kajian Dasar (IKD) turut mendukung faham liberalism. Belia menyebut beberapa nama yang bergiat dengan faham tersebut. Antaranya mendapat sokongan dari parti politik tertentu.
Menurut S.S. Dato` Setia Haji Mohd Tamyez bin Abdul Wahid Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor, apa yang diutarakan oleh Tuan Haji Ismail bukan soalan, tetapi memperjelaskan pengaruh liberalism di Selangor dan pandangannya diterima.
Tuan Haji Mohd Azlan bin Muhammad Sharif bertanyakan masalah minority orang Islam di Pulau Ketam yang kurang jamaah, adakah perlu mendirikan solat Jumaat. Menurut Tuan Mufti perlu didirikan Jumaat di Balai Islam yang ada, walaupun tidak cukup ahli jamaah. Beliau juga bertanya dengan kalangan muallaf yang lebih dari lima tahun Islamnya, apakah dia masih mendapat bantuan atas nama muallaf. Menurut Tuan Mufti Dia boleh terima dengan perpindahan status muallaf kepada kategori miskin. Tuan Haji Azlan mau lebih banyak NGO-NGO bergerak aktif ke Negara-negara yang dilanda bencana, khususnya bagi Negara umat Islam. Pertolongan kepada mereka mengeratkan persaudaraan dalam Islam, di samping mempertingkatkan imej Negara  terlibat dengan kerja-kerja kebajikan dan kemanusiaan.
En. Muhammad Maruan menujukan soalan kepada  Dato Haji Mokhtaqr Bin Hj. Shafii tentang  macam-macam gambaran tentang Mazhab  Syiah. Menurut mereka akidah adalah sama.  En. Muhammad Maruan diingatkan perlu berhati-hati dengan sikap taqiyyah mereka dan jangan terjatuh dalam masalah yang biasa mereka berlindung di atas nama `taqiyyah.
Saudara Muhammad Maruan juga bertanyakan tentang ASB. Soalan ini dijawab Dato` Mufti, bahawa ASB melakukan amalan tidak menurut Syariah dan Selangor berpendapat tidak wajar melibatkan diri  dengannya. Beliau juga bertanya tentang ISIS yang dialog tidak member komen tentang soalan ini – mungkin terlepas dari perhatian.
Seorang penanya yang kenal rapat dengan pengikut Syiah yang menurutnya normal dan biasa. Beliau diharap tidak terpengaruh dengan kawan berkenaan, sebaliknya beliaulah sepatutnya berusaha mengembalikan sahabatnya ke pangkal  jalan.
Penanya terakhir ialah saudara Razman bin Mohd. Nor, Beliau mengemukakan soalan berhubung dengan peristiwa Bani Thaqifah, Tentang Abu Musa al-Ash`ari berhubung peristiwa Tahkim, soal muallaf yang melebihi lima tahun, soal Syiah dan tentang pejuang  yang syahid di Syria. Dato` Haji Mokhtar secara ringkas menjawab soalan-soalan beliau. Peristiwa di Bani Thaqiqah berhubung dengan perlantikan Sayyiduna Abu Bakar menjadi khalifah adalah disetujui oleh para sahabat, termasuk oleh sayyiduna Ali k.w. Tapi perkara ini (tak puas hati) ditimbul oleh pihak lain jauh kemudian dari masa sebenarnya.. Berhubung dengan peristiwa Tahkim adalah peristiwa yang banyak mengubah jalan sejarah umat Islam dan menjadikan umat berpecah-pecah, tapi ada hikmat yang tersendiri. Tentang Syiah adalah sentiment pengikut yang lebih membawa kepada perpecahan yang pihak musuh menjadikannya sebagai senjata adu domba. Soal muallaf, jika beliau masih dalam kategori asnaf, beliau masih wajar mendapat bantuan dan dia perlu kepada bimbingan yang dapat melepaskannya dari sikap menadah tangan. Adapun kematian  `syahid ?` dalam perjuangan di Syria perlu kepada penelitian yang lebih lanjut. Video tentang Syiah turut ditayangkan bagi pengukuhan penerangan.

Pada dasarnya soalan tidak seluruhnya berfokus pada tajuk tentang liberalisme, pluralisme dan Syiah. Sebagai rumusan dapat diteliti apa yang diucapkan oleh Y.A.D. Dato` Mufti  Selangor sebagai kata-kata alu-aluan kepada Majlis Perasmian dan Penutup yang disampaikan oleh Y.A.D. Dato` Setia Haji Muhammad Adzib bin Mohd. Isa Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor. Menurut Dato` Mufti faham liberalism dan pluralism  adalah hasil dari faham secular yang terbuka dan  menerima kepercayaan campur aduk yang menjadikan masyarakat campuraduk dan kacau dari segi keyakinan dan tiada paksi keyakinan. Mereka menyamakan yang tidak sama dan membetulkan yang tidak betul yang menjadikannya semua tidak betul. Leberalisme dan pluralisme adalah agenda Barat yang selepas era penjajahan Negara dan fizikal, merangka penjajahan minda  yang menghilangkan keyakinan dan menghilangkan identity dan jati diri masyarakat yang akhirnya kacau kerana tiada paksi pegangan tanpa keyakinan. Masyarakat perlu disedarkan dari fatamorgana yang tiada keaslian, sebagaimana masyarakat juga perlu sedar pada kekaguman terhadap Iran dari kejayaan revolusi yang apabila bila didekati banyak pertentangan denga Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, jika diikuti sebagaimana liberalism dan pluralism menjadikan kita terperangkap di dalam jaring-jaring kontradiksi, perpecahan  dan hilang kemurnian dan ketenteraman.
Y.A.D Dato` Adzib bin Mohd Isa dalam ucapan perasmian dan penutup menjelaskan proses fatwa dan penguatkuasa terhadap seperti kesalahan akidah dan ajaran sesat. Menurutnya peranan Mufti yang dilantik Sultan menurut anekmen diperuntukkan ialah menyiasat kes yang diterima. Kes diteliti dan dikaji dan dikemukakan kepada AJK Fatwa untuk diputuskan. Pihak Mufti memutuskan fatwa, tetapi pelaksanaan dan tindakan dilakukan oleh pihak penguatkuasa termasuklah polis.  Keputusan jika perlu digazetkan untuk kepentingan orang ramai. Tetapi tidak semua keputusan digazetkan. Penyelarasan diadakan dengan Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan. Tetapi ada keputusan negeri tidak sama dengan Persekutuan atau antara negeri-negeri contoh fatwa mengenai merokok dan ASB.
Dato` Adzib memuji pihak Jabatan Mufti negeri yang Berjaya mengadakan Dialog  Fatwa Perdana 2014. Beliau berharap ianya lebih member kefahaman terutama kepada pemegang-pemegang tauliah yang dapat memeberi penerangan kepada masyarakat mengenai sesuatu isu yang timbul bagi kepentingan masyarakat. Sebagai tanda penghargaan kesudian Y.A.D. Dato` Adzib merasmikan Dialog dan penutupan Dato` Mufti menyampaikan cenderamata penghargaan kepada Dato` Adzib.

Sekian.

September 19, 2014

Dialog Fatwa Perdana 2014 Anjuran Jabatan Mufti Selangor


Shah Alam, 23 Zulkaedah 1435 = 18 September 2014 (Khamis):
Majlis dialog di atas adalah merupakan kali pertama dianjurkan oleh Jabatan Mufti Negeri Selangor. Majlis dialog berlangsung di Auditorium, Dewan Jubli Perak, SUK 40000 Shah Alam mulai jam 8.30 pagi hingga jam 1.00 tengahari. Dua kertas kerja dibentangkan:
1)      Bertajuk:  Fatwa  Pemikiran Liberalisme Dan Pluralisme Agama
Pembentang: Y.A.D. S.S. Dato` Setia Haji Mohd. Tamyes bin Abd. Wahid
Dato` Seri Utama Diraja Mufti Selangor
2)      Bertajuk: Fatwa Berkaitan Ajaran Syiah Di Negeri Selangor
Pembentang: Y.Bhg. Prof. Madya Dato` Haji Mohd. Mokhtar bin Hj. Shafii
Ahli Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor


Dalam pembentangannya S.S.  Dato` Mufti  Selangor menyatakan bahawa  faham liberalism dan pluralism  sebelumnya tidak wujud di negeti Selangor. Dari pertembungan dengan budaya dan faham dari luar dibawa masuk oleh kalangan yang terpengaruh dengan kedua-dua faham berkenaan. Faham liberalism  dan pluralisme adalah berbahaya, ianya merupakan api di dalam sekam yang boleh merosakkan akidah mereka yang terpengaruh dan mengikutinya. Faham yang meracunkan ini disebarkan antaranya melalui internet. Mereka menggunkan lima  S, iaitu:
1)      Sex     2.  Sport    3)  Smoke    4)  Screen  5)  Scene
Liberalisme tumbuhnya di Barat bertujuan untuk menentang kuasa gereja dan menghadkan kuasa politik. Kemudian ia berkembang dan memfokuskan  perjuangan kepada menghadkan kuasa politik, pertahan pemilikan dan perjuangan membela hak asasi manusia.
Dari segi pluralisme menurut Dato` Mufti Selangor. Mereka perjuangkan kebebasan agama dan menganggap semua agama betul. Berbeza luaran, tapi sama tujuan dan dalaman. Mereka menganjurkan merubah tafsiran lama terhadap Islam kepada tafsir baru dan bersesuaian dengan  suasana semasa. Bagi pluralisme, bahawa  kebenaran itu milik bersama dan tidak ada beza.
Pluralisme  berfaham bahawa , akal manusia adalah wahyu, mereka menimbulkan keraguan tentang Al-Qur`an, persoal tentang kenabian  dan menganjurkan membuat tafsiran baru terhadap Al-Qur`an menurut kesesuaian masa. Mereka menolak Hadith. Mereka memperjuangkan tentang kebebasan beragama dan  memetik ayat Al-Qur`an bahawa:
`Tiada paksaan dalam beragama. (Al-Baqarah: 256)
Mereka persoal tentang Imam mengapa mesti hanya lelaki, mereka mau wanita juga boleh mengakadkan nikah dan menjadi wali dan juga mau wirathah harta pesaka dibahagi secara adil.
Pengaruh Liberalisme dan Pluralisme di Indonesia seperti yang disebarkan oleh Nur Khalis Majid, manakala di Malaysia seperti yang diperjuangkan oleh Sisters  In Islam dan Faham Yang Menolak Hadith dan juga yang mau `Kalimah Allah` bebas digunakan oleh agama lain.
Faham-faham yang merosakkan akidah ini perlu ditentang dan dibasmikan bagi menyelamatkan akidah umat.


Berhubung dengan Fatwa Berkaitan Ajaran Syiah Prof. Madya Dato` Hj. Mohd Mokhtar Bin Hj Shafie AJK Fatwa Negeri Selangor menyatakan bahawa kemenangan Iran menentang Amerika pada tahun 1969 dan kejatuhan rejim Shah Iran mendapat sokongan Malaysia dengan harapan dapat menyatupadukan umat dan mengkuhkan Islam. Ada kalangan mereka yang berhubungan dan melawat bahkan belajar di  Iran, tetapi ketara kemudian ada masalah yang mengancam dari segi akidah yang menjadikan kita lebih berwaspada di dalam berhubungan dengan mereka, bahkan pengaruh Syiah bertempat di kalangan mereka yang terpengaruh dengan ajaran Syiah yang berlainan dari pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah. Misalnya pengucapan syahadah Syiah berlainan dari syahadah pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, pemujaan terhadap Sayyiduna Ali dan penentangan mereka terhadap Khalifah Abu Bakar, Umar dan `Uthman, konsep ma`sum pimpinan, penambahan mereka terhadap Al_Qur`an. Mereka berpegang dengan Mushaf Fatimah . Seterusnya soal  mut`ah yang bertentangan dengan ajaran ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.


Faham Syiah bukan saja berlainan dari Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah, tetapi jika dibiar berkembang di Malaysia boleh membawa perpecahan di kalangan umat
Dengan dialog diharap memberi  kesedaran dan ingatan. Para pemegang tauliah diharap mengingatkan masyarakat tentang bahayanya liberalism, pluralism dan Syiah yang perlu ditentang dan dibasmikan bagi menyelamatkan umah dari perpecahan. Kita perlu perkukuhkan pegangan Ahlu al-Sunnah wa al-Jamaah.
(Akan diikuti dengan dialog dan acara perasmian penutup).

Sekian.

September 18, 2014

Yang Baru Dalam Pembinaan Yang Lama Perlu Pemuliharaan


Kuala Selangor, 22 Zulkaedah 1435 = 17 September 2014 (Rabu):
Penulis yang setiap hari berdepan dengan pembinaan Masjid Al-Umm dan sebarang perkembangan dapat dilihat depan mata kepala, lantaran pembinaan masjid tidak jauh dari rumah dan pejabat penulis sendiri. Prihatin terhadap kemajuan pembinaan, baik pagi atau petang sengaja Penulis mendekati benteng bangunan masjid bagi melihatnya lebih dekat, bahkan adakala masuk ke tingkat-tingkat bangunan bagi  menghayati pembinaan  masjid yang masih pada peringkat menyiapkan rangka bangunan tiga tingkat itu. Penulis dan tentulah AJK dan orang ramai, khususnya penderma-penderma mengharapkan Masjid Al-Umm akan siap mengikut jadual dan  spesifikasi architecturenya agar dapat digunakan menurut jadual.


Pagi ini di Kampung Permatang Pasir, Penulis selaku Timbalan Pengerusi Perbadanan Adat Melayu Dan Warisan  Selangor (PADAT)  berdepan dengan situasi  berlainan dan kontradik, jika Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan itu begitu kukuh dan hebat, tetapi yang Penulis depani ialah sebuah rumah warisan yang begitu using dimamah usia dan rosak. Turut hadir sama ialah Y.B. Dr.Ahmad Yunus Hairi Pengerusi PADAT yang juga Exco Kerajaan Negeri Selangor, Puan Azlinda Azman CEO PADAT , Prof. Dr. A. Ghafar Ahmad Pakar Pemuliharaan Bangunan Lama dari USM,  AJK-AJK PADAT dan kakitangan..


Kehadiran kami adalah dalam rangka menilai kembali `Rumah Warisan Bersenibia Bugis` yang dicadang untuk dipemulihara dan kemungkinan menempatkannya  kembali sama ada di Kuala Selangor atau di pekarangan Muzium Sultan Alam Shah, di Shah Alam. Prof. Dr. A. Ghafar Ahmad dari USM adalah pakar Pemuliharaan sengaja dijemput bagi menilai dan membuat cadangan-cadangan. Kesedaran tentang kewujudan Rumah Tradisi Bugis ini telah dikenalpasti sejak beberapa Tahun yang  lepas. Pada masa Penulis selaku ADUN Bangi  (2008-2013) dan dilantik selaku Pengerusi Padat (2012-2013), Penulis dan AJK telah membuat lawatan awal dan berikutnya. Dari penilaian yang dibuat pihak AJK memberi priority memulihara Rumah Warisan Bugis ini. Pada masa itu, walaupun rumah berkenaan telah usang, tetapi masih boleh dinaiki dengan selamat. Bahagian bumbung pada masa itu sengaja ditutup dengan tikar plastic untuk melindung bangunan dari hujan panas yang boleh menyebabkan lekas reput. Tetapi pada hari ini, penutup plastic telah hancur dan yang masih tinggal ialah cebisan-cebisan daripadanya kelihatan bersangkutan, di samping terdapatnya sedikit atap nipah yang terpasang  pada sebahagian dari kasau bumbung. Dapatlah dikatakan bertahun selepas kunjungan bangunan terdedah kepada hujan panas dan luluhawa yang menyebabkan lantai reput dan menaikinya perlu berhati-hati. Dapatlah dikatakan ada kealpaan dari segi penjagaan.


Rumah Warisan Bugis pada asalnya  adalah warisan yang diwarisi oleh keluarga keturunan Bugis di sini. Menurut En. Mohd Ruslan  (54) antara pewaris mutakhir Rumah Warisan Bugis ini, bahawa rumah ini dibina oleh moyang mereka  Mohd Taib bin Katas bin Zainal dari keturunan Daeng Pandan dari Sulawesi. Ayah Mohd Ruslan, iaitu Zainal bin Mohd Taib mewarisi rumah ini dan beliau (Zainal) pernah dilantik selaku Ketua Kampung.  di Kg. Permatang Pasir. Ayahnya meninggal  pada 2009. Selepas itu Rumah Warisan Bugis ini  terbengkalai.
Keaslian Rumah Warisan Bugis ini adalah pada bahagian rumah ibu, manakala bahagian dapur yang lama telah diubahsuai dan bahagian asal sudah tidak ada. Tetapi secara lakaran dapat digambarkan, terutama bagi keluarga warisan yang masih mendiami bahagian dapur.
Sejak Mesyuarat pemuliharaan pada  awal 2012 beberapa usaha telah dilakukan. Antaranya  penentuan waris yang berhak terhadap Rumah Tradisi Bugis, rundingan pembelian bangunan berkenaan, kos yang ditaksirkan dan pihak JAIS dirujuk mengenai pembahagian wang secara faraid bagi waris-waris yang berhak. Taksiran dibuat adalah sebanyak RM50,000 dan pembahagian telah dibuat terhadap waris-waris. Ini bererti bangunan Rumah Tradisi Bugis ini adalah menjadi hak PADAT.
Kehadiran rombongan pada pagi ini lebih kepada bagaimanakah rumah berkenaan hendak dipindah. Kecenderungan nampaknya lebih tinggi untuk memindahkannya ke dalam kawasan Muzium Alam Shah di Shah Alam dari memindahkan ke kawasan  Muzium di Bukit Melawati, Kuala Selangor, kerana difahamkan  tiada tapak di situ. Tidak ada rancangan untuk mengekalkan di tapak asal, kerana ia melibatkan pemilikan tanah.


Penulis berdepan dengan dua situasi yang menyentuh rasa sayang terhadap kedua bangunan. Bangunan Masjid Al-Umm yang dalam pembinaan dengan ghairah mahu masjid itu siap dengan baik dan menarik. Sentuhan rasa saying juga terhadap `Rumah Warisan Bugis` yang satu-satunya rumah sedemikian masih wujud di Selangor. Terasa sedih dan sayang terhadap bangunan  berharga dari segi budaya sudah rosak teruk. Kita sama berharap tindakan segera, berkesan dan efektif segera diambil bagi memulihara Rumah Warisan Bugis ini agar tidak hilang ditelan zaman.

Sekian.

September 17, 2014

Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman


BBB, 21 Zulkaedah 1435 = 16 September 2014 (Selasa):
Lanjutan dari perbilangan kata `Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu` ialah `Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman`, bahawa maksud `Berguru Pada Yang Tahu Berpedoman Pada Pengalaman` ialah bagi mempelajari sesuatu bidang , baik bersifat keilmuan, maupun bersifat teknikal` perlu belajar kepada guru dan yang terlibat di dalam keilmuan dan  ketukangan berkenaan. Sebahagian daripada maklumat mungkin sudah ada pada diri yang merupakan pengalaman-pengalaman yang lepas. Kombinasi dari kedua-dua elemen ini memantapkan  penghasilan.
Perbilangan di atas dapat diaplikasikan dalam usaha pembinaan Masjid Al-Umm. Telah dibicarakan betapa kerja-kerja yang melibatkan perancangan dan pentadbiran secara intensif dilakukan sejak awal 2012 (walaupun penubuhan AJK sejak 2010). Perancagan juga melibatkan plan pembinaan yang dibincangkan sejak awal 2012 dan diangkatkan kepada pihak MPKj pada pertengahan tahun tersebut.
Cetusan pendapat yang amat penting dan tepat dengan perbilangan kata, bahawa antara AJK yang berpengalaman di dalam pembinaan, iaitu Tuan Haji Omar Jaafar Bekas Pendaftar Pembangunan UKM yang terlibat dengan pembinaan Kampus UKM dan kampus-kampus cawangan, mencadangkan bahawa AJK Pembinaan Masjid Al-Umm  perlu menubuhkan AJK Teknikal bagi  membantu AJK Induk melicinkan pentadbiran yang berhubung dengan teknikal. Cadangan beliau diterima yang membawa kepada perlantikan  Ir . Tuan Haji Ishak bin Arshad  dari  Fakulti Pembangunan di UKM. Beliau dilantik selaku Pengerusi AJK Teknikal yang ahli-ahlinya  terdiri dari arkitek dan perunding-perunding yang diwakili di dalamnya beberapa wakil dari AJK Induk. AJK ini mula bertugas  awal 2013. AJK ini  melaporkan segala cadangan kepada Mesyuarat AJK Induk yang kedua-duanya mengadakan mesyuarat  berturut minggu bagi setiap bulan. Antara tugas AJK Teknikal  meneliti dari segi plan arkitek dan cadangan-cadangan perubahan dan pembaikan, mengurus dan menyediakan kawasan tapak, menyediakan dokumen tender, mengiklankan  tender kepada kontrektor-kontrektor, mencadangkan kepada AJK pengambilan pekerja seperti kerani tapak, penyelia dan sebagainya, mempastikan persediaan pejabat di tapak sesuai sebagai bilik operasi dan msyuarat, melaporkan perkembangan teknikal kepada Mesyuarat AJK Induk berhubung dengan perkembangan pembinaan, mendirikan papan iklan kontrektor dan membuat pengakuan cadangan prmbayaran yang dituntut kontrektor untuk dipertimbang dan diluluskan oleh AJK Induk yang mana Pengerusi AJK Teknikal menjadi ahli dalam Mesyuarat AJK Induk. Dalam mesyuarat AJK Induk pihak perunding dan arkitek juga dijemput jika berkenaan. Mesyuarat-mensyuarat khas juga diadakan jika ada cadangan dan pembentangan dari sesuatu syarikat yang mau mengemukakan sesuatu proposal, contoh mengenai kubah, menara, ragam hias dan sebagainya.
Kegiatan pembinaan  lebih sebok selepas kontrektor masuk tapak pada 10 Disember 2013 dan berikut dari itu mulai awal 2014 ditubuhkan AJK Mesyuarat Tapak yang anggotanya terdiri dari arkitek kontrektor dan  perunding-perunding. Mesyuarat dipengerusikan oleh Tuan Haji Ghazali Hussin dari AJK Induk. Fungsi AJK ini melaporkan segala kegiatan perkembangan pembinaan Masjid Al-Umm dan cadangan-cadangan kepada AJK Teknikal.

Melalui mesyuarat banyak keputusan yang diambil pada peringkat puncak mesyuarat iaitu pada tahap induk, misalnya pada peringkat awal sebagaimana disiapkan oleh pihak Arkitek Urusbina, bahawa Masjid Al-Umm adalah sebanyak dua tingkat, iaitu tingkat utama di atas tanah dan tingkat bagi wanita pada tingkat atas. Namun hasil dari perbincangan dengan perunding yang melihat bahawa tapak bagi Masjid Al-Umm adalah berada pada tanah tinggi bersempadan dengan jalan ¼  ke sekolah adalah rendah, maka adalah sesuai diadakan tingkat bawah tanah yang menjadikan masjid mempunyai tiga tingkat. Cadangan adalah releven dengan tanah bagi tapak hanya 2 ekar sahaja. Level bawah tanah sesuai dijadikan ruang multi purpose. Dengan penerimaan cadangan menambahkan ruang yang boleh dimasuki terus dari bahagian jalan  ¼ ke sekolah. Ianya tidak mengganggu bahagian hadapan pintu masuk utama ke masjid. Adalah didapati kos dengan tiga tingkat tidaklah sangat berbeza.
Hasil dari perbincangan  adalah diputuskan bahawa pihak AJK Induk perlu memohon dari pihak TNB dan Pejabat tanah untuk menggunakan kawasan di bawah cable TNB berdepan dengan masjid dan berhampiran dengan sekolah. Melalui permohonan AJK dan diuruskan oleh Tuan Haji Abdul Rahman Daud kelulusan didapati dari pihak TNB pusat di Bungsar. Dengan kelulusan ini, maka tanah yang dikeluarkan dari tapak bagi ruang bawah tanah Masjid Al-Umm dapat digunakan bagi menimbus kawasan rendah bagi tapak parker masjid. Dengan penggunaan tapak ini dapat memuatkan 130 ruang parker. Keputusan-keputusan juga dibuat bagi mendapat derma dari beberapa tokoh dermawan yang dapat meningkatkan jumlah dana Masjid Al-Umm.
Perbincangan selain tertumpu pada bahagian fizikal bangunan, turut dibincangkan dan banyak berlaku perubahan terhadap aspek dalaman seperti mihrab, mimbar, ragamhias dinding dan  masih dalam perbincangan mengenai kubah dan menara.
Dengan keterlibatan semua pihak dalam mencadang, merubah, menambah dan memantapkan pembinaan, kami merasa sama berguru dan sama mencadang dan merasakan bahawa pembinaan Masjid Al-Umm tidak hanya ditentukan oleh kehendak arkitek dan dilaksanakan oleh kontrektor, tetapi ianya adalah hasil cadangan, pdrubahan dan pemantapan yang diambil keputusan secara  bersama dalam membina Masjid Al-Umm.

Sekian.  

September 16, 2014

Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu


BBB, 20 Zulkaedah 1435 = 15 September 2014 (Isnin):
Kata-kata perbilangan di atas boleh dimaksud dan ditafsirkan kepada banyak perkara.
Boleh ditafsirkan bahawa bila melakukan sesuatu pekerjaan hendaklah diusahakan  dari mulanya  menurut kaedah secara teratur dan berterusan peningkatan hingga ke akhirnya mencapai kejayaan yang sempurna.


Boleh juga ditafsirkan bila belajar hendaklah bermula dari awal dan memahaminya secara bertahap dan  berterusan agar pengajian matang dan tidak berlaku kekeliruan.
Dan boleh juga ditafsirkan sesuatu keilmuan atau pekerjaan mempunyai procedure, kaedah dan aturan yang perlu dipelajari, difahami  dan diikuti bagi mencapai kejayaan.
Ketiga-tiga tafsiran di atas dapat diaplikasikan kepada usaha pembinaan Masjid Al-Umm dan pengisian. Membaca dari alif dan mengira dari satu adalah langkah mula diambil bagi mendirikan Masjid Al-Umm atas hasrat dan semangat jamaah bermula dengan berurusan dengan Pejabat Tanah dan mendapat jawapan positif (24 Mei 2008) dikuti dengan jawapan pewartaan tapak (01 September 2009) dan kelulusan dari pihak JAIS (17 november 2009).


Tahap kedua  `Membaca Dari Alif Mengira Dari Satu` ialah penubuhan AJK Besar pada 4 Februari 2010 dengan perwakilan dari surau-surau, Persatuan Penduduk yang mengambil keputusan setuju mendirikan Masjid Al-Umm dengan kos dijangkan pada masa itu ialah RM10 juta.
Hasrat mendirikan Masjid Al-Umm menjadi lebih jelas dengan lawatan Y.A.B. Tan Sri Dato` Seri Abdul Khalid Ibrahim  Menteri Besar Selangor ke tapak dan mengumumkan kesediaan Kerajaan Selangor dengan peruntukan atas kadar `Ringgit ke Ringgit – Sejumlah RM6 juta. Diikuti dengan Majlis Do`a Selamat dan Penentuan Arah Kiblat yang disempurnakan oleh Penaung AJK Pembinaan Masjid Al-Umm TG Dato` Dr. Haron Din pada 2 Januari 2014 bersamaan 30 Safar 1435.
Mulai dari hasrat mendirikan Masjid Al-Umm, maka pelancaran derma dilakukan pada 19 Mei 2012. Keputusan bermulanya pembinaan Masjid Al-Umm ialah pada 10.12.2013, maka wang derma dari orang ramai yang terhimpun hingga 31 Disember 2013 adalah sebanyak RM2,641, 102.35. Dengan jumlah kewangan ini kami memulakan gerakerja pembinaan yang kemudian derma terus bertambah yang mengukuhkan keazaman kami bagi pembinaan Masjid Al-Umm.


Kami AJK Pembinaan Masjid Al-Umm kebanyakannya bukanlah orang yang berpengalaman dengan kerja-kerja pembinaan masjid yang bagi kami adalah besar dari segi peruntukan. Walau bagaimana kami berhasrat  untuk mendirikan sebuah masjid yang sempurna, baik dan indah sesuai dengan jumlah kewangan yang kami dapat hasil dari keikhlasan para dermawan kepada kami. Pengalaman dan pembelajaran yang kami dapati adalah berkaitan dengan berbagai-bagai permohonan kepada Pejabat Tanah, kepada JAIS, MAIS, Jabatan Mufti, MPKj. Berurusan dengan Masjid dan surau-surau – antaranya meminta keizinan meletakkan tong derma dan juga member penerangan kepada jamaah masjid-surau dan menghantar surat kepada mereka yang difikirkan dapat menderma dan menerima derma dari penderma-penderma


Bersama pengalaman berkomunikasi dengan berbagai jabatan, kami banyak menimba  pengalaman dan pembelajaran  melalui mesyuarat-mesyuarat yang diadakan sejak awal 2010 dan kekerapan bermesyuarat secara bulanan mulai 2012. Pada peringkat permulaan mesyuarat ialah antara AJK Pembinaan Masjid Al-Umm dan arkitek yang mulai merangka plan pembinaan bagi Masjid Al-Umm. Plan-plan mulai diangkat kepada pihak MPKj mulai pada pertengahan 2012. Kami yang bukan berpengalaman di dalam hal pembinaan, menyangka bahawa dengan adanya wang terkumpul dan dengan siapnya plan dan diangkat kepada MPKj dan jabatan-jabatan berkenaan dan selepas mendapat kelulusan, maka  kerja-kerja pembinaan dapat dilakukan.


Pembacaan kami walaupun bermula dari alif dan mengira dari satu, sebenarnya masih belum cukup dari segi keperluan membina sebuah Masjid. Kami memerlukan nasihat dan rundingan, bahkan plan yang dihasilkan walaupun kami faham, tetapi masih memerlukan kritikan dari pihak-pihak berkenaan dengan pembinaan, di samping kritikan dan cadangan dari kami yang masih dalami proses `Membaca Dari Alif Dan Mengira Dari Satu``.

Sekian.

September 15, 2014

Pendidikan Sepanjang Hayat Berasaskan Masjid Paling Sesuai


BBB, 18  Zulkaedah 1435 = 15 September 2014 (Ahad ):
Mempelajari  ilmu, khususnya ilmu yang fardu adalah wajib, tanpa ilmu tidak terangkat tuntutan fardu. Mempelajari ilmu pula adalah tuntutan  sebagaimana ungkapan, ``Tuntutlah ilmu dari buaian hingga ke liang lahad.``  Sesungguhnya fizikal tubuh badan  menuntut keperluan makan-minum, minda menuntut keilmuan dan  hati-nurani menuntut pengisian kerohanian. Fizikal merasa nikmat mendapat makanan dan minuman, minda nikmat dengan keilmuan dan hati-nurani  nikmat dengan ma`rifat kerohanian.
Institusi manakah yang paling sesuai mendukung tuntutan `Belajar  Sepanjang hayat ?`  Pembelajaran selama ini  membentuk  pandangan, `` Belajar peringkat sekolah sebagai pengajian asas yang dapat mengangkatkan  seseorang kepada budaya boleh  membaca, belajar di pengajian tinggi  dipandang sebagai intelektual dan mudah dapat kerja dan berpeluang mencapai status  kelas menengah dengan kerja-kerja yang  dicapai, , kalaupun tidak mencapai status kelas atas``. Pengajian-pengajian sedemikian lebih dilihat sebagai  pencapaian individu dalam kerjaya.  Dari satu segi  kerjaya sedemikian dilihat sebagai pencapaian individu di dalam kehidupan, tetapi jarang dikaitkan dengankejayaan dunia akhirat dan status berakhir dengan persaraan. Lantas bagaimanakah kejayaan sepanjang hayat, dunia akhirat ?
Sebenarnya melalui pengajian, sedar dengan amalan dan meletakkan sesuatu secara betul, ber niat secara  ikhlas, segala amal yang baik seperti bekerja  secara jujur dan dedikasi  merupakan bahagian dari ibadat. Ini merupakan satu dari kesedaran yang dapat dihayati dari pengajian. Sudah tentulah banyak lagi maklumat dan keilmuan yang kita tidak ketahui tanpa mengaji yang jika dipelajari dapat memperbaiki perspektif diri dan pandangan yang digaris Islam. Bahagian daripadanya dapat dicapai dan dinikmati dalam perjalanan menerokai keilmuan sepanjang hayat.  Masjid Al-Umm  mau sama berusaha meneroka konsep pengajian sepanjang hayat semoga paling minimum ianya  merupakan penyambungan rantaian ibadat di dalam pengajian sepanjang hayat.
Adalah hasrat masjid menyediakan pengajian sepanjang hayat yang  boleh dikuti oleh semua lapisan masyarakat. Masjid berusaha  menyediakan pengajian mengikuti solat waktu terutama selepas maghrib ke Isya`  yang boleh diikuti para pekerja, lantaran ianya disediakan di luar masa kerja. Mereka juga boleh mengikuti pengajian pada hujung minggu pada hari Sabtu dan pagi Ahad. Mereka boleh mengikuti  pengajian secara berpekej dalam tempoh waktu tertentu, jika mereka mempunyai masa untuk mengikutinya,
Pihak Masjid juga berhasrat menganjurkan pengajian kepada warga-warga emas yang telah bersara. Mereka boleh mengikuti pengajian khas disusun bagi kalangan waga emas. Bagi mereka dan yang berminat kita bercadang menyediakan sistem  ala pondok yang kurikulum di susun khas. Bagi mereka yang mau mengikuti pengajian sedemikian bagi penduduk Bangi atau di luar Bangi mereka boleh tinggal di rumah masing-masing, manakala bagi yang datang dari luar, kediaman diusahakan  berdekatan dengan masjid. Bagi wanita mereka mempunyai slot khas bagi pengajian yang berhubung dengan wanita.
Bagi kursus  semua pengajian yang dianjurkan mempunyai bidang-bidang keilmuan dan kurikulum bagi setiap kursus. Kursus melibatkan pengajian akidah, fiqh, tasawuf, tafsir, hadith, tajwid (Qur`an), sirah, nahu dan saraf.
Kursus pengajian juga diperluaskan kepada keperluan hidup  seperti  memahami ekonomi Islam, kursus kekeluargaan, alam sekitar,  kesihatan, bank Islam, takaful dan sebagainya.
Pengajian juga disediakan bagi kalangan remaja seperti  Kelas Tahfiz, pengajian Al-Qur`an, kegiatan seni Islam dan kegiatan sukan yang turut diberi perhatian terutama bagi kalangan remaja
Dengan pengajian melalui  masjid, tidak saja mengikuti pengajian, tetapi dipraktikkan bersama ibadat terutama solat. Melalui pengajian masjid ibadat solat berkesinambungan dengan  ibadat secara pengajian.Lantaran itu masjid adalah tempat yang paling sesuai dengan konsep pengajian sepanjang hayat dan berkesinambungan kehidupan di dalam beribadat.  Peluang ini boleh dihadiri oleh sesiapa yang berminat.
Sesungguhnya dilihat dari segi teori dan amali, pendidikan melalui masjidlah merupakan pendidikan yang integrated antara ilmu dan amal dan merupakan pendidikan berterusan seumur hayat.  Sebenarnya dari konsep dan ciri sedemikianlah berkembangnya  pusat-pusat keilmuan Islam yang berasaskan masjid yang melahirkan seperti  universiti Qairawan di Maghribi yang merupakan  universiti  tertua di dunia, begitu juga universiti al-Azhar di Mesir yang berkembang  berasaskan masjid. Diharap Masjid Al-Umm jika pun tidak berlaku sebagaimana Universiti Qairawan dan Universiti Al-Azhar, diharap sekurang-kurangnya ianya menjadi pemangkin kepada pengajian sepanjang hayat.

Sekian.

September 14, 2014

Mencari Wibawa Dalam Keilmuan Untuk Menjadi Bahan Pengajaran Dan Rujukan


BBB, 18 Zulhijjah 1435 = 13 September  2014 (Sabtu):
Kebiasaan dalam pengajian bagi sesuatu ilmu kita mencari buku pengajian dihasilkan oleh ulama atau tokoh yang berwibawa di dalam bidang berkenaan untuk dijadikan bahan pengajaran, bahkan menjadi teks yang diguna oleh guru dan pelajar-pelajar di dalam pengajian mereka. Ini menjadi trend pengajian tradisi, bahkan kini.
Di dalam pengajian di universiti juga, pensyarah biasanya ada buku-buku teks dijadikan bahan kuliah. Ia mungkin diambil dari bahan tulisan, buku atau kertaskerja-kertaskerja yang pernah dibentangkan di dalam bidang kepakarannya, tetapi bagi  perluasan kuliah disenaraikan buku cadangan rujukan dari kalangan pengarang-pengarang  buku-buku  berwibawa di dalam bidang yang dikuliahkan. Ini bermakna bagi pelajar yang rajin dan berdedikasi akan membaca dan merujuk kepada buku-buku yang dicadangkan, bahkan lebih dari itu  banyak lagi buku-buku berkaitan dengan topik sebagai bahan rujukan yang releven. Ini bermakna dengan merujuk kepada buku-buku yang dicadangkan, bahkan dari buku-buku tambahan yang dicari dan ditemui memperbanyak dan memperkayakan maklumat pelajar di dalam bidang yang dipelajari. Di sini dapat difahami tentang perkembangan keilmuan yang dipelajari tidak semata bergantung pada buku-buku yang dicadangkan,  bahkan makin bertambah dengan pertambahan buku yang dicari sendiri.
Bagi pelajar yang rajin yang banyak membaca  dia dapat sama berbincang dan memperkayakan maklumat yang didapati dari pembacaan dan sama dimanfaatkan melalui tutorial dan perbincangan.
Di dalam pengajian di masjid kita membawa pendekatan  `Tradisi dan moden` di dalam pengajaran. Bermaksud kita akan mempertahankan ciri pengajian tradisi di samping menggunakan kaedah-kaedah moden. Antara kaedah tradisi ialah menggunakan kitab sebagai bahan pengajaran dan pelajar-pelajar `menadah kitab` dengan menggunakan kitab yang sama digunakan oleh guru. Guru membaca dan menghuraikan berhubung dengan kandungan, huraian dan tafsiran. Guru mengajar secara duduk berhampiran mihrab berdepan dengan pelajar-pelajar yang duduk bersama kitab di atas rihal. Kadang-kadang bagi guru disediakan meja dan kerusi bagi pengajaran guru. Dengan ini guru dapat dilihat dengan jelas oleh pelajar-pelajar dan suara melalui penggunaan pembesar suara menjadi lebih jelas dan menarik untuk terus di dengar, Pengajaran yang memakan masa antara  satu setengah jam diakhiri dengan pertanyaan-pertanyaan kira-kira 15 minit. Dengan ini guru dapat menyampaikan pengajara n dengan jelas dan pelajar merasa puas. Guru digalakkan mengajar dengan menggunakan pengajaran seperti  power point dengan bantuan pembantu pengajar.
Kita juga turut menyediakan bahan-bahan rujukan berwibawa  antara 5 – 10 buah untuk dirujuk oleh pelajar-pelajar di luar dari waktu belajar. Ianya juga bahan yang dirujuk guru di samping rujukan yang lain yang ada  di dalam koleksinya. Dalm konteks ini perlunya ada perpustkaan yang  menyimpan bahan-bahan rujukan untuk dirujuk oleh guru-guru dan pelajar-pelajar.  Koleksi perpustakaan bukan setakat senarai buku yang menjadi rujukan, tetapi menyediakan berbagai-bagai  buku rujukan dari berbagai keilmuan bukan saja dirujuk guru dan pelajar-pelajar, tetapi juga penggunaan oleh orang ramai.
Di dalam mencari dan mencadangkan sebuah atau dua buah teks untuk digunakan oleh guru-pelajar kita bertembung dengan kesukaran. Misalnya di dalam bidang fiqh tidak ada teks lengkap moden dihasilkan oleh ulama wibawa yang kitabnya layak dibawa ke dalam majlis pengajaran sebagai buku teks, tetapi di sana tokoh-tokoh keilmuan fiqh dari zaman tradisi. Misalnya kitab Sabil al-Muhtadin oleh Shaykh Muhammad Arshad Banjar atau kitab Matla` al-Badrayn wa Majma` al-Bahrayn oleh syeikh Muhammad bin Ismail Daud al-Fatani. Kesukaran juga untuk mendapat bahan-bahan rujukan fiqh moden yang boleh dijadikan bahan rujukan tambahan. Walaupun ada bahan, pengarangnya bukan dari kalangan ulama, dia sekadar mengkaji bagi keperluan ijazah, penyusun atau penterjemah dan tidak berkecimpung dalam bidang yang dihasilkan dan tidak dihormati di dalam bidang berkenaan.  Lantaran itu lebih selamat kita mengambil kitab-kitab yang dikarang ulama tradisi yang jelas authority  dan kealiman dan kitab-kitab terkenal digunakan di dalam pengajaran sejak berzaman.
Kesukaran begini berlaku di dalam bidang-bidang keilmuan Islam yang lain seperti  usuluddin, tasawuf dan lain-lain. Kesukaran mencari buku moden yang relevan menyebabkan kita lebih merasa berkeyakinan menyenaraikan kitab-kitab yang dihasilkan ulama tradisi terkenal, juga kitab-kitab sebagai bahan rujukan. Permasalahan yang didepani menggunakan kitab tradisi ialah bahasa lama yang distilahkan sebagai bahasa kitab yang banyak terpengaruh dengan gaya susunan bahasa Arab, tetapi inilah identity bahasa kitab yang menjadi budaya di dalam pengajian keilmuan Islam. Ini tidak bererti kita tidak menggalakkan kelahiran karangan-karanga moden. Sebenarnya itulah yang diharapkan, tetapi hendaklah benar-benar berauthority dan berwibawa menjadi teks pengajain.  Dalam hal ini buat kini  kita memggunakan teks tradisi, tetapi menghuraiakan bahasa tradisi secara moden.

Sekian.